Monday, November 21, 2011

SEX PUNCA MASALAH SOSIAL..LAKSANAKAN HUDUD..INI UBAT YANG DIBERI OLEH ALLAH....YANG MENOLAK YANG YANG TAK MENG ESA KAN ALLAH....KAYA DAN JAWATAN BESAR ITU TAK MESTI...TAK MENIPU DAN RASUAH...BERKHALWAT SERTA BERZINA...KERANA MEREKA BANYAK PELUANG DAN KUASA...TAKWA SAJA YANG MENYELAMATKAN AKHLAK MANUSIA

Jangan pendam ancaman seksual



FATIMAH (kanan) menerangkan fungsi Klinik Sosial kepada Ganesan selepas perasmian klinik berkenaan di Petaling Jaya kalmarin.



PETALING JAYA - Gadis yang menjadi mangsa ancaman seksual dinasihatkan jangan sesekali merahsiakan perkara yang berlaku bagi mengelakkan berlaku tekanan perasaan dan menghidap masalah sakit jiwa.
Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, sebaliknya mereka boleh meluahkan segala permasalahan yang dihadapi kepada kaunselor.
"Remaja yang diancam dengan jenayah seks amat memerlukan sokongan moral dan bimbingan kaunseling.
"Mereka tidak harus berterusan merahsiakan apa yang berlaku kerana ia akan mengakibatkan tekanan lebih berat jika terus dipendam," katanya selepas ditemui selepas majlis perasmian Klinik Sosial yang pertama di negara ini di sini kelmarin.
Perasmian dilakukan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional, L. Ganesan.
Klinik itu terletak di Blok 10, Flat Desa Mentari PJS 2 di sini ditubuhkan pada November 2009 atas inisiatif Fatimah dan rakan-rakannya di Majlis Profesor Negara.
Ia bertujuan untuk menguruskan kes-kes sosial di kalangan golongan belia, warga emas dan orang kelainan upaya dan kini lebih dikenali sebagai Klinik Sosial.

Bekas pengarah makan rasuah RM15,000 dipenjara



MAHMAD FAISAAL (kiri) diiringi pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Alor Setar semalam.



Bekas pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Zon Utara dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM150,000 selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM15,000 dua tahun lepas.
Hakim Mohd Rosli Osman menjatuhkan hukuman itu selepas pembelaan Mahmad Faisaal Fadzil, 54, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan pindaan yang dihadapinya.
Bagi setiap pertuduhan, dia dihukum penjara tiga tahun namun diperintah menjalani hukuman itu secara serentak.
Bagaimanapun, hukuman penjara ditangguhkan sehingga selesai rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi denda RM150,000 diarah bayar pada hari hukuman diputuskan. Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Mahmad Faisaal didakwa meminta bagi diri sendiri wang tunai RM15,000 daripada Azmi Mohamad sebagai upah kononnya untuk menyokongnya sebagai pembekal benih berdaftar dengan lembaga itu pada 15 Jun 2009.
Selain itu, upah tersebut juga kononnya sebagai dorongan melantik Azmi untuk membekalkan benih nanas melalui Pesanan Pembekalan Benih Nanas pada tarikh 9 Jun 2009 bernilai RM18,850 dan 22 Februari 2009 bernilai RM33,350 serta RM34,437.50.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 3.30 petang 21 Julai 2009.
Pertuduhan pindaan kedua pula, tertuduh didakwa memperoleh wang tunai RM15,000 daripada individu sama bagi tujuan dan dorongan serupa di CIMB Bank di 1583, Bangunan Tunku, Jalan Tunku Ibrahim di sini kira-kira pukul 12.25 tengah hari 22 Julai 2009.

Ibu tunggal nafi kutip duit ubat anak



SIEW FAN (kiri) berkata sesuatu kepada pemberita sambil ditemani anaknya (dua dari kiri) dan Lau (dua dari kanan) di Kuala Lumpur baru-baru ini.



KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal menafikan dia pernah memungut derma secara terbuka daripada orang ramai untuk tujuan membiayai kos rawatan anak dan perbelanjaan hariannya selepas mendapati ada pihak yang mempergunakan namanya untuk tujuan tersebut.
Lee Siew Fan, 43, mengakui pernah meminta bantuan untuk menampung perbelanjaan harian dan kos rawatan anaknya, Lee Zheng Wei, 15, yang menghidap penyakit cushing syndrome melalui siaran berita dalam sebuah akhbar tetapi menafikan dia meminta derma daripada orang awam secara terbuka.
"Saya diberitahu ada pihak menggunakan gambar saya bersama anak menagih simpati daripada orang ramai.
"Ingin saya jelaskan di sini bahawa selain daripada meminta bantuan melalui siaran akhbar, saya tidak pernah atau meminta pihak ketiga untuk memungut derma bagi pihak saya," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini baru-baru ini.
Siew Fan yang bekerja sebagai pencuci kehilangan suami sejak 14 tahun lalu dan kini tinggal bersama anaknya di sebuah rumah kos rendah di Cheras.


Salim Parlan mengaku berkhalwat

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan dan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan semalam mengaku bersalah kerana berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini, April lalu.
Pengakuan itu dibuat Salim, 51, dan Nur Diayana, 30, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah negeri, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya sebaik sahaja pertuduhan dibacakan semula terhadap mereka.
Ketika dihadapkan ke mahkamah sama pada 19 April lalu, kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Salim yang memakai kemeja putih dan berseluar hitam dilihat gelisah manakala Nur Diayana yang memakai jubah hijau menangis teresak-esak selepas membuat pengakuan tersebut di kandang tertuduh.
Nik Bukhari Hashimy bagaimanapun menetapkan 19 Disember depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka berdua yang tidak diwakili peguam.
Salim dan Nur Diayana yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 5 pagi pada 16 April lalu di bilik bernombor 224 sebuah hotel di Batu Feringghi.
Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu didakwa mengikut Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana pula di bawah Seksyen 27(b) enakmen sama.
Jika sabit kesalahan, setiap tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Perbuatan kejam berbalas

IPOH - Perbuatan kejam seorang peniaga kasut yang memukul kepala seorang warga emas dengan besi pengunci stereng hingga menyebabkan kematian pada malam Krismas dua tahun lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Loh Yoon Fatt, 40, dijatuhi hukuman itu selepas pesuruhjaya Kehakiman Teo Say Eng mendapatinya bersalah menyebabkan kematian Lam Siew Keong, 60, di tempat letak kereta Restoran Overseas, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada pukul 7 malam 25 Disember 2009.
Say Eng dalam keputusannya berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira fakta dan keterangan 13 saksi pendakwaan yang tertuduh sengaja memukul kepala mangsa menggunakan benda itu dengan sekali pukulan.
"Pihak pembelaan gagal membuktikan bahawa tertuduh memukul mangsa dalam keadaan provokasi selain tidak berupaya membuktikan punca kematian adalah disebabkan dua pembedahan di kepala.
"Ini menunjukkan tertuduh sengaja memukul mangsa sehingga menyebabkan kematian. Dengan itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Dataran Tahrir kembali berdarah


SUASANA Dataran Tahrir, Kaherah malam semalam yang dipenuhi penunjuk perasaan yang cuba disuraikan oleh pasukan polis antirusuhan.



KAHERAH - Kekacauan di Mesir bertambah buruk selepas sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh setakat semalam semasa pasukan keselamatan cuba menyuraikan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini.
Perkembangan itu mencetuskan kesangsian berhubung pilihan raya pertama Mesir yang bakal diadakan selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.
Polis dan tentera menggunakan belantan, gas pemedih mata dan peluru penabur untuk mengosongkan dataran berkenaan yang menjadi lokasi perhimpunan ribuan penunjuk perasaan menuntut junta tentera Mesir mengembalikan kuasa kepada pemerintahan awam.
Kekacauan kelmarin menyusul selepas beribu-ribu orang berhimpun di dataran berkenaan pada Jumaat lalu.
"Seramai 22 orang maut dalam keganasan di Dataran Tahrir dan beberapa wilayah lain," kata seorang pegawai Kementerian Kesihatan Mesir yang dipetik oleh agensi berita MENA.
Kementerian sama turut memberitahu, lebih 324 orang cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan. Terdahulu, ketua hospital ldi Dataran Tahrir, Dr. Mohammed Fatuh mengesahkan kepada agensi berita AFP bahawa tiga lagi mayat dibawa masuk dengan kesan peluru hidup pada badan mereka.
Pasukan perubatan sebelum ini melaporkan empat kematian, seorang maut ditembak. Sementara tiga yang lain sesak nafas akibat terhidu asap gas pemedih mata.
Cubaan polis dan tentera untuk menawan dataran itu ditentang hebat oleh penunjuk perasaan yang kembali menawan lokasi berkenaan kelmarin.


SEKUMPULAN penunjuk perasaan membantu seorang wartawan yang cedera, Maher Malak di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.



Setakat semalam, kekacauan di Dataran Tahrir masih berlarutan. Dataran itu merupakan simbol kepada kebangkitan rakyat yang memaksa Mubarak meletak jawatan pada Februari lalu.
Seorang wartawan AFP memberitahu kelmarin, dia melihat beberapa penunjuk perasaan membaling batu dan bom petrol ke arah kereta perisai tentera dan anggota polis anti rusuhan.
Menurutnya, polis membalas dengan menembak peluru getah. Apabila sebahagian penunjuk perasaan mula melarikan diri, katanya, sebahagian lain menjerit "Bertahan! Bertahan!" dan "Kami tidak akan berundur!"
Sementara itu, agensi berita Mena melaporkan, satu perarakan pengebumian seorang mangsa kekerasan polis di Iskandariah bertukar menjadi pertempuran selepas pihak berkuasa menembak gas pemedih mata ke arah orang ramai yang menyertai perarakan tersebut.
Di bandar terusan Suez pula, pasukan tentera menembak peluru hidup untuk menghalang kumpulan penunjuk perasaan daripada menyerbu sebuah balai polis.
Bantahan turut merebak di dua buah bandar raya di tengah Mesir iaitu Qena dan Assiut, kata seorang pegawai keselamatan. - AFP

Lelaki musnahkan kereta dengan tangan kosong



AKSI seorang lelaki memusnahkan sebuah kereta dengan menggunakan tangan kosong.



LONDON - Operasi meleraikan sebuah kereta biasanya dilakukan menggunakan jentera berat. Tetapi seorang pengamal seni mempertahankan diri berbuat demikian dengan menggunakan tangan kosong, lapor akhbar Mail Online semalam.
Lelaki berkenaan yang memakai pakaian karate melepaskan kemarahannya dengan mengoyak sebuah kereta sedan empat pintu dalam satu klip video yang disiarkan di laman perkongsian video YouTube.
Selepas berulang kali menendang kereta tersebut, dia kemudian meleraikan kenderaan itu dengan menggunakan tangannya.
Lelaki tersebut dipercayai mendapat inspirasi melakukan aksi ganas itu daripada permainan video popular, Super Street Fighter IV.
Permainan video itu menampilkan karakter bernama Ryu meremukkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan menggunakan jurus seni mempertahankan diri dalam pusingan bonus dinamakan Car Crush. - Agensi

Sepanyol bertukar kerajaan



MARIANO RAJOY bersama isterinya, Elvira Fernandez melambai ke arah para penyokong dari balkoni ibu pejabat PP di Madrid selepas memperoleh kemenangan dalam pilihan raya umum semalam. - AFP



MADRID - Parti Popular (PP) pimpinan Mariano Rajoy menang besar dalam pilihan raya umum di Sepanyol semalam selepas para pengundi menghukum kerajaan diterajui Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE) ekoran krisis ekonomi terburuk yang melanda negara berkenaan.
Rajoy yang memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya kelmarin dijangka melakukan langkah drastik bagi menghalang Sepanyol terjerumus lebih jauh ke dalam krisis hutang yang kini mengancam keseluruhan negara Kesatuan Eropah (EU).
"Masa sukar akan tiba," kata Rajoy ketika berucap kepada para penyokongnya selepas memenangi pilihan raya tersebut.
Setakat ini, para pelabur masih menantikan usaha dan langkah terperinci yang akan dilaksanakan oleh pemimpin berusia 56 tahun itu dalam menangani beban hutang negara yang besar, sekali gus memaksa Sepanyol ke arah pelan penyelamatan ekonomi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
"Suara Sepanyol akan kembali dihormati di Brussels dan Frankfurt (dua ibu pejabat EU). Kita akan berhenti daripada menjadi beban dan akan menyumbang kepada penyelesaian krisis hutang," ujar Rajoy.
Beliau dijadual dilantik sebagai Perdana Menteri Sepanyol yang baharu dalam tempoh sebulan.
Dalam pada itu, rakyat Sepanyol meluahkan kemarahan mereka terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri José Luis Rodríguez Zapatero yang berjaya membawa Sepanyol ke arah kemakmuran ekonomi sewaktu pemerintahan beliau selama tujuh tahun sebelum krisis hutang zon euro melanda.
Dengan anggaran lima juta rakyatnya kini menganggur, Sepanyol yang memiliki kadar pengangguran tertinggi di Eropah kini berada di ambang kemelesetan ekonomi kedua dalam tempoh empat tahun.
PP ditubuhkan daripada gabungan beberapa parti berhaluan kanan sekitar tahun 1980-an, selepas Sepanyol kembali kepada amalan demokrasi ekoran kejatuhan pemerintahan diktator Francisco Franco.
Ini merupakan kemenangan terbesar PP dalam pilihan raya umum Sepanyol sejak tiga dekad lalu.
PP menguasai 186 kerusi daripada keseluruhan 350 kerusi Dewan Rendah Sepanyol selepas 99.95 peratus kertas undi dikira.
PP memperoleh 10.8 juta undi dalam pilihan raya berkenaan, manakala 6.9 juta rakyat Sepanyol memilih PSOE. - Reuters

No comments:

Post a Comment