Seksa duduk rumah 'popular' pencuri
|
SEMENYIH – Sebuah keluarga di Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini hidup dalam keadaan tidak tenteram apabila rumah teres satu tingkat milik mereka dipecah masuk pencuri bukan sekali dua tetapi sebanyak lapan kali sejak mereka menghuni kediaman itu pada tahun 1999.
Perbuatan jahat itu mencapai kemuncaknya awal pagi semalam apabila rumah tersebut bukan sahaja diceroboh untuk kali kelapan malah turut dibakar awal pagi ketika keluarga malang itu bermalam di tempat lain.
Pemilik rumah tersebut, Esah Ahmad, 57, mendakwa, dia mengetahui kejadian malang itu pada pukul 2.28 pagi semalam apabila telefon bimbitnya berbunyi selepas menerima isyarat kecemasan daripada alat penggera yang dipasang sejak dua tahun lalu.
Menurut Esah, ketika kejadian, dia bersama suami, Md. Nasir Ahmad, 60, serta anak-anaknya berada di rumah adiknya di Ampang.
“Sebaik saya menerima panggilan telefon daripada rumah (yang disambung pada alat penggera), saya mula rasa tak sedap hati.
“Saya cuba menghubungi semula nombor telefon rumah malangnya talian itu gagal dihubungi semula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Pengurus operasi syarikat swasta itu memberitahu, dia mengambil keputusan pulang ke rumahnya untuk mengetahui keadaan sebenar tetapi terkejut apabila terhidu bau asap dari luar rumah.
“Bila saya buka pintu rumah, asap tebal keluar.
“Kami cuba padam api, malangnya asap semakin tebal menyebabkan usaha kami terbantut,” katanya yang menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut.
Katanya, alat penyahkod bagi sistem penggera rumahnya yang diletakkan dalam bilik tidur utama dan ruang tamu turut lesap.
Sistem penggera itu canggih kerana mampu mengesan dan memberi amaran jika ada objek seberat 40 kilogram dan ke atas berada di atas bumbung rumah.
Mangsa sekeluarga mendiami rumah teres tersebut sejak 12 tahun lalu dan kali terakhir rumah itu dipecah masuk penceroboh adalah pada tahun 2009.
Beliau percaya suspek mengumpil pintu dan tingkap sebelum melarikan barang berharga seperti perkakas elektrik termasuk televisyen.
“Selepas kejadian samun dulu, saya sudah serik untuk membeli peralatan elektrik yang mahal kerana tahu ia akan dicuri.
“Bukan sahaja barang dalam rumah, malah ukiran besi pada pagar rumah turut lesap,” katanya yang bekerja di ibu negara, kira-kira 36 kilometer dari situ.
Ekoran kejadian semalam, mangsa membuat laporan di Balai Polis Semenyih.
Esah mengaku, demi mengelak rumahnya daripada terus menjadi sasaran pencuri, dia dan suami terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri sebanyak RM90 setiap bulan untuk mengupah orang memotong rumput di rumah jirannya yang kosong.
“Saya juga ada memesan pagar untuk dipasang di rumah jiran itu dengan harapan penjenayah menyangka rumah itu berpenghuni,” katanya.
Untuk sementara waktu, Esah akan membawa keluarganya menumpang di rumah anak sulungnya di ibu negara.
Biarpun nasib malang mereka kerap bertimpa, dia tidak bercadang untuk menjual rumah tersebut.
“Anak-anak saya sukakan rumah ini dan menghabiskan cuti hujung minggu mereka di sini,” katanya.
Kes seumpama itu bukan yang pertama di kawasan berkenaan, malah pada 23 Oktober lalu, rumah banglo milik seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah Esah telah dipecah masuk dan dibakar mengakibatkan kerugian sebanyak RM500,000.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan sedang menyiasat punca kejadian.
Bob Kuman cedera jatuh dalam bilik air
KUALA LUMPUR - Penyanyi, pelakon dan pelawak popular, Bob Kuman dikejarkan ke Hospital Pakar KPJ Tawakal di sini selepas terjatuh di bilik air rumahnya di Kota Damansara kelmarin.
Bob atau nama sebenarnya Husni Mohd. Rawi, 40, dimasukkan ke hospital tersebut setelah mengalami kecederaan di muka, hidung dan tangan.
Katanya, dia terjatuh sewaktu bangun dari katil dan berjalan menuju ke bilik air untuk menunaikan solat Zuhur sebelum mahu menghadiri program Maharaja Lawak Malaysia (MLM).
“Saya terjaga daripada tidur pukul 1 petang semalam (kelmarin), dalam keadaan mamai saya turun dari katil sebelum tergelincir.
“Saya sempat menahan pintu bilik air dengan tangan tetapi jatuh dan kepala terhantuk ke mangkuk tandas,” katanya ketika ditemui di hospital itu semalam.
Akibat kejadian itu, Bob mengalami kecederaan di muka dan tangan selain memerlukan bantuan pernafasan kerana hidungnya yang bengkak dan sukar bernafas.
Bob yang mempunyai berat badan hampir 200 kilogram mengakui terlalu penat sebab sibuk menguruskan perniagaan kedai makan Bawal Power, menyertai MLM selain projek sosial, 30 kilogram in 120 days.
“Doktor menyarankan saya berehat di hospital kerana terlalu penat dengan kerja seni serta perniagaan, tapi saya ada banyak tanggungjawab di luar sana,” ujarnya.
Biarpun tidak tahu bila dia akan keluar dari hospital, Bob yang ditanya sama ada akan berhenti dari program MLM tetap bersedia untuk kembali beraksi pada minggu depan.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui tersentuh di atas semangat gandingannya dalam Bawal Power iaitu Sobri atau nama sebenarnya Mohd. Sobri Anuar Mohd. Tarmizi, 35, yang terpaksa membuat persembahan secara solo dalam MLM minggu ke-4 kelmarin.
“Saya tidak sangka Sobri mampu membuat yang terbaik.
“Saya tengok apa yang Sobri buat semalam, memang saya tersentuh sebagai seorang sahabat, terima kasih,” ujarnya yang dijaga oleh tunangnya yang hanya ingin dikenali sebagai Normah.
Majlis persandingan Eira, Azad meriah
DETIK BAHAGIA. Selepas dua bulan berumah tangga, pasangan pelakon Azad Jazmin John Louis Jeffri, 35, dan Syazira Shuhaimi atau Eira Syazira, 27, diraikan pada majlis persandingan mereka yang cukup meriah malam kelmarin.
Majlis yang berlangsung di Dewan Pusat Belia Antarabangsa di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur turut dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak serta kenalan kedua-dua mempelai.
Mereka dinikahkan pada 16 September lalu di rumah pengantin perempuan di Putrajaya oleh bapa Eira Syazira, Shuhaimi Acheh serta disaksikan Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Abdul Manaf Mat.
Turut hadir memeriahkan majlis persandingan itu ialah selebriti seperti pelakon Shaheizy Sam, Ainul Aishah, Fara Fauzana dan Adam Corrie Lee.
Bumbung rosak, motosikal tumbang
KUANTAN – Beberapa premis rosak terutama pada bahagian bumbung gara-gara tempias angin kipas sebuah helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang di Jalan Bukit Ubi di sini semalam.
Selain itu, papan tanda dan lima buah motosikal yang diletakkan di kawasan itu juga rosak dan musnah akibat perkara yang sama.
Kejadian pada pukul 1 petang itu berlaku apabila pesawat berkenaan didakwa terbang terlalu rendah sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk yang bimbang ia akan terhempas.
Bagaimanapun, pesawat berkenaan berjaya melakukan pendaratan di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini yang terletak berhadapan Balai Bomba Bukit Ubi.
Pemilik kedai alat ganti motosikal, Ta Kuan Yew, 40, berkata, semasa kejadian, dia sedang melayan pelanggan di kedainya sebelum terdengar bunyi deruman dan angin kuat dari atas bumbung premis miliknya.
“Panik dengan bunyi deruman dan tiupan angin kuat itu, pelanggan saya bertempiaran lari masuk ke dalam kedai.
“Pada masa sama, lima buah motosikal yang diletakkan di depan kedai saya turut tumbang dan ranting pokok yang berada di depan kedai pula patah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
“Akibat kejadian itu, saya mendapati atap bumbung kedai rosak dan jatuh di sebelah bangunan ini. Saya percaya ia diterbangkan angin helikopter itu,” katanya.
Seorang pemilik kedai peralatan menjual alatan sembahyang, Ng Ah Noi, 50, berkata, ketika kejadian, dia melihat pekerjanya berlari masuk ke dalam kedai dan terdengar bunyi objek diterbangkan dari atas bumbung premis miliknya.
“Papan tanda perniagaan yang dipasang di kedai saya rosak selepas terjatuh kerana tempias angin kuat pesawat itu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Chang Hong Seong berkata, pihaknya menerima lima aduan daripada pemilik premis perniagaan terbabit yang mendakwa kedai mereka mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan beberapa barang perniagaan.
“Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak bomba dan mereka bersedia membayar ganti rugi kepada peniaga terbabit,” katanya.
Sebiji kelapa di Terengganu RM3
KUALA TERENGGANU - Ramai pengguna terutamanya suri rumah terkejut mendapati harga kelapa meningkat di antara RM2.50 hingga RM3 sebiji dan beberapa penjual mendakwa kenaikan itu kerana bekalan yang berkurangan.Menurut mereka, harga kelapa mula meningkat sejak beberapa hari lalu dan santan segar pula dijual dengan harga RM9 satu kilogram.
Peniaga kedai runcit, Yusof Abdullah, 43, berkata, sebelum ini kelapa dijual antara RM1.20 dan RM2 sebiji, bergantung pada saiz dan dia terpaksa menjual dengan harga tinggi daripada biasa kerana kurang mendapat bekalan.
"Pembekal juga menjual dengan harga lebih tinggi berbanding biasa," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, penjual nasi dagang Fatimah Awang, 46, berkata, harga nasi dagang sekarang dijual RM2.50 sebungkus kerana kenaikan harga bahan asasnya termasuk kelapa.
"Sekarang susah hendak cari nasi dagang dengan harga rendah seperti dahulu terutama di bandar ini," katanya.
Katanya, kenaikan harga kelapa itu bukan sahaja melibatkan peniaga nasi dagang tetapi juga peniaga makanan yang lain.
Pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat kenaikan harga kelapa, sementara pengarahnya Hasan Jusoh meminta pemborong kelapa menghubungi bahagian operasi FAMA untuk mendapatkan bekalan jika perlu.
Bayar cukai jika mahu gemuk
|
DENMARK muncul sebagai negara pertama yang mengenakan kutipan cukai lemak terhadap barangan berasaskan lelemak seperti minyak sapi, mentega, minyak masak dan produk susu. Tujuannya murni, memastikan kesihatan rakyat negara itu terjamin.
Cukai yang dilaksanakan bermula pada 2 Oktober lepas itu bertujuan menjadikan makanan berlemak tidak ekonomikal kepada 5.6 juta penduduk negara itu setelah 19 peratus dari jumlah penduduknya kini obes.
Kadar cukai yang dikenakan ialah 16 kroner (RM8.90) untuk setiap sekilogram lemak tepu dalam setiap produk yang mempunyai kandungan lemak melebihi 2.3 peratus.
Secara tidak langsung, cukai ini menyumbang kepada peningkatan harga setiap 250 gram mentega.
Pelaksanaan cukai tersebut bagi mengurangkan pengambilan makanan berasaskan lemak di kalangan penduduk negara itu.
Idea pengenalan cukai itu juga diikuti oleh negara-negara Eropah yang lain seperti Hungary.
Hungary dengan 9.9 juta penduduk, mengenakan cukai lemak 0.37 euro (RM1.58) ke atas makanan siap diproses yang mempunyai kandungan gula, garam serta karbohidrat melebihi sukatan ditetapkan.
Ini bertujuan untuk mengurang kadar obesiti di negara itu yang berada pada tahap 18.8 peratus.
Adakah cukai lemak relevan dilaksanakan di negara ini?
Menurut bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican, cukai lemak yang dilaksanakan di Denmark dan Hungary belum tiba masanya untuk dikuatkuasakan di negara ini.
“Jika kita mengikuti langkah Denmark mengenakan cukai ke atas barangan mengandungi lemak, ia tidak mengubah keadaan sebaliknya akan mencetus kemarahan pengusaha industri makanan tempatan.
“Mereka (pengusaha) pasti akan meminta kerajaan mengemukakan bukti kukuh produk lemak ialah penyumbang utama masalah obesiti,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Katanya, langkah pelaksanaan cukai lemak dianggap tidak relevan, sekurang-kurangnya buat sekarang.
“Andai kata kerajaan menaikkan cukai dan hasilnya kadar obesiti berkurangan, itu boleh diterima dan bukan semata-mata ingin mengikuti jejak langkah Denmark dan Hungary.
“Cukai lemak di Denmark memang relevan kerana negara itu maju selangkah ke hadapan dan perlaksanaan undang-undang selain turut dipersetujui oleh rakyat negara itu sendiri,” katanya.
Tertinggi
Ismail berpendapat, implikasi cukai lemak tidak akan berjaya di negara ini dan langkah terbaik yang perlu dibuat ialah peningkatan dari sudut pendidikan serta maklumat lanjut termasuk kempen-kempen berkaitan kesihatan secara efektif.
Namun, hakikatnya tanpa pelaksanaan cukai lemak tersebut penduduk negara ini sedang berhadapan dengan majoriti penduduk menghadapi masalah obesiti.
Baru-baru ini media melaporkan, Malaysia menduduki tempat pertama di kalangan negara-negara ASEAN dan kedudukan keenam di rantau Asia Pasifik yang berhadapan masalah obesiti penduduk.
Fakta itu didedahkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Parlimen.
Jelas Ismail Merican, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, beliau sering menasihatkan pesakit dan kakitangan hospital kerajaan supaya mengamalkan pemakanan seimbang dan berkualiti tetapi hakikatnya kurang dua peratus kakitangannya mengikut nasihat tersebut.
“Saya gemar makan nasi lemak sehingga hari ini tetapi dalam kuantiti sedikit dengan tambahan sayur-sayuran.
“Tidak perlu nasi lemak itu ditambah dengan telur goreng, ayam goreng, sotong dan sebagainya,” katanya.
Katanya lagi, beliau juga gemar berjoging selain sering naik turun tangga sehingga berpeluh.
“Tetapi, para kakitangan saya dulu menggunakan perkhidmatan lif walaupun menuju ke tingkat pertama,” katanya.
Jelas beliau, obesiti kini menjadi suatu ancaman di peringkat global menyaksikan trend masalah obesiti kian meningkat setiap tahun bukan sahaja melibatkan golongan muda dan tua malah juga kanak-kanak.
Sepertiga daripada penduduk negara mengalami masalah berat berlebihan atau obesiti.
“Kita belum mencapai ke tahap di mana rakyat kita tahu sepenuhnya mengenai masalah obesiti.
“Rakyat kita tahu akan kebaikan amalan pemakanan sihat dan senaman namun hanya 15 peratus rakyat mengamalkannya manakala 75 peratus lagi tidak mempraktikkannya,” ujarnya.
Katanya, negara masih kekurangan kemudahan taman rekreasi yang lengkap dengan peralatan senaman dan trek joging.
Tambahnya, beberapa taman rekreasi yang mempunyai kemudahan itu tidak sempurna dan selamat untuk digunakan kanak-kanak.
“Ada ibu bapa memilih untuk mengunjungi pusat senaman atau gim untuk bersenam namun berapa ramai antara kita yang mampu membayar yuran perkhidmatan setiap bulan,” katanya.
Dibuang kerja
Realitinya di negara ini, terdapat ramai lelaki yang mempunyai berat badan melampau.
Tidak terkecuali Balaji Muniandy, 44. Dia pernah mencecah 280 kilogram (kg) sehingga menyebabkan tahap kesihatan lelaki berasal dari Farlim, Bandar Baru Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang ini dalam keadaan amat teruk.
Semuanya disebabkan dia diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta.
Akibat tekanan selepas dibuang kerja, Balaji bertindak mengurung diri dalam rumah.
“Saya tertekan selepas dibuang kerja dan terus mengurung diri tanpa berbual dengan sesiapa pun,” katanya.
Bagaimanapun, fizikal Balaji sedikit berubah selepas menerima rawatan dan kawalan pemakanan yang diselia sepasukan pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang.
Diet makanan yang hanya berasaskan jus buah-buahan susu rendah lemak serta bijirin berjaya mengurangkan berat badan Balaji sebanyak 80 kilogram dalam tempoh setahun lalu.
“Saya berputus asa pada mulanya kerana tidak yakin untuk mengurangkan berat badan, tetapi hasil rawatan serta nasihat doktor, saya berjaya mengurangkan berat badan daripada 280 kg kepada 200 kg sahaja.
“Dulu saya tidak boleh berdiri dengan baik selain memerlukan bantuan emak, tetapi kini saya boleh berdiri sendiri dan boleh berjalan dengan bantuan tongkat,” katanya.
Aksi Zarina panaskan Indonesia
|
LAMA 'miss kontroversi,' Zarina Anjoulie Lavocah menyepikan diri selepas dia berbalah mengenai satu isu dengan Awal Ashaari.
Tapi masuk-masuk kerja lepas cuti Hari Raya Korban, terus cerita panas cik Zarina yang manja dipanggil Anju jadi bahan. Panas sungguh si Anju ni, sekali jeling, berwap-wap jadinya, mengalahkan kuah singgang tulang lembu yang baru dimasak.
Heboh orang bercakap pasal aksi berani dedah Anju dalam majalah FHM Indonesia edisi Oktober 2011. Dalam majalah FHM Girls Indonesia tersebut, Anju punyalah bangga selak baju sampai nampak pusatnya yang bertindik. Dalam satu gambar lain pula, dia siap tunjuk lagi coli merah samar melekat di dadanya yang mekar itu.
Memang sedap mata memandang. Kenyanglah, itu kalau letak sekali mangkuk sup ekor pun, ramai yang pilih yang nak tengok kulit gebu Anju.
Diva bangga sebab ada artis tanah air yang mampu sehebat Anju, mampu bolos ke luar negara jadi penghias muka depan majalah popular dengan tajuk From Malaysia with Love. Ala-ala duta kecil Malaysia ke Indonesia, pemanas semangat atlet negara ke Sukan SEA agaknya.
Tak ramai artis yang seberani Anju dalam bab-bab begitu. Anju ni pula suka jadi diri sendiri. Selagi masih cantik, seksi bergetah buatlah dik, nanti dah berusia dah beranak-pinak nanti, jangan marah pula kalau gambar-gambar seluar pendek, coli dan baju nampak buah dada kamu jadi sebutan.
No comments:
Post a Comment