Jalan kaki rahsia panjang umur
11 Oktober 2012
Bedah yang bergelar ibu tunggal pada usia 30 tahun berkata, semasa mudanya berbagai kerja yang dilakukan bagi menyara tiga orang anaknya yang sedang membesar pada waktu itu.
“Makcik tidak pandai kayuh basikal atau tunggang motosikal, jadi setiap kali hendak ke mana-mana atau bekerja makcik hanya berjalan kaki.
“Antara kerja yang makcik lakukan ialah mengambil upah menoreh getah dan memikul karung beras untuk dibawa ke jeti di sungai dengan bayaran 30 sen bagi satu karung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Warga Emas yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Rumah Seri Kenangan, di sini.
Bedah yang ditemani anak bongsunya, Roziah Jaafar, 53, hadir ke majlis tersebut untuk menerima anugerah warga emas dengan membawa pulang wang tunai dan sijil.
Menurutnya, dia perlu bekerja keras kerana tidak mempunyai pilihan demi mencari sesuap nasi dan mengimbau kembali kehidupannya, setiap hari hanya nasi bercampur pisang yang dimakan sekali sehari sebagai penggalas perut.
Dia yang masih boleh berjalan serta mempunyai penglihatan dan pendengaran yang masih baik berkata, dengan kudrat yang ada dia bekerja sehingga umurnya 92 tahun dan berhenti apabila sudah tidak larat lagi untuk berjalan kaki keluar mengambil upah menoreh getah.
“Bukan makcik tidak mahu menumpang anak-anak tetapi makcik sudah biasa bekerja kuat jadi selagi boleh berjalan makcik keluar menoreh,” katanya.
Bedah kini dijaga oleh Roziah dan menerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan itu juga hidup sihat tanpa sebarang penyakit yang biasa dihidapi oleh warga emas sepertinya.
Dia yang bersyukur dengan anugerah tersebut berkata, tiada amalan atau pantang larang yang diamalkan olehnya untuk sihat sehingga sekarang kerana setiap hari dia mengambil nasi seperti biasa dan makan apa sahaja.
Bedah yang mempunyai 12 cucu dan 16 cicit itu berharap umur panjang yang diberikan kepadanya itu dapat digunakan untuk memperbanyakkan lagi amalan agama.
Isteri, anak pohon maaf sebelum berlepas ke Kuala Terengganu
10 Oktober 2012
Bagaimanapun, kira-kira pukul 6 pagi tadi, Norizan menerima perkhabaran sedih bahawa isterinya, Noran Ali, 39, bersama tiga anak mereka -- Nursyazleen, 12, Nur Syardiena, 9, Nurkhairatul, 4, dan dua saudara angkat terkorban dalam nahas jalan raya apabila kereta yang mereka naiki bertembung sebuah bas ekspres di Kilometer 129 Jalan Kuantan-Terengganu dekat Meraga Beris pada 4.30 pagi.
Dua saudara angkat yang turut terkorban ialah Wan Aspisar Wan Abd Kadir, 43, dan Khairudi Omar, 31, pemandu kereta.
Dua lagi anaknya, Nursakinah, 17, dan Nursyafura, 13, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
Bagaimanapun, pemandu dan penumpang bas terbabit tidak cedera.
"Kali terakhir saya menelefon isteri saya pukul 7 malam semalam, masa itu isteri saya masih dalam rumah lagi dan meminta maaf atas apa-apa kesalahannya serta anak kerana hendak berjalan jauh ke Kuala Terengganu.
"Memang menjadi adat kami sebelum keluar ke mana-mana, isteri dan anak salam cium tangan saya minta maaf," katanya kepada pemberita di Hospital Kemaman hari ini.
Norizan juga berkata beliau tidak menyangka itulah ungkapan maaf terakhir daripada isteri dan anak-anaknya.
Beliau berkata isterinya memaklumkan bahawa mereka mahu ke rumah Nur Syamira, 21, di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu untuk berjumpa dua cucu yang berusia empat dan satu tahun.
Sementara itu, Nur Syamira berkata ibunya ada menghubungi beliau petang semalam, namun tidak pula memaklumkan akan ke rumahnya.
"Ibu memang biasa buat kejutan untuk kami sekeluarga. Kadang-kadang dia datang tanpa bagitahu, tapi sebelum kejadian, memang dia tidak maklumkan akan datang ke rumah," katanya.
- Bernama
Dua maut kereta terbakar
11 Oktober 2012
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, identiti mereka masih belum dikenal pasti kerana seorang daripada mangsa dipercayai rentung, manakala seorang lagi mengalami kesan terbakar di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, mereka dipercayai lelaki, namun pihaknya masih belum mengenal pasti identiti mangsa sehingga jam 4 petang semalam.
“Sehingga kini, identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat dikenal pasti. Kita harap waris terdekat dapat tampil membantu polis berhubung kes ini,” katanya.
Johari berkata, polis menerima maklumat orang awam berhubung kejadian itu sebelum Pegawai Penyiasat Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Inspektor Mohd Asura Ahamad dibantu anggotanya tiba di tempat kejadian.
Menurutnya, kereta terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Seremban, bagaimanapun secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan.
Katanya, kereta itu kemudiannya merempuh sebelum diseret sebuah treler yang membawa barangan logistik.
“Pemandu treler itu tidak sempat berhenti lalu merempuh kereta tersebut sebelum kedua-dua kenderaan terbabit masuk ke laluan sebelah kanan jalan,” katanya.
Bagaimanapun Johari berkata, treler terbabit dipercayai terbabas kira-kira lapan meter daripada tempat kejadian, manakala kereta itu berada di bahu jalan menghala arah Seremban.
“Tidak sampai dua minit, kereta itu tiba-tiba terbakar menyebabkan seorang daripada mangsa rentung, manakala seorang lagi hanya tinggal anggota badan” katanya.
Menurutnya, mayat serta cebisan tulang kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk dibedah siasat dan polis kini sedang menunggu waris kedua-duanya membuat tuntutan mayat.
Tidak sempat minta bantuan
Sementara itu, pemandu treler, Mohd Rosli Abu Bakar, 46, bersyukur kerana dia tidak maut dalam kejadian tersebut, meskipun jarak antara treler dan kereta terbabit agak dekat.
Mohd Rosli berkata, dia sempat keluar daripada kenderaan dan terkejut apabila melihat sekujur mayat terbaring di atas jalan lalu meminta pertolongan orang awam yang melalui jalan itu.
Menurutnya, tidak sampai beberapa minit, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan kuat dan mendapati kereta terbabit hangus terbakar.
“Saya berada tidak jauh daripada tempat kejadian dan terkejut apabila kereta itu terbakar. Saya cuba menjauhkan diri kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Mohd Rosli berkata, dia masih trauma kerana bukan saja melihat sekujur mayat berlumuran darah, malah dikejutkan dengan kebakaran tersebut.
“Jika bahagian depan treler dan kereta itu tidak terpisah, mungkin saya juga temui ajal. Namun nasib saya baik apabila kenderaan terbabas ke hadapan,” katanya.
Hanya alami cedera ringan
Mohd Rosli yang memandu lori sejak 11 tahun lalu berkata, dia tidak pernah terbabit dengan kemalangan dan kejadian pagi itu menyebabkan dia trauma.
“Apa boleh buat kerana ini sumber rezeki saya. Mahu atau tidak, saya terpaksa kerja untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.
Dia berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Kemaman untuk menghantar barangan logistik.
Menurutnya, dia mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah selepas mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan dan sakit dada.
“Saya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk hidup walaupun mengalami kecederaan ringan di bahagian buku lali,” katanya.
Judi: 19 ditahan di 4 kafe siber di Kuantan
11 Oktober 2012
Polis turut merampas 71 set komputer yang digunakan untuk aktiviti perjudian itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Mohd Haris Daud berkata nilai rampasan dianggar RM71,831 termasuk wang tunai berjumlah RM831.
"Semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 30an. Operasi membanteras aktiviti perjudian di kafe siber itu melibatkan 13 anggota serta empat pegawai polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata bagi tempoh Januari sehingga semalam, polis Pahang telah melakukan 421 serbuan di premis kafe siber di seluruh negeri.
"Hasil serbuan itu pihak polis berjaya merampas 4,859 set komputer serta menahan 1,881 individu termasuk pelanggan dan pemilik," katanya.
Katanya operasi itu akan dilakukan secara berterusan sehingga aktiviti berkenaan berjaya dihapuskan.
Beliau berkata, pemilik premis juga boleh disiasat di bawah Seksyen 41C Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membolehkan pelaku didenda tidak kurang RM5,000 untuk setiap mesin judi yang dirampas atau penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan. - Bernama
3 lelaki bersenjata parang samun 2 rumah 1 jam
11 Oktober 2012
Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya berkata pada mulanya mereka yang dipercayai warga Indonesia memecah masuk sebuah rumah kira-kira pukul 3.35 pagi.
"Pemilik rumah yang nyenyak tidur hanya menyedari rumahnya dipecah masuk selepas kejadian, kira-kira 6 pagi selepas mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak akibat digeledah.
"Mangsa seorang wanita berusia 40-an melaporkan kerugian kira-kira RM6,000 selepas barangan kemasnya hilang," katanya.
Beliau berkata suspek kemudiannya memecah masuk pula sebuah lagi rumah tidak jauh dari situ kira-kira pada 4.30 pagi.
Mangsanya Rokiah Harun, 50, turut diikat dengan tali kasut dan mulutnya ditampal dengan pita pelekat, katanya.
"Ketiga-tiga suspek yang tidak memakai baju, berseluar pendek serta menutup muka dengan kain itu kemudiannya mengeledah rumah mangsa, sebelum melarikan diri bersama barangan kemas berupa rantai leher, gelang tangan, empat utas jam tangan, kamera digital dan telefon bimbit ke kawasan ladang sawit berhampiran.
"Jumlah kerugian dianggarkan RM8,000," tambahnya. .
Johari berkata mangsa kemudian mengejutkan suaminya yang tidur di bilik bersebelahan sebelum mereka bertindak menghubungi polis.
“Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah itu dengan mengumpil tingkap cermin di bahagian tengah rumah sebelum menyelinap masuk ke dalam rumah," katanya.
Beliau berkata pihak polis yang tiba di rumah mangsa, kemudiannya bersama beberapa penduduk kampung memasuki kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.
"Ketiga-tiga suspek ditemui sedang berehat di dalam sebuah kelambu yang di pasang di ladang itu. Suspek yang menyedari kehadiran polis, bertindak melarikan diri, namun seorang daripada mereka berjaya diberkas," katanya.
Beliau berkata pihak polis percaya ketiga-tiga suspek juga terbabit dalam kes pecah masuk di rumah pertama berdasarkan modus operandi mereka mengumpil tingkap cermin.
"Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, pihak polis masih memburu dua lagi suspek yang melarikan diri itu," katanya. - Bernama
Lelaki tidak siuman huni surau
11 Oktober 2012
Seorang peniaga, Fatimah Jantan, 70, berkata, lelaki terbabit dipercayai sudah lama mendiami surau berkenaan, seolah-olah itu adalah rumahnya.
Menurutnya, sebelum ini dia rajin ke surau itu untuk mengemas, termasuk memasang langsir sebagai pemisah tempat jemaah wanita bersolat.
“Bagaimanapun sejak orang kurang siuman itu ada, saya sudah tidak berani lagi ke surau,” katanya kepada Sinar Harian.
Fatimah berkata, lelaki terbabit kadang kala akan mengganggu jemaah yang sedang bersolat.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ada peniaga sudah tidak mahu lagi menggunakan surau di situ kerana bimbang diapa-apakan lelaki tersebut.
“Tengah solat, secara tiba-tiba lelaki itu datang dan memegang badan jemaah. Ada ketika jika tidak diberikan ubat, dia akan berkelakuan tidak senonoh seperti berbogel dan mengganggu masyarakat sekitar.
“Sekali-sekala datang jururawat mungkin dari klinik kesihatan berdekatan memberikannya ubat. Sekarang ini saya lihat mereka beri ubat melalui suntikan, mungkin kerana lelaki itu sudah tidak mahu makan ubat,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian di dalam surau berkenaan mendapati terdapat beberapa tilam dan bantal buruk, selain pakaian tersidai di langsir.
Difahamkan, lelaki terbabit mempunyai basikal yang turut diletakkan di dalam surau.
Ada juga yang mendakwa, surau berkenaan bukan sahaja menjadi tempat tinggal lelaki tersebut, malah menjadi sarang penagih dadah dan kaki botol.
Sementara itu, Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzilla Salleh berkata, lelaki berkenaan masih mempunyai saudara mara tetapi tidak dipedulikan kerana tidak siuman.
“Anggota penguat kuasa sudah beberapa kali menegur lelaki itu supaya tidak tinggal di surau berkenaan, namun tidak diendahkannya, malah akan datang semula apabila orang tiada.
“Pihak kami merasakan lelaki ini perlu dibantu, justeru akan merujuk perkara ini kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Tolak rayuan perogol kanak-kanak
10 Oktober 2012
KUALA TERENGGANU- Perbuatan kejam seorang warga Indonesia yang tergamak merogol kanak-kanak berusia sembilan tahun sehingga mengalami pendarahan teruk pada bahagian kemaluan amat dipandang serius oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Ini terbukti apabila Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak rayuan dan mengekalkan hukuman 15 tahun penjara serta enam sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, dua tahun lalu terhadap tertuduh, Senni, dari Jawa Timur, Indonesia.
Terdahulu, Senni yang bekerja sebagai tukang elektrik didapati bersalah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 9 tahun di sebuah rumah di Taman Selasih Jalan Padang Luas, Kampung Padang Luas, Besut, pada 4 Mei 2009 antara jam 7 malam hingga 8 malam.
Dengan itu, Senni yang semasa kejadian berusia 23 tahun didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tidak kurang 5 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli lampin pakai buang untuk adiknya di kedai berhampiran telah ditarik oleh tertuduh masuk ke dalam rumahnya sebelum dibawa ke dapur dan dirogol.
Selepas kejadian, mangsa pulang ke rumah dan menangis apabila hendak membuang air kecil kerana mendakwa sakit pada bahagian kemaluan sebelum ibu mangsa ternampak darah meleleh keluar dari kemaluan mangsa dan turut mendapati terdapat kesan luka seperti ‘hati ayam yang hancur’.
Terdahulu dalam rayuannya, Senni yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mempertimbangkan rayuan meringankan hukuman yang dijatuhkan kepadanya sebelum ini dengan mendakwa sudah insaf.
Selain itu, Senni turut mendakwa semasa kejadian usianya masih muda, jadi dia terlalu jahil sehingga sanggup melakukan perbuatan itu terhadap seorang kanak-kanak yang masih mentah selain mendakwa hendak pulang ke tanah airnya secepat mungkin disebabkan kedua orang tuanya di kampung sudah uzur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi.
Dapat pengalaman baru
11 Oktober 2012
Usah kata berebut, malah masing-masing membuat helah apabila tiba kepada persoalan siapa yang sepatutnya bertanggungjawab.
Justeru, kehadiran seramai 60 pelajar sekolah agama daripada seluruh negara ke Rumah Sejahtera Taman Bahagia Wakaf Dua itu memberi peluang kepada remaja berkenaan melihat sendiri keadaan warga emas yang tinggal di sini.
Bendahari jawatankuasa rumah perlindungan itu, Nordin Abu Hasan, 71, berkata, dengan cara mendedahkan pelajar melalui program lawatan seperti itu ia mampu memupuk sikap prihatin dan menimbulkan rasa belas kasih terhadap ibu bapa.
“Walaupun pelajar dan warga emas ini tidak saling mengenali, secara tidak langsung pelajar dapat mengetahui bahawa golongan ini perlu sentiasa diingati dan dihargai.
“Justeru, mereka akan melakukan perkara yang sama terhadap ibu bapa sendiri,” katanya.
Nordin berkata demikian kepada Sinar Harian selepas berakhirnya Program Rehlah Berfokus Peserta Nadirah Kepimpinan Islam Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Peringkat Kebangsaan yang mengadakan lawatan ke Rumah Sejahtera Taman Bahagia Wakaf Dua, di sini.
Menurutnya, program itu juga mampu membuat peserta terbabit lebih mengasihi dan menghormati ibu bapa mereka sekali gus fenomena warga emas terbiar atau disisihkan yang tidak sepatutnya berlaku dapat dielakkan pada masa depan.
“Bagaimanapun, perilaku ibu bapa contoh terbaik untuk anak erana biasanya ibu bapa sudah tentu mahu mereka dihormati dan tidak diabaikan tetapi perkara yang sama perlu dilakukan terhadap nenek dan datuk mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment