Monday, October 8, 2012

DENGAN SEKELIP MATA SESUATU BENDA AKAN MUSNAH...WALAUPUN MAHAL ATAU BERHARGA...SEMUA AKAN MUSNAH HANYA DENGAN TAKDIR ALLAH...KITA TAK MAMPU MELAWAN TAKDIR...KITA HANYA MAMPU BERDOA

Mengemis ikut ‘Abang Jat’

Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

INSAF...Shah memeluk ibunya, Fatimah dan meminta maaf.
INSAF...Shah memeluk ibunya, Fatimah dan meminta maaf.
BUKIT MERTAJAM: Termakan hasutan kawan bagi mendapatkan wang dengan cara mudah, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun berasal dari daerah ini bertindak nekad melarikan diri dari rumah lebih 10 kali sejak hampir dua tahun lalu untuk menjadi pengemis di beberapa negeri.
Malah, kanak-kanak yang dikenali sebagai Shah itu meninggalkan persekolahan semata-mata mahu mengikut kenalannya, seorang warga asing berusia 20-an, menjadi peminta sedekah di Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor.
Bagaimanapun, Shah kini insaf dan kesal dengan perbuatannya selepas ditangkap ketika asyik bermain di pusat permainan komputer di Melaka sebelum diserahkan kepada keluarganya, Julai lalu.

Sepanjang tempoh menjadi pengemis dan melarikan diri dari rumah itu, kanak-kanak terbabit menginap di hotel murah yang dibayar menggunakan wang hasil mengemis selain menjual surah Yasin kepada orang ramai dengan harga RM3 senaskhah.

Shah berkata, pendapatan diperolehnya antara RM60 dan RM200 sehari dibahagikan dengan rakannya selain diasingkan untuk membayar hotel, membeli pakaian serta makan.

Cubaan kedua samun gagal

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

BANGUN...suspek yang ditahan  di tempat kejadian, semalam.
BANGUN...suspek yang ditahan di tempat kejadian, semalam.
SEPANG: “Ketika sedang membeli buah naga, tiba-tiba jalan sesak, mulanya saya ingatkan kemalangan jalan raya, tidak lama selepas itu terdengar dua das tembakan sebelum melihat seorang lelaki ditahan polis dengan kaki berlumuran darah dan mengaduh kesakitan di tepi jalan,” kata saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Salleh.
Pada masa sama, dia melihat seorang lagi lelaki melarikan diri ke laluan bertentangan menaiki motosikal.

“Selain itu, seorang lelaki India turut tercedera di lengan kiri, rupa-rupanya dia ditetak ketika cuba disamun. Kejadian berlaku amat pantas dan keadaan di situ kecoh seketika...nasib baik penyamun itu dapat ditangkap.

“Beberapa orang awam lain melihat tiga lagi rakan penyamun melarikan diri menaiki dua motosikal,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 petang itu, suspek cedera di paha kiri selepas ditembak polis ketika cuba menyamun seorang lelaki dikenali K Panneer, 28, di Pekan Sungai Pelek, dekat sini.

‘Macam bunyi jet terhempas’

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

CEMAS...anggota bomba dan penyelamat  mengeluarkan mangsa kemalangan selepas kereta  dinaiki terbabas dan melanggar pokok di Jalan Haji Ahmad, Semambu,  pagi semalam.
CEMAS...anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar pokok di Jalan Haji Ahmad, Semambu, pagi semalam.
KUANTAN: “Sebaik saja menutup suis televisyen, saya tergamam seketika apabila terdengar bunyi dentuman amat kuat seolah-olah sebuah jet terhempas. Saya bergegas keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku,” kata B Shasi, 35.
Dia antara saksi awal kemalangan ngeri meragut empat nyawa, membabitkan dua kenderaan Nissan Skyline GTR dan Skyline 250 GT di Jalan Haji Ahmad, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, mangsa yang terbunuh ialah pemandu Skyline GTR, Tan Kah Yong, 24, dari Klang, Selangor, dan penumpang yang juga warga China, Bao Shanhan, 26, serta pemandu Skyline 250 GT, Go Haw Wei, 20, dari Taman Impian, Beserah, di sini dan penumpangnya, Koay Khor Liang, 21, dari Jalan Bukit Sekilau, dekat sini.

Dua lagi penumpang kereta yang dipandu Tan iaitu Wei Lidong, 27, dan Chang Hong Nei, 36, kedua-duanya warga China, cedera parah di leher dan sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Kedua-dua kereta itu yang datang dari arah pusat bandar menuju ke Semambu, dekat sini, dipercayai dipandu laju sebelum bergesel sesama sendiri lalu terbabas dan merempuh pokok di tepi jalan.

4 maut dua kereta rempuh pokok



KEADAAN kereta Nissan Skyline yang remuk teruk selepas merempuh pokok di Jalan Haji Ahmad 1, Kuantan semalam.


KUANTAN - Empat termasuk seorang pekerja spa wanita warga China maut manakala dua lagi cedera parah apabila dua buah kereta yang dipandu laju terbabas dan melanggar pokok di Jalan Haji Ahmad 1 menghala ke arah Semambu di sini semalam.
Mangsa-mangsa yang terbunuh dalam kemalangan ngeri pada pukul 4 pagi itu ialah pemandu kereta Nissan GTR, Tan Kah Yong, 24, dari Klang, Selangor dan penumpangnya wanita warga China, Bao Shanshan, 26.
Dua lagi mangsa yang terkorban ialah pemandu kereta Nissan Skyline iaitu Go Haw Wei, 20, dari Alor Akar di sini dan penumpang sebelah pemandu Koay Khor Liang, 21, dari Bukit Sekilau di sini.
Dua yang cedera parah juga merupakan warga China yang menaiki Nissan GTR. Dua mangsa itu juga pekerja spa sama dengan Bao. Mereka ialah Wei Li Dong, 27, dan Chang Hong Nei, 36.
Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, sebelum kejadian kedua-dua buah kereta tersebut dipercayai dipandu laju sehingga terbabas dan melanggar pokok.

Kunjungan bawa maut

Oleh Norul Awatif Romli
am@hmetro.com.my

MAUT...anggota polis forensik melakukan siasatan pada mayat mangsa.
MAUT...anggota polis forensik melakukan siasatan pada mayat mangsa.
SHAH ALAM: Kegembiraan seorang sahabat menemui rakan senegaranya berakhir tragedi apabila dia ditemui mati dalam keadaan ngeri dengan perut terburai di kaki lima sebuah bangunan pejabat kosong di Jalan Kota Raja, Hicom Town Centre di Seksyen 27, di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Santhartun, 31, warga Myanmar ditemui orang awam dalam keadaan terlentang berlumuran darah dengan kesan tikaman di perut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, sejurus menerima maklumat kejadian pada jam 10.30 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dikejarkan ke tempat kejadian bersama sepasukan forensik.
“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa dipercayai baru tiba dari Ipoh malam kelmarin untuk bertemu rakannya yang menyewa di bangunan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati sebelum kejadian berlaku, mangsa dan suspek baru pulang dari kelab malam berhampiran rumah sewa dalam keadaan mabuk.

“Mangsa dan suspek kemudian bertengkar sehingga berlarutan ke bahagian bawah rumah sebelum suspek naik semula untuk mengambil pisau pemotong sayur sebelum menikam perut mangsa bertubi-tubi,” katanya.
Zahedi berkata, melihat mangsa yang sudah tidak bernyawa, suspek yang ketakutan terus melarikan diri dan gerakan memburunya sedang dijalankan.

Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman di perut selain mengalami pendarahan teruk akibat ditikam.
Katanya, pemeriksaan polis di rumah suspek juga menemui sebilah pisau pemotong sayur berukuran 20 sentimeter dipercayai digunakan suspek menikam mangsa.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 29 tahun dan bekerja di kedai perabot berhampiran rumah sewa mereka. Sewaktu melarikan diri, difahamkan suspek memakai baju T-shirt berwarna putih.

“Polis juga menahan dua rakan serumah mangsa berusia awal 30-an bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Orang ramai yang mempunyai butiran lanjut mengenai suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

Derita diganggu gonggok berakhir



KLANG: Penderitaan kira-kira 500 penduduk di Taman Sentosa akibat serangan ulat gonggok yang menghantui mereka sejak berbulan lalu berakhir apabila Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengadakan operasi bersepadu membanteras haiwan itu, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam (JKPA) MPK, Norfiza Mahfiz berkata, sejak tiga minggu lalu, Jabatan Kesihatan bertungkus-lumus membuat semburan ubat serangga di kawasan yang dilaporkan mengalami serangan ulat berkenaan bagi menangani masalah itu.

Katanya, antara kawasan yang dilaporkan mengalami serangan makhluk perosak itu ialah sekitar Lorong Dato Dagang 35 A dan 35 B.
Menurutnya, kehadiran ulat gonggok menyebabkan penduduk sukar untuk melakukan kerja rumah terutama pada waktu pagi kerana kehadiran haiwan berkenaan mengganggu kehidupan seharian.

“Selain daripada operasi, pihak kami juga akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kehidupan penduduk tidak lagi terganggu dengan serangan ulat itu.

“Malah, operasi sebegini akan dipertingkatkan berdasarkan laporan kami terima mengenai keadaan setempat dan keperluan situasi terkini,” katanya.
Norfiza berkata, serangan ulat gonggok menjadi semakin serius berikutan keadaan cuaca tidak menentu sehingga menyebabkan waktu operasi tadika berhampiran turut terjejas.

Bayar nyawa intai wanita

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Seorang lelaki warga emas terpaksa membayar dengan nyawanya apabila dia dibelasah orang ramai ketika mengintai seorang wanita dalam tandas di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, menyebabkan dia di masukkan ke wad neurologi Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum meninggal dunia, malam kelmarin.
Mangsa yang berusia 59 tahun meninggal dunia kira-kira jam 9 malam selepas dimasukkan ke hospital sejak seminggu lalu kerana mengalami pendarahan dalam otak.

Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang peniaga wanita masuk ke tandas untuk membuang air kecil sebelum menyedari dia diintai seorang lelaki melalui celahan pintu yang renggang.

Wanita terbabit kemudian menjerit meminta tolong dan seorang saudaranya masuk dan terserempak seorang lelaki yang berada di tandas bersebelahan.

Suspek yang berusia 59 tahun dan juga seorang pengemis dipukul beramai-ramai oleh orang awam yang berang sebelum diserahkan kepada polis.

Pemandu langgar motor dipukul, van dibakar

PETALING JAYA: Seorang pemandu cedera dibelasah manakala van miliknya dibakar penduduk yang menyerangnya selepas berlaku kemalangan di antara van yang dipandunya dengan sebuah motosikal dinaiki dua remaja di Jalan Pekaka, di Kota Damansara, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, seorang remaja berusia 16 tahun yang menunggang motosikal berkenaan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini, manakala seorang lagi berusia 15 tahun cedera.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pemandu van berusia 21 tahun terbabit diserang lebih 10 penduduk yang salah faham dengan menyalahkan mangsa kerana dikatakan mengakibatkan kemalangan berkenaan.
“Hasil siasatan polis mendapati, ketiga-tiga individu terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan kemalangan itu bersifat biasa. “Tindakan penduduk menyerang serta membakar van mangsa keterlaluan dan menyalahi undang-undang,” katanya.

2 beradik dikurung dipaksa jual tubuh



KUALA LUMPUR: Berbekalkan janji manis tawaran pekerjaan sebagai pekerja kilang dengan pendapatan RM10,000 sebulan, sepasang adik-beradik warga Vietnam dijadikan hamba seks oleh satu sindiket pemerdagangan manusia untuk tujuan seks dengan mengurung mereka di sebuah rumah dua tingkat di Taman Segar, Cheras, sejak hujung bulan lalu.
Bersama mereka, turut dikurung tiga wanita rakan senegara yang dipaksa melayan pelanggan di rumah berkenaan atau dibawa keluar ke hotel.

Sumber polis berkata, mangsa berusia 31 tahun itu tiba di Malaysia pada 22 September lalu bersama adik perempuannya yang berusia 25 tahun menggunakan pas pelancong selepas ditawarkan pekerjaan di sebuah kilang pengeluaran.
Menurutnya, selepas kedua-dua mangsa tiba di lapangan terbang, mereka diambil seorang lelaki tempatan sebelum dibawa ke sebuah rumah yang didakwa hostel.

“Bagaimanapun, selepas itu mereka dikurung di rumah berkenaan dan terdapat tiga lagi wanita senegara yang turut menjadi mangsa sindiket terbabit.

“Wanita berkenaan dibawa keluar untuk melayan pelanggan di hotel tertentu atas permintaan pelanggan sebelum dibawa balik ke rumah itu sebaik kerja mereka selesai dan kadangkala mereka menunggu pelanggan di rumah berkenaan,” katanya, semalam.
Beliau berkata, rumah berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi gerak-geri semua wanita terbabit.

“Mangsa yang dipaksa melayan dua lelaki bertindak nekad menghubungi ahli keluarganya dengan bantuan teman serumah sebelum mendapatkan nombor telefon saudaranya yang tinggal di Malaysia.
“Akhirnya, pada 5 Oktober lalu, mangsa ketika didatangi seorang pelanggan meminta bantuannya untuk menghubungi saudaranya itu sebelum melarikan diri dari rumah terbabit dengan alasan hendak pergi ke pasar malam,” katanya.

Menurutnya, mangsa menaiki teksi ke Klang untuk berjumpa saudaranya sebelum membuat laporan polis, namun dia tidak sempat untuk menyelamatkan adik perempuannya yang sudah keluar bersama pelanggan.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan mengesahkan pihaknya menerima laporan mangsa.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan berhubung kegiatan sindiket terbabit dan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia 2007.

Jerat gadis seksi

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Bermodalkan pakaian seksi dan gaya menggoda, seorang wanita berusia 20-an dikesan menggunakan taktik itu untuk menghampiri mana-mana lelaki bagi menjerat mereka.
Selepas berjaya menghampiri lelaki terutama individu yang bersendirian di Jalan Raja Laut, di sini, wanita terbabit akan mengumpan mangsa untuk ke rumahnya.

Di rumah berkenaan, siap menunggu dua lelaki berusia lewat 20-an yang bersenjatakan kayu dan pisau sebelum seorang daripadanya mengaku suami kepada wanita terbabit.

Mangsa yang terperangkap dipaksa menyerahkan wang atau barangan berharga kepada kumpulan berkenaan.

Difahamkan, sudah lebih 10 lelaki menjadi mangsa kelicikan kumpulan itu membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Bahana bertuhan harta

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Penghijrahan gadis kampung ke bandar tanpa asas dan pegangan agama kukuh boleh menyebabkan mereka mudah dijadikan ‘anak ikan’ kepada golongan berharta untuk memenuhi tuntutan nafsu.
Pendakwah bebas yang juga kaunselor, Dr Rubiah Hamzah berkata, naluri gadis kampung yang mengimpikan kehidupan mewah termasuk keinginan menggapai bulan dan bintang ketika berhijrah ke ibu kota menyebabkan ramai menjadi ‘korban’.

“Saya tidak salahkan wanita yang baru nak hidup. Inilah konsep orang lama hidup, tetapi jiwanya tidak pernah hidup hingga sanggup memusnahkan maruah dan harga diri gadis sebangsa untuk dijadikan pemuas nafsu.

“Apa yang berlaku ramai anak gadis kita dijadikan ‘anak ikan’ terutama kalangan mereka yang datang dari luar bandar dan diambil kesempatan individu berharta, apatah lagi sasaran mereka adalah anak gadis yang tercari-cari bulan dan bintang di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai nasib gadis tempatan yang berlatar belakang dan kelulusan akademik berbeza sanggup ke ‘neraka’ selepas termakan umpan usahawan kaya yang menabur kemewahan dengan menjadi perempuan simpanan.

Lelaki langgani pelacur aniaya isteri



KUALA LUMPUR: Individu yang dijangkiti penyakit kelamin seperti sifilis akibat melanggan pelacur dan wanita pelayan pelanggan (GRO) berisiko mendedahkan pasangan mereka kepada keguguran, kerosakan rahim dan mandul seumur hidup jika mengadakan hubungan bersama.
Pakar sakit tuan, Dr Ismail Tamby berkata, ramai lelaki tidak sedar perbuatan mereka melakukan seks oral dengan pasangan haram di luar walaupun untuk keseronokan sementara mendedahkan mereka kepada penyakit kelamin dikenali ‘non-gonococcal urethritis’ (NGU).

“Kebanyakan kes dirujuk menunjukkan penyakit itu diperoleh individu ketika berkunjung ke spa dan mengadakan seks oral untuk memuaskan nafsu, namun tanpa disedari akibat perbuatan itu, mereka mendedahkan risiko kepada pasangan.
“Apa yang berlaku memang pada awalnya tidak mempunyai sebarang tanda dan selepas pulang ke rumah serta mengadakan hubungan intim bersama pasangan, dia (suami) sebenarnya sudah mendedahkan penyakit kepada isteri,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro kelmarin mengenai pengakuan seorang remaja wanita Vietnam, Chi, 16, yang menghidap penyakit kelamin kronik akibat dieksploitasi sebagai pekerja seks.

Wanita Singapura kelima paling tak setia di dunia



SINGAPURA: Kaji selidik Durex baru-baru ini menyenaraikan wanita Singapura yang kelima paling tidak setia di dunia.
Pungutan pendapat daripada 29,000 wanita di 36 negara meletakkan Ghana di tangga pertama dengan 62 peratus apabila wanitanya mengakui menipu teman lelaki dan suami mereka. Wanita Thai berada di kedudukan kedua dengan 59 peratus, wanita Malaysia ketiga (39 peratus) dan Russia keempat (33 peratus).

Di tangga kelima adalah wanita Singapura yang tidak begitu setia dengan 19 peratus.
Menyenaraikan lelaki Singapura sebagai paling ramai melakukan seks rambang di Asia, kaji selidik jenama kondom itu berkata, mereka mempunyai 16 pasangan secara purata dalam kehidupan mereka. - ST

Islam larang mudarat tubuh

Oleh Dr Norman Mohd Norawi

PERBUATAN merokok atau penggunaan tembakau tidak berlaku di zaman Nabi Muhammad SAW dan umat Islam selepas itu, zaman sahabat, tabi’in dan Imam Mujtahidin dan sahabat mereka.
Merokok atau tadkhin tiada nas secara langsung dalam al-Quran dan sunah, maka hukumnya pada asalnya tiada. Rujukan bagi tembakau dalam sajak Parsi hanya diketahui sejak sebelum tahun 1536.

Tetapi, kita memang memahami bahawa mana-mana masalah mesti termasuk dalam hukum Allah yang lima (‘al-ahkam al-khamsah’), sama ada wajib, sunat, haram, harus atau makruh. Dalam ajaran agama Islam, terdapat lima perkara yang menjadi asas dan matlamat hukum agama iaitu menjaga agama, akal, nyawa, harta dan maruah diri.
Orang Islam ditegah melakukan perkara yang membahayakan diri dan membawa kebinasaan kepada nyawanya atau dirinya.

Firman Allah: “Dan janganlah kamu melemparkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam kebinasaan.” Satu hadis Nabi yang diriwayatkan Malik, Al Hakim, Baihaqi dan Ibnu Majah: “Tidak diizinkan melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan.” Dalam hadis lain, diriwayatkan Ahmad, Abu Daud dan Ummu Salamah, Rasulullah melarang umat Islam mengambil sesuatu yang memabukkan (muskir) dan yang melemahkan badan (muftir). Berdasarkan hadis di atas, umat Islam dilarang membuat sesuatu yang merosakkan dan memudaratkan tubuh sehingga berlaku penyakit.

Berdasarkan bukti sains, rokok termasuk dalam sesuatu perbuatan yang mudarat kepada kesihatan.
Dalam Surah Al A’raf ayat 157, Allah berfirman: “Dan, dia (Rasul) menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk (khabaith).” Ayat ini menerangkan bahawa perbuatan yang keji (khabaith) adalah tidak dibenarkan Islam. Keputusan Majlis Fatwa dan Pihak Berkuasa Islam Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram. Menurut ulama Islam terkenal, Dr Yusuf Al Qardawi dalam bukunya, Fatawa Muasirat, beliau menulis: “Daripada penjelasan yang diberikan, saya berpendapat pandangan yang menghalalkan rokok adalah tidak dapat diterima sama sekali, malah pendapat sebegitu boleh dianggap salah. Justeru itu, kita hanya mempunyai dua pilihan hukum iaitu makruh atau haram. Berdasarkan kajian terkini, penetapan hukum haram adalah lebih tepat di sudut alasan dan hujahnya.” Mufti Mesir Dr Farid Wasil mengeluarkan fatwanya yang memutuskan menghisap rokok haram dalam Islam kerana membahayakan kesihatan.

Beliau menjelaskan bahawa orang yang ketagih dalam menghisap rokok perlu mendapat rawatan doktor, dan mengambil langkah sosial dan kerohanian yang boleh membantu mereka.
Katanya, adalah tidak halal mengikut Islam pengeluar atau pengilang rokok dan menjualnya dalam negera Islam kerana membahayakan individu dan masyarakat Muslim. Merokok memudaratkan orang lain. Asap rokok yang dihembuskan akan disedut oleh orang lain di sekeliling perokok.

Seorang yang menghidu asap rokok orang lain dipanggil ‘perokok pasif’. Perokok pasif ini berisiko mendapat penyakit yang sama dengan perokok. Dalam sebuah hadis riwayat dari Tarmizi, Nabi Muhammad bersabda: “Dilaknat seseorang yang mendatangkan kemudaratan kepada seorang mukmin ataupun menipunya.” Adalah tidak adil bagi seorang perokok menyebabkan penyakit kepada orang lain yang tidak merokok, lebih-lebih keluarga sendiri.

Orang yang paling kita sayangi adalah keluarga kita sendiri. Seorang suami adalah pelindung kepada keluarganya, tapi bagi perokok, mereka memudaratkan keluarga dengan merokok. Bagi wanita yang merokok atau ‘perokok pasif’ suami mereka, mempunyai risiko mendapat keguguran, kelahiran pramatang, kelahiran kekurangan berat, kematian bayi secara tiba-tiba.

Renungilah firman Allah dalam surah Al An’am ayat 140 yang bermaksud: “Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekalian makhluknya) dan juga (rugilah orang yang) mengharamkan apa yang telah Allah kurniakan oleh Allah kepada mereka, dengan berdusta kepada Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka, dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.” Perbuatan merokok di depan anak-anak boleh membunuh mereka secara perlahan dengan mendedahkan mereka kepada penyakit disebabkan asap rokok.

Kajian menunjukkan serangan asma di kalangan kanak-kanak adalah amat tinggi apabila bapanya merokok di rumah.

Merokok adalah satu pembaziran yang merugikan.

Dalam al-Quran, surah al Isra’ ayat 27 Allah berfirman: “Janganlah kamu membazir kerana sesungguhnya orang yang membazir itu adalah sahabat kepada syaitan.” Merokok adalah satu pembaziran. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, rakyat negara ini membelanjakan RM1.5 bilion setahun membeli rokok. Pembaziran kos rawatan pada kemudian hari kerana merawat penyakit bawaan rokok ini akan ditanggung sama ada oleh pesakit atau kerajaan ataupun syarikat insurans. Merokok juga adalah satu pembaziran masa. Seorang pekerja akan menghabiskan lebih kurang 10 minit setiap kali merokok dan menurut kajian, produktiviti syarikat akan meningkat jika pekerjanya tidak merokok. Merokok adalah punca kepada ketagihan yang lebih buruk. Kajian ahli sosiologi menunjukkan bermulanya terjebak seseorang penagih dadah adalah dengan rokok. Remaja yang merokok akan lebih mudah terjebak kepada penagihan ganja dan seterusnya melarat kepada ketagihan yang lebih berat seperti heroin dan methamphetamin.

Kajian juga menunjukkan remaja yang bapanya merokok di rumah cenderung untuk mengikuti tabiat buruk ini.

Asap rokok yang dihembus keluar akan mencemarkan udara terutamanya udara di dalam tempat-tempat tertutup. Asap rokok yang dihembus di dalam kawasan yang berhawa dingin akan terus dikitar di kawasan yang sama dan ini akan mencemarkan udara di dalam kawasan itu. Berdasarkan hujah saintifik dan pandangan ulama Islam, jelaslah menunjukkan meninggalkan tabiat merokok adalah suatu tuntutan agama.

Penulis ialah Pengamal Perubatan Am Pengkhususan Anti Penuaan & Perubatan Regeneratif

No comments:

Post a Comment