Bekas ASP dijel 2 tahun
KUALA LUMPUR - Seorang bekas pegawai polis di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Temerloh dipenjara dua tahun dan denda RM105,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas disabitkan bersalah atas dua tuduhan rasuah sebanyak RM21,000 pada tiga tahun lalu.Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian terhadap Asisten Supritendan Abd. Jalil Johari, 56, selepas mahkamah dapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
Bagi tuduhan pertama dan kedua, Rozilah mengenakan hukuman penjara masing-masing setahun dan dua tahun serta denda RM30,000 dan RM75,000.
Padah samun
JOHOR BAHRU – Kegiatan jahat sekumpulan enam lelaki dan dua wanita yang menyamun dua buah treler membawa muatan biji plastik bernilai RM167,400 tidak ke mana apabila kesemuanya ditahan dalam serbuan di Kulaijaya baru-baru ini.
Suspek-suspek berusia di antara 27 dan 56 tahun tersebut ditahan pada 11 November lalu selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan dari seorang lelaki Indonesia.
Dalam laporan itu, mangsa mengatakan dua buah treler yang diletakkan di bengkelnya di Jalan Gunung Pulai, Kulaijaya telah dilarikan oleh tiga lelaki pada pukul 12.30 tengah malam.
Makmal dadah dalam rumah
AMPANG - Tindakan seorang penarik kereta yang menjadikan rumah teres dua tingkat yang dihuni bersama isterinya sebagai makmal untuk memproses dadah memakan diri apabila mereka diberkas bersama empat lagi lelaki dalam serbuan di Taman Melur di sini.
Lelaki berusia 45 tahun itu disyaki menjadi pengedar syabu kepada penagih di sekitar daerah ini sejak beberapa bulan lalu.
Difahamkan, jika tidak kerana Ops Tapis yang dilakukan polis di sekitar kawasan Ampang pada 19 November lalu, kegiatan jahat keenam-enam suspek pasti tidak dapat dihidu kerana mereka bijak menyembunyikan perbuatan itu dengan perwatakan masing-masing selain tidak bergaul dengan masyarakat.
Roller coaster RM5j tersadai dua tahun
MELAKA – Entah di mana silapnya, kemudahan roller coaster berhampiran Sungai Melaka di sini yang telah siap dibina kira-kira dua tahun lalu masih belum beroperasi.
Ia menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai sama ada pembinaan trek roller coaster sepanjang 335.5 meter berkenaan akan diteruskan atau terbengkalai begitu sahaja.
Tinjauan Kosmo! juga mendapati sebahagian trek roller coaster berkenaan sudah berkarat manakala gerabaknya terbiar dan dipenuhi habuk.
Difahamkan kemudahan tersebut dibina dengan kos kira-kira RM5 juta.
KDN pantau kemasukan pelajar asing
PUTRAJAYA - Sub Unit Khas Pelajar yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bulan lepas telah mewujudkan Kumpulan Kerja Pemantauan Pelajar Antarabangsa bagi menangani isu pelajar asing di negara ini.Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Mahmood Adam berkata, kumpulan kerja itu akan bersidang pada setiap bulan bagi membincangkan isu pelajar antarabangsa di institusi pengajian tinggi tempatan.
Ujarnya, perbincangan juga akan berkisar kepada langkah penambahbaikan dan penyelesaian isu berbangkit serta menggariskan tindakan bagi mengawal dan membendung penyalahgunaan pas pelajar asing.
ETS terkandas 10 jam
|
IPOH – Lebih 700 penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Ipoh-KL Sentral terkandas di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di sini sejak semalam sehingga pukul 8.45 malam tadi.
Sementara menunggu perkhidmatan dipulihkan malam tadi, kebanyakan penumpang terus menunggu di stesen berkenaan dan membeli makanan serta minuman yang dijual di kantin stesen tersebut.
Kejadian tersebut berlaku apabila kabel dari Stesen Tapah Road sehingga ke Ipoh serta turut melibatkan stesen KTMB Kampar dan Batu Gajah, terputus bekalan elektrik pada pukul 10.14 pagi semalam.
Akibatnya, penumpang yang menaiki ETS bagi perjalanan pukul 2 dan 3 petang masih gagal menaiki tren.
No comments:
Post a Comment