Thursday, November 24, 2011

PEKERJAAN PELACUR DAH JADI BIASA..TAK KIRA STATUS YANG TERLIBAT...ZINA JADI BIASA...NI KERANA UNDANG2 ALLAH TAK DIAMBIL KISAH..SENDIRI CIPTA UNDANG2 YANG SERBA KELEMAHAN...TAK SEDAR DIRI KITA NI MAKHLUK..LEMAH LAGI DAIF...MATI DAN MASUK SYURGA NERAKA PUN TAK TAHU....

Pemandu kontena ditipu dua rakan diisytihar muflis


ZAMERI (kanan) menunjukkan dokumen berkaitan dengan dakwaan diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sambil diperhatikan oleh Tengku Azwil (kiri) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kontena dari Puchong dekat sini bingung setelah diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sejak 12 tahun lalu ekoran masalah kereta yang tidak pernah dibelinya.
Zameri Zakeria, 47, mendakwa, hidupnya kini semakin terhimpit akibat dianiaya dua rakannya apabila tidak dapat membuat pinjaman akibat diisytiharkan muflis.
“Saya diisytiharkan muflis atas dakwaan tidak membuat bayaran bulanan kereta Proton Saga yang tidak pernah saya beli pada tahun 1999,” katanya kepada pemberita pada program Sembang-Sembang The Mall di sini semalam.
Pemandu kontena itu memberitahu, pada tahun 1997, dia telah didatangi dua rakannya yang dikenali sebagai Johari dan Mat Desa meminta tandatangannya bagi membantunya menguruskan pembelian kereta terpakai jenis Nissan Langley aeroback.
Bagaimanapun, selepas pertemuan itu, dia tidak mendapat sebarang dokumen dan berita mengenai pembelian kereta tersebut sehingga pada 2003 dia menerima surat bayaran tertunggak 48 bulan dari sebuah institusi kewangan berjumlah RM29,136.
Zameri menambah, dia hairan bagaimana institusi kewangan berkenaan boleh meluluskan pinjaman kepada dua rakannya itu yang menggunakan namanya tanpa kebenaran.


Empat orang di Singapura cuba bunuh diri

24/11/2011 1:53pm

SINGAPURA - Empat atau lima orang dilaporkan cuba membunuh diri di Singapura setiap hari.
Sekurang-kurangnya seorang berjaya. Doktor dan pekerja sosial perubatan berkata, mereka yang cuba membunuh diri kini merebak di kalangan lebih muda, lapor The Straits Times.
Harian itu menyebut Ketua Perkhidmatan Sosial Perubatan, Hospital Besar Singapura (SGH), Esther Lim sebagai berkata, masalah itu pernah menjejas orang-orang tua saja, tetapi pada tahun-tahun kebelakangan ini ia merebak di kalangan mereka dalam usia 30-an dan 40-an.
Bagi mereka, penyebabnya biasanya adalah perhubungan yang gagal dan hutang yang besar, kata beliau.
Kadar percubaan bunuh diri ini berdasarkan maklumat hospital. Hospital lebih besar seperti SGH dan Hospital National University (NUH), berkata mereka menangani satu kes sehari. Hospital kecil seperti Hospital Khoo Teck Puat menangani kes itu selang sehari. — Bernama


Clooney, Ronaldo jadi saksi kes pelacur

MILAN - Sebuah mahkamah Itali semalam memutuskan bahawa aktor George Clooney dan bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo boleh dipanggil untuk menjadi saksi dalam kes bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi melakukan hubungan seks dengan seorang pelacur bawah umur.
Para peguam Berlusconi mahu Clooney dan Ronaldo membantu bekas perdana menteri itu berdepan dakwaan membuat pembayaran untuk melakukan hubungan seks dengan seorang gadis berusia 17 tahun.
Bekas perdana menteri itu juga didakwa menggunakan kuasanya bagi membebaskan gadis tersebut daripada tahanan polis.
Ronaldo dan Clooney merupakan antara 78 saksi termasuk beberapa bekas menteri dan seorang penyanyi yang dipanggil sebagai saksi pembelaan, kata seorang pegawai mahkamah.
Pihak pendakwa raya memanggil 136 saksi termasuk gadis yang menjadi tumpuan kes tersebut, Karima El Mahroug yang didakwa dilanggan Berlusconi.
Petikan satu soal siasat yang bocor yang disiarkan akhbar-akhbar Itali melaporkan bahawa Karima menyatakan pesta anjuran Berlusconi itu sebagai parti bunga-bunga.
Berlusconi berdepan dengan hukuman penjara tiga tahun jika disabitkan kesalahan melanggan pelacur bawah umur dan 12 tahun lagi kerana menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk membebaskan Karima. - AFP


Acara bunuh ikan paus pilot


SEJUMLAH penduduk membunuh beberapa ekor ikan paus pilot dekat bandar Torshavn, Denmark kelmarin.


BANDAR TORSHAVN, Denmark - Penduduk di Kepulauan Faroe, Denmark menangkap dan memotong daging ikan paus pilot dekat sini kelmarin.
Pada setiap tahun, penduduk di Kepulauan Faroe makan daging ikan paus pilot.
Penduduk di kepulauan itu merupakan keturunan Viking yang merupakan penduduk di Scadinavia yang terkenal sebagai pahlawan, peneroka, lanun dan pedagang pada abad ke-8 hingga pertengahan abad ke-11 Masihi.
Ikan paus pilot merupakan diet penduduk di kepulauan itu sejak lebih 1,000 tahun lalu.
Penduduk itu akan memerangkap haiwan berkenaan ke sebuah teluk dan membunuh ikan tersebut.
Acara membunuh ikan paus itu dikenali sebagai Grindadrap dan daging haiwan tersebut tidak boleh dijual sebaliknya ia diagihkan dalam kalangan penduduk. - Agensi


Penyeludup diesel ugut KPDNKK


SEORANG pegawai KPDNKK menunjukkan minyak diesel yang dirampas dari sebuah premis di Changlun, Kedah kelmarin.


JITRA - Seramai tujuh anggota Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) nyaris dibakar hidup-hidup ketika menyerbu sebuah premis yang dipercayai dijadikan transit penyeludupan diesel dan petrol di Changlun dekat sini kelmarin.
Ketika pemeriksaan ke atas premis itu pada pukul 1.30 petang, terdapat empat ahli sindiket anggota kumpulan terbabit berada di dalam premis yang merupakan sebuah kawasan lapang bertutup dengan zink.
Semasa pemeriksaan oleh pasukan penguat kuasa yang diketuai Mohamad Hashim, dua daripada empat anggota kumpulan terbabit mengugut untuk membakar premis tersebut yang turut menyimpan enam tangki berisi petrol dan diesel.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Kedah, Suhaimi Mat Sari berkata, mereka cuba bertindak nekad mahu membakar premis dengan menggunakan pemetik api dan kertas surat khabar selepas pihak penguat kuasa berjaya menghidu kegiatan jenayah itu.
"Dua daripada ahli sindiket menjerit untuk membakar premis itu bagi membuang bukti kes dengan mengeluarkan pemetik api dan surat khabar sebelum mereka meluru ke sebuah kereta Proton Saga dan tangki berisi minyak di premis itu.
"Mujur anggota kita bertindak pantas menghalang perbuatan tersebut sebelum keempat-empat lelaki itu dapat ditahan," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas premis terbabit oleh lima pegawai penguat kuasa dari Putrajaya dan dua anggota dari Kubang Pasu adalah hasil risikan sejak sebulan lalu.


Tindakan makan diri

MARAN - Keberanian empat pemuda termasuk tiga beradik menyergah dan mengejar lima penyamun Indonesia dalam satu kejadian pecah rumah mengundang padah apabila kesemuanya parah selepas ditetak kumpulan penjenayah tersebut dalam kejadian di Felda Jengka 10 di sini semalam.
Kejadian pukul 2.30 pagi itu mengakibatkan tiga beradik, Mohd. Shahidi Ismail, 23; Mohd. Faiz, 20; Al-Hafiz, 16, dan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Saiful Amri Kamarudin, 29, cedera parah di kepala, tangan dan badan.
Dua daripada lima perompak itu kemudian dapat ditahan dengan salah seorang diberkas setelah tersilap jalan ketika cuba melarikan diri selepas kejadian.
Bapa mangsa, Ismail Mohd. Nor, 60, memberitahu, sebelum kejadian dia bersama isteri, Zawiyah Harun, 58, sedang tidur di dalam bilik manakala tiga anaknya dan Saiful Amri tidur di ruang tamu.
Katanya, anak-anaknya kemudian tersedar selepas mendengar bunyi orang menggeledah rumah sebelum menyergah suspek.
"Kelima-lima suspek kemudian bertindak menyerang mereka dengan parang sebelum berlaku pergelutan.
"Pergaduhan berlarutan sehingga memaksa perompak itu cuba melarikan diri namun mereka sempat menetak ketiga-tiga anak saya dan rakannya hingga parah dan beredar bersama sembilan telefon bimbit, komputer riba dan wang RM100," ceritanya.
Tambahnya, dia kemudian meminta bantuan penduduk sebelum menghubungi polis dan ambulans untuk membawa kesemua mangsa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.


Tiga tukang urut ditindas majikan dihantar pulang


MICHEAL (kiri) berbincang dengan tiga tukang urut warga China yang mendakwa ditindas majikan beberapa hari sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal.


KUALA LUMPUR - Tiga orang tukang urut dari China yang ditindas oleh majikan mereka sejak empat bulan lalu, selamat dihantar pulang ke negara asal mereka baru-baru ini selepas berjaya mendapat kembali pasport mereka daripada majikan yang merupakan pemilik kedai urut.
Menurut Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Micheal Chong, ketiga-tiga mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan mendakwa pasport mereka disimpan oleh majikan mereka bagi menghalang mereka kembali ke negara asal.
"Tidak mengapa jika mereka diberi layanan yang baik daripada majikan tetapi sebaliknya yang berlaku apabila mereka mendakwa ditindas dengan tidak dibayar gaji selama empat bulan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Pada mulanya, kata Micheal, ketiga-tiga mangsa dijanjikan dengan pendapatan RM3,000 sebulan namun tidak menerima sesen pun selepas empat bulan bekerja.
Tambah malang lagi, ujarnya, mangsa bukan sahaja tidak dibayar gaji malah gaji mereka turut dipotong jika melakukan kesalahan kecil.
"Apabila mereka hendak berhenti kerja dan meminta pasport daripada majikan, mereka diminta bayar RM8,500 sebagai pampasan berhenti kerja," ujarnya.


Bapa tinggal anak dalam tandas didakwa

MELAKA – Seorang bapa yang meninggalkan anak perempuannya berusia satu tahun 11 bulan di dalam sebuah tandas awam pada 5 November lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Tertuduh Hii King Kit, 23, yang merupakan seorang pekerja restoran bagaimanapun tidak mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya di hadapan Hakim Hamri Thamri Mohammad @ Shaharudin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menganiayai anak sendiri apabila dengan sengaja meninggalkan kanak-kanak itu di dalam sebuah tandas awam.
Tertuduh melakukan perbuatan itu pada pukul 8.48 malam di dalam tandas lelaki tingkat 1 Mahkota Parade, Jalan Merdeka di sini pada 5 November lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu melakukan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda yang tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar yang mengendalikan kes memohon jaminan terhadap tertuduh RM10,000.
Tertuduh dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan dengan alasan hanya bekerja sebagai pekerja restoran di Johor Bahru.
Hamri Thamri yang mendengar permohonan kedua-dua belah pihak kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes termasuk melantik peguam.

No comments:

Post a Comment