Imigresen bongkar slip pendaftaran palsu
JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Johor berjaya membongkar kegiatan sindiket yang menawarkan slip pendaftaran pemutihan palsu kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak mendaftar program 6P dalam satu serbuan di penempatan setinggan di Kampung Pertanian, Masai di sini kelmarin.
Dalam serbuan pukul 2.30 pagi itu, seramai 100 warga asing diperiksa dan tiga lelaki Indonesia daripada 11 warga asing yang ditahan didapati memiliki slip palsu terbabit.
Pemeriksaan lanjut mendapati sindiket terbabit mengenakan bayaran sebanyak RM500 kepada PATI yang ingin mendapatkan slip itu.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Mohamad Nasir Abas berkata, lapan lagi warga Indonesia termasuk tiga wanita dan seorang lelaki warga Nepal turut ditahan kerana tidak memiliki permit dan dokumen perjalanan yang sah.
Razis hidup dalam buaian
SIK – Dalam usianya yang sudah menginjak 19 tahun, Mohd. Razis Ilias dari Kampung Kenangan, Jeneri di sini mungkin sedang menuntut di sebuah universiti atau sudah bekerja untuk menyara kehidupan keluarga.
Namun, disebabkan penyakit saraf yang dihadapinya sejak bayi, anak bongsu kepada pasangan suami isteri penoreh getah itu hanya mampu terbaring lesu di dalam buaian seperti seorang bayi.
Mohd. Razis dikatakan mengalami sawan yang menyebabkan kekejangan saraf ketika berusia tiga bulan selepas diserang demam panas.
Lebih menyedihkan apabila susuk tubuhnya seperti kanak-kanak berusia lima tahun dengan kedua-dua belah kaki dan tangannya semakin membengkok akibat kekejangan.
Bapanya, Ilias Saad, 52, berkata, Mohd. Razis gemar menghabiskan masanya di dalam buaian kerana sekiranya diletakkan di atas tilam, dia akan merengek kerana kesakitan.
“Mungkin disebabkan kaki dan tangannya bengkok, dia tidak dapat berbaring dengan betul menyebabkannya berasa sakit," katanya di sini semalam.
Maut sewaktu tonton bola
YAN - Seorang peminat bola sepak meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dia dan rakan-rakan menonton perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-26 yang cukup dramatik antara Malaysia dan Indonesia di sebuah restoran di sini malam kelmarin.
Ahmad Fauzi Ismail, 42, pengsan di restoran Pak Mid di pekan Guar Chempedak di sini kira-kira pukul 10.50 malam sebelum dikejarkan ke Hospital Yan kira-kira 10 minit kemudian.
Dia disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital tersebut.
Seorang saksi kejadian yang merupakan pembantu kedai makan, Hasli Ishak, 29, memberitahu, Ahmad Fauzi adalah pelanggan tetap kedai dan ketika kejadian dia sedang menikmati nasi goreng sambil menonton perlawanan bola sepak.
"Sebelum dia pengsan, saya nampak dia lemah dan menyuap makanan masuk ke mulutnya dengan perlahan sebelum dia rebah di atas kerusi," katanya.
Ops Tiong tahan Awang Hitam
KUALA LUMPUR – Pergerakan aktif dan licik Awang Hitam yang menjadikan negara ini sebagai pusat kegiatan penipuan terutamanya melalui Internet digempur polis menyebabkan 76 orang, kebanyakannya warga Afrika, ditahan dalam Ops Tiong di sini kelmarin.
Dalam operasi besar-besaran selama enam jam bermula pada pukul 11.30 malam itu, sebahagian daripada warga asing yang ditahan itu didapati terlibat dalam jenayah seperti penipuan Internet, black money dan penghantaran bungkusan.
Ops Tiong melibatkan tiga kawasan iaitu di Sentul, Kepong dan Ampang yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa dijalankan selepas risikan selama hampir tiga bulan sejak Ogos lalu.
Orang gemuk ramai hidap diabetes
KUALA LUMPUR - Masih ramai penduduk di negara ini tidak menyedari berat badan berlebihan menyumbang kepada penyakit diabetes atau kencing manis.Hasil soal selidik yang dijalankan oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sepanjang September dan Oktober lalu terhadap 100 pesakit diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2 yang sedang dirawat di hospital itu mendapati 62 peratus pesakit yang mengalami obesiti disahkan menghidap diabetes.
Ketua Unit Diabetes dan Endokrinologi PPUKM, Prof. Dr. Nor Azmi Kamaruddin berkata, perkaitan antara obesiti dan diabetes perlu ditonjolkan secara lebih agresif bagi menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup aktif dan pemakanan seimbang.
Perut jururawat terburai digilis treler
IPOH – Seorang suami tidak dapat menahan kesedihan apabila isterinya yang membonceng motosikal yang ditungganginya untuk dihantar bekerja di sebuah klinik di sini maut digilis sebuah treler di Jalan Raja Musa Aziz di sini semalam.Dalam tragedi menyayat hati pada pukul 8.50 pagi itu, Liew Suet Foong, 50, mati dalam keadaan mengerikan dengan sebahagian perut sebelah kiri badannya terburai.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, semasa kejadian, mangsa yang membonceng motosikal suaminya, Cheow Seng Yee, 62, dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah klinik swasta di Jalan Raja Ekram di sini dari rumah mereka di Silibin di sini.
37 kampung diancam hakisan
BALING - Sebanyak 37 kampung di sekitar daerah ini dikenal pasti berisiko mengalami hakisan sungai dan tanah runtuh dan memerlukan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk menguatkan struktur tanah di situ.
Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Lahar, Bukit Sebelah, Bendang Sera, Sungai Batu, Siput Jalan Jenalik, Weng Dalam dan Dusun Raja.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bayu, Azmi Che Hussin berkata, peruntukan itu perlu disalurkan dengan segera kerana kesan hakisan tanah dan tanah runtuh sudah mula berlaku di beberapa tempat.
Katanya, salah satu kawasan yang mengalami kejadian tanah runtuh ialah di Kampung Batu Tujuh Rambong di sini yang menyebabkan titi sungai terputus sejak 17 November lalu.
"Hakisan tanah di tebing sungai ini boleh mengancam nyawa penduduk di sini dan tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan tanah terus terhakis," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat kawasan tanah runtuh di Kampung Batu Tujuh Rambong di sini semalam.
Bersalah pinda kertas siasatan
SHAH ALAM - Seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah atas tuduhan meminda minit kertas arahan siasatan terhadap tiga suspek kes dadah, dua tahun lalu.Md. Azar Irwan Mohd. Ariffin, 32, dijatuhi hukuman itu selepas Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Tertuduh yang hadir ditemani ibu bapanya dan rakan-rakan, membayar denda.
Dalam penghakimannya, Wan Mohd. Norisham berkata, walaupun kesalahan itu serius namun selepas meneliti hujahan yang dikemukakan pihak pendakwa dan peguam bela, beliau berpendapat sebaliknya.
"Walaupun hukuman tiga tahun penjara atau denda boleh dikenakan namun, pertimbangan teliti sudah dibuat selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak," katanya.
Melabur untuk kubur tersayang
KY SON, Vietnam - Kawasan perkuburan Lac Hong Vien di sini menjual tempahan lot kubur dan perkhidmatan eksklusif untuk si mati.
Kawasan perkuburan seluas 98 hektar itu terletak 50 kilometer ke barat Hanoi di wilayah Hoa Binh.
Setiap satu meter persegi tanah perkuburan itu dijual pada harga AS$400 (RM1,271) manakala sebuah keluarga membelanjakan AS$71,500 (RM227,271) untuk plot kubur seluas 200 meter persegi.
Perkhidmatan menghantar pelbagai hadiah untuk si mati seperti bunga, mata wang tiruan, ayam yang direbus dan minuman keras yang mahal juga disediakan.
Para kakitangan kawasan perkuburan itu akan membawa barang-barang itu ke kubur yang diminta oleh para pelanggan pekerja-pekerja itu turut menghantar rakaman video dan gambar hadiah tersebut menerusi e-mel kepada keluarga si mati .
Tempahan hadiah itu boleh dibuat menerusi online.
Seorang akauntan, Bui Mai Phuong, 53, berkata, dia menimbang untuk melabur sebanyak AS$24,000 (RM76,257) untuk kawasan perkuburan seluas 30 meter persegi.
"Kami perlu mengambil berat mengenai roh keluarga kami," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment