Enam maut nahas Viva-bas
|
KEMAMAN – Enam termasuk empat beranak terbunuh dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah bas ekspres di Kilometer 129.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhadapan Sekolah Kebangsaan Meraga, Beris dekat sini semalam.
Tragedi pada pukul 4.30 pagi itu berlaku apabila kereta dinaiki lapan mangsa yang dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke Kuala Terengganu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas terbabit.
Difahamkan pemandu bas, Mohd. Khalid Mamat, 47, yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Kuantan, Pahang membawa 23 penumpang cuba memberhentikan kenderaannya apabila melihat kereta tersebut memasuki laluannya.
Bagaimanapun, bas tersebut tidak sempat berbuat demikian menyebabkan kedua-dua buah kenderaan tersebut bertembung.
Jimmy reda dengan perpisahan
|
|
PETALING JAYA – Selepas dua tahun berdepan kontroversi rumah tangga, pengacara, Jimmy Shanley Nor Jahan Salleh akhirnya sah bercerai dengan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy secara tebus talak RM1.
Serentak itu, bekas pengacara Trek Selebriti di saluran berbayar Astro itu, disahkan bercerai talak satu dengan Nursuhaila oleh Hakim Syarie Abd. Halim Abu Samah selepas masing-masing melafazkan tebus talak tersebut.
Nursuhaila menyerahkan wang tebus talak RM1 itu kepada Jimmy sebelum prosiding bermula di Mahkamah Rendah Syariah Petaling dekat sini semalam.
Sehubungan itu, Nursuhaila selaku plaintif bersetuju menggugurkan hak tuntutan nafkah edah, nafkah mutaah, nafkah tertunggak serta hutang piutang begitu juga dengan Jimmy yang tidak akan menuntut hutang sesama mereka.
Perceraian secara tebus talak merupakan suatu perceraian yang diminta oleh isteri dengan memberi wang atau lain-lain harta benda kepada suaminya.
Sekiranya suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri tetapi bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau dengan bayaran yang dipersetujui bersama, mahkamah hendaklah mengarahkan suami itu melafazkan cerai khulu.
Sejurus selesai prosiding, Jimmy, 32, yang bergegas keluar dari dewan mahkamah sempat memberitahu media yang dia terpaksa memungkiri janji ibu mertuanya yang juga pengasas produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim supaya tidak sesekali menceraikan Nursuhaila.
“Nak buat macam mana, minat masing-masing berbeza, hobi pun tak sama, biarlah saya cari pasangan saya di Jannah (syurga),” katanya sambil menguntum senyuman pahit.
Tahi judi mahu jual buah pinggang
KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang ditinggalkan isteri dan anaknya kerana gemar berjudi, bercadang menjual salah satu buah pinggangnya bagi melangsaikan hutang judi berjumlah RM20,000.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Phuah, 45, berkata, dia rela menjual organnya sendiri kerana menemui jalan buntu untuk melangsaikan hutangnya akibat ketagih bermain judi internet.
Katanya, dia telah meminjam sebanyak RM15,000 daripada ahli keluarganya manakala RM5,000 lagi daripada ah long, namun menanggung kerugian apabila kalah berjudi.
“Saya hanya terfikir untuk menjual buah pinggang bagi mendapatkan wang. Saya kehilangan segala-galanya malah isteri saya telah meninggalkan rumah bersama dua anak perempuan kami minggu lalu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Mayat bayi disangka sampah
|
|
ALOR SETAR - Seorang jemaah Masjid Al-Rahman, Alor Merah di sini terkejut apabila beg kertas yang disangka berisi sampah rupa-rupanya mengandungi mayat bayi lelaki dibuang di depan pintu tandas masjid itu kelmarin.
Beg itu ditemui pada pukul 8.45 malam iaitu ketika Ishak Chik, 54, hendak menutup pintu pagar masjid selepas menunaikan solat Isyak berjemaah.
"Sebaik memandang ke arah tandas, saya dapati satu beg kertas diletakkan di depan pintunya. Saya ingatkan sampah tetapi apabila diangkat ia agak berat.
"Apabila ditinjau, berderau darah saya apabila mendapati ada sesuatu yang dibalut dengan kain putih seperti mayat. Sebaik diselak, saya bertambah terkejut apabila nampak muka bayi yang telah pucat," ceritanya.
Tambahnya, tanpa membuang masa, dia terus memaklumkan kepada imam dan jemaah lain sebelum membuat laporan di Balai Polis Alor Merah.
Menurut Ishak, bayi lelaki itu cukup sifat, masih bertali pusat dan berkulit sawo matang.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Curi di Kajang, tangkap di Melaka
MELAKA – Kelicikan lima penjenayah yang melarikan lima buah kereta jenis Honda daripada bilik pameran kenderaan itu di Bandar Sungai Long, Kajang Selangor 25 September lalu tidak ke mana apabila kesemuanya diberkas selepas pulang dari Pulau Besar di sini kelmarin.
Suspek-suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu diberkas pada pukul 5.20 petang kelmarin sebaik menghabiskan masa selama enam jam untuk bersembahyang di pulau tersebut.
Kesemua penyangak tersebut datang dengan menaiki dua buah kereta jenis Honda Accord pada pukul 10 pagi sebelum menaiki bot untuk ke pulau berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd. Nur Hisamuddin Hashim berkata, pihaknya terus membuat intipan di Jeti Anjung Batu pada pukul 4.20 petang selepas mendapat maklumat mengatakan kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, sebaik sampai, pihaknya yang membuat pemeriksaan mendapati kereta itu tidak mempunyai cukai jalan selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Kita kemudian telah menunggu selama satu jam sebelum mendapati lima lelaki berkenaan terus menuju ke kereta tersebut sebaik turun dari jeti.
Kebas motosikal jemaah masjid
KOTA BHARU - Tiga remaja nakal terpaksa bermalam di lokap selepas ditahan kerana disyaki terlibat mencuri antara 10 hingga 20 buah motosikal jenis Honda EX5 bernilai RM80,000 milik jemaah yang sedang bersembahyang di surau dan masjid sekitar daerah ini sejak tiga bulan lalu.
Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 19 tahun tersebut ditahan secara berasingan bermula pukul 8.30 malam Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman memberitahu, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Peringat dekat ini.
Katanya, di situ, seorang remaja berusia 16 tahun yang tidak bersekolah ditahan bersama pelbagai komponen dan sebuah casis motosikal di dapur rumahnya.
"Sejam kemudian, polis menahan pula seorang remaja berusia 19 tahun di Chuchuh Puteri, Kuala Krai, dan merampas sebuah motosikal yang dicuri di Nilam Puri.
"Polis menyelesaikan kes pada malam itu juga apabila suspek terakhir berusia 19 tahun ditahan di Kampung Padang Mengkali di sini bersama pelbagai komponen motosikal termasuk empat kulit enjin di dalam bilik tidurnya. Ketiga-tiga suspek merupakan rakan sejenayah," katanya.
Tambahnya, penjenayah hanya mencuri motosikal EX5 kerana mendapat permintaan tinggi. Kawasan yang sering disasarkan di surau dan masjid ketika jemaah sedang bersolat.
Menurut Azham, rangka motosikal dan komponen yang tidak diperlukan dibuang ke dalam tali air Kampung Padang Kala.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan.
Selat Melaka jadi mangsa
SEPANG - Kira-kira 20,000 orang penduduk Tanjung Sepat di sini semakin hari semakin tidak selesa dengan sikap sesetengah penternak babi yang membuang najis ternakan mereka ke perairan Selat Melaka.
Rata-rata mereka bimbang terdedah kepada risiko penyakit seperti Japanese Encephalitis atau Virus Nipah dan bau busuk pada bekalan ikan.
Seorang wakil penduduk yang enggan dikenali berkata, pihak berkuasa terutama kerajaan negeri seolah-olah tidak mengendahkan apa yang berlaku.
"Saya sudah tinggal di sini sejak 40 tahun. Masalah itu sering berlaku dan berjaya ditangani beberapa tahun sahaja tetapi selepas itu ia kembali berulang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, penduduk sudah tidak sanggup lagi menghidu bau busuk terutama dari ladang ternakan babi di ladang kelapa sawit Kampung Tumbuk," katanya.
Ada pelabur cuba bunuh diri
KUALA LUMPUR – Cubaan membunuh diri, tidak mampu membiayai kos rawatan dialisis buah pinggang antara sebahagian kisah sedih yang dihadapi 60,000 pelabur syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn. Bhd. (Genneva Malaysia).
Masalah itu timbul selepas operasi syarikat tersebut digantung sementara oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Oktober lalu kerana Genneva disyaki mengambil deposit secara haram, menggubah wang haram, mengelak cukai, memberi deskripsi palsu dan melantik ejen tanpa lesen.
Wakil perunding dan pembeli emas Genneva Malaysia, Al Jaz- zura Khan berkata, pelabur menghadapi masalah itu kerana mereka hilang pendapatan.
Tentera Syria bedil Homs, penduduk terkepung
|
BEIRUT - Tentera Syria semalam membedil bandar Homs pada awal pagi dan di bandar Qusayr dekat sempadan Lebanon, kata Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain.
Pihak tentera telah meningkatkan operasi ketenteraan di Homs dan Qusayr yang telah dikepung sejak beberapa bulan lalu.
Seorang aktivis di Bandar Lama Homs menyatakan, semua kawasan di daerah tersebut telah dikepung.
"Tiada jalan keluar. Situasi kini amat buruk dan membuat setiap penduduk menangis," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Bilal.
"Hospital-hospital dipenuhi dengan ramai penduduk yang cedera dan memerlukan pembedahan. Tiada sebarang jalan keluar," tambahnya.
Bandar tersebut telah dikepung lebih empat bulan oleh tentera Syria yang berdepan dengan tentangan kumpulan pemberontak.
Kumpulan pemberontak itu menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad.
"Kami menghubungi Jawatankuasa Antarabangsa Palang merah dan Bulan Sabit untuk datang bagi menghulurkan bantuan," kata aktivis itu.
Sementara itu, Turki memberi amaran akan menyerang balas dengan lebih hebat jika bedilan mortar dan meriam mengenai wilayahnya.
"Kami akan bertindak balas dengan serangan lebih hebat," kata Ketua Turus Angkatan Tentera Turki, Necdat Ozel.
Pada minggu lalu, Turki dan Syria saling berbalas bedilan di kawasan sempadan sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik di Syria akan merebak di rantau tersebut.
Penentangan ke atas rejim Bashar bermula pada Mac tahun lalu sebelum merebak menjadi perang saudara yang meragut lebih 32,000 nyawa setakat ini. - Agensi
7.43 juta kenderaan Toyota bermasalah
TOKYO - Pengeluar kenderaan dari Jepun, Toyota Motor Corporation memanggil semula 7.43 juta unit kenderaan keluarannya di Amerika Syarikat (AS), Jepun, Eropah dan pasaran-pasaran lain di seluruh dunia ekoran masalah suis tingkap kuasa.
Syarikat itu membuat pengumuman semalam dan ia melibatkan banyak model keluaran tahun 2005 hingga 2010.
Menurut Toyota, suis tingkap kuasa di tempat pemandu dikatakan tidak diletakkan dengan minyak gris sewaktu proses pengeluaran sekali gus boleh mengakibatkan geseran dan kadangkala menghasilkan asap.
Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan setakat ini ekoran masalah itu.
Bagaimanapun, jurucakap Toyota, Joichi Tachikawa berkata, terdapat 200 laporan di AS dan 39 di Jepun berhubung masalah itu.
Model-model lain yang dipanggil balik dari pasaran Amerika Utara ialah Yaris, Corolla, Matrix, Camry, RAV4, Highlander, Tundra dan Sequoia.
Model-model Scion seperti xB and xD yang melibatkan 2.47 juta unit kenderaan turut terlibat dengan masalah tersebut.
Sebanyak 460,000 kenderaan Toyota menjalani proses yang sama di Jepun melibatkan model Vitz, Belta, Ractis, Ist, Auris dan Corolla Lumion.
Sementara itu di Eropah, sebanyak 1.39 juta unit model seperti Yaris, Corolla, Auris, Camry dan Rav-4 turut menghadapi masalah yang sama.
Proses pemanggilan semula juga berlaku di Australia, China, Asia dan Asia Barat. - Agensi
Pemandu teksi diberi AS$2,000 kerana bersikap jujur
|
|
LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Seorang pemandu teksi di sini, Adam Woldemarim diberi ganjaran sebanyak AS$2,000 (RM6,148) oleh pemilik wang tunai berjumlah AS$221,510 (RM680,927), lapor agensi berita AP semalam.
Pemilik wang tersebut yang merupakan seorang pemenang permainan judi memberikan ganjaran itu kerana berasa gembira dengan sikap Woldemarim.
Woldemarim, 42, yang berasal dari Habsyah menemui wang tersebut semasa dia membersihkan teksinya pada 2 September lalu.
Wang tunai itu tersimpan di dalam sebuah beg komputer riba.
Dia kemudian menghubungi seorang rakannya yang pernah memandu teksi itu.
Bagaimanapun, rakannya itu yang juga berasal dari Habsyah menafikan wang tersebut miliknya.
Rakannya itu meminta dia memberitahu pejabat keselamatan syarikat yang memiliki teksi berkenaan.
Woldemarim kemudian membuat laporan di pejabat keselamatan itu yang kemudian menghubungi polis.
Seorang pengawal keselamatan merakamkan gambar wang itu.
Sejam kemudian, Woldemarim dihubungi seorang pengawal keselamatan supaya datang semula ke pejabat tersebut.
Dia menemui pemilik wang tersebut yang berada di pejabat berkenaan.
Pemilik wang itu sebelum ini telah menghubungi syarikat teksi berkenaan bagi memberitahu dia tertinggal wang itu semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang. - Agensi
Amra dipilih sebagai datuk bandar wanita pertama Bosnia
|
|
VISOKO, Bosnia-Herzegovina - Seorang ibu kepada tiga orang anak, Amra Babic merupakan datuk bandar wanita yang pertama memakai tudung di negara ini.
Menurut Amra, rakan-rakannya menunjukkan semangat yang jitu kerana memilih beliau sebagai datuk bandar.
Amra, 43, memenangi 30 peratus undi pada pilihan raya datuk bandar di sini yang didiami 40,000 penduduk.
Beliau merupakan ahli ekonomi dan pernah menjadi menteri kewangan untuk wilayah Zenica mewakili Parti Tindakan Demokratik.
"Saya percaya tudung kepala saya tidak akan menjadi penghalang (untuknya melaksanakan tugas)," katanya kelmarin.
"Saya tidak akan menyalahgunakan politik untuk kepentingan agama," tambahnya yang dipilih para pengundi pada Ahad lalu.
Suaminya terbunuh dalam Perang Bosnia yang berlaku pada 1992 hingga 1995. - AFP
Ketua PBB puji Psy
PARIS - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon memuji penyanyi rap Korea Selatan kerana lagu Gangnam Style menjadi penggerak ke arah keamanan dunia.
"Saya telah menonton video tersebut (Gangnam Style)," katanya kepada agensi berita AFP kelmarin.
Ki-moon yang berusia 68 tahun merupakan rakyat Korea Selatan.
Muzik video Gangnam Style yang menunjukkan Psy menari tarian kuda telah ditonton lebih 400 juta kali di laman perkongsian YouTube sejak dimuat naik pada 15 Julai lalu.
Psy kemudian menjadi terkenal di seluruh dunia terutama di Amerika Syarikat (AS) ekoran tariannya itu.
Dia turut diundang ke AS untuk menghadiri program bual bicara dan menjadi artis yang diurus oleh pengurus penyanyi terkenal, Justin Bieber, Scooter Braun.
Tarian kudanya itu juga menjadi ikutan penduduk pelbagai bangsa, walaupun lagu tersebut dinyanyikan dalam bahasa Korea.
Pemain tenis Serbia, Novak Djokovic menari tarian itu selepas perlawanan akhir Terbuka China di Beijing pada 7 Oktober lalu.
Pada perlawanan itu, dia menewaskan Jo-Wilfried Tsonga dari Perancis dengan keputusan 7-6, 6-2.
Menurut Ki-moon, beliau bangga dengan persembahan Psy.
"Tidak ada bahasa yang diperlukan dalam dunia muzik. Ia merupakan kuasa muzik.
"Menerusi persembahan seni itu, kita akan lebih memahami kebudayaan dan tamadun bangsa lain," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment