Wednesday, December 15, 2010

PERDAGANGAN TUBUH LEBIH LARIS SEBAB ADA PELANGGAN DAN PEMINAT ZINA....HUKUM HUDUD TIADA PULA DIMALAYSIA.....MAKA HUKUM ALLAH JUA.....UBAT YANG PALING MUJARAB UNTUK MENGUBAT PENYAKIT MASYARAKAT...

Lebih 17 ribu wanita berhenti kerja kesan ekonomi global

KUALA LUMPUR -- Seramai 17,126 wanita tempatan telah berhenti kerja bagi tempoh Okt 2008 hingga April lalu akibat kesan krisis ekonomi global.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kesan krisis global adalah lebih besar ke atas wanita berbanding lelaki kerana mereka ini lebih mudah terdedah kepada risiko krisis tersebut.

"Bagaimanapun, kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan pengupayaan ekonomi golongan wanita yang terjejas itu," katanya menjawab soalan Senator J.Usha Nandhini pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Shahrizat berkata antara langkah itu adalah mengadakan latihan kemahiran bagi membolehkan wanita menjana pendapatan melalui program seperti Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT), Jejari Bestari dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNITA).

Beliau berkata pada masa ini juga kementerian telah berjaya melatih dan membangunkan seramai 4,550 orang usahawan wanita di bawah inisiatif NKRA kementerian.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 1,629 orang usahawan wanita dilahirkan dengan pendapatan melebihi RM3,500.

Beliau berkata kerajaan mensasarkan peningkatan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh dari 46.4 peratus ke 55 peratus pada tahun 2015 di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

"Bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan seperti menggiatkan usaha mewujudkan keseimbangan antara kerjaya dan kerja melalui pelaksanaan waktu kerja anjal dan bekerja dari rumah," katanya.

Menerusi kaedah bekerja dari rumah, Shahrizat berkata sehingga September lepas, Jabatan Tenaga Kerja melaporkan seramai 2,823 orang wanita telah mendapat pekerjaan dengan 159 buah syarikat swasta. -- BERNAMA


Juruterbang maut helikopter terhempas



MALIM NAWAR – Seorang juruterbang yang sedang dalam kursus melakukan penerbangan solo di sini maut ketika menjalani latihan dalam kejadian di kawasan Estet Liang Kee, Malim Nawar jam 3.08 petang semalam.

Mangsa, Allahyarham Inspektor Mohd Shukri Othman, 31, dari 1540 Permatang Tok Gelam, Seberang Prai, Pulau Pinang maut ketika menjalani latihan di Integrated Training and Services Ipoh.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, semasa kejadian, lapan anggota dihantar Polis Diraja Malaysia sedang menjalani latihan penerbangan di Ipoh.

“Pada jam 2.15 petang tadi, pegawai kita melakukan penerbangan solo dengan sebuah helikopter jenis R44 dan berada di udara selama 15 minit.

“Kira-kira jam 3.00 petang, helikopter yang dinaiki mangsa telah mengalami masalah dan mangsa maut dalam kejadian tersebut,” katanya.

Mangsa yang sudah berkahwin meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia setahun dan ini merupakan penerbangan solo kelima mangsa.

Sinar Harian difahamkan, ketika latihan berkenaan dijalankan, mangsa adalah peserta pertama yang berlepas dari pusat latihan di Intergrated Training and Service Center, Ipoh dan menjalani latihan di ruang udara Gopeng – Kampar.

Katanya, arwah telah berkhidmat sebagai pegawai polis biasa sebelum berada di Unit Udara Polis selama enam tahun.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Sementara itu, rakan mangsa, Inspektor Md Nurkhail Md Zaini, 29 berkata, arwah merupakan senior yang baik dan mempunyai seorang balu dan seorang anak berusia setahun.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang kelakuan ganjil sebelum penerbangan.

“Sepatutnya, masa latihan adalah selama satu jam dan Mohd Shukri perlu sampai semula ke pusat di lapangan terbang jam 3.15 petang namun apabila dihubungi selepas jam itu, tiada jawapan diterima,” katanya yang dimaklumkan tentang insiden berkenaan daripada balai polis berhampiran.

Saksi pertama kejadian, Hariandi Dimun, 28, berkata, ketika kejadian, dia sedang menjala ikan di lombong berhampiran dan ternampak sebuah helikopter dari arah gunung.

“Apabila nampak helikopter itu dah rendah tetapi tidak berpusing.

Namun secara tiba-tiba, ia terhempas membuatkan saya yang ketika itu sedang menjala terkejut.

“Ketika sampai ke lokasi kejadian mangsa sudah hangus dan ada lima atau enam orang awam sedang cuba memadam api menggunakan air lombong,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, seorang pekebun, Muniandy Manugaran, 33, berkata, dia antara yang terawal sampai ke tempat kejadian.

Katanya, terdapat juga beberapa pekerja yang sedang mengangkut pasir turut berada di lokasi berdekatan terkejut dengan bunyi letupan kemungkinan dari enjin helikopter.

“Mula-mula kami semua tak berani nak dekat, dan selepas itu nampak mangsa terbakar paras pinggang sehingga kepala dan nampak kaki mangsa di bangkai helikopter,” katanya
Taktik main 'kahwin-kahwin' terbongkar



PADANG BESAR – Taktik seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dari Kampung Felda Mata Ayer, dekat sini, mengajak sepupu perempuannya yang berusia 11 tahun bermain 'kahwin-kahwin' terbongkar apabila dia didakwa atas kesalahan merogol kanak-kanak itu bulan lalu.

Remaja terbabit yang tidak bersekolah sejak dua tahun lalu mengaku bersalah setelah dihadapkan ke Mahkamah Juvana, semalam.

Berdasarkan keterangan kes, remaja terbabit didakwa merogol mangsa pada hari kejadian di rumah datuk kanak-kanak perempuan itu di Felda Mata Ayer kira-kira jam 4 petang pada 1 November lalu ketika mengajaknya bermain kahwin-kahwin.

Selepas selesai bermain masak-masak dengan rakannya, mangsa yang ketika itu sedang mengemas bilik di bahagian atas rumah diajak remaja terbabit bermain kahwin-kahwin ketika memasuki bilik berkenaan.

Remaja itu kemudian menyuruh mangsa membuka seluar dan berbaring di atas katil sebelum dia memasukkan kemaluannya ke dalam alat sulit mangsa.

Ketika kejadian, datuk mangsa yang turut tinggal bersamanya dikatakan sedang tidur diruang tamu rumah.

Menurut keterangan mangsa, selepas kejadian terbabit, remaja itu beberapa kali cuba mengajaknya bermain kahwin-kahwin seperti sebelum ini, namun ditolak mangsa.

Perbuatan terkutuk remaja itu terbongkar selepas ibu kanak-kanak perempuan itu mengesan seluar dalam anaknya mempunyai warna keputihan dipercayai air mani.

Dia kemudian membawa anaknya untuk menjalani pemeriksaan Klinik Kesihatan Kangar dan doktor mengesahkan terdapat kesan kemasukan sesuatu di dalam kemaluan anak perempuan itu.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai di hadapan Hakim Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Kangar.

Tertuduh yang hadir bersama ahli keluarganya tidak diwakili peguam dan pihak pendakwa memohon remaja itu dikenakan wang jaminan RM5,000.

Bagaimanapun, Nik Mohd Fadli mengurangkan wang jaminan kepada RM3,000 dan menetapkan 2 Februari tahun depan bagi keputusan hukuman yang akan dibuat di Mahkamah Juvana.
Kerajaan diminta siasat



SHAH ALAM – Kerajaan diminta segera menjalankan siasatan menyeluruh punca penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) terlibat aktiviti pelacuran dipercayai bagi menampung kos pengajian mereka.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) Nasrudin Hassan berkata, hal itu perlu dipandang serius kerana ia bukan sahaja menjejaskan masa depan mereka sebagai generasi pewaris pentadbiran Malaysia malah menjatuhkan maruah dan imej negara.

Menurutnya, isu ini telah lama diperkatakan namun tindakan susulan yang diperlihatkan hanyalah sikap tuding jari dan menyalahkan orang lain.

“Saya mewakili DPPP meminta kepada pihak yang berkenaan secara langsung ataupun tidak untuk menyiasat apakah punca kegiatan ini dilakukan di samping menilai sejauh mana keterlibatan mereka di dalam kegiatan ini.

“Sekiranya benar sebagaimana yang dilaporkan, kerajaan wajar untuk memikir jalan keluar bagi mengatasi masalah yang membelenggu Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan ketika mengulas pendedahan Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Dr Jaina Sintian, awal bulan lalu.

Dalam simposium pertubuhan itu, Jaina dipetik sebagai berkata, kebanyakan pelajar IPT terlibat kes pelacuran untuk menampung kos pengajian.

Menurutnya, mereka yang terbabit itu terdiri daripada kalangan keluarga bermasalah seperti berlaku penceraian ibu bapa yang menyebabkan mereka kehilangan tempat bergantung.

Nasrudin berkata, sikap melepaskan diri dan menyalahkan pihak lain hanya akan mengakibatkan peningkatan masalah sosial golongan pelajar di negara ini.

“Kita perlu menyelesaikan isu ini secara bersama. Dalam hal ini, DPP bersedia untuk membantu dalam apa jua termasuk memberi khidmat bimbingan dan kaunseling kepada pelajar terlanjur dengan kerjasama dan kelepasan daripada pihak universiti dan kerajaan,” katanya.



Ibu terjun tali air cari anak


PASIR MAS – Seorang ibu sanggup terjun ke dalam tali air sedalam hampir satu meter bagi menyelamatkan anaknya dalam keadaan lemas ketika memancing bersama kakaknya di Kampung Bechah Landak, dekat sini kelmarin.

Malangnya, usaha ibu itu gagal apabila menemui mayat anaknya, Fikri Abdullah, 10, tersangkut pada kayu di dasar tali air tersebut.

Ibu mangsa, Zainab Ariffin, 50, berkata, dia dikejutkan dengan jeritan anak sulungnya yang mencari Fikri di rumah kira-kira jam 5.30 petang dan bergegas ke tali air yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk terjun ke tali air kerana dapat menjangkakan apa yang berlaku terhadap anaknya apatah lagi apabila anak sulung memberitahu melihat joran milik Fikri hanyut.

“Sangkaan saya benar apabila anak saya ditemui tersangkut pada kayu di dasar tali air itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Fikri, anak ketujuh daripada lapan beradik itu bersama kakaknya, Harma, 35, ke tali air kira-kira 50 meter dari rumahnya untuk memancing.

Harma berkata, dia menyangka Fikri pulang ke rumah tanpa memaklumkan kepadanya ketika mangsa tidak berada di tempatnya.

“Saya dan seorang lagi adik bergegas pulang ke rumah untuk memastikan adakah benar Fikri sudah pulang, saya terkejut kerana dia tidak berada di rumah,” katanya yang kemudiannya berkejar ke tali air bersama ibunya.

Katanya, Fikri sebelum ini mengadu berasa pening kesan penyakit epilepsi yang dihidapinya sejak sekian lama dan hanya sempat belajar sehingga ke tahun dua sahaja di sekolah kebangsaan berdekatan.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Tempoyak kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan sebagai kes lemas dan siasatan awal mendapati ianya tiada kaitan perbuatan jenayah.



Ibu tidak percaya anak terbabit jenayah


RANTAU PANJANG – Ibu mangsa yang ditemui mati di Kampung Alor Pasir, Tanah Merah tidak percaya anaknya terlibat dengan kegiatan jenayah.

Ibu mangsa, Zaiton Mohd Yassin, 57, berkata, dia tidak mempercayai anaknya, Nor Azman Ubaidillah, 37, terlibat dengan kes jenayah kerana tidak pernah ditahan polis sebelum ini.

Menurutnya, dia kesal dengan tindakan mereka yang melakukan kekejaman ke atas anaknya dan mahukan pihak polis menjalankan siasatan sewajarnya.

“Saya redha dengan pemergian anak saya, namun saya kecewa dengan tindakan tidak berhati perut orang ramai ketika kita mempunyai undang-undang dan mereka tidak melaksanakan undang-undang mereka sendiri.

“Saya diberitahu anak saya keluar pada malam kejadian kerana mahu mengambil semula motosikalnya yang dilarikan rakan tetapi apa yang berlaku semalam sama sekali bertentangan,” katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Banggol Kulim.

Sementara itu, kakak mangsa, Nor Mouzi, 43, berkata, dia mengetahui mengenai kematian adiknya selepas saudara terdekat memberitahunya serta turut memaklumkan mayat berada di Hospital Tanah Merah.

Menurutnya, adiknya disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi, selepas ditemui terbaring di atas rumput oleh abang iparnya ketika sedang mencarinya kerana tidak pulang ke rumah.

“Saya difahamkan adik saya ke kampung berkenaan untuk mengambil balik motosikalnya yang dilarikan salah seorang rakannya dua hari lalu.

“Mungkin kerana salah faham menyebabkan tindakan adiknya itu telah disedari beberapa penduduk kampung sebelum bertindak membelasah mangsa bertubi-tubi,” katanya.

Nor Mouzi berkata, selepas menerima berita tersebut kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin, dia sekeluarga bergegas ke hospital Tanah Merah untuk melihat mayat adiknya.

Menurutnya, dia terkejut melihat mayat adiknya yang cedera di bahagian mulut dan percaya adiknya dibelasah teruk sehingga mengalami sesak nafas.

Sementara itu, isteri mangsa Hazalina Abdul Aziz, 31, berkata, suaminya keluar dari rumah jam 1.30 pagi tanpa memaklumkan tujuannya.

“Saya sempat menghulurkan sehelai jaket selepas dimintanya dan dia terus menunggang motosikal sehingga saya dikejutkan dengan berita itu kira-kira jam 6.30 pagi,” katanya sambil merayu kepada polis agar menjalankan siasatan secara adil berhubung kes tersebut.


Jangan hukum pesalah sesuka hati


TANAH MERAH – Polis meminta orang awam menyerahkan pesalah kepada pihaknya jika berjaya menangkap dan tidak menghukum pesalah sesuka hati.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Abdul Aziz Mahmud berkata, beliau mahu orang awam mengambil iktibar daripada beberapa kejadian sebelum ini apabila mangsa terpaksa menerima padah akibat menghukum suspek.

Menurutnya, negara kita mempunyai undang-undang dan biar undang-undang yang menentukan hukuman setimpal kepada pesalah.

“Sebelum ini terdapat beberapa kejadian di mana mangsa terpaksa menerima padah akibat bertindak keterlaluan.

“Justeru saya menasihatkan orang awam supaya bersabar dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah, petang semalam berikutan kematian seorang lelaki, Nor Azman Ubaidillah,37, selepas dipercayai mencuri motosikal kira-kira jam 1.45 pagi semalam.

Semalam, mangsa yang bekerja sebagai pemandu sambilan meninggal dipercayai akibat sesak nafas selepas bergelut dengan tiga lelaki.

Mangsa dari Kampung Banggol Kulim meninggalkan isteri serta empat anak berusia empat bulan sehingga lapan tahun.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.


Pura-pura mahu beli ubi kayu


ALOR LINTANG - Seorang peniaga sayur-sayuran di sini kerugian lebih kurang RM3,000 apabila beg tangannya dipercayai dilarikan pencuri yang menyamar sebagai pelanggan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, beg berisi tunai dan dokumen penting yang diletakkan berhampiran kaunter bayaran milik Nor Fatiha Nawi, 47, lesap tanpa disedarinya.

Nor Fatiha berkata, dia didatangi tiga lelaki berumur antara 30 hingga 40-an yang berlagak sebagai pelanggan kononnya ingin membeli ubi kayu yang dijual di kedainya.

Katanya, salah seorang lelaki berada di bahagian depan kedai manakala dua lagi berada di dua sudut berlainan.

Ketika itu, selain dia, pembantu dan seorang pelanggan berada dalam kedai itu.

“Salah seorang lelaki dipercayai cuba mengalih perhatian saya dan pembantu kedai dengan bertanya pelbagai soalan dan seolah-olah mahu membeli ubi kayu yang diletakkan di bahagian depan kedai.

“Lelaki itu juga dipercayai meminta pembantu saya mengopek kulit ubi kayu tetapi saya tidak membenarkannya,” katanya.

Nor Fatiha berkata, apabila tidak dibenarkan mengopek ubi kayu, lelaki berkenaan berpecah dan mengalih perhatian dengan bertanya pelbagai soalan sebelum salah seorang daripada mereka dipercayai mengambil beg tangannya.

Katanya, selepas lebih 10 minit berada dalam kedai, lelaki berkenaan menuju ke arah sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 30 meter dari kedai.

“Ketika itu saya masih tidak menyedari beg tangan yang diletakkan di kaunter hilang.

“Cuma, saya dan pembantu agak hairan dengan tingkah laku lelaki itu,” katanya.

Nor Fatiha berkata, dia akhirnya menyedari beg tangan lesap selepas lebih kurang 30 minit kumpulan lelaki itu meninggalkan kedainya.

“Saya mengesyaki ia dicuri lelaki berkenaan berikutan mereka keluar serentak dan hanya membeli beberapa ketul ubi kayu.

“Selain tunai, kad pengenalan yang diletakkan dalam beg berkenaan turut hilang,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja.


Buruh asing jadi mangsa samun lelaki Orang Asli


KUANTAN- Seorang buruh warga Pakistan berputih mata apabila wang gaji RM700 dan pasport miliknya disamun sekumpulan lelaki dipercayai berketurunan orang Asli dalam satu kejadian di rumah kongsi berhampiran sebuah sekolah dekat Pos Betau, Kuala Lipis, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu dipercayai berlaku ekoran satu pergaduhan melibatkan salah seorang daripada kumpulan lelaki terbabit dengan beberapa rakan mangsa yang tinggal di rumah kongsi itu.

Pergaduhan dipercayai tercetus gara-gara perasaan tidak puas hati lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu yang mendakwa pekerja terbabit menghalang laluan berhampiran dengan paip air.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Risikan dan Operasi) Superintendan Nordin Mustapha berkata, lima suspek lain yang turut serta dalam pergaduhan itu kemudiannya bertindak mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukan ke arah mangsa sebelum mengarahkan lelaki berusia 45 tahun itu menyerahkan wang dan pasport.

Menurutnya, mungkin bimbang dicederakan, mangsa menyerahkan wang gaji dan pasportnya kepada suspek.

“Selepas mendapat habuannya, kumpulan itu bertindak melarikan diri manakala mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tidak lama kemudian.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dalam siasatan bagaimanapun polis berjaya mengenal pasti semua suspek terlibat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan, dua remaja kerugian kira-kira RM600 selepas telefon bimbit milik mereka disamun empat lelaki bermotosikal ketika berada melalui di Jalan Kampung Batu 5, dekat Jalan Gambang di sini, malam. Kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, dua rakan berusia 15 dan 16 tahun itu difahamkan sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah sebelum didatangi empat lelaki tidak dikenali menaiki dua buah motosikal.

Nordin berkata, salah seorang suspek turun dari motosikal dan memegang mangsa sambil mengacah-acah kayu serta mengugut akan mencederakan mereka.

“Suspek kemudian bertindak merampas telefon bimbit mangsa bernilai kira-kira RM600 sebelum melarikan diri.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti suspek terlibat dan kes turut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.



Mayat dalam longkang


KLANG - “Saya sempat bermain mahjong bersama Lai Fat (mangsa) di rumah salah seorang abang kami kira-kira jam 9 malam kelmarin. Sejam kemudian kami beredar pulang ke rumah masing-masing. Saya tidak tahu apa yang berlaku padanya sehinggalah pagi ini (semalam) saya mendapat panggilan memaklumkan dia mati.” Begitulah reaksi Chong Chee Keong, 46, yang juga pemilik sebuah bengkel motosikal di sekitar Pelabuhan Klang selepas dimaklumkan adiknya, Chong Lai Fat, 42, ditemui mati dalam sebuah longkang di kawasan Perindustrian Fasa 4, Bandar Sultan Sulaiman, semalam.

Dalam kejadian pagi semalam berhampiran sebuah kilang komponen kenderaan, Lai Fat, 42, yang bekerja sebagai mekanik ditemui mati dalam sebuah longkang sedalam kira-kira 1.8 meter.

Manakala kereta jenis Proton Arena dipercayai milik mangsa turut terbakar yang terletak kira-kira 30 meter dari mayat mangsa ditemui.

Menurutnya, Lai Fat memang minat memancing dan dia seringkali menghabiskan masa dengan aktiviti itu sejak bercerai dengan isteri.

“Apabila tamat kerja dia mesti pergi memancing. Tapi saya tidak sangka dia meninggal dalam keadaan begini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohamad Shukor Sulong berkata, siasatan awal mendapati tiada kesan terbakar atau kecederaan pada mayat mangsa.

"Mangsa yang masih lengkap berpakaian itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang sebaik menyedari keretanya tiba-tiba terbakar. Ketika itu mungkin mangsa sedang asyik menjala ikan berdasarkan penemuan ikan pada jala yang dipercayai milik mangsa,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

“Saksi kejadian diminta tampil ke IPD Klang Utara bagi membantu siasatan,” katanya.



Rumah urut haram diserbu


BUKIT TINGGI - Kedudukannya yang strategik dan suasananya agak eksklusif menjadikan sebuah rumah urut di Bukit Tinggi menjadi tumpuan sejak sebulan lalu.

Namun, tidak ramai yang menyedari rumah urut berkenaan beroperasi tanpa lesen dan menjalankan perniagaan secara haram tanpa menghiraukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguat kuasa yang lain.

Pengarah Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Andry Arman Masrom berkata, pihaknya menjalankan risikan berjaya memperoleh maklumat mengenai kewujudan rumah urut itu yang kian mendapat perhatian daripada penduduk setempat kerana menawarkan pelbagai pakej menarik kepada pelanggannya

Menurutnya, satu operasi secara bersepadu telah diadakan dan tindakan sita ke atas premis itu yang beroperasi secara haram tanpa kebenaran majlis telah dikenakan.

“Semua barangan telah disita dan kita sedang mengusahakan pendakwaan ke atas pemilik premis yang secara jelas melanggar peraturan ditetapkan.

“Malah, hasil kecekapan maklumat risikan mendapati, beberapa premis juga turut diserbu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, premis berkenaan mempunyai lima pekerja warga China dan hasil pemeriksaan, semua mereka mempunyai permit kerja yang sah.

Andry berkata, kawasan sekitar Bukit Tinggi sememangnya agak terkenal dengan rumah urut dan setakat ini, hanya premis refleksologi sahaja dibenarkan beroperasi.

“Operasi dan pemantauan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

“Pada masa yang sama, saya mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jika mendapati terdapat mana-mana premis rumah urut yang beroperasi tidak sah,” katanya.


'Call girl' dicekup


SERDANG – Mempunyai visa pekerjaan untuk bekerja di ladang namun beberapa wanita warga asing di sini giat menjalankan khidmat urutan batin kepada pelanggan melalui iklan yang ditampal di tepi jalan dan juga di dada akhbar.

Difahamkan, ‘call girl’ terbabit hanya berurusan dengan pelanggan mereka melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk melakukan sebarang rundingan.

Sinar Harian difahamkan, selepas bersetuju dengan kadar bayaran dikenakan, pelanggan akan diberi tunjuk arah melalui percakapan dalam telefon ke lokasi mendapat khidmat urutan.

Bagaimanapun, perniagaan tidak bermoral terbabit tumpas, apabila premis yang dijadikan lubuk lelaki hidung belang melepas nafsu diserbu pihak berkuasa tempatan, semalam.

Tukang urut berusia antara 20 hingga 40-an itu pada mulanya enggan mengakui menjalankan kegiatan dijalankan namun ‘kantoi’ apabila ada pelanggan menghantar SMS kepada salah seorang daripada mereka bertanyakan kadar urutan dalam tempoh sejam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Adnan Md Ikshan berkata, bertindak atas maklumat awam, 60 anggota penguat kuasa MPSJ dan enam penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu tiga premis masing-masing di Serdang Perdana dan Taman Pinggiran Putra Seri Kembangan.

Katanya, dalam serbuan itu lapan wanita ditahan termasuki seorang daripadanya warga tempatan yang dipercayai terbabit dengan kegiatan urutan batin.

“Kami mendapati, mereka ini mensasarkan rumah bertingkat di tingkat paling atas untuk mengaburi mata orang awam dan pihak berkuasa daripada menghidu kegiatan dijalankan.

“Hasil penyamaran dilakukan, premis dikenal pasti dan mengecewakan apabila kebanyakan pekerja hanya mempunyai visa bekerja di ladang namun tergamak bekerja di sini,” katanya yang memaklumkan tukang urut itu mengenakan caj RM150 bagi pakej lengkap urutan batin.

Beliau berkata, tindakan diambil kepada pemilik premis di bawah Akta 133 Perancang Bandar dan Desa 1971 Peruntukan 70 (12).

“Kesemua yang ditahan diserahkan kepada Jais untuk tindakan lanjut manakala pemilik premis berdepan tindakan kompaun maksimum RM12,500,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Penyelarasan dan Operasi Jais, Zaaba Zakaria berkata, ketika serbuan dua perempuan dicekup bersama seorang lelaki bukan Islam.

“Wanita yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguat kuasa dan bakal didakwa di bawah Seksyen 29 (1) (b) kerana bersama lelaki bukan Islam.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.



Rampas mesin air RO


BUKIT BERUANG - Penggemar air reverse osmosis (RO) dinasihatkan supaya berhati-hati apabila membeli air berkenaan daripada mesin jualan yang terdapat di merata tempat.

Ini berikutan penemuan beberapa mesin air RO yang diragui kandungan airnya, selain faktor kebersihan yang tidak terjamin.

Nasihat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) itu berikutan hasil penemuan empat mesin sedemikian dalam operasi bersepadu di negeri ini, semalam.

Dalam operasi berkenaan yang turut disertai pegawai Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM), empat mesin air RO, yang setiap satunya bernilai hampir RM6,000, turut dirampas.

Ketua Penguat kuasa KPDNKK Melaka, Abd Hafidz A Rahim berkata, mesin berkenaan dirampas kerana ketika pemeriksaan ia didapati tidak ditentusahkan (calibrated).

Menurutnya, kajian awal yang dijalankan menunjukkan bahawa walaupun mesin berkenaan mengenakan bayaran 20 sen untuk satu liter air, namun air diperoleh cuma sekitar 900 milimeter.

“Selain itu, walaupun mesin ini dikatakan sebagai mesin air RO, namun kandungan airnya meragukan,” katanya.



Masalah sosial perlukan rawatan


SIKAMAT – Masalah sosial dalam kalangan remaja masa kini memerlukan rawatan melalui langkah pencegahan awal dengan memastikan mereka diberi didikan agama sebaik mungkin.

Exco Kebajikan Sosial dan Komunikasi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan, Muhamad Azli Harun berkata, golongan remaja memerlukan pengisian rohani dan jasmani berteraskan ajaran Islam sebenar.

Menurutnya, walaupun ibu bapa zaman sekarang mementingkan pendidikan anak, namun masih ramai hanya memberi menekankan kepada aspek akademik, semata-mata berbanding pendidikan rohaniah dan sahsiah diri.

“Pentingnya ilmu agama diberi kepada remaja kerana dalam keadaan persekitaran hari ini yang mencabar, ajaran agama itu dapat dijadikan benteng dalam kehidupan.

“Melalui didikan agama sempurna dapat menjadikan generasi muda lebih berkeperibadian, sekali gus menampilkan ciri-ciri remaja yang mempunyai jatiditi melayu Islam yang sejati,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Kursus Asas Fasilitator di Restoran Sri Aden, Warisan Puteri, dekat sini.

Kursus berkenaan merupakan salah satu pengisian untuk Program Pemantapan Jiwa Rabbani anjuran ABIM dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Ustaz Nor Azamir Alias.

Sementara itu, Muhamad Azli berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan daripada mana-mana belia di negeri ini untuk menjadi fasilitator berkongsi ilmu dan pengalaman dimiliki.

“Ini kerja sukarelawan dan tidak dibayar. Tapi jasa kita diperlukan dalam usaha melahirkan generasi pembangunan modal insan cemerlang,” katanya.




Geng curi motosikal berleluasa


SKUDAI – Laluan tikus yang gelap di sekitar kawasan Pangsapuri Jasa, Taman Mutiara Rini menjadi faktor berlakunya kejadian curi motosikal sehingga membimbangkan penduduk.

Pengerusi, Kepolisan Komuniti (CP), Pangsapuri Jasa, Norizam Tan berkata, situasi kecurian motosikal yang kerap berlaku di kawasan itu membuatkan ahli CP pangsapuri berkenaan melakukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dengan lebih kerap.

“Oleh kerana di sekitar kawasan ini mempunyai banyak laluan tikus selain persekitaran yang semak membuatkan pencuri dapat melakukan kegiatan jenayah dengan menjadikan motosikal yang diletakkan di bawah setiap blok sebagai sasaran,” katanya.

Menurutnya, walaupun penduduk telah mengambil langkah keselamatan termasuk memasang kunci tambahan namun ianya tidak menjadi penghalang kepada pencuri motosikal untuk melesapkannya dalam tempoh singkat.

“Kami percaya pencuri adalah pakar melarikan motosikal dalam masa yang singkat justeru disebabkan memasang kunci tambahan tidak dapat membantu justeru ahli CP bersepakat membuat rondaan khususnya ketika tengah malam secara giliran,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan inisiatif melalukan SRS kadar kecurian motosikal di kawasan Pangsapuri berkenaan berkurangan malah pencuri tidak lagi berani untuk datang semula ke lokasi itu kerana mulai berasa terancam.

“Peranan SRS ternyata amat berkesan apabila mendapat kerjasama yang baik daripada ahli kerana baru-baru ini kami berjaya menangkap pencuri berkenaan yang cuba melarikan sebuah motosikal penduduk,” katanya.

Katanya, CP tidak mempunyai kuasa untuk menangkap penjenayah justeru selepas berjaya menangkap pencuri motosikal pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut atas kesalahan yang di- lakukan.

“Kejayaan ini adalah kerjasama daripada semua penduduk untuk memastikan Pangsapuri Jasa tidak menjadi pilihan penjenayah untuk melakukan kegiatan mereka justeru kami berharap lebih ramai belia akan turut serta menjadi ahli CP,” katanya.

Norizam dan penduduk di sini berhasrat untuk menjadikan pangsapuri berkenaan bebas daripada kegiatan jenayah khususnya curi motosikal yang kerap berlaku sebelum ini termasuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam usaha membanteras jenayah.

No comments:

Post a Comment