Tuesday, October 9, 2012

DISEBABKAN SESEORANG ITU TERUS HENDAK BERKUASA....RAKYAT MENJADI KORBAN@MANUSIA JADI KORBAN

Eksekutif muda ditipu pencari bakat


SEBAHAGIAN daripada peserta yang ditipu penganjur membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Pulau Pinang semalam.



GEORGE TOWN – Hasrat 100 peserta uji bakat untuk bergelar penyanyi dan model bagi sebuah majalah baharu terkubur apabila mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan penganjur pencarian bakat di sini.
Mereka yang terdiri daripada pelajar sekolah dan kolej swasta, peragawati sambilan dan eksekutif muda itu merupakan pemenang program Idol Search dan Cover Guy n Gurls bagi majalah tersebut.
Program pencarian bakat baharu itu diadakan di sebuah pusat beli-belah di sini pada Jun hingga Julai lalu oleh penganjurnya, seorang lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur.
Kesemua peserta berusia lapan hingga 28 tahun itu dikenakan bayaran pendaftaran RM50 hingga RM500 dan dijanjikan hadiah lumayan wang tunai RM2,000 dan telefon bimbit.
Pemenang turut ditawarkan sebagai penghias muka kulit majalah terbabit serta berpeluang merakamkan album di luar negara seperti Taiwan, Korea Selatan dan China.

Tarif elektrik kekal hingga Jun tahun depan



KUALA LUMPUR – Kadar tarif elektrik kekal pada paras semasa sehingga Jun tahun depan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui (gambar).
Beliau berkata, kerajaan pada awalnya merancang menyemak semula tarif setiap enam bulan, namun Kabinet, yang merupakan pihak berkuasa akhir, menolak pelan itu.
Chin berkata, kementerian berkenaan membentangkan kertas mengenai tarif itu baru-baru ini kepada Majlis Ekonomi Negara.
“Kabinet tidak meluluskannya. Oleh itu saya menjangkakan semakan semula tidak akan dibuat dan tarif kekal pada tahap semasa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Amalan Terbaik Antarabangsa di sini semalam.

Bakal doktor ditahan miliki dadah

JAKARTA – Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di fakulti perubatan di Universitas Gadjah Mada di Yogyakarta ditahan polis Indonesia pada Jumaat lalu kerana didakwa memiliki ganja seberat 6.8 gram.
Pelajar lelaki berusia 22 tahun itu ditangkap pada pukul 5.15 petang oleh sepasukan polis cawangan narkotik di Jalan Kaliurang, Daerah Sleman sejurus didakwa selesai melakukan transaksi pembelian dadah tersebut dengan harga Rp300,000 (kira-kira RM100).
Difahamkan pelajar itu memesan bahan terlarang itu melalui laman sembang internet.
Penangkapan pelajar itu susulan maklumat awam dan polis yang membuat intipan menemui dadah tersebut pada pelajar itu.
Semasa ditemui dadah tersebut berada dalam bungkusan kertas surat khabar lama dan dipegang oleh pelajar terbabit.

Pemandu teksi geng perompak



TUN HISAN (tengah) mempamerkan sebahagian barang curi yang dirampas daripada Geng Botak pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.



SHAH ALAM – Sikap peramah seorang pemandu teksi yang sering berbual-bual dengan penumpang rupa-rupanya mempunyai maksud tersirat apabila dia sebenarnya cuba mengumpul maklumat sebelum menghantar enam perompak bergelar Geng Botak untuk memecah masuk rumah mangsa.
Mangsa yang sering terpedaya pula selalunya mereka yang ingin bercuti selama beberapa hari ke destinasi yang jauh dari rumah.
Bagaimanapun, kegiatan sejak tiga tahun itu berakhir juga apabila pemandu teksi dan anggota Geng Botak termasuk ketuanya diberkas selepas polis menjalankan siasatan terperinci selama tiga bulan.
Gelaran Botak diambil sempena nama ketuanya yang berusia 37 tahun.
Lebih mengejutkan lagi, semakan mendapati, pemandu teksi bergelar Bro berusia 54 tahun tersebut mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan samun.
Tujuh suspek berusia antara 28 hingga 54 tahun tersebut ditahan secara berperingkat selama lima hari bermula 29 September lalu di sekitar Petaling Jaya dan di sini.

Bomoh didakwa amal nikah batin



MUHAMMAD SOMBHAS dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban semalam atas pertuduhan mengamalkan nikah batin.



SEREMBAN – Seorang bomoh dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam atas tiga tuduhan termasuk menjalankan upacara nikah batin dengan seorang wanita di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu di sini pada bulan lalu.
Muhammad Sombhas Abdullah, 48, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad.
Bagi tuduhan pertama, Muhammad Sombhas didakwa mempermain, mengajuk, mengejek amalan dan upacara berkaitan agama Islam serta perjalanan mazhab muktabar apabila menjalankan upacara nikah batin dengan seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah rumah di Kampung LBJ pada 17 September lalu.
Dia juga didakwa mempermain, mencela, mengejek dan menghina ayat-ayat al-Quran menggunakan senaskhah al-Quran di dalam pernikahan bertentangan dengan syarak selain meletakkan kitab suci tersebut di atas lantai semasa pernikahan.

Masalah banjir Sungai Batu selesai



YAHAYA (dua dari kanan) bersama Chandrakumanan (kanan) semasa melawat tapak pembinaan tembok penghalang Sungai Batu di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Masalah banjir yang sering melanda Kampung Kasipillay berdekatan Jalan Ipoh bakal berakhir selepas pembinaan tembok penghalang air yang baharu di Sungai Batu di sini tidak lama lagi.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani berkata, pembinaan tembok kira-kira satu kilometer itu akan dimulakan pada 15 Oktober ini di bawah pengawasan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Jelasnya, struktur tersebut melibatkan enam pakej atau binaan tembok, akan dibina bermula dari Sungai Batu berdekatan kampung berkenaan dan berakhir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
“Enam tembok yang akan dibina itu berupaya untuk menghalang banjir yang sering berlaku di kawasan berkenaan serta beberapa lagi tempat lain seperti Taman Golden dan Taman Kolam Air Sentul.
“Jika berjalan lancar, tembok baharu yang memakan kos kira-kira RM3 juta untuk dibina itu akan disiapkan dalam masa dua hingga tiga bulan atau pada Disember ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Keresahan penduduk berakhir



MOHAMAD MOKHTAR (kiri) menunjukkan senapang patah buatan sendiri yang dirampas di Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU – Keresahan penduduk di daerah Seri Alam di sini yang sentiasa dibelenggu dengan kejadian pecah rumah berakhir dengan tertangkapnya seorang lelaki dan dua wanita yang dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohamad Mokhtar Mohamad Shariff berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 42 tahun itu ditahan di kawasan pentadbiran daerah Seri Alam pada pukul 7.20 malam Ahad lalu.
“Hasil pemeriksaan polis menemui 11 buah telefon bimbit pelbagai jenama, tiga buah komputer riba, dua buah pemain cakera padat digital, dua monitor paparan digital LCD dan satu unit pemprosesan komputer,” katanya pada sidang akhbar di di sini semalam.

Cubaan seludup keretek gagal



ABU BAKAR (kanan) memeriksa rokok seludup yang dirampas pada sidang akhbar di Kuala Linggi semalam.



ALOR GAJAH – Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok keretek bernilai RM300,000 selepas menahan sebuah bot di perairan Tanjung Sepat, Selangor dekat sini kelmarin.
Ketua Penguat Kuasa APMM Kuala Linggi, Kepten Maritim Abu Bakar Idris berkata, pihaknya berjaya mengesan sebuah bot gentian kaca dalam keadaan mencurigakan di perairan itu pada pukul 9.45 malam.
“Sebaik menyedari kedatangan kami, pemandu bot itu bertindak melarikan diri ke arah pesisiran pantai.
“Setelah dikejar selama kira-kira 15 minit, dia berjaya dipintas namun tekong dan awak-awak dapat meloloskan diri dengan terjun ke laut dan melarikan diri ke dalam hutan berhampiran,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Linggi di sini semalam.

Tengku Fakhry tidak hirau rayuan



INILAH kereta mewah jenis Bentley Brooklands yang menjadi pertikaian.



KUALA LUMPUR – Setiausaha Sulit Sultan Kelantan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa beliau telah merayu kepada Tengku Muhammad Fakhry Petra agar meminta kebenaran daripada Pemangku Sultan ketika itu untuk membawa keluar kereta Bentley Brooklands dari Istana Mahkota, Kubang Kerian pada 30 Julai 2009.
Datuk Nik Shafriman Nik Hassan, 35, dalam penyataan saksi berkata, Tengku Muhammad Fakhry bagaimanapun tidak mengendahkan rayuan itu sebaliknya menyatakan beliau akan menghubungi Pemangku Sultan Kelantan ketika itu, Tengku Muhammad Faris Petra, selepas membawa kereta tersebut keluar dari istana.
“Plaintif (Tengku Muhammad Fakhry) telah bersetuju sekiranya saya membuka kunci stereng (kereta Bentley), beliau akan meminta kebenaran daripada Pemangku Sultan,” kata beliau pada perbicaraan kes saman RM150 juta Tengku Muhammad Fakhry terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan tiga lagi yang didakwa menahannya secara salah pada tarikh itu.

Staf kastam dihukum gantung



NAZNI (kiri) dan Ismail menutup muka masing-masing ketika berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.



ALOR SETAR – Perbuatan haram dua kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang dituduh mengedar ganja lebih enam kilogram tahun lalu berbalas apabila kedua-duanya dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Ismail Mansor, 43, dan Nazni Seman, 48, setelah mendapati keterangan membela diri tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Mahkamah mendapati keterangan yang dibuat kedua-dua tertuduh ketika di peringkat membela diri sengaja diada-adakan walaupun watak Ravi terdapat dalam kes ini namun peranannya sengaja diwujudkan.
“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan intipati pemilikan dan pengedaran dadah oleh kedua-dua tertuduh serta melampaui keraguan munasabah,” kata Mohd. Zaki dalam penghakimannya.

Jualan kereta Jepun merudum di China


GAMBAR fail menunjukkan beberapa penduduk menterbalikkan sebuah kereta buatan Jepun di Suzhou, China pada 15 September lalu. - Agensi



TOKYO - Jualan kenderaan Toyota dan Honda merudum di China pada bulan lalu selepas sentimen anti-Jepun berlaku ekoran pertikaian wilayah yang mengancam hubungan kedua-dua buah negara.
China merupakan pasaran kenderaan terbesar Jepun.
Syarikat Toyota Motor Corporation menyatakan semalam bahawa jualan kenderaan baharu di China jatuh 48.9 peratus pada September lalu berbanding setahun lalu kepada hanya 44,100 buah kenderaan.
Firma Honda Motor pula memberitahu bahawa jualan kenderaannya untuk September merosot 40.5 peratus kepada 33,931 buah kenderaan.
Jualan kenderaan buatan Nissan Motor di China pula merudum 35.3 peratus pada bulan lalu kepada 76,100 buah kenderaan.
Perkembangan tersebut berlaku selepas Jepun pada bulan lalu mewartakan beberapa pulau kecil di Laut China Timur sebagai sebahagian wilayahnya.
Gugusan pulau itu yang dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China telah dikuasai Tokyo tetapi turut dituntut oleh Beijing.
Langkah tersebut mencetuskan bantahan ganas di China dengan rakyat negara itu digesa memboikot barangan buatan Jepun.
Beberapa kedai pengedar kereta Toyota dan Honda dibakar di sebuah bandar di China manakala orang ramai yang melaungkan slogan anti-Jepun berhimpun dan memecahkan beberapa buah kereta Jepun.
Walaupun protes tersebut semakin reda sejak beberapa minggu lalu, hanya pemandu yang berani sahaja sanggup memandu kereta buatan Jepun di beberapa buah bandar di China. - Agensi

Ikan paus mati selepas diserang jerung



SEBUAH jentolak digunakan untuk menolak ikan paus ke arah pantai dekat Cape Town kelmarin.- Agensi



CAPE TOWN - Bangkai seekor ikan paus gergasi sepanjang 30 meter ditemui terdampar di tepi pantai dekat sini, lapor akhbar dalam talian MailOnline semalam.
Haiwan tersebut dipercayai mati akibat diserang oleh beberapa ekor ikan jerung putih pada Ahad lalu.
Ikan paus yang mati itu akan dihantar ke pusat pembuangan bangkai haiwan di Vissershok di sini.
Bangkai ikan itu dihanyutkan ombak ke pantai Muizenberg.
Jurucakap Pusat Pengurusan Risiko Bencana Cape Town, Wilfred Solomons-Johannes berkata, dia belum mengetahui sama ada haiwan itu masih hidup semasa diserang ikan jerung putih.
Pantai itu terkenal dengan kehadiran beberapa ekor ikan jerung tersebut. - Agensi

Serangan di pangkalan tentera



GAMBAR menunjukkan bangkai sebuah bas yang hangus terbakar selepas letupan berlaku di kawasan al-Zablatani di Damsyik semalam. - REUTERS



DAMSYIK - Berpuluh-puluh orang terbunuh dalam serangan berkembar oleh dua pengebom berani mati di pekarangan pangkalan tentera udara Syria dekat sini, kata Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain.
Kumpulan itu menyatakan, pihaknya bimbang berhubung nasib beratus-ratus tahanan yang masih berada di pangkalan tersebut.
Kumpulan jihad, Barisan Al-Nusra mengaku melakukan serangan itu.
Serangan pertama dilakukan oleh seorang penyerang yang memandu sebuah kereta berisi bahan letupan manakala satu lagi serangan melibatkan sebuah ambulans berisi bom.
Pengarah kumpulan pemerhati tersebut, Rami Abdul Rahman memberitahu agensi berita AFP bahawa berpuluh-uluh orang maut dalam pengeboman berkembar itu.
"Nasib beratus-ratus tahanan yang ditahan di bilik bawah tanah bangunan tersebut pula masih tidak diketahui," tambahnya.
Menurut kumpulan pemerhati tersebut, serangan itu mencetuskan pertempuran sengit di bandar Hasrata melibatkan kumpulan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria dan tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Menurutnya, tentera rejim Bashar turut membedil bandar Aleppo semalam yang menyaksikan pertempuran sengit berlaku sejak pertengahan Julai lalu, selain di bandar Idlib berdekatan sempadan Turki.
Satu letupan turut berlaku di kawasan al-Zablatani di sini semalam. Angka kematian belum diketahui. Perkembangan itu berlaku ketika Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)/ Liga Arab, Lakhdar Brahimi dijadualkan berkunjung ke Syria pada minggu ini untuk cuba memujuk pentadbiran Bashar supaya segera mengadakan gencatan senjata bagi menghentikan perang saudara di negara itu.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon semalam.
"Brahimi akan melawat rantau berkenaan sekali lagi dan beliau akan berkunjung ke beberapa buah negara. Beliau juga akan berada di Syria," kata Kin-moon pada satu sidang media bersama Presiden Perancis, Francois Hollande selepas pertemuan mereka di Paris.
Penentangan ke atas rejim Bashar bermula pada Mac tahun lalu sebelum merebak menjadi perang saudara yang meragut lebih 32,000 nyawa setakat ini. - Agensi

Petani menang pertandingan buah labu



AP
DANIKA STARR bergambar di tepi buah labu bapanya.



TELUK HALF MOON, California - Seorang petani dari Oregon, Thad Starr memenangi pertandingan buah labu paling berat di sini kelmarin.
Buah labu milik Starr, 45, itu seberat 805 kilogram.
Ekoran kemenangan itu, dia memperoleh wang tunai berjumlah AS$10,650 (RM32,700).
Menurutnya, dia mahu menggunakan wang tersebut untuk membawa keluarganya melancong ke Disneyland. - AP

Roh si mati dihiburkan penari wanita



SEORANG penari wanita menari di sebuah kuil di daerah Taoyuan, utara Taiwan pada 31 Ogos lalu.- AFP



TAOYUAN, Taiwan - Beberapa wanita Taiwan yang bekerja sebagai penari separuh bogel, membuat persembahan di atas pentas untuk menenangkan roh si mati yang disaksikan penonton lelaki, wanita dan kanak-kanak pada satu festival keagamaan.
"Saya perlu melakukannya untuk meneruskan hidup," kata salah seorang wanita itu En En seperti dilaporkan agensi berita AFP semalam.
En En, 18, hanya memperoleh pendapatan sebanyak AS $100 (RM307) untuk setiap aksinya.
Beberapa penonton lelaki akan memberikannya wang jika mereka menyentuh tubuh penari itu.
Seorang lagi wanita, Chiang Pei-ying mengembara ke serata Taiwan bersama bapa dan dua beradiknya untuk menghiburkan penonton serta roh si mati.
Seorang pegawai di Kuil Wu Fu, Chen Chung-hsien berkata, kumpulan penari itu menjadi daya penarik untuk orang ramai pada festival tersebut.
Kuil itu mengamalkan ajaran Taoisme.
Ia merupakan ajaran agama dan falsafah yang berdasarkan doktrin Lao Tze pada abad keenam Sebelum Masihi.
Ajaran itu menganjurkan agar manusia menjalani kehidupan yang sederhana dan jujur sesuai dengan kehendak alam. - Agensi

No comments:

Post a Comment