Saturday, November 26, 2011

JANGAN LUPA KECANGGIHAN DAN KEHEBATAN SYURGA ALLAH...APA KEMEWAHAN YANG KITA KEJAR...HINGGA LUPA MENCARI BEKAL AKHIRAT...JANGAN KEMEWAHAN YANG ADA MENJADI BAHAN BAKARAN DALAM NERAKA ALLAH....INGATLAH AKAN KEMATIAN....KEMATIAN SATU KEMESTIAN...


Bukti keampuhan automotif Jepun



RAKYAT Jepun tidak pernah gagal untuk bangkit. Contoh paling klasik adalah bagaimana negara itu mampu menjadi salah sebuah kuasa ekonomi dunia, biarpun Hisroshima dan Nagasaki hampir lumat dibedil bom atom Amerika Syarikat (AS) pada Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.
Jepun juga tidak pernah sunyi daripada berdepan bencana alam. Berada dalam lingkungan Lingkaran Api Pasifik, negara matahari terbit itu sering digegar oleh gempa bumi berskala tinggi. Kemuncaknya, 11 Mac lalu bahagian timur negara berkenaan dilanda gempa bumi dan tsunami.
Impaknya meliputi segala aspek. Loji nuklear Fukushima Daiichi musnah dibadai tsunami, sekali gus mencetus krisis nuklear dan tenaga. Selaku rumah kepada banyak syarikat pengeluar kenderaan utama dunia, bencana itu nyata mengganggu rantaian bekalan alat ganti. Akibatnya, jumlah pengilangan automobil Jepun menjunam.
Bagi wartawan pemotoran seperti saya, antara persoalan yang timbul adakah Jepun akan membatalkan acara pemotoran pentingnya iaitu Tokyo Motor Show 2011 (TMS). TMS yang merupakan acara dwitahunan biasanya dilangsungkan pada bulan Oktober.
Selepas beberapa ketika berada dalam ketidaktentuan, akhirnya penganjur acara tersebut, Japan Automobile Manufacturers Association (JAMA) mengesahkan bahawa TMS 2011 akan berlangsung bermula 2 hingga 11 Disember depan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa penganjuran TMS membuktikan komitmen industri pemotoran Jepun untuk pulih. Malah, pengeluaran kenderaannya berjaya dipulihkan dalam masa yang singkat.

SEORANG model keluar daripada jentera elektrik sepenuhnya, Nissan Pivo 3.


Pengerusi JAMA, Toshiyuki Shiga menegaskan pihaknya akan menganjurkan TMS yang sudah memasuki edisi ke-42 sebagaimana dirancang. “Kami yakin TMS akan membuktikan kepada semua tentang daya pemulihan industri perkilangan automotif Jepun,” jelas Shiga.
Tokyo Big Sight
Jika sebelum ini TMS sering diadakan di dewan pusat konvensyen Makuhari Messe, Chiba, tahun 2011 menyaksikan lokasinya diubah ke Tokyo Big Sight, Ariake, Koto-ku, Tokyo, Jepun, sekali lagi selepas 24 tahun. Ruang seluas 3,265 meter persegi itu akan menempatkan 176 pempamer dari 12 buah negara dan satu rantau.
Apa yang pasti, ia jauh lebih gah berbanding TMS 2009 yang ketika itu baru merangkak untuk bangkit daripada kemelesetan ekonomi dunia.
Harus diakui juga bahawa pertumbuhan pesat automobil di pasaran besar seperti China dan India sedikit sebanyak mengalih perhatian dunia kepada pameran sama yang diadakan di Beijing, Shanghai dan New Delhi.
Justeru, TMS 2011 yang menjadi simbol kuasa teknologi Jepun perlu bertindak selaku sumber maklumat berkaitan teknologi automobil, bandar dan pengguna. Dengan hasrat menjadi pameran automotif berteknologi termaju, TMS 2011 mengangkat tema Bandar Mobiliti Pintar atau Smart Mobility City.

KENDERAAN masa depan yang comel dan mesra alam, Nissan Townpod.


Tema itu sekali gus akan mempamerkan kenderaan generasi akan datang (tahun 2040 - 2050) dan sistem-sistem sosial yang berinteraksi dengannya. Ia jua menunjukkan tentang peranan dan tanggungjawab industri automotif di sebalik kebimbangan terhadap isu tenaga serta alam sekitar di peringkat global.
Pengenalan Dunia
Jadi, apa yang boleh anda jangkakan daripada TMS 2011? Sebanyak 52 pengenalan dunia (world premiere) dan 82 penampilan pertama untuk pasaran Jepun akan mengambil tempat di sana.
Untuk tatapan anda, saya telah memilih beberapa pengeluar kenderaan utama Jepun dan apa yang mereka akan pamerkan pada TMS 2011 secara ringkas.
Honda membariskan model-model konsep yang direka untuk keseronokan dan kemudahan mobiliti. Tidak terkecuali, satu model konsep sports yang memberi petunjuk tentang arah rekabentuk model-model masa depannya.
Honda membahagikan model konsepnya kepada tiga kategori iaitu kereta yang terdiri daripada Small Sports EV Concept, AC-X dan Micro Commuter Concept. Sementara model konsep motosikal pula meliputi model Motor Compo, E-Canopy dan RC-E. bukan itu sahaja, Honda turut memperkenalkan model konsep komuter yang diberi nama Townwalker.

MODEL yang diberi nama Townwalker ini dibina untuk memudahkan golongan warga emas bergerak.


Pengeluar itu juga bakal memperkenalkan N Concept, siri kenderaan kecil yang memberi penekanan terhadap ruang. Produksi pertama model daripada siri itu ialah N BOX. Jentera-jentera lain yang turut dipamerkan ialah Accord, Insight, Jazz dan CR-Z.
Nissan Motor Co. Ltd. akan mengetengahkan kenderaan baharu, prototaip dan tiga kereta konsep. Antara model yang pasti mendapat perhatian ialah model konsep EV iaitu Pivo 3, Esflow dan Townpod. NV350 merupakan model prototaip van komersial ringan penuh gaya.
Toyota pula bakal memperkenalkan kepada dunia model konsep Fun-Vii (Fun Vehicle interactive internet), FCV-R (Fuel Cell Vehicle - Reality & Revolution) dan FT-EV III (Future Toyota - Electric Vehicle III).
Memberi fokus kepada untuk memenuhi keperluan pengguna kontemporari, Suzuki mempamerkan kereta-kereta kompaknya. Antara model yang boleh ditatap oleh pengunjung ialah Regina, Q-Concept dan Swift EV Hybrid.
Mitsubishi juga tidak ketinggalan untuk mempamerkan kemajuan teknologinya dalam menghasilkan kenderaan elektrik. Pengunjung akan dihidangkan dengan model konsep seperti Mitsubishi Concept PX-MiEV dan i-MiEV Cargo.
Inilah antara bayangan kenderaan yang akan mengisi ruang parkir kita untuk 30 tahun lagi. Teruja?



Kecanggihan teknologi Ford Escape


SUV ini dilengkapi dengan banyak ciri berteknologi tinggi.


MODEL sport utility vehicle (SUV) terbaharu Ford telah dilancarkan di Los Angeles (LA) pada 16 November lepas. Ia akan mula dijual di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pada tahun depan. Model setaranya di Eropah iaitu Ford Kuga akan dipamerkan di Geneva pada bulan Mac tahun depan dengan enjin dan ciri-ciri yang unik.
"Kami menggelar Ford Escape serba baharu sebagai Smarter Utility Vehicle kerana ia menawarkan ciri-ciri yang dimahukan oleh pelanggan masa kini. Apa lagi kalau bukan penjimatan minyak, versatil dan teknologi baharu yang menjadikan kenderaan lebih mudah dan seronok dipandu.
"Semua itu dipakejkan dalam rekaan yang kemas dan lebih moden. Ford memahami bahawa semakin ramai pelanggan yang berminat dengan kenderaan seperti Escape. Jadi kami ingin memberi mereka lebih alasan untuk membelinya," kata Naib Presiden Kumpulan, Pembangunan Produk Global Ford, Derrick Kuzak.
Selain daripada penambahan ruang kargo pada barisan tempat duduk pertama dan kedua, Escape baharu didatangkan dengan beberapa ciri utama. Antaranya, teknologi membuka pintu belakang bukan dengan tangan, tetapi dengan kaki!
Ia berfungsi menggunakan teknologi pergerakan seperti permainan video. Secara spesifiknya, mereka yang mahu membuka pintu itu hanya perlu melakukan pergerakan menendang secara lembut ke bawah bampar. Proses yang sama juga boleh digunakan untuk menutup kembali pintu.
Arahan suara
Melalui cara itu, akses ke ruang kargo kini lebih cepat dan mudah. Teknologi SYNC® dengan MyFord Touch® pula menawarkan para pelanggan untuk mengurus serta mengawal informasi melalui arahan suara. Selain mengakses menu melalui tiga kaedah sama ada stereng, skrin sentuh, butang atau tombol.
Untuk meletak kenderaan secara selari pula, Ford Escape baharu menggunakan teknologi Active Park Assist. Dengan hanya menekan butang, sistem itu akan mengesan ruang parkir selari dan mengalihkan kenderaan secara automatik ke dalam ruang tersebut. Pemandu hanya perlu duduk bersenang-lenang sambil mengawal pedal minyak dan brek.

FORD menampilkan rekaan terbaik ke dalam ruang kabin model Escape ini.


Ford Escape turut dilengkapi BLIS® (Blind Spot Information System) yang mana bunyi amaran akan dikeluarkan apabila kenderaan melalui bintik buta (blind spot). Selain itu, ciri-ciri yang saya kira tercanggih pada Escape baharu ialah Curve1 Control. Fungsinya, kenderaan akan diperlahankan secara automatik apabila apabila pemandu melalui selekoh dengan kelajuan melampau.
Sistem Torque Vectoring Control pula membantu menggerakkan kenderaan sewaktu selekoh. Sementara sistem pintar pacuan empat roda (4WD) yang baharu pula membantu pengendalian kenderaan sama ada di atas permukaan yang cantik, teruk dan melalui jalan off-road.
Di AS, Escape baharu ditawarkan dengan beberapa varian enjin yang ekonomikal dan berkuasa iaitu 2.0 liter EcoBoost dengan 273 kuasa kuda (hp) dan 1.6 liter EcoBoost (173hp). Turut ditawarkan ialah enjin besar bersaiz 2.5 liter yang telah diperbaharui tetapi cuma berkuasa 168hp.
Membantu penggunaan minyak yang ekonomikal adalah rekaan badannya yang kemas (sleek). Model baharu itu sepuluh peratus lebih aerodinamik berbanding model sedia ada.
Paling menarik, model baharu dilengkapi active grille shutter system yang akan membuka jeriji jika penyejukan ekstra diperlukan seperti dalam kesesakan trafik. Jeriji itu akan kembali ditutup sekiranya kenderaan kembali dipandu dengan lancar di atas lebuh raya. Ciri jeriji automatik tersebut adalah idea yang ringkas untuk mencapai lebih aerodinamik dan penjimatan minyak.
"Model Ford serba baharu ini membuka lembaran baharu dalam pasaran SUV. Dengan menjadi lebih bijak, SUV itu akan membantu pelanggan di serata dunia untuk mendekati teknologi dengan lebih mudah, memaksimumkan penggunaan minyak serta menikmati versatiliti yang mereka perlu dan mahukan," tambah Kuzak. - Newspress


Peugeot 508 yang premium


BERBANDING pesaing sekelasnya, Peugeot dilengkapi enjin lebih kecil yang bersesaran 1.6 liter.


DINOBAT sebagai 'Best New Car of 2011' oleh majalah Fleet World di United Kingdom (UK), model Peugeot 508 akhirnya dilancarkan ke pasaran tempatan. Pengenalan jentera dalam segmen eksekutif premium itu dikatakan sebagai antara pelancaran yang dinantikan pada tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi Nasim Sdn. Bhd., Datuk Samson Anand George berkata, kereta sedan itu merangkumi semua elemen jenama Peugeot iaitu kelas, karekter dan gaya.
Jelasnya, pasaran kenderaan berjenama Eropah dalam negara berkembang tahun ini ekoran permintaan pengguna yang mahukan jentera dinamik dan seronok dipandu. Peugeot 508 baharu nyata menepati keperluan tersebut.
Wajah 508 memaparkan hala tuju rekaan baharu Peugeot menerusi pengenalan gril terapung dengan lambang lagenda singa. Lampu hadapan pula menampilkan Bi-Xenon yang dibarisi dengan lampu DRL (Daytime Running Lights) diod pemancar cahaya (LED) bersama pencuci lampu hadapan dan pelaras ketinggian automatik.
Lampu hadapan turut dilengkapi fungsi alur pintar yang menganalisis suasana pencahayaan untuk memasang lampu tinggi daripada pancaran standard apabila diperlukan secara automatik. Ia beroperasi menerusi sebuah kamera pintar yang terletak pada belakang cermin sisi.
Jika lampu tinggi diaktifkan menerusi kamera tersebut dan kehadiran kenderaan daripada arah bertentangan dikesan, pencahayaan akan kembali kepada pencahayaan lampu standard.
Bahagian sisi jentera semakin menyerlah dengan kemasan krom pada bingkai tingkap hadapan dan belakang. Bahagian belakang pula dihiasi tiga barisan lampu LED unik.
Melangkah masuk ke dalam kabinnya, warna hitam menguasai papan pemuka dan konsol tengah. Kemasan berwarna krom turut dipasang pada komponen dalaman bagi meningkatkan lagi sifat eksklusifnya.
Ciri mewah di dalam ruang kabin termasuklah unit HUD (head-up display) berwarna, pendingin udara empat zon, butang penghidup, brek parkir automatik, tempat duduk penumpang dan pemandu kuasa elektrik, tombol kawalan intuitif pada konsol tengah, selain sambungan USB dan bluetooth.
Model tersebut dilengkapi stereng sporty bersama butang kawalan audio, sambungan bluetooth dan kawalan jelajah. Turut didatangkan ialah sistem audio Arkamys dan sepuluh pembesar suara JBL.
Ruang kargo seluas 545 liter boleh dibuka dengan hanya menekan butang pada kunci pintar atau angka 0 pada lambang 508 di bahagian belakang kenderaan.
Enjin turbo bersesaran 1.6 liter yang ada pada 508 berupaya menjana kuasa kuda 156hp dan tork 240Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan. Penggunaan minyak bagi setiap 100 kilometer (km) hanya 7.1 liter, manakala kadar emisi karbon sebanyak 164 gram/km.
Ia juga sarat dengan pelbagai teknologi keselamatan. Misalnya enam beg udara SRS, ESP, ABS, EBD, Emergency Brake Assist, Anti-Skid Regulation dan Dynamic Stability Control. Jentera ini ditawarkan pada harga RM171,697 seunit di atas jalan.



Honda - Hot Import Nights Kuala Lumpur 2011


REZA (kiri) dan Pengurus Kanan Honda-HIN KL 2011, Irwan Asri Mohd. Nor bergambar bersama tiga buah kereta berkuasa tinggi yang mengambil bahagian.


MAHUKAN sesuatu yang berbeza berbanding pertunjukan kereta yang ada di Malaysia selama ini? Pastikan anda hadirkan diri ke acara pemotoran sebenar yang bakal berlangsung pada 17 dan 18 Disember depan.
Bertempat di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor acara yang diberi nama Honda - Hot Import Nights Kuala Lumpur 2011 (Honda-HIN KL 2011) itu sememangnya lokasi terbaik untuk semua peminat tegar kereta, komuniti kelab kereta, kaki modifikasi dan mereka yang terlibat dalam perniagaan aftermarket tidak kira sama ada anda datang dari Malaysia, Singapura atau Indonesia.
Dianjurkan buat julung-julung kalinya di Malaysia, Honda Malaysia bertindak selaku penaja utama pertunjukan gaya hidup automotif yang dianggap paling besar di Malaysia itu.
"Honda-HIN KL 2011 bermatlamat menyediakan platform buat peminat automotif untuk berjumpa, bersosial dan berkongsi keghairahan terhadap kereta di bawah satu bumbung. Pada masa yang sama, mereka juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuklah konsert mini oleh rocker popular, Awie.
"Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penaja, terutama Honda Malaysia kerana menjadikan acara ini satu realiti. Kami juga berharap Honda-HIN KL 2011 akan memberikan sumbangan signifikan kepada industri automotif di Malaysia, lebih-lebih lagi dalam aspek modifikasi kenderaan dan industri hilirannya," kata Pengerusi dan Penganjur Honda-HIN KL 2011, Reza Aliwarga
Acara pada hujung minggu itu menjanjikan para pengunjung dengan kecanggihan modifikasi automotif, prestasi, pertandingan dan banyak lagi aktiviti lain. Mereka boleh mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan seperti modifikasi kereta, Dynowars, HIN Sound & Style Quality (SQ) dan Sound Pressure Level (SPL), pertandingan audio kereta, HIN Breakers Championship serta RC Drift Battle.
Bagi memberikan penilaian yang terbaik dan telus, juri-juri Honda-HIN KL 2011 didatangkan khas dari Amerika Syarikat (AS), Australia, Thailand dan Malaysia.
"Pengunjung turut dihiburkan oleh DJ-DJ antarabangsa, penari Glow-Go, selain acara Miss Honda-HIN KL 2011 dan pertunjukan fesyen oleh Now Modeling Malaysia," tambah Reza.
Melibatkan lebih 200 pempamer, Reza optimis Honda-HIN KL 2011 mampu menarik sekitar 25,000 orang pengunjung. Sasaran itu dibuat berikutan sambutan hangat terhadap acara sama yang dilangsungkan di Indonesia.
HIN dimulakan di Australia pada tahun 1996 dan dikenali sebagai Auto Salon. Selepas beberapa tahun, acara itu memperoleh memontum dan dikembangkan ke Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.
Jadi, jangan lupa hadirkan diri anda ke Honda-HIN KL 2011. Tiket masuk cuma RM20 dan boleh dibeli di kaunter tiket yang terletak di bahagian luar stadium pada kedua-dua hari berkenaan. Maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-9171 5458 atau layari laman web: www.hin.com.my.



Nissan Navara Calibre


WARNA emas pada tubuh Navara Calibre membuatkannya lebih menyerlah di atas jalan raya.


SELAIN Isuzu, Nissan sebenarnya menawarkan produk trak pikap yang agak lengkap untuk dipilih oleh para pelanggannya. Selepas memberi impak positif menerusi model Frontier sebelum ini, Nissan tampil pula dengan rangkaian trak pikap Navara yang telah menerima banyak penambahbaikan dari pelbagai aspek termasuklah teknologi dan rekabentuk bagi menjadikannya lebih premium.
Mula diperkenalkan di pasaran sejak awal tahun lalu, varian yang dikenali sebagai Nissan Navara Calibre boleh dianggap sebagai model level entry yang ditawarkan oleh pihak Edaran Tan Chong Motor (ETCM).
Apabila bercakap mengenai model entry level atau asas, anda semestinya tahu bahawa banyak aksesori yang akan hilang. Tidak terkecuali pada model Navara Calibre. Namun, kekurangan itu tidak bermakna ia sebuah trak yang tidak bagus atau membosankan.
Diimport dalam bentuk CBU dari kilang Nissan di Thailand, Navara Calibre menjadi pesaing kepada model asas seperti Mitsubishi Triton Lite. Jika dilihat pada luarannya, Calibre nampak sedikit kosong. Tetapi ia tetap menampilkan reka bentuk Navara yang tahan lasak dan maskulin.
Jangan menilai Navara Calibre menerusi penampilan luarannya. Ini kerana sepanjang beberapa hari saya memandunya, trak pikap itu nyata berupaya menawarkan kualiti pemanduan yang memuaskan.
Sebelum terlupa, Navara Calibre ialah trak pikap pacuan dua roda (2WD) atau 4x2. Jadi, kalau anda tersekat di dalam lumpur yang dalam atau hendak beraksi seperti sebuah 4x4 sebenar, kemampuannya pastilah terhad.
Selaku sebuah trak pikap moden, Navara Calibre didatangkan dengan transmisi automatik lima kelajuan. Kotak gear yang lancar itu mengagihkan kuasa daripada unit enjin diesel buatan Nissan yang terbukti boleh diharap.
Enjin bersesaran 2.5 liter itu disertakan bersama unit intercooler dengan Variable Nozzle Turbocharger (VNT). Ya, memang betul ia kurang berkuasa berbanding enjin sama yang dipasang pada model Navara 4x4. Lebih tepat lagi, kurang 30PS bersamaan catatan kuasa 144PS. Sementara tujahan torknya pula 356Nm.
Lebih ringan, menjimatkan
Nissan membuat talaan semula terhadap enjin diesel berkod YD25DDTi commonrail tersebut memandangkan Navara Calibre cuma sebuah jentera pacuan 4x2. Kekurangan kuasa itu bagaimanapun diseimbangkan dengan tubuhnya yang lebih ringan.

UNIT audio dan butang kawalan pendingin hawa yang mudah dioperasi.


Sebenarnya, Navara Calibre adalah 120 kilogram lebih ringan jika dibandingkan dengan varian Navara 4x4. Gabungan pacuan 4x2, kuasa yang sederhana dan kurang berat nyata memberi kesan atas penggunaan bahan api. Navara Calibre terbukti sebuah trak pikap asas yang menjimatkan minyak.
Apabila enjin dihidupkan, satu badan boleh bergegar. Bunyi enjin dapat didengar dengan jelas. Namun, sebaik sahaja ia meluncur di atas jalan raya, bunyi bising enjin dan angin semakin perlahan. Itu pun jika anda memandu dalam kelajuan yang mengkut had laju kebangsaan.
Apabila pedal minyak ditekan, anda akan dapati enjin melahu kuat sebelum kuasa terasa mula dihantar ke roda hadapan. Setelah mendapat momentum, Navara Calibre tidak ada banyak masalah untuk memotong atau mendaki laluan berbukit.
Ruang kabin trak pikap itu menawarkan rekaan papan pemuka yang sangat ringkas. Itu saya boleh terima. Cuma, aplikasi warna cerah pada keseluruhan ruang dalamannya memang tidak praktikal. Warna itu pastinya amat mudah kotor, apatah lagi kenderaan sebegini digunakan untuk tujuan kerja dan bukannya bersantai sepanjang masa.
Dilihat pada aspek keselamatan pula, jentera itu tetap dilengkapi dengan sistem brek ABS dan EBD. Tetapi sistem LSD (limited-slip differential) yang ada pada model Navara manual dan lebih berkuasa telah ditiadakan. Ia juga tidak dilengkapi dengan beg udara SRS dan lampu utama jenis xenon.
Jadi berapa harganya? ETCM menawarkan Navara Calibre pada harga RM89,900 seunit (di atas jalan termasuk insurans). Harga itu murah RM15,000 berbanding model Navara yang lain. Jumlah itu pastinya agak signifikan terutamanya bagi mereka yang mahu memulakan perniagaan.
Saya boleh katakan bahawa Navara Calibre mungkin pilihan terbaik untuk mereka yang sekadar mahukan sebuah pikap trak dan digunakan di bandar.



Bayangan Land Rover Defender baharu


MODEL DC100 sport dengan imej bebas, bumbung kanvas dan cermin hadapan boleh lipat.


TIDAK lama dahulu ada sebuah kereta, lebih tepat kereta itu dikenali dengan nama Proton Saga. Sejarah hidupnya bermula pada tahun 1985 dan sehingga kini masih lagi dijual di bilik pameran.
Sepanjang tempoh 26 tahun itu, hanya dua generasi yang diperkenalkan, generasi pertama ditamatkan pada tahun 2008 dengan pengenalan model baharu sepenuhnya. 23 tahun untuk sebuah model adalah suatu tempoh yang sangat panjang dan merupakan rekod yang saya fikir mustahil dapat dipecahkan oleh model Proton lain.
Begitu juga dengan pengeluar kereta nasional lain, memang tidak mampu terkejar rekod tersebut. Saya tidak pasti sama ada Proton Saga tersenarai atau tidak di dalam Malaysia Book of Records.
Walau bagaimanapun di arena global, produksi yang berlanjutan sehingga berpuluh tahun bukanlah perkara yang aneh. Sudah namanya ekonomi, selagi laris dan diminta oleh pasaran, selagi itulah wujudnya justifikasi kenapa ia tidak harus dihentikan.
Volkswagen Beetle misalnya diproduksikan selama 65 tahun bermula 1938. Antara contoh lain ialah Citroen 2CV yang dihasilkan selama 42 tahun dan Mini pula menjangkau 41 tahun. Kebiasaannya model-model yang malar segar sebegitu mempunyai teknologi yang ringkas. Maka, menjadikannya tahan lasak dan senang diselenggara.
Satu lagi contoh signifikan ialah Land Rover Defender. Model itu begitu banyak digunakan oleh agensi keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga digelar sebagai Black Maria.
Defender mula diperkenalkan pada tahun 1983 dan begitu dipercayai oleh pelanggan setianya. Jika tidak, mustahil agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pertahanan Awam menggunakannya sampai sekarang. Sedangkan banyak lagi opsyen lain terutama sekali daripada pengeluar Jepun.
Andai diperhatikan trend sekarang pula, Defender kini menjadi buruan peminat 4X4. Disebabkan kegilaan tersebut, harga terpakai model itu sudah pun berada dalam kategori mahal.
Untuk model gantian Defender, Land Rover telah siap membina dua buah model konsep iaitu DC100 dan DC100 Sport. Kedua-dua model itu ditampilkan buat pertama kali di Amerika Utara pada Pameran Kenderaan Los Angeles (LA) 2011 yang berlangsung pada 16 November 2011.
Land Rover membawa kedua model konsep itu dengan hajat besar iaitu untuk meninjau maklum balas pasaran serta kemungkinan untuk memasarkan kembali Defender ke pasaran Amerika Syarikat (AS).
Dengan mengambil ciri-ciri pada Defender lama seperti rugged, boleh dipercayai serta mesra pengembaraan, kedua-dua model DC 100 Concept dibina untuk mempamerkan potensi kebolehan famili Defender baharu nanti.
Berbeza dengan model pengenalan pada Pameran Kenderaan Frankfurt pada September lalu, model di LA nanti dipasangkan roda off road bersaiz 20 inci yang digabungkan dengan tayar all-terrain Cooper. Model itu juga turut dilengkapi dengan corong udara snorkel serta rak bumbung.
Model DC100 dihias dengan warna Heritage Blue pada badan dan Candy Weiss pada bumbung. Ciri-ciri rekaan yang menarik seperti overhang singkat bagi menampakkan pendekatan yang ekstrem.
Rekaan panel menegak, cermin hadapan yang hampir lurus dengan garisan bahu yang dominan serta wajah tradisi Defender dengan lampu bulat dan gril yang menonjol dengan winch juga diteruskan pada model ini.
Model DC100 Sport mengambil ciri-ciri utama DC100, tetapi menampilkan imej bebas dengan bumbung kanvas dan cermin hadapan yang boleh dilipat bagi menampilkan gayaan bersahaja California.
Selain ciri-ciri rekaan tersebut, DC100 mempunyai teknologi canggih seperti Terrain Response System untuk mengoptimumkan keupayaan kenderaan tanpa memerlukan pra-seleksi daripada pemandu.
Sistem Terrain-i pula mampu untuk mempamerkan peta pintar di dalam format 3D. Sistem itu boleh mengenal pasti bahaya dan akan mencadangkan laluan alternatif. Pada persekitaran bandar pula, sistem sama berupaya mengesan pejalan kaki dan bahaya dengan ketepatan yang tinggi.
Selain dua sistem tersebut, DC 100 mempunyai Wave Aid System yang menggunakan alat pengesan (sensor) sonar pada bahagian hadapan bampar dan cermin sisi bagi mengukur kedalaman air.
Seperti sistem Terrain Response, Wade Aid akan mengoptimumkan kemampuan kenderaan ketika melalui laluan berair dengan menuntup corong-corong pada badan, meninggikan kenderaan, memilih gear rendah dan memberi nasihat untuk kelajuan yang selamat.
John Edwards, Pengarah Jenama Global Land Rover berkata: "Defender sentiasa berada di hati jenama Land Rover. Ia melambangkan semangat boleh pergi ke mana sahaja.
"Cita-cita kami adalah untuk menghasilkan Defender serba baharu untuk pasaran global yang mengekalkan DNA asalnya iaitu lasak, versatil, tahan lama dan berkeupayaan. Pada masa yang sama, ianya akan dibangunkan bersesuaian dengan abad ke-21 dan keperluan generasi akan datang."


Mazda3 CKD


MAZDA3 masih boleh dianggap niche jika dibandingkan dengan model Civic atau Altis.


BERADA di Malaysia yang cukai kenderaannya cukup tinggi, berita mengenai harga kereta murah mesti mendapat perhatian meluas. Keghairahan orang ramai untuk ambil tahu pasti lebih memuncak sekiranya ia melibatkan jenama atau model-model kereta yang terkenal.
Ada beberapa inisiatif lazim yang diambil oleh pengeluar untuk merendahkan sedikit harga kenderaan yang mereka jual.
Selain usaha mendapatkan status 'kereta nasional' atau menjual model-model dengan spesifikasi asas, satu lagi cara paling popular (tetapi bukan mudah untuk dilaksanakan) adalah dengan memasangnya di dalam negara atau lebih mudah dipanggil CKD.
Program CKD boleh dilaksanakan sekiranya beberapa faktor dapat dipenuhi. Antaranya, pengeluar mendapati sesebuah model itu mampu dijual dalam jumlah tertentu pada setiap bulan. Jika jumlahnya terlalu sedikit, pelaburan yang dibuat mungkin tidak berbaloi.
Bukan itu sahaja, program CKD juga bergantung kepada keupayaan vendor-vendor tempatan untuk menghasilkan komponen yang menepati piawaian tinggi pengeluar induk. Kalau komponen yang dihasilkan asyik rosak sahaja, jangan harap ia boleh melepasi pagar kilang pemasangan.
Lagi satu, kualiti kenderaan yang dihasilkan mestilah par dengan standard kilang di luar negara. Namun, saya berpendapat itu bukan satu masalah besar. Sebabnya, kilang-kilang kenderaan di Malaysia pun sudah bagus dan canggih. Para pekerjanya juga berkemahiran.
Jika tidak, takkan Mercedes-Benz menghasilkan model S-Class di kilangnya di Pekan, Pahang. Sementara Volvo pula memasang sebahagian besar model yang dijualnya di pasaran tempatan di kilangnya di Shah Alam.
Itu belum lagi dicampur dengan pengeluar-pengeluar lain seperti Honda, Toyota, Nissan, Isuzu, Hyundai, Kia, Peugeot, BMW, Changan dan banyak lagi yang memiliki kilang masing-masing di seluruh negara.
Meriah juga industri automotif Malaysia rupa-rupanya. Walaupun ia agak jauh ketinggalan berbanding Thailand dan Indonesia berikutan polisi yang mungkin kurang menarik untuk membuatkan pengeluar terus melabur dalam kuantiti mega di negara ini.
Murah sedikit
Satu lagi kelemahannya, majoriti kenderaan CKD itu untuk pasaran tempatan dan bukannya diimport seperti yang dipraktiskan oleh Thailand dan Indonesia.
Biarpun bukan model pertama yang dipasang tempatan, Mazda pada awal tahun ini menawarkan pengguna Malaysia dengan model popularnya, Mazda3 CKD. Jentera yang hadir dalam varian hatchback dan sedan itu sememangnya dikenali dengan rekabentuk yang sporty.
Ya, harganya adalah murah sedikit berbanding unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Tetapi kualitinya tetap sama seperti apa yang dinikmati oleh pengguna di Jepun.
Baiklah, saya bukan hendak bercerita mengenai harga. Sebabnya, kalau sembang bab harga, sampai minggu depan pun tidak habis. Nanti semua orang mahukan kereta yang berkuasa, spesifikasi penuh, cantik, jimat minyak dan ada nilai jualan balik tinggi, tetapi harganya macam Myvi. Biar betul.
Sempena cuti Hari Raya Korban minggu lalu, saya memandu uji Mazda3 versi hatchback yang menjadi idaman ramai itu. Memandangkan semua orang mahu balik kampung, jadi lebuh raya Karak dan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) jadi sesak. Jadi, terpaksalah saya memandu Mazda3 dalam mode perlahan sahaja.

INILAH butang kawalan gear secara manual yang dimaksudkan.


Berada di dalam kabin, Mazda3 menawarkan ambien memuaskan. Tempat duduknya yang bersalut kulit memberi keselesaan sewajarnya walaupun dihuni oleh lima orang penumpang bertubuh sederhana.
Unit itu hadir bersama aksesori tambahan. Maksudnya, ada sistem navigasi dan audio dengan skrin sentuh yang dipadankan dengan enam pembesar suara. Kualiti bunyi, bagus juga.
Berbanding dengan pesaingnya yang lebih senior seperti Civic dan Altis, Mazda3 telah menggunakan warna hitam untuk kabinnya sejak sekian lama. Selain nampak dan rasa lebih sporty, warna gelap juga membuatkan usia material dalamannya mampu bertahan lebih lama.
Sebagai sebuah jentera yang berorientasikan pemandu, posisi tempat duduknya ergonomik. Semua butang boleh dicapai dengan mudah. Suis kawalan audio dan tombol pendingin hawa tersusun atas rekaan papan pemuka yang nampak mahal. Tidak berapa tinggi? Jangan risau, laraskan sahaja (secara manual) tempat duduk pemandu sehingga anda rasa selesa.
Mazda3 cukup menjaga penampilannya. Rekabentuk luarannya dikatakan tidak jauh beza dengan apa yang dilukis oleh pereka bentuk ketika ia ingin dihasilkan dahulu. Baru memasuki generasi kedua, model yang dikenali sebagai Axela di Jepun itu memiliki hala tuju rekaan cukup berbeza dengan pesaing sekelasnya.
Perkadaran (proportion) rekaan hadapan dan belakangnya seimbang. Lampu hadapan yang tirus digabungkan dengan bampar dan gril radiator lebar. Sementara bahagian belakangnya menyerlah menerusi gugusan lampu dalam perumah berwarna jernih itu.
Rasanya, Mazda antara pengeluar yang benar-benar berjaya menjadikan lampu jernih nampak kena dan kelas pada setiap model keluarannya.
Mode pemanduan laju akhirnya dapat saya nikmati sewaktu perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Mengetahui reputasi Mazda, jentera itu memang tidak membuatkan anda berpeluh ketika mengambil selekoh-selekoh dalam kelajuan sedikit tinggi.
Kawalan sterengnya tepat, digabung dengan sistem suspensi hadapan dan belakang yang sedaya upaya membuatkan tubuh Mazda3 melekat di atas jalan raya.
Dari aspek kuasa pula, janaan enjin bersesaran 2.0 liter itu sudah memadai. Anda tidak akan berasa sakit jiwa mendengar enjin melahu kuat, tetapi tidak memecut selaju mana seperti yang biasa kita tengok pada kereta-kereta ‘racing’ di atas jalan raya.
Enjin berkod MZR itu dipadankan dengan kotak gear automatik lima kelajuan Activematic. Anda boleh menukar kedudukan gear secara manual, cuma paddle shifter pada Mazda3 agak pelik.
Biasanya tuil untuk menaik atau menurunkan gear terletak pada sebelah kiri atau kanan. Tetapi, Mazda3 memerlukan pemandu menurunkan kedudukan gear dengan menekan butang pada bahagian atas sterengnya. Sementara kalau hendak menaikkan gear pula, gunakan paddle shifter di belakang stereng itu seperti biasa. Keliru juga dibuatnya.
Apa pun, Mazda3 nyata boleh menjadi alternatif berpotensi jika anda mahu memiliki sesuatu yang lain daripada produk keluaran Honda dan Toyota. Cuma, ia mungkin ada sedikit kelemahan. Mahu tahu, pandu ujilah sendiri.



Monster untuk pasaran ASEAN


VALENTINO ROSSI turut hadir untuk memeriahkan majlis pelancaran Ducati Monster 795.


TAHUN 1992 menyaksikan pengeluar Ducati menayangkan jentera naked iaitu Monster 900. Pengenalannya menerusi Cologne Motor Show nyata mengejutkan industri motosikal pada ketika itu.
Pereka jentera bersesaran 904 cc itu ialah Miguel Angel Galluzzi. Menerusi Monster, Galluzzi berjaya merealisasikan konsepnya iaitu 'anda hanya memerlukan tempat duduk, sebuah tangki, enjin, dua roda dan hendal.' Ia dikatakan bukan sekadar sebuah motosikal tetapi sebagai satu gaya hidup yang lengkap.
Nama sebenar Monster bukan berasal daripada perkataan Inggeris. Sebaliknya,ia berasal daripada perkataan Mostro (dialek Bolognese) yang bermaksud raksasa (monster). Nama itu diberikan oleh pekerja-pekerja Ducati.
Sejak itu, hampir setiap tahun Ducati memperkenalkan varian-varian baharu Monster. Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Asia Pasific, Mirko Bordiga menyatakan Monster mencatat jualan tertinggi model Ducati di seluruh dunia. Ia sebuah ikon dan memainkan peranan penting dalam sejarah Ducati.
Tarikh 10 Oktober, di hadapan pintu masuk pusat beli-belah Lot 10 di Kuala Lumpur, tersadai sebuah kotak kayu dengan logo Ducati dengan catatan pengumuman satu kejutan bertarikh 20 Oktober 2011. Kotak itu kemudiannya muncul pula di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor sewaktu program Bikepalooza.
Ia sengaja ditempatkan di kawasan tumpuan ramai oleh Naza World. Tujuannya untuk membolehkan pengunjung mengintai apa yang ada di dalamnya. Ketika mengintai, hanya kelihatan lampu hadapan sebuah motosikal. Keseluruhan jentera diselimuti dengan sehelai kain. Itulah Monster 795.
Tanggal 20 Oktober lalu, model yang dinantikan itu akhirnya dilancarkan. Pelancaran jentera naked tersebut bukannya pelancaran seperti sebelum ini. Ia merupakan pelancaran global! Inilah model Ducati khas untuk pasaran ASEAN.
Enjin Desmodue 796

LAMPU hadapan dengan rekabentuk klasik.


Pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin, Naib Presiden dan Pengarah Komersial Ducati Motor Holding, Cristiano Silei, Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Asia Pacific, Mirko Bordiga, juara dunia sembilan kali MotoGP, Valentino Rossi dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.
Bordigo menyatakan pemilihan Malaysia sebagai lokasi pelancaran adalah kerana negara ini memiliki ramai peminat Ducati dan perlumbaan MotoGP. SM Faisal pula optimis model baharu itu mampu menyumbang kepada peningkatan Ducati di negara ini.
Model bersesaran 803cc itu menggunakan khidmat enjin Desmodue 796 yang berupaya menjana kuasa dan tork maksimum masing-masing sebanyak 87 kuasa kuda @ 8,250rpm dan 78Nm @ 6,250rpm. Jeda servis Monster itu ialah setiap 12,000 kilometer.
Model itu sedikit berbeza dengan Monster 796. Antaranya ialah aspek ketinggian tempat duduk dan memiliki dua tempat duduk (model 796 hanya ada satu tempat duduk). Selain penggunaan double swing arm serta hendal 20 milimeter (mm) lebih tinggi. Ia sesuai untuk tunggangan dalam bandar-bandar di negara-negara Asia Tenggara.
Tugas menghentikan jentera naked itu diserahkan kepada dua set brek cakera pada roda hadapan dan belakang. Bahagian hadapan dilengkapi angkup empat omboh dan dua omboh pada roda belakang jenama Brembo.

EKZOS berkembar yang melengkapkan lagi penampilan Monster 795.


Meter instrumen Monster 795 berlatar belakang pencahayaan putih dan memaparkan pelbagai data. Antaranya ialah kelajuan, rev, masa, jadual penyelenggaraan, suhu minyak enjin, status minyak petrol, lampu amaran untuk tekanan minyak rendah, takat minyak, lampu membelok, lampu tinggi dan pemilihan gear neutral.
Sewaktu pelancaran model berkenaan, SM Faisal menyatakan terdapat lebih 1,400 pemilik Ducati di negara ini. Malah pengenalan varian Monster baharu pasti akan melonjakkan bilangan motosikal jenama Itali itu.
Buktinya, selepas hanya tiga minggu diperkenalkan, tempahan yang diterima sudah melepasi paras 200 unit. Bayaran pendahuluan hanya RM1,000. Harga bersih jualan Monster 795 ialah RM59,900. Ternyata ia jentera berkuasa tinggi yang mampu milik.







Pertama di Asia Tenggara



HONDA sememangnya suka mencipta sejarah. Inovasi-inovasi entiti yang dilahirkan oleh Soichiro Honda itu seringkali mengejutkan. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan produk keluarannya mengubah bagaimana manusia melihat sesuatu teknologi.
Mahu bukti? Honda merupakan syarikat pertama yang berjaya memenuhi piawaian ketat emisi Amerika Syarikat (AS) tahun 1970 menerusi enjin CVCC. Enjin bersih dan menjimatkan minyak itu kemudian menjadi tunjang ke arah pembinaan model sedan Civic yang diterima hangat di pasaran dunia.
Robot humanoid Honda, Asimo pula membuatkan pemerhati teknologi dunia ternganga kekaguman. Dengan tinggi 130 sentimeter, generasi kedua Asimo nyata memiliki beberapa kemampuan baru yang signifikan.
Misalnya, ia mampu berlari selaju 9 kilometer sejam (sebelum ini 6 km/j), melompat mengguna sebelah atau kedua-dua belah kaki dan berdiri dengan stabil di permukaan tidak rata. Asimo juga boleh membuka penutup botol minuman dan menuang air ke dalam gelas.
Compact Renaissance Zero
Itu hanya sekelumit daripada pencapaian Honda. Kalau hendak ditulis semuanya, jadi buku sejarah Honda pula rebiu saya pada minggu ini.
Awal bulan lalu, pengedar dan pengeluar kenderaan jenama Honda di Malaysia, Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) sekali lagi mencipta sejarah menerusi pengenalan model hibrid CR-Z. Kalau hendak tahu, CR-Z ialah jentera hibrid ketiga yang diperkenalkan oleh Honda Malaysia selepas model Civic Hybrid dan Insight.
Apa istimewanya CR-Z? Tidak dibina berinspirasikan kepada model hot-hatch popular Honda tahun 1980-an, Honda CR-X, CR-Z merupakan jentera hibrid pertama yang dipasang dengan transmisi manual enam kelajuan di dunia. Memang sports habis!

REKAAN kabin yang moden dan futuristik.


Honda Malaysia juga menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara untuk menawarkan hibrid hot-hatch tersebut.
“Selaku perintis dalam memperkenalkan teknologi hibrid di Malaysia, kami berbangga untuk mengetengah satu lagi pilihan kenderaan hibrid kepada pengguna Malaysia. Selepas menyaksikan kejayaan model Honda Insight sejak dilancarkan pada tahun lalu, kami yakin dengan penerimaan teknologi hibrid yang kian meningkat di Malaysia, sekali gus mengambil keputusan untuk melancarkan CR-Z,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.
CR-Z merujuk kepada “Compact Renaissance Zero” yang membuktikan komitmen Honda untuk kembali kepada asas dan menerima cabaran membina sebuah kereta kompak, tanpa terikat dengan nilai-nilai sebuah kenderaan hibrid tradisional.
Di pentas dunia, CR-Z telah dinobat sebagai kereta terbaik (Car of the Year, COTY) di Jepun untuk tahun 2010/2011 dan anugerah Kereta Hijau Terbaik pada tahun 2010 (2010 Top Gear Green Car of the Year) di United Kingdom.
Sistem Hibrid IMA
Ketua Projek Honda CR-Z, Norio Tomobe menyatakan jentera yang menawarkan keterujaan pemanduan itu sebenarnya dibina atas tiga nilai utama iaitu emosional, keterujaan dan pintar.

DILENGKAPI dengan beg udara hadapan dan sisi.


Konsep rekaan CR-Z secara efektif menggabungkan estetika sebuah kenderaan dengan imej bersih serta maju sebuah jentera hibrid. Selari dengan konsep keseluruhannya, rekabentuk CR-Z yang penuh gaya, aerodinamik dan seperti peluru itu memudahkan aliran udara untuk mengurangkan kadar seretan.
Kuasa pada CR-Z dijana oleh unit enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang berupaya menghasilkan kuasa sehingga 114PS dan motor elektrik berkuasa 14PS. Di samping Intelligent Power Unit (IPU) yang sofistikated. Fleksibiliti Sistem Hibrid IMA membolehkannya digunakan bersama kotak gear manual enam kelajuan untuk pemanduan responsif.
Transmisi manual pada CR-Z juga dilengkapi dengan fungsi Hill-Start Assist (HSA). HSA mampu mengenal pasti darjah kecondongan dan meningkatkan keyakinan pemandu dengan membantu mengelakkan kenderaan daripada terundur ketika hendak memulakan perjalanan di laluan berbukit.
Demi meningkatkan lagi pengalaman pemanduan, CR-Z menjadi model pertama yang menampilkan Sistem Pemanduan 3 Mode (3-Mode Drive System) Honda yang versatil.
Sistem itu membolehkan pemandu memilih dan menukar mode dengan mudah berdasarkan kepada gaya pemanduan dan situasi jalan raya.
Tiga mode pada CR-Z mengubah maklum balas pendikit, stereng, pemasaan melahu ketika berhenti, kawalan suhu dan tahap bantuan yang disediakan oleh Sistem Hibrid IMA. Mode-mode individual itu juga ditunjukkan menerusi nyalaan lampu berwarna pada gelung Illuminated Advance Sports Meter.
Dari segi standard keselamatan, CR-Z serba baharu dinilai sebagai salah sebuah kereta paling selamat di Jepun pada tahun 2010 apabila dianugerahkan dengan enam bintang dalam penarafan JNCAP.

REKAAN luaran CR-Z yang mementingkan aspek aerodinamik.


CR-Z dilengkapi dengan Vehicle Stability Assist (VSA) yang menawarkan pemanduan lebih stabil dan mantap. Sementara kerangka tubuh Advanced Compatibility Engineering (ACE) pula meningkatkan tahap perlindungan. CR-Z turut menepati Keperluan Impak Pejalan Kaki (Pedestrian Impact Requirements) yang membolehkan kecederaan kepala dan dada pejalan kaki diminimumkan jika berlaku kemalangan.
Ueno turut menyambut baik pengumuman kerajaan Malaysia dalam Bajet 2012 baru-baru ini untuk meneruskan pengecualian sepenuhnya duti import dan eksais ke atas model-model hibrid hingga Disember 2013. Sebab itu jugalah CR-Z dapat ditawarkan pada harga yang cukup kompetitif. Lebih tepatnya, RM115,000 seunit.
CR-Z hadir dalam warna putih sahaja. Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 100 unit CR-Z menjelang akhir tahun 2011. Maklumat lanjut, sila hubungi nombor Honda Toll Free di talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my
Mahu tahu bagaimana karekter pemanduan CR-Z, tunggu laporan saya selepas memandu ujinya di Tokyo, Jepun hujung bulan ini.
  

No comments:

Post a Comment