Sunday, October 7, 2012

JANGAN Fiesta Bera JADI MEDAN MAKSIAT DENGAN BERCAMPUR GAUL...SERTA PENDEDAHAN AURAT...HUKUM2 MUDAH TAK KAN TAK TAHU

Bahaya mandi wap melampau


RAMAI pengunjung gimnasium tidak sedar rawatan mandi wap selepas bersenam boleh melemahkan sistem pembiakan mereka. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR - Seorang pakar kesuburan lelaki mendakwa, mandi wap yang menjadi kegilaan golongan itu di bandar-bandar besar selepas bersenam di gimnasium boleh melemahkan fungsi sel sperma yang terkandung dalam testis (buah zakar) mereka.
Lebih menggerunkan, statistik perubatan membuktikan kira-kira 40 peratus masalah tidak boleh hamil yang dihadapi oleh wanita yang berkahwin berlaku akibat ketidaksuburan kaum lelaki.
Dr. Eeson Sinthamoney yang merupakan pakar Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan di Hospital Pantai di sini berkata, rawatan tersebut yang memerlukan kepanasan wap antara 60 darjah Celsius hingga 100 darjah Celsius menyebabkan tubuh seseorang terdedah pada suhu yang terlalu tinggi.

Rayu susu formula bayi jadi barangan kawalan



SEBAHAGIAN susu formula bayi yang dijual di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.



KUALA LUMPUR - Orang ramai terutama golongan ibu bapa meminta kerajaan menjadikan susu formula bayi sebagai barangan kawalan bagi mengawal harga susu itu yang semakin meningkat akhir-akhir ini.
Pegawai sebuah syarikat swasta, Wanda Mohd. Rashid, 38, berkata, langkah menjadikan susu formula bayi sebagai barangan kawalan juga membolehkan golongan ibu bapa membeli susu yang lebih berkualiti untuk bayi mereka.
"Saya harap harga susu bayi jadi barangan kawalan supaya harganya dapat direndahkan. Jika harga susu murah, saya boleh beli susu yang lebih berkualiti untuk anak saya," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.

Hutang ah long RM20,600 kena bayar RM80,000

KUALA LUMPUR - Seorang juruteknik yang berusaha untuk menambah pendapatan keluarga dengan berniaga kuih menerusi pinjaman ah long tidak menyangka hidupnya menjadi lebih menderita sejak awal tahun lalu.
Situasi itu berlaku apabila perniagaan yang dirancang bersama isteri tidak mendapat sambutan menyebabkan dia terpaksa menanggung hutang terkumpul kira-kira RM80,000 dengan ah long terbabit.
Juruteknik yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 33, berkata, akibat hutang itu juga, dia terpaksa melakukan kerja sampingan sebagai pemandu teksi di ibu negara untuk menyara keluarga.
"Sebelum berniaga, gaji saya cukup untuk menyara isteri dan anak yang masih kecil, tetapi kini pendapatan bulanan sebagai juruteknik bukan untuk keluarga sebaliknya untuk ah long kerana mereka pegang kad pengeluaran wang tunai automatik (ATM) saya," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.

Fiesta Bera berlangsung meriah



ISMAIL SABRI (tengah) beramah mesra dengan sekumpulan kanak-kanak ketika melawat gerai Bank Rakyat pada Fiesta Bera 2012.



BERA - Fiesta Bera yang dianjurkan buat tahun ketiga berturut-turut sejak 2010 berjaya membuka mata orang luar terhadap pembangunan dan keunikan daerah di Pahang itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan Fiesta Bera telah menjadikan daerah Bera semakin dikenali di Malaysia.
"Ramai orang menyangka Bera ini jauh sangat dan tidak maju namun sejak ia dikenali dengan penganjuran Fiesta Bera, semakin ramai orang mengenali Bera," katanya semasa merasmikan Fiesta Bera Siri Ke-3 di Tapak Ekspo Majlis Daerah Bera di sini semalam.
Bera terletak kira-kira 180 kilometer dari Kuantan manakala Temerloh merupakan bandar paling hampir dengan daerah tersebut.
Pada majlis yang sama, Ismail Sabri yang merupakan Ahli Parlimen Bera turut melancarkan Kempen Simpan dan Menang bagi Simpanan- i dan Deposit- i Bank Rakyat.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Yusof Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Azizan Mohd. Sidin.
Sementara itu, Fiesta Bera 2012 semalam juga menyaksikan beberapa pertandingan yang menjadi tumpuan ramai seperti pertandingan memasak ikan patin dan gubahan.
Gerai-gerai makanan juga menarik perhatian ramai termasuk gerai Radix Fried Chicken (RFC) yang menyajikan menu ayam organik goreng dan minuman berkhasiat keluaran syarikat Darul Rahmat Sdn. Bhd.
Pada sebelah malam, pengunjung dihiburkan dengan Konsert Fiesta Bera 3 - MyIPO melibatkan 25 orang artis tempatan, antaranya, Datuk M. Daud Kilau, Ani Mayuni, Saida AF, Anzalna, Dafi, Kumpulan Forteen, Ali Terra Rossa, Kelvin Lau manakala Abon dan Didie Alias selaku 
pengacara.

Uji bakat Soulstar 2012 cabar kemampuan peserta

KUCHING - Sesi pemilihan bagi mencari peserta untuk program realiti Soulstar 2012 musim ketiga akan diadakan secara lebih ketat.
Pengasas Soulstar, Zaini Zainuddin berkata, pengendalian uji bakat kali ini dilakukan secara tiga peringkat bagi memastikan pelajar yang terpilih mempunyai bakat nyanyian dan persembahan tersendiri.
Menurutnya, sepanjang uji bakat, pihak penganjur akan memilih seramai 50 peserta dan 30 orang daripada mereka akan layak ke saringan separuh akhir.
Jelasnya, daripada jumlah itu, hanya 20 peserta akan dipilih sebagai peserta akhir untuk program tersebut.
"Setakat ini, saya membayangkan enam peserta berpotensi untuk dipilih kerana mereka mempunyai pakej dan kualiti sebagai seorang penghibur.
"Kita perlu menentukan sama ada mereka sesuai atau tidak menjadi pelajar Soulstar musim ketiga ini. Kita mahu peserta yang bukan sahaja memiliki vokal mantap tetapi juga perwatakan dan memiliki keyakinan diri," katanya di sini semalam.
Ujarnya, peserta akan diuji untuk berdepan tekanan sebagai persediaan selepas keluar daripada program realiti nombor satu Sarawak itu.
Program Soulstar 2012 adalah anjuran Kampung Budaya Sarawak dan E-One Dasri Talent Management manakala akhbar Kosmo! menjadi rakan media rasmi.

Jururawat hospital kerajaan ditambah

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan mengambil seramai 1,681 orang jururawat lepasan kolej perubatan swasta setiap tahun bagi mengatasi masalah kekurangan jururawat di hospital-hospital kerajaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pengambilan yang akan dilakukan mulai hujung tahun ini dijangka dapat mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan jururawat lepasan swasta yang semakin meningkat.
"Ketika ini, seramai 66,000 jururawat berkhidmat di hospital dan klinik kerajaan dan jumlah itu masih belum mencukupi, justeru Kabinet semalam (kelmarin) telah bersetuju untuk menambah jawatan jururawat.
"Pertambahan 1,681 jururawat akan dibuat setiap tahun mulai hujung tahun ini dan dalam masa empat tahun kita akan mempunyai seramai 6,726 jururawat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Jururawat Bencana di sini semalam.
Persidangan itu disertai oleh 38 delegasi dari negara-negara Asia Pasifik.

Bekas kapten bola sepak Selangor derita barah hidung



LATIFAH melihat keadaan Mohd. Ezmi yang dijangkiti barah hidung di Hulu Selangor semalam. Gambar kecil, wajah Mohd. Ezmi sebelum ini.



HULU SELANGOR - Bekas ketua pasukan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 1998, Mohd. Ezmi Md. Jan, 35, yang menderita penyakit barah hidung atau limfoma perlu menjalani pembedahan penggantian tisu bagi merawat penyakit itu.
Menurut ibunya, Latifah Daud, 55, walaupun barah anak sulungnya itu kini berada pada tahap empat, dia masih berpeluang sembuh dan kembali menjalani kehidupan normal.
"Doktor yang pernah merawat Mohd. Ezmi beritahu pembedahan itu hanya dapat dijalankan apabila luka pada hidungnya kering dan bebas kuman supaya tisu sesuai dapat ditampal pada luka tersebut," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya di Kampung Sentosa, Batang Kali di sini semalam.

DUNIA


Jaket peluk untuk pengguna Facebook


KINI, pengguna Facebook boleh merasakan seperti dipeluk sewaktu memakai jaket Like-A-Hug dan rakan mengklik butang "Like" pada status mereka.



SAN FRANCISCO - Sehelai jaket yang dibangunkan oleh Institut Teknologi Massachusetts (MIT) membolehkan pengguna laman sosial Facebook berpeluk antara satu sama lain tidak kira di mana pun mereka berada.
Jaket yang dikenali sebagai Like-A-Hug itu dipamerkan pada Jumaat di laman web perekanya, Melissa Kit Chow.
Disifatkan sebagai 'media sosial yang boleh dipakai', jaket tersebut akan mengembung dan memberikan perasaan seperti dipeluk kepada pemakainya apabila rakan-rakan di Facebook mengklik "Like" pada status yang ditulis.
Chow bekerjasama dengan Andy Payne dan Phil Seaton di Makmal Media MIT untuk menghasilkan jaket berwarna hitam itu.
" Like-A-Hug membolehkan kita berasa lebih rapat biar pun jarak fizikal adalah jauh," kata Chow. - AFP

Strawberi punca muntah, cirit-birit di Jerman



STRAWBERI yang tercemar dipercayai telah menyebabkan hampir 11,000 orang mengalami muntah dan cirit-birit di timur Jerman. - Gambar hiasan



BERLIN - Pihak berkuasa Jerman telah mengenal pasti strawberi-strawberi beku menjadi punca kepada tersebarnya wabak radang perut dan usus atau gastroenteritis di timur Jerman.
Penyakit itu dikatakan menyerang lebih 11,000 orang terutama kanak-kanak di sekolah rendah dan pusat-pusat jagaan.
Pusat kawalan penyakit kebangsaan, Institut Robert Koch pada lewat Jumaat mengesahkan bahawa kajian-kajian yang dijalankan mendapati wujud hubungan kukuh antara pengambilan makanan yang mengandungi strawberi dengan kes-kes muntah serta cirit-birit.
Bukti-bukti juga menunjukkan norovirus, penyakit bawaan makanan atau air itu merupakan punca kejadian tersebut. Namun, institut itu tidak menolak kemungkinan atau patogen lain menjadi puncanya.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Jerman, Holger Eichele memberitahu, strawberi-strawberi itu dipercayai datang dari luar Kesatuan Eropah (EU). Masalah muntah dan cirit-birit itu bagaimanapun tidak terlalu serius apabila pesakitnya tidak perlu ditahan di hospital. - Agensi

Kerajaan Filipina rugi RM7.5 bilion



GLORIA MACAPAGAL ARROYO



MANILA - Filipina mengalami kerugian sebanyak AS$2.46 bilion (RM7.5 bilion) berikutan salah guna dana dan harta negara sewaktu tahun-tahun akhir pentadbiran bekas presidennya, Gloria Macapagal Arroyo, jelas Suruhanjaya Audit semalam.
Suruhanjaya Audit mendedahkan keraguan-keraguan yang kebanyakannya berlaku sekitar tahun 2007 hingga 2009 dalam siasatan yang melibatkan lebih 61,000 agensi kerajaan pada tahun lalu.
"Kebanyakan hasil siasatan audit dikategorikan sebagai kerugian kewangan kerajaan akibat pelanggaran undang-undang dan peraturan," jelas laporan yang disiarkan buat pertama kali di laman webnya semalam.
Lebih 4,000 kes perbelanjaan tidak sah, pemberian wang pendahuluan yang tidak direkodkan, tuntutan palsu, aset hilang dan projek terbangkalai menjadi punca kerugian tersebut. Jumlah itu bersamaan dengan 5.6 peratus bajet kerajaan Filipina untuk tahun ini.
Antara dana yang disalah guna ialah wang untuk keluarga miskin yang diberi setiap bulan bagi memastikan anak-anak mereka boleh terus bersekolah.
Ketua Audit Negara, Grace Tan dalam satu surat kepada akhbar-akhbar di Manila menyatakan bahawa audit dilakukan ke atas perbelanjaan tahun 2010, sebaik sahaja Aquino Benigno dilantik sebagai Presiden Filipina.
"Kerugian kewangan tidak semestinya disebabkan oleh rasuah. Hanya mahkamah boleh membuat keputusan mengenai kes rasuah," kata Tan.
Aquino dikatakan telah mengarahkan seorang peguam antirasuah khas untuk menfailkan pendakwaan ke atas mereka yang bertanggungjawab dalam 744 kes.
Arroyo kini ditahan di sebuah hospital tentera di Manila selepas dituduh menggunakan wang dana loteri negeri berjumlah AS$8.8 juta (RM27 juta) untuk kempen pilihan rayanya. - AFP

No comments:

Post a Comment