Thursday, October 11, 2012

YANG SERONOK...KAYA...HUTANG JUTA2...DIHAPUS...TAK PAYAH BAYAR...ADAKAH DIAKHIRAT MEREKA AKAN LEPAS SEBAGAIMANA DIDUNIA

196,014 minta bantuan AKPK


KEYAKINAN orang awam terhadap AKPK dalam menguruskan kewangan peribadi terus meningkat. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Keyakinan orang awam terhadap kemampuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam mengurangkan beban pembayaran balik hutang terus meningkat apabila seramai 196,014 individu telah mendapatkan khidmat daripada agensi itu setakat Ogos lalu.
Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Korporat AKPK, Nor Fazleen Zakaria berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 80,664 individu telah menyertai program penjadualan semula pembayaran hutang yang dicadangkan oleh AKPK.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan statistik terbaru, punca utama penyusunan semula hutang bukan disebabkan penggunaan kad kredit.
Ia sebaliknya berpunca daripada sikap individu terbabit yang berbelanja melebihi kemampuan.
“Berdasarkan statistik terbaru, sebanyak 25 peratus atau 20,166 orang terpaksa dijadual semula pembayaran hutang mereka disebabkan berbelanja melebihi kemampuan,” katanya kepada Kosmo! semalam.

SPRM soal siasat di aras bawah


PENGARAH SPRM negeri Pahang, Moh Samsudin Yusof (kiri) menerangkan mengenai lokap SPRM kepada kumpulan wartawan di Kuantan semalam.


KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengendalikan semua prosedur menyoal siasat saksi atau pemberi maklumat di aras bawah bangunan pejabat miliknya untuk mengelak kejadian kematian saksi semasa proses siasatan dilakukan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Zakaria Jaaffar berkata, siasatan juga dijalankan di bilik khas dilengkapi rakaman video.
“Kita mahu semua pihak puas hati, kita buktikan SPRM lakukan siasatan secara telus. Dalam bilik temu bual kamera video, setiap rakaman kenyataan saksi atau pemberi maklumat atau suspek akan dibuat tiga salinan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kompleks pejabat SPRM Pahang di sini semalam.

Wanita anggap diri pahlawan silam


MUHDALENA diiring keluar dari Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Muhdalena Ahmad yang didakwa melakukan ugutan jenayah dan memiliki sebilah pedang di pekarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Julai lalu didapati mengalami masalah kemurungan dan juga gejala psikotik iaitu delusi serta halusinasi.
Malah Muhdalena, 28, dikatakan mengalami dejavu apabila diselubungi mimpi-mimpi buruk dan kejadian pelik di mana tertuduh berasa dirinya seorang pahlawan dari zaman silam yang sedia bertempur pada bila-bila masa.
Demikian hujahan peguam yang mewakili tertuduh, M. Visvanathan pada hari pertama perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini semalam sebagai sokongan supaya Muhdalena dihantar ke hospital psikiatri Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental.
Hujahnya, laporan itu diperolehi daripada pakar psikiatri, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Putrajaya, doktor Umi Adzlin Silim yang membuat pemeriksaan awal ke atas ibu kepada dua anak itu.

Porsche di pusat pameran disamun


PUSAT pameran Porsche di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang diceroboh penjenayah hingga menyebabkan sebuah kereta mewah hilang semalam. Gambar kecil, Mohd. Azri yang dicari polis.


KUALA LUMPUR – Seorang penjenayah yang memasuki sebuah pusat pameran kereta di Jalan Bukit Bintang di sini dengan mudah berjaya melarikan kereta mewah Porsche Panamera 4 bernilai hampir RM1 juta dari premis itu semalam.
Imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat pameran Porsche itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian kemeja putih lengan panjang dan bertopi dengan selamba memasuki premis berkenaan sebaik pusat pameran kereta itu dibuka pada pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, suspek itu kemudian naik ke tingkat atas pusat pameran kereta tersebut sebelum menggeledah sebuah meja dan mengambil satu sampul surat berisi kunci sebuah kereta Porsche.
“Lelaki itu kemudian dilihat keluar dari pusat pameran tersebut sambil menekan alat penggera kereta bagi mengetahui di mana kedudukan kereta yang ingin dilarikan.
“Selepas mengetahui lokasi kereta terbabit diparkir, lelaki itu terus memandu keluar sebuah Porsche Panamera warna emas bernilai RM900,000 yang diletak di luar pusat pameran itu,” kata beliau pada sidang akhbar itu di sini.
Menurut Zainuddin, enam buah lagi kereta Porsche pelbagai model lain yang berada di luar pusat pameran tersebut tidak diusik.
Difahamkan semasa kejadian di dalam pusat pameran itu terdapat beberapa buah kereta Porsche lain yang diletakkan di situ.

Dua peragut guna pedang dihukum penjara, sebat


MOHD. HANIFI dan Wan Mohamed Ramzan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam selepas dijatuhi hukuman.


KOTA BHARU – Tindakan kejam dua penganggur yang meragut mangsa tanpa belas kasihan dibalas dengan salah seorang daripadanya dijel 14 tahun enam bulan dengan 20 sebatan manakala rakannya dihukum penjara empat tahun enam bulan dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Hanifi Hamzah, 25, selepas dia mengaku salah atas tiga tuduhan termasuk dua kesalahan ragut manakala rakannya, Wan Mohamed Ramzan Wan Nawawi, 32, juga mengaku salah atas satu tuduhan serupa, selain mereka turut dihukum atas satu tuduhan menghapuskan barang curi.
Kedua-dua sahabat itu merupakan penjenayah kes cubaan samun terhadap pembantu klinik, Rohairani Abdullah @ Ibrahim, 36, yang tangan kirinya hampir putus ditetak ketika beg tangannya cuba diragut.

Menghindari jenayah ragut

KEJADIAN ragut yang menyebabkan mangsa cedera teruk ataupun menyebabkan kematian membuatkan sesetengah masyarakat berasa gusar. - Gambar hiasan


MUTAKHIR ini, masyarakat dibimbangkan dengan kejadian ragut yang bukan sahaja menyebabkan mangsa kehilangan wang dan barangan berharga, malah telah menyebabkan kecederaan serius.
Lebih buruk, mangsa ragut juga berhadapan dengan kematian apabila peragut bertindak ganas dan tanpa belas kasihan.
Rentetan jenayah kejam ini hanyalah sekadar untuk mendapatkan beg tangan yang belum tentu mempunyai wang seperti yang diharapkan.
Walau bagaimanapun, kita boleh menghindar untuk tidak menjadi mangsa ragut dengan mengelak daripada berjalan seorang diri di lorong yang gelap, atau melewati kawasan yang mempunyai banyak kes jenayah.
Namun demikian, tanpa dapat diduga, ia tetap berlaku di tempat awam termasuklah di tengah-tengah kesesakan jalan raya atau ketika sedang membeli-belah.
Ia jenayah yang tidak boleh diramalkan kerana berlaku secara spontan, dan kita juga tidak bersedia untuknya. Oleh itu, di sini ada sedikit petunjuk psikologikal yang mungkin boleh membantu kita.
Dalam hampir semua kes ragut yang direkodkan, biasanya peragut terdiri daripada golongan lelaki manakala mangsanya pula ialah wanita.
Ini merupakan petunjuk yang mungkin tidak berlaku dalam jenayah lain. Dalam kes rompak dan samun, mangsa adalah sesiapa sahaja. Bagaimanapun, kejadian ragut ini hanya menyasarkan wanita sebagai mangsanya.
Jadi, ini menunjukkan kemungkinan peragut memiliki kepercayaan pertentangan di antara maskulin dan feminin yang mengandaikan lelaki lebih kuat manakala wanita pula ialah kumpulan yang lemah.
Kepercayaan seperti ini biasanya kuat di kebanyakan negara Asia, dan tidak di negara Barat.
Umumnya, walaupun seseorang penjenayah itu dianggap ganas tetapi kajian-kajian yang ada menunjukkan mereka juga sebenarnya tidaklah sepenuhnya seorang yang sangat berani.
Mereka sebenarnya mempunyai perasaan ketakutan. Mereka sentiasa mempunyai rasa risau untuk ditangkap atau diapa-apakan oleh orang lain.
Tidak seperti kejadian jenayah lain, ragut merupakan jenayah spontan. Ia tidak memerlukan perancangan yang sempurna seperti halnya mereka yang ingin merompak bank atau melakukan jenayah kolar putih.
Reaksi psikologikal
Sungguhpun begitu, peragut juga manusia yang bertindak atas reaksi psikologikal seperti kebanyakan manusia lain.

PERAGUT menyasarkan golongan wanita kerana mentafsirkan bahawa wanita tersebut ialah mereka yang lemah dan tidak akan melawan. - Gambar hiasan


Seseorang manusia yang membuat tindakan secara spontan biasanya bergantung kepada working memory yang ada dalam kotak fikir mereka. Misalnya, kita membuat keputusan untuk terus memecut atau tidak ketika lampu isyarat berwarna kuning, dengan 'membaca' beberapa petunjuk.
Ketika waktu malam di jalan yang tidak mempunyai kenderaan lain, manusia mungkin meneruskan kenderaan mereka sekalipun lampu sudah berwarna kuning.
Ini disebabkan oleh fungsi working memory yang membuat penilaian terhadap sesuatu perkara.
Dalam kes kejadian ragut, ada kemungkinan peragut juga menggunakan 'petunjuk' yang mereka miliki. Peragut menyasarkan golongan wanita kerana mereka telah mentafsirkan bahawa kemungkinan wanita tadi ialah mereka yang lemah dan tidak akan melawan.
Pentafsiran peragut akan berubah sekiranya wanita tadi ialah seorang anggota polis yang berpakaian seragam, atau mereka yang memakai pakaian seragam yang berkaitan dengan agensi keselamatan.
Golongan wanita seperti ini dianggap kuat dan mampu melawan mereka semula. Peluang untuk berlaku ragut juga mungkin berkurangan sekiranya wanita berjalan bersama dengan orang lelaki atau secara berkumpulan.
Mengenai tanda-tanda yang mungkin dijadikan petunjuk oleh peragut ini, pada kebiasaannya peragut akan merampas beg tangan yang dipunyai oleh wanita dengan andaian bahawa di dalam beg tangan tadi tersimpan wang yang banyak.
Pentafsiran tadi mungkin berubah sekiranya wanita yang ingin diragut berjalan tanpa membawa sebarang beg tangan atau barang kemas. Ini telah mengurangkan potensi wanita itu dianggap memiliki wang.
Sebab itulah, kita dapati banyak kejadian ragut biasanya berlaku di kawasan tumpuan orang ramai, seperti pusat beli-belah atau berdekatan bank kerana ia melengkapkan potensi bahawa wanita yang berada di situ mempunyai wang di dalam beg tangannya.
Potensi untuk seseorang wanita diragut juga semakin besar jika mereka dilihat lebih bergaya dibandingkan mereka yang berpakaian biasa sahaja, kerana mereka yang bergaya ini 'berpotensi' mempunyai wang.
Walaupun adalah mustahil untuk kita mengurangkan semua petunjuk ini semata-mata bagi melemahkan working memory peragut, bagaimanapun, kita mungkin boleh melakukan sesuatu agar tidak menjadi sasaran peragut.
Mereka yang dilihat lemah tetapi mempunyai wang yang banyak mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk diragut, dibandingkan dengan mereka yang dilihat 'kuat' dan tidak pula mempunyai wang yang banyak.
Sekiranya golongan wanita merasakan tidak mampu untuk mengubah semua 'petunjuk' ini ketika keluar rumah, ada baiknya jika mereka membawa bersama orang lain yang mungkin boleh membantu melemahkan persepsi peragut terhadap mereka.

Dijel 58 bulan angkara kad kredit


MASIH TERSENYUM... Dewi Susilawaty (bertudung) dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Kuching semalam atas kesalahan memiliki kad kredit orang lain.


KUCHING – Seorang pembantu tadbir wanita dihukum penjara 58 bulan dan denda RM14,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah atas 29 tuduhan memiliki kad kredit pelbagai jenis yang menggunakan nama orang lain.
Tertuduh, Dewi Susilawaty Suaidi, 37, yang bekerja di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak (KPP) kelihatan tenang selepas Majistret Maris Agan menjatuhkan hukuman tersebut.
Dewi Susilawaty mengaku memiliki 29 keping kad kredit pelbagai bank atas nama 16 wanita lain pada pukul 4.35 petang, 28 Ogos lalu di Taska Sichomel Alam Sanctuary, No. 4564, Lorong Sumber Alam 2D, Sumber Alam Sanctuary, Jalan Sultan Tengah di sini.
Antara kad kredit tersebut ialah empat kad kredit jenis Mastercard Citibank, Visa UOB, Mastercard Gold HSBC dan Visa Gold HSBC atas nama Nuraina Agnes Abdullah, 27; tiga keping kad kredit bank HSBC, Visa Citibank dan Visa Eon atas nama Suraya Hazemi, 32, serta kad kredit Visa Hong Leong Bank, Visa Citibank dan Mastercard Citibank atas nama Minizam Rosli, 38,
Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa polis, Inspektor Yunus Sahak mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga bulan dan denda RM500 bagi setiap tuduhan.

Lelaki bakar diri untuk tuntut pampasan di Albania


BAJU dan seluar Beko terbakar semasa dia berlari di Tirana pada Isnin lalu.


TIRANA, Albania - Seorang lelaki yang pernah dipenjarakan ketika era pemerintahan komunis, Lirjak Beko membakar tubuhnya di sini pada Isnin lalu.
Beko, 47, mencurahkan minyak petrol ke arah seluar, baju dan tubuhnya sebelum dia menyalakan api.
Beberapa anggota polis dan rakannya kemudian berusaha memadamkan api pada tubuhnya dengan menggunakan sehelai selimut.
Menurut doktor, muka, kaki dan tangannya melecur dan dia berada dalam keadaan kritikal.
Beko melakukan perbuatan itu bagi menuntut pampasan daripada pemerintah selepas dia dipenjarakan pada era pemerintahan komunis.
Albania diperintah komunis dari 1940 hingga 1990.
Sebelum ini seorang lagi tahanan politik, Gjergj Ndreca turut membakar dirinya bagi menuntut pampasan itu. - Agensi

Jutawan China tawar ganti kereta buatan Jepun milik mangsa rusuhan


GUANGBIAO memegang basikal di atas bumbung sebuah kereta buatan China di Nanjing kelmarin.


NANJING - Seorang jutawan China, Chen Guangbiao berjanji untuk menggantikan kereta buatan Jepun milik 43 orang rakyat China.
Sebelum ini kereta milik 43 orang itu dirosakkan oleh sejumlah penunjuk perasaan di negara ini dalam isu tuntutan Kepulauan Senkaku di Laut China Timur.
Kerajaan Jepun memutuskan untuk membeli tiga daripada lima pulau kecil yang membentuk kepulauan itu daripada pemilik persendirian menyebabkan penduduk China berasa marah dan melancarkan tunjuk perasaan pada bulan lalu.
Menurut media negara ini semalam, Guangbiao menunjukkan 43 buah kereta buatan China yang dibelinya pada harga lebih AS$794,000 (RM2.4 juta) di sini pada Rabu lalu.
Jutawan berusia 44 tahun itu menawarkan kereta Geely buatan tempatan bagi menunjukkan perasaan patriotik terhadap negara.
"Saya melancarkan majlis ini (menawarkan kereta buatan China) untuk mengingatkan orang ramai bahawa semangat patriotik sepatutnya dikendalikan dengan rasional, kebijaksanaan dan disiplin," katanya.
Dia mempamerkan kereta yang telah dibelinya itu kepada orang ramai dan pemberita di sini kelmarin.
Menurut perangkaan industri, jualan kereta Jepun merudum ketika terdapat desakan supaya barang buatan negara tersebut diboikot ekoran isu tuntutan kepulauan yang tidak berpenghuni itu.
Guangbiao merupakan salah seorang daripada 400 individu yang kaya di negara ini.
Jumlah kekayaannya dianggarkan sebanyak AS$740 juta (RM2.27 bilion).
Dia memperoleh kekayaan menerusi sebuah syarikat kitar semula di Nanjing. - Agensi

Turki tahan pesawat Syria


GAMBAR menunjukkan sebuah pesawat penumpang Syria yang ditahan di Lapangan Terbang Esenboga, Ankara semalam.


ANKARA - Turki telah mengarahkan sebuah pesawat penumpang Syria yang dalam penerbangan dari Moscow untuk mendarat di Ankara semalam selepas menerima laporan bahawa pesawat itu disyaki membawa kargo berisi komponen senjata.
Tindakan Turki itu sekali gus meningkatkan lagi ketegangan antara dua buah negara jiran itu.
Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu berkata, pihak berkuasa menahan kargo yang terdapat di dalam pesawat penumpang Syria itu kerana disyaki berbahaya.
Pesawat itu dalam penerbangan menuju ke Damsyik.
Agensi media Anatolia memetik seorang pegawai pemerintah sebagai berkata, pihaknya mengesyaki pesawat tersebut membawa kargo senjata.
"Terdapat kargo yang haram di dalam pesawat itu yang sepatutnya dilaporkan selaras dengan peraturan penerbangan awam," kata Davutoglu.
Menurutnya, kargo itu akan ditahan buat sementara waktu.
Turki menghantar dua buah jet untuk mengarahkan pesawat Airbus A-320 itu mendarat di Ankara kerana disyaki membawa senjata dan peluru.
Menurut rangkaian berita NTV, kargo yang dirampas itu dipercayai komponen peluru berpandu.
Bagaimanapun, stesen televisyen TRT membuat spekulasi bahawa kargo tersebut mengandungi peralatan komunikasi yang menuju ke Damsyik.
Pesawat itu dibenarkan untuk meninggalkan Lapangan Terbang Esenboga di sini selepas sembilan jam ditahan.
Seramai 35 penumpang berada di dalam pesawat itu.
Menurut agensi berita Interfax, seramai 17 penumpang pesawat itu ialah warga Rusia termasuk kanak-kanak.
Kedutaan Rusia di Ankara telah menghubungi pemerintah Turki untuk mendapatkan penjelasan.
Bagaimanapun, Davutoglu menyatakan insiden tersebut tidak akan menjejaskan hubungan antara Turki dengan Rusia.
Ketika ini Syria dilanda pergolakan ekoran kumpulan pemberontak mahu menyingkirkan Presiden Bashar Al-Assad.
Pertempuran antara para pemberontak dan tentera Syria itu berlaku sejak Mac tahun lalu yang menyebabkan lebih 30,000 orang terbunuh. - Agensi

Seorang maut bangunan parkir runtuh di Miami

BANGUNAN tempat meletak kenderaan setinggi lima tingkat runtuh di Kolej Miami-Dade, Florida kelmarin.


MIAMI, Amerika Syarikat - Bangunan tempat meletak kenderaan yang masih dalam pembinaan runtuh kelmarin menyebabkan seorang pekerja terbunuh di sini, kata beberapa pegawai.
Menurut mereka, beberapa pekerja lagi cedera dalam kejadian tersebut.
Salah seorang pekerja itu berjaya diselamatkan selepas terperangkap di celah runtuhan.
Jurucakap Jabatan Bomba Miami-Dade, Griselle Marino berkata, pekerja itu diselamatkan selepas dia menggunakan telefon bimbit untuk memberitahu lokasinya kepada anggota pasukan penyelamat.
Bangunan parkir itu setinggi lima tingkat dan terletak di Kolej Miami-Dade.
Tiada pelajar yang berada di kawasan itu ketika kejadian tersebut berlaku pada waktu pagi.
Empat pekerja dihantar ke sebuah hospital termasuk seorang berada dalam keadaan parah.
Tiga lagi pekerja dirawat oleh anggota paramedik.
Punca kejadian masih belum diketahui. - Agensi

Hukuman Ahli Parlimen kekal

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam mengekalkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 terhadap Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantunya, Rosli Busro yang didapati bersalah atas lapan pertuduhan melakukan tuntutan palsu berjumlah RM80,000 empat tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas menolak rayuan mereka untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh pada 1 Mac lepas.
Akhtar turut menolak permohonan Abdul Rahman dan Rosli untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sebaliknya memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula semalam.
Abdul Rahman dan Rosli diwakili peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Badrul Munir Mohd. Bukhari manakala Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Abdul Razak Musa dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Zaki Salleh mewakili pihak responden

Bebas tuduhan bunuh harimau


DARI KIRI: Yok Rayau, Hassan, Yok Mat dan Yok Kalong gembira selepas dibebaskan daripada tuduhan membunuh seekor harimau di Mahkamah Majistret Tapah semalam.


TAPAH – Penantian empat lelaki Orang Asli suku Semai yang berhadapan tuduhan membunuh seekor harimau belang di Hutan Rezab Tapah dekat sini sejak dua tahun lalu berakhir semalam apabila Mahkamah Majistret di sini membebaskan mereka.
Majistret Fairuz Adiba Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Berikutan itu, tertuduh, Yok Rayau Yok Senian, 50, Yok Kalong Bah Papee, 51, Yok Mat Bah Chong, 48, dan Hassan Bah Long, 33, dilepas tanpa perlu membela diri.
Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat lelaki yang bekerja mencari hasil hutan itu didakwa menembak mati seekor harimau belang tempatan menggunakan selaras senapang patah.
Harimau daripada spesies Panthera Tigris itu dilindungi dan disenaraikan di dalam Jadual Satu, Butiran 35, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

1 comment:

  1. Dewi Susilawaty Suaidi berita dr kuching tu asal mane erk?? sbb ada juga org nama dewi di kuching ni, tapi asal indon. dewi tutiyani sriyono. kaki tipu jugak laaa. ( kaki tipu mmg suka tuka2 nama kn?? ) tp dewi tutiyani sriyono ni konon nyer dia ni Dato.. puiiii. ada sapa kenal x DEWI TUTIYANI SRIYONO. DIA pakai kenari merah & kancil putih.

    ReplyDelete