Niat suka-suka
Laporan dan foto MOHD IDRIS SULAIMAN
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
SPONTAN... Cikgu Shida menjiwai watak.
Terbaru, lakonan nyanyian miming bersama solekan ekspresi muka melalui lagu ‘Kalau Berpacaran’ nyanyian Suhaimi Mior Hassan dan Ana Raffali berjaya membuatkan nama Cikgu Syida semakin diminati di kalangan pelayar Internet.
Cikgu Syida atau nama sebenarnya Roshida Abd Aziz, 30-an, berkata minatnya bermula dengan niat suka-suka berbekalkan kamera dan komputer yang dibeli 10 tahun lalu.
“Semuanya bermula apabila timbul hasrat membuat miming lagu ‘Selamat Hari Raya’ dendangan Rahimah Rahim pada Ramadan tahun lalu sebelum klip video itu dimuat turun melalui laman web Youtube.
“Namun percubaan itu dibalas dengan kata-kata cerca dan hinaan. Lebih teruk, ada yang menuduh saya gila dan sakit mental kerana menghasilkan klip video itu,” kata guru Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Padang di Bota Kiri, di sini, ketika ditemui Metro Ahad.
Menurutnya, kata-kata kesat terbabit bukan hanya dilontarkan oleh kenalan dan rakan, malah turut dikirim puluhan pelayar di Internet.
“Namun semua itu tidak melemahkan semangat saya untuk memberi dan mencari hiburan tersendiri di samping berkongsi pengalaman bersama rakan di Internet,” kata guru Bahasa Inggeris itu.
Menceritakan pengalaman klip video pertamanya, dia mendakwa pernah merah muka dan menahan malu apabila rakaman itu dimuat turun daripada Internet dan ditayangkan ketika majlis alumni sekolah, hari raya lalu.
“Pada masa itu saya fikir nak sorok muka bawah meja kerana terlalu malu dan bimbang dikutuk rakan.
“Namun ia bertukar gembira apabila rakan memberi tepukan gemuruh dan kata-kata perangsang untuk meneruskan hobi itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Parit, di sini.
Anak kedua daripada lima beradik itu juga berkata, setakat ini keluarganya tidak kisah dengan minatnya kerana sudah ‘masak’ dan faham perangai gila-gilanya.
“Rakan sejawat turut faham minat dan kecenderungan saya yang gemar mencuba dan mencari kelainan. Saya anggap ia satu hiburan bagi membuat orang tertarik dan tersenyum,” katanya.
Dia yang juga anak perempuan tunggal pasangan pesara tentera, Abd Aziz Shafie, 73, dan Latifah Ramli, 63, berkata membesar dalam lingkungan adik beradik lelaki menyebabkan jiwanya lebih kental dan mampu menyerap tekanan.
“Saya seronok melihat diri sendiri beraksi dengan pelbagai gaya muka, ditambah dengan solekan dan alatan tambahan seperti songkok dan baju Melayu yang dipinjam daripada adik-beradik lain.
“Niat saya bukan untuk menarik publisiti murahan tapi lebih kepada memberi hiburan kepada orang ramai melalui kelainan tersendiri,” katanya.
Ternyata percubaan luar biasa itu melonjakkan namanya sebagai ‘artis’ baru paling terkenal di Internet dan berjaya menarik pengunjung dalam dan luar negara.
“Yang saya tahu, sejuta pelayar Internet melihat klip video saya yang mula dimuat turun empat bulan lalu.
“Malah, klip video miming saya itu turut menarik hampir 10,000 ahli daripada pelbagai bangsa dan keturunan termasuk dari luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia melalui ‘Fan Page’ (laman peminat) yang dibina dua bulan lalu,” katanya.
Kejayaannya turut mendapat pengiktirafan apabila penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza menjemputnya sebagai tetamu khas dalam program bersama syarikat penyiaran Astro baru-baru ini.
Malah, rezekinya juga melimpah ruah apabila ditawarkan berlakon dalam sebuah telemovie selain menjadi pelakon iklan.
“Saya juga ditawarkan menulis di dalam sebuah majalah humor. Walaupun begitu, kerjaya pendidik adalah keutamaan dan sebati dalam jiwa saya.
“Walau dianggap popular sekalipun, saya tetap akan ke sekolah dan menabur bakti sebagai guru kepada anak bangsa,” katanya.
Adik terkejut
Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
anbia@hmetro.com.my
anbia@hmetro.com.my
Menurutnya, dia dan keluarga langsung tidak tahu ‘aktiviti sampingan’ Roshida sehingga diberitahu rakan baiknya.
“Pertama kali melihat aksinya menyanyi lagu miming di laman web Youtube, saya terpegun dan terkejut. Saya tidak sangka dia sungguh berani.
“Malah, aksinya yang dilakukan di bilik tidur itu turut tidak disedari ibu bapa dan adik-beradik lain,” katanya.
Menurutnya, walaupun mulanya berasa aneh, mereka sekeluarga menganggap apa dilakukan Roshida tidak lebih daripada aktiviti hiburan dan keseronokan.
Dia berkata, ayah dan ibunya hanya tersenyum dan ketawa bila ditunjukkan aksi menggelikan hati kakaknya.
“Yang saya lihat, karakter kakak saya berbeza berbanding di dalam klip video terbabit. Dia sebenarnya pendiam dan banyak menghabiskan masa di depan komputer.
“Dia juga kreatif kerana pandai melukis, aktif dalam kegiatan seni tarian selain serius dalam mendidik anak murid,” katanya.
“Mungkin pada mulanya ada yang memandang sinis hobinya, namun lama kelamaan mereka mula menerima kelainan yang cuba ditonjolkan kakak saya,” katanya.
Popular cara yang sama
Tidak sampai sebulan, hampir dua juta orang mengunjungi video klip itu, terutama selepas Briptu berduet dengan Luna Maya menyanyikan lagu sama dalam satu program hiburan televisyen di negara itu.
Seperti Cikgu Syida, populariti anggota polis itu juga terus meningkat seperti selebriti sehingga ada yang tanpa segan silu mahu bergambar bersama dan meminta tanda tangan Briptu.
“Kamu lebih baik jadi artis saja,” kata Luna kepada Briptu dalam program hiburan itu.
Namun, bukan Briptu saja yang menjadi terkenal dengan cara berkenaan.
Tahun lalu, Sinta dan Jojo juga berjaya mencuri tumpuan apabila melakukan aksi miming untuk lagu Keong Racun.
Video klip dua gadis manis ini berjaya menarik tumpuan lebih enam juta pengunjung Youtube sejak ia dimuat turun pada Jun tahun lalu.
No comments:
Post a Comment