Monday, April 18, 2011

DAKWA JANGAN ACAH2 AJE....JANGAN TAKUT DAN PILIH BULU....JANGAN CAKAP AJE...DAH BANYAK LEPAS....JALANKAN HUKUM ALLAH...SESUAI SEBAGAI HAMBA ALLAH...BUKAN HAMBA PENJAJAH....BUKAN PENJAJAH HIDUPKAN KITA DAN BERI REZEKI....TAPI ALLAH....INGATKAN LA SIKIT...FIKIRLAH SIKIT.....

Kaji semula hadkan nasi lemak



PERATURAN mengehadkan jualan nasi lemak di kantin sekolah dikatakan tidak akan membantu menyelesaikan masalah obesiti di kalangan pelajar. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR - Beberapa pertubuhan meminta kerajaan mengkaji semula arahan mengehadkan penjualan nasi lemak di kantin sekolah kerana langkah itu kurang sesuai dan tidak menyelesaikan masalah.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, sekatan penjualan nasi lemak kepada sekali seminggu tidak akan menangani isu obesiti di kalangan pelajar jika kesedaran mengenai pemakanan berkhasiat di kalangan ibu bapa masih rendah.
Sebaliknya, kata beliau, ibu bapa sendiri harus memainkan peranan untuk menggalakkan anak-anak mereka melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta menekankan pemakanan seimbang.
"Tidak wajar penjualan nasi lemak dihadkan kerana ia makanan yang sinonim dengan masyarakat negara ini selain murah dan mengenyangkan," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan semalam yang menguatkuasakan serta-merta larangan penjualan makanan dan minuman tidak berkhasiat khususnya yang mengandungi gula serta garam berlebihan di kantin sekolah bagi membendung masalah pelajar mengalami obesiti.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengumumkan perkara itu juga mahu pengusaha kantin hanya menjual nasi lemak sehari dalam seminggu.


5 pencuri kereta mewah tumpas



KERETA curi yang ditemui semula daripada lima penjenayah yang ditahan di sekitar Petaling Jaya baru-baru ini.



PETALING JAYA – Sekumpulan penyamun kereta mewah yang menjadikan hotel lima bintang sebagai stor tempat menyembunyikan kenderaan curi dan tempat persembunyian tumpas apabila mereka diberkas di sini baru-baru ini.
Kegiatan kumpulan lelaki berumur 24 hingga 42 tahun itu terbongkar selepas polis menahan seorang lelaki ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Damansara Jaya di sini pada pukul 2.35 pagi pada 10 April lalu.
Suspek yang berumur 27 tahun itu dipercayai mahu mencuri kunci sebuah kereta mewah yang dimiliki penghuni di dalam rumah yang cuba dipecah masuk itu.
Ekoran penahanan lelaki itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis kemudian berjaya menahan empat lagi suspek di sebuah hotel lima bintang di Seksyen 16 di sini pada pukul 10.30 malam pada 12 April lalu.
“Suspek itu dipercayai telah menginap di hotel itu sejak beberapa hari lalu sebagai lokasi persembunyian mereka sebelum merancang mencuri atau menjual kereta-kereta yang dicuri.
“Kesemua suspek sebelum ini pernah ditahan kerana pelbagai kes jenayah. Ada di antara suspek terlibat dalam tiga hingga empat kes jenayah termasuk memiliki dadah, pecah rumah dan mencuri kenderaan,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini semalam.


Trio 'Datuk T' mungkin didakwa



ABDUL RAHIM (kanan) bersama Shazryl Eskay ketika mengadakan sidang akhbar mengenai video seks di sebuah hotel di ibu negara pada 23 Mac lalu.



KUALA LUMPUR - Trio 'Datuk T' mungkin dikenakan tindakan kerana kesalahan mengedar dan menayang video seks melibatkan pelaku yang dikatakan mirip pemimpin sebuah parti pembangkang.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia berikutan kes itu disiasat mengikut Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan iaitu mengedar bahan lucah yang menjurus kepada penglibatan mereka.
Beliau berkata, kertas siasatan kes itu dijangka dihantar ke pejabat Peguam Negara, Khamis ini.
"Ada kemungkinan mereka akan didakwa kerana ia menjurus kepada pihak yang menayangkan video seks.
"Namun, ia bergantung kepada keputusan pejabat Peguam Negara," katanya ketika dihubungi Bernama.
Tambahnya, masih terdapat dua lagi perkara yang perlu dikemaskini dan dilengkapkan dalam kertas siasatan itu.
"Kalau boleh bagi pihak kita seawalnya hantar (kertas siasatan) pada Khamis ini...sementara itu kami tunggu maklum balas daripada pihak yang menyediakan dua perkara yang tidak boleh didedahkan dahulu," katanya.
Ditanya sama ada polis mempunyai kuasa untuk menahan pelaku dalam video seks itu, Acryl berkata:
"Polis tiada peruntukan undang-undang untuk menahan mereka. Kita kena rujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk sebarang penelitian dan semakan. Mungkin mereka ada peruntukan undang-undang terhadap si pelaku."
Pada 21 Mac lalu, video seks itu dipertontonkan kepada beberapa wartawan oleh sekumpulan lelaki dikenali sebagai 'Datuk T' di Hotel Carcosa Seri Negara.


Trauma kenang anak meninggal


MULIATI menunjukkan lokasi Norjaniaty yang ditemui mati di dalam bilik di tingkat bawah banglo di Kampung Keladi, Kulim kelmarin.


KULIM - Seorang warga emas tidak dapat melupakan detik-detik cemas bagaimana dia dan anak bongsunya dipukul oleh tiga perompak tanpa rasa belas hingga mengakibatkan permata hatinya itu menemui ajal dalam kejadian di sebuah banglo di Kampung Keladi di sini kelmarin.
Fatimah Abu Bakar, 72, memberitahu, walaupun dia tidak menyaksikan bagaimana anaknya, Norjaniaty Mohamad Isa, 40, dibelasah sampai mati kerana menutup matanya ketika dipukul, dia masih dapat merasakan azab yang ditanggung anaknya itu ketika dibelasah.
Katanya, dia hanya mampu menutup mata sambil menahan sakit apabila dibelasah di kepala dengan senjata keras oleh perompak terbabit.
"Sebelum kejadian, kami tidur berdua dalam bilik di tingkat bawah kerana dia baru sahaja pulang untuk menziarahi mak cik. Tambahan pula, mak cik sedang uzur dan dia kata dia rindu sejak berpindah ke Kuala Lumpur dua minggu lalu.
"Ketika sedang nyenyak tidur, mak cik terkejut apabila leher dicekik dan kepala dihentak beberapa kali oleh penyamun tersebut. Ketika itu, mak cik hanya menutup mata kerana takut dan bila mak cik buka mata, mak cik lihat Norjaniaty sudah terlentang atas lantai manakala perompak itu telah melarikan diri," ceritanya ketika ditemui semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan, Norjaniaty ditemui mati selepas dipukul dengan objek keras dan tumpul di kepala selain dilemaskan dengan bantal yang ditekup di mukanya.


Wanita maut terminum cuka getah


KEADAAN Lijah semasa dirawat akibat terminum cuka getah sebelum meninggal dunia di HRPZ II di Kota Bharu semalam.


PASIR MAS – Seorang wanita yang dirawat di hospital sejak seminggu lalu akibat terminum cuka getah yang disangkanya air oren akhirnya meninggal dunia semalam.
Mangsa, Lijah Mamat, 88, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 6.10 pagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Menurut anak lelaki mangsa, Abdullah Che Wook, 63, arwah dimasukkan ke hospital itu akibat terminum cuka getah pada Selasa lalu.
Menceritakan kejadian tersebut, katanya, mangsa ketika itu berada di rumah bersama emak saudaranya, Siti Hawa Ibrahim, 77.
“Sambil berbual-bual, emak saya kemudian menuang air yang disangkanya air oren ke dalam gelas lalu meminumnya.
“Bagaimanapun, dia mengadu rasa air itu sangat pelik. Emak saudara saya kemudian merasa minuman itu, tetapi meludahnya semula kerana ia adalah cuka getah,” ceritanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat sini semalam.


Penduduk halang feri berlabuh



SEBAHAGIAN penduduk yang mengadakan bantahan kenaikan harga tiket feri menghalang sebuah feri daripada berlabuh di jeti Pulau Redang semalam.



KUALA TERENGGANU - Kira-kira 100 penduduk Pulau Redang dekat sini mengadakan bantahan secara aman dengan menghalang feri daripada berlabuh di jeti pulau itu.
Bantahan selama sejam bermula pukul 11.30 pagi semalam adalah sebagai protes ekoran kenaikan harga tiket yang dikenakan pihak pengurusan feri kepada penduduk pulau.
Ketika mengadakan bantahan itu, penduduk berkumpul di sepanjang jeti untuk menghalang feri daripada berlabuh dan menurunkan penumpang di jeti berkenaan.
Ekoran itu, feri tersebut terpaksa berhenti kira-kira 50 meter dari jeti sebelum semua penumpang dibawa ke darat menggunakan bot.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Pulau Redang, Ladin Awang berkata, bantahan yang dibuat itu adalah susulan rasa tidak puas hati penduduk pulau itu terhadap kenaikan harga tiket feri.
Katanya, harga tiket asal bagi perjalanan sehala dari Kuala Terengganu ke Pulau Redang dan sebaliknya adalah RM20 bagi dewasa tetapi telah dinaikkan kepada RM25 baru-baru ini.
"Mengikut memo yang dikeluarkan, kenaikan harga tiket sebanyak RM5 ini berkuat kuasa 8 Mac 2011 dan penduduk menganggap kenaikan ini sebagai tidak berasas," katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Tiga sahabat dibelasah 20 lelaki


NOR ditemani suaminya menunjukkan laporan polis berhubung kejadian dua anak mereka dipukul 20 lelaki di Nilai 3 semalam.


NILAI - Tiga sahabat termasuk dua beradik menempuh detik-detik menakutkan apabila dibelasah kira-kira 20 lelaki yang bersenjatakan pedang samurai dan kayu ketika sedang membeli burger di Pasar Borong Nilai 3 di sini Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, kesemua mangsa mengalami kecederaan di kepala dan anggota badan sehingga terpaksa mendapat rawatan di hospital.
Ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Nor, 43, berkata, ketika kejadian, dua anaknya yang berusia 22 dan 19 tahun bersama seorang rakan berusia 19 tahun itu pergi ke pasar berkenaan untuk membeli burger.
Katanya, ketika sedang menunggu pesanan, sekumpulan 20 lelaki telah memanggil nama salah seorang anaknya itu.
"Sebaik panggilan disahut, kumpulan 20 lelaki berkenaan terus mengepung dan membelasah mereka tanpa sempat menerangkan puncanya.
"Lebih menakutkan lagi, beberapa lelaki berkenaan turut membawa kayu dan sebilah pedang samurai untuk membelasah mereka," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Jualan kereta Mac cecah 63,265 unit



PENINGKATAN angka jualan kereta pada bulan Mac turut dipacu oleh kebimbangan kekurangan bekalan dan peningkatan harga akibat bencana di Jepun.



KUALA LUMPUR - Jualan kenderaan pada bulan Mac meningkat kepada paras tertinggi iaitu 63,265 unit, pertambahan 22,878 unit atau 56.6 peratus daripada jualan bulan lalu dan 12.7 peratus lebih tinggi daripada tempoh yang sama tahun sebelum.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, volum jualan bagi tiga bulan pertama tahun ini naik 7.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
"Hari bekerja yang panjang pada bulan Mac dan penghantaran serta invois segera oleh syarikat-syarikat dengan tahun kewangan berakhir 31 Mac menyebabkan pertumbuhan jualan yang lebih tinggi.
"Kebimbangan kemungkinan kekurangan bekalan dan peningkatan harga kenderaan akibat bencana di Jepun juga mungkin sebab pembelian awal pelanggan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Ia menambah, pengeluaran kenderaan pada bulan Mac pula naik kepada 53,124 unit daripada 51,579 unit pada bulan yang sama 2010.
"Pengeluaran kenderaan penumpang pada Mac naik kepada 49,118 unit daripada 47,729 unit berbanding tempoh yang sama 2010, sementara pengeluaran kenderaan komersial meningkat kepada 4,006 unit daripada 3,850 unit," katanya.

No comments:

Post a Comment