OIC minta perang Syria ditamatkan
|
KAHERAH - Para pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di sini semalam meminta rundingan dilakukan bagi menamatkan peperangan di Syria.
Presiden Mesir, Mohamed Morsi (gambar) ketika berucap pada persidangan kemuncak OIC kali ke-12 itu meminta rejim Presiden Basyar Al-Assad di Damsyik untuk mempelajari sejarah dan tidak meletakkan kepentingan dirinya lebih utama daripada penduduk negaranya.
Morsi yang memberikan ucapan utama dalam persidangan OIC itu meminta anggota-anggota pertubuhan berkenaan untuk menyokong usaha-usaha pihak penentang Bashar menyatukan dan membawa pembaharuan di Syria.
Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyatakan kepada pemberita sebelum persidangan itu bermula bahawa kaedah ketenteraan bukan penyelesaikan terhadap konflik di Syria.
Lebih 60,000 orang terbunuh di Syria sejak para penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan bangkit bertempur dengan tentera Bashar sejak Mac 2011.
Ketua Majlis Kebangsaan Syria yang menjadi penentang Bashar, Moaz Alkhatib menawarkan kepada Presiden itu untuk berunding secara damai jika pihak berkuasa membebaskan ribuan tahanan.
Bagaimanapun, tiada komen rasmi daripada Bashar setakat ini. - Agensi
Penyerang berani mati serang pejabat perisikan Syria
BEIRUT - Satu letupan kuat berlaku semalam dengan menyasarkan sebuah bangunan perisikan di tengah Syria menyebabkan lima askar terbunuh."Letupan itu adalah disebabkan satu serangan berani mati di pejabat agensi perisikan di Palmyra," kata Ketua Pemantau Syria Untuk Hak Asasi, Rami Abdul-Rahman.
Menurutnya, askar-askar Syria turut bertempur dengan para penyerang.
Palmyra terletak di wilayah Homs.
Lebih 60,000 orang dilaporkan terbunuh di Syria ekoran pertempuran antara tentera Presiden Bashar Al-Assad dengan para penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan.
Para penentang itu mahu Bashar meletakkan jawatan selepas beliau didakwa gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan kebebasan bersuara.
Pertempuran di Syria bermula pada Mac 2011. - Agensi
5 maut tsunami landa Kepulauan Solomon selepas gempa bumi
SYDNEY - Satu gempa bumi kuat di perairan Kepulauan Solomon mencetuskan ombak tsunami setinggi 1.5 meter semalam yang merosakkan puluhan buah rumah dan menyebabkan lima orang hilang di kepulauan berkenaan di Lautan Pasifik.
Semua mangsa yang hilang itu dikhuatiri mati.
Pihak berkuasa kemudian membatalkan amaran tsunami di pantai-pantai yang terletak jauh dari lokasi gempa bumi.
Beberapa pegawai tempatan berkata, dua ombak tsunami setinggi 1.5 meter melanda Kepulauan Santa Cruz dengan menyebabkan antara 70 hingga 80 buah rumah rosak.
Seorang jurucakap pemerintah, George Herming memberitahu bahawa ramai penduduk kampung berpindah ke tempat yang lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.
"Kami percaya beberapa orang terbunuh dalam bencana ini," kata Komisioner Polis Kepulauan Solomon, John Lansley pula.
Tsunami itu terbentuk selepas gempa bumi 8.0 pada skala Richter melanda dekat bandar Lata di Pulau Santa Cruz.
Lata terletak dalam wilayah Temotu iaitu bahagian paling timur di Kepulauan Solomon pada jarak sekitar tiga jam penerbangan dari ibu kota negara itu, Honiara.
Temotu dihuni oleh sekitar 30,000 penduduk.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik menyatakan, ombak tsunami setinggi tiga meter melanda sebuah dermaga Lata.
Beberapa ombak yang lebih kecil turut berlaku di Vanuatu dan New Caledonia. - AP
Pemimpin pembangkang Tunisia mati ditembak
TUNIS - Sebuah parti Islam yang menerajui kerajaan campuran Tunisia menegaskan, pihaknya tidak terbabit dalam insiden seorang pemimpin pembangkang, Shokri Belaid ditembak mati semalam.
"Parti Ennahda tidak terlibat dalam kejadian pembunuhan Belaid. Adakah parti pemerintah sanggup melakukan pembunuhan tersebut yang diketahui akan menjejaskan sektor pelaburan dan pelancongan negara?" kata presiden parti berkenaan, Rached Gannouhi dalam satu wawancara bersama agensi berita Reuters.
Beliau sebaliknya menyalahkan pihak yang cuba menggagalkan peralihan demokrasi di Tunisia selepas kebangkitan rakyat berlaku pada tahun 2011.
"Tunisia berada dalam situasi yang amat buntu sejak revolusi rakyat 2011. Kita sepatutnya berdiam diri dengan tidak terlibat dalam kancah keganasan. Kita sekarang amat memerlukan penyatuan," kata Gannouhi.
Belaid ditembak di luar kediamannya di sini kelmarin dalam insiden yang disifatkan oleh Perdana Menteri, Hamadi Jebali sebagai pembunuhan politik.
"Mereka yang membunuh Shokri mahu menutup mulutnya," kata Jebali.
Belaid yang meninggal dunia di hospital merupakan pemimpin Parti Barisan Popular.
Beliau yang juga seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia kerap mengkritik kerajaan dengan menuduh ia menjadi boneka pemimpin-pemimpin Qatar di Teluk Arab tetapi dinafikan oleh Tunisia.
"Belaid mati terkena empat das tembakan di kepala dan dada hari ini (semalam). Ia ialah hari yang menyedihkan untuk Tunisia," kata seorang pemimpin Parti Barisan Popular, Ziad Lakhader.
Berita kematiannya mendorong lebih 1,000 penunjuk perasaan berhimpun di luar Kementerian Luar di sini untuk mendesak kerajaan sedia ada meletak jawatan. - Agensi
Kanak-kanak sembilan tahun lahir anak di Mexico
BANDAR RAYA MEXICO - Seorang kanak-kanak perempuan yang berusia sembilan tahun telah melahirkan seorang bayi perempuan, kata pihak berkuasa tempatan dan anggota keluarga kanak-kanak berkenaan semalam."Kanak-kanak perempuan itu berusia lapan tahun semasa dia mula hamil. Bapa bayi yang dilahirkan itu pula merupakan seorang remaja berusia 17 tahun. Namun, kami masih tidak dapat menemuinya kerana dia telah melarikan diri," kata ibu kepada kanak-kanak perempuan berkenaan.
Seorang pegawai di pejabat pendakwa raya daerah, Jorge Villasenor berkata, pihaknya sedang memburu remaja lelaki itu.
Menurutnya, cerita sebenar perlu diketahui daripada remaja lelaki itu bagi mengetahui sama ada dia hamil kerana dirogol atau disebabkan penderaan seks.
Bayi itu dilahirkan pada 27 Januari lalu di Hospital Zoquipan.
Berat bayi itu ialah 2.7 kilogram.
Kanak-kanak perempuan tersebut bersama anaknya perempuannya dibenarkan keluar dari hospital itu pada hujung minggu lalu. - AFP
dua renjer Indonesia parah diserang biawak komodo
JAKARTA - Seekor biawak komodo di Indonesia menyerang dua orang renjer perhutanan di sebuah pulau yang menjadi habitat spesies cicak raksasa tersebut, kata seorang pegawai semalam.
Pegawai berkenaan, Heru Rudiharto berkata, serangan itu telah menyebabkan mereka mengalami kecederaan parah dan terpaksa dirawat di hospital.
Menurutnya, seorang renjer berusia 50 tahun sedang duduk di bahagian hadapan pejabatnya di Pulau Rinca tengah hari kelmarin apabila seekor biawak komodo sepanjang dua meter tiba-tiba menerpa masuk.
Pulau berkenaan menempatkan Taman Kebangsaan Komodo.
"Dia panik selepas melihat biawak Komodo itu dan cuba melompat ke atas sebuah kerusi. Namun, binatang buas itu dengan pantas menangkap dan menggigit kakinya," kata Heru,
Katanya, renjer itu merupakan mangsa serangan serupa oleh biawak komodo pada 2009.
Seorang lagi mangsa yang berusia 35 tahun telah mendengar jeritan dan dengan segera berlari untuk memberi bantuan tetapi dia turut diserang reptilia ganas itu.
Kedua-duanya berada dalam keadaan stabil selepas menerima beberapa jahitan di sebuah klinik kesihatan berdekatan, ujar Heru.
Bagaimanapun, katanya, mereka kini diawasi di sebuah hospital bagi memastikan tiada jangkitan berlaku.
Biawak komodo dipercayai memburu menggunakan strategi 'gigit dan tunggu.'
Binatang buas itu menggunakan bakteria beracun dalam air liur untuk melemahkan atau membunuh mangsa.
Namun, penyelidikan terbaharu mendapati rahang cicak raksasa itu mempunyai kerandut racun yang boleh menyebabkan mangsa menjadi lumpuh dan kejang serta pendarahan.
Reptilia tersebut tinggal di beberapa buah pulau di Indonesia. - AFP
Terjunan Baumgartner lebih laju
|
VIENNA - Penerjun udara Austria, Felix Baumgartner (gambar kecil) yang terjun di pinggir angkasa lepas Oktober tahun lalu jatuh pada kelajuan 1.25 kali ganda lebih pantas daripada bunyi, kata pihak penganjur semalam.
Sebelum ini, kiraan awal mendapati kelajuannya hanya 1.24 kali ganda lebih pantas daripada bunyi.
Menurut analisis terakhir pasukan Baumgartner, Red Bull Stratos, lelaki berusia 43 tahun itu mencecah kelajuan 1,357.6 kilometer sejam atau Mach 1.25 dalam terjunam bebas itu.
Menurut Red Bull Stratos, Persekutuan Aeronautik Antarabangsa kini menimbang untuk mengesahkan terjunam tersebut sebagai mencatat rekod dunia.
Baumgartner terjun dari sebuah kapsul pada ketinggian 38,969.4 meter di langit negeri California, Amerika Syarikat pada 14 Oktober tahun lalu dengan aksinya ditonton oleh berjuta-juta orang di kaca televisyen dan internet. - AFP
257 peniaga ingkar kena kompaun
KUALA LUMPUR – Seramai 257 peniaga di seluruh negara telah dikenakan kompaun sebanyak RM30,431 sepanjang tahun lalu kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.
Tindakan tersebut dikenakan terhadap peniaga terbabit oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana melanggar peraturan skim tersebut pada musim perayaan Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.
Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe berkata, daripada jumlah itu, 181 kes adalah disebabkan kegagalan peniaga menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu, 13 kes tiada tanda harga, manakala 12 kes menjual barang kawalan melebihi harga maksimum.
“Dalam operasi penguatkuasaan sepanjang tempoh tersebut, KPDNKK telah melakukan pemeriksaan terhadap 209,680 perniagaan borong dan runcit dengan nilai rampasan berjumlah RM25,999.79,” katanya selepas membuat pemantauan harga di Pasar Taman Muda, Ampang dan TLC Hypermarket di sini semalam.
Wanita Malaysia diherdik jika enggan melacur
SYDNEY - Seorang wanita dari Malaysia yang dipaksa menjadi pelacur memberitahu sebuah mahkamah Australia bahawa dia diherdik kerana enggan melakukan aksi seks dan dipaksa bekerja 17 jam sehari di sebuah rumah pelacuran di sini, lapor agensi Australian Associated Press semalam.
Mahkamah Daerah Sydney di sini diberitahu semalam bahawa seorang ibu ayam, Wong Chee Mei mengajar wanita tersebut aksi-aksi seks yang perlu dilakukan dan memarahinya selepas seorang pelanggan mengadu dia enggan melakukan beberapa aksi lucah itu.
Chee Mei, 37, mengaku tidak bersalah berhubung dakwaan menjalankan perniagaan melibatkan perkhidmatan seks dan enam pertuduhan mengupah dan mengeksploitasi warga asing dengan melanggar syarat visa mereka.
Mahkamah mendakwa Chee Mei yang juga dikenali sebagai Yoko menguruskan rumah pelacuran Diamonds brothel di Willoughby, utara bandar raya ini antara 2008 hingga 2010.
Mahkamah diberitahu, dia mengupah enam wanita berdarah India yang direkrut di Malaysia dan dihantar ke Australia dengan menggunakan visa pelajar untuk menjadi pelacur.
Menyamar anak Sultan Kedah
JOHOR BAHRU – Gara-gara mendakwa dirinya putera kepada Sultan Kedah, seorang pesawah padi didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas 13 pertuduhan memperdaya seorang pegawai bank tahun lalu.
Bagaimanapun, Mohd. Aszuraidi Abd. Aziz, 31, mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Alias.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah memperdaya seorang pegawai bank, Akbar Mohamad, 53, antara 8 Ogos hingga 27 November tahun lalu di Taman Istimewa Pandan di sini dengan mengaku dirinya anak kepada Sultan Kedah dan mempunyai banyak harta di bawah nama ‘ayahandanya’ itu.
Tertuduh yang berasal dari Alor Setar, Kedah mendakwa mahu membuat urusan penukaran nama harta Sultan Kedah kepada namanya dan memerlukan sejumlah wang untuk tujuan itu.
Dia kemudian berjumpa dengan mangsa dan melakukan penipuan hingga mendorong pegawai bank berkenaan menyerahkan wang kepadanya secara berperingkat-peringkat yang keseluruhannya berjumlah RM1,898.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta sebatan bagi setiap pertuduhan.
Mohd. Azlan Shah Mohd. Alias kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000.
Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar jaminan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Afif Ali dan Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan kes akan disebut semula pada 6 Mac ini.
Cuba seludup 'kopi' syabu
KOTA KINABALU - Taktik dua keldai dadah membungkus 1.5 kilogram syabu bernilai RM440,000 menggunakan dua pembungkus minuman bertenaga jenama Alicafe Power Root terbongkar apabila mereka diberkas sebelum sempat membawa bahan khayal tersebut ke luar negara Isnin lalu.
Kedua-dua suspek berusia 24 dan 34 tahun tersebut diberkas pada pukul 6.40 pagi di tebing Sungai Pasir Putih, Tanjung Batu Logpond, Tawau ketika berada di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan. Salah seorang suspek merupakan warga Indonesia.
Difahamkan, sebelum itu, mereka yang sering melakukan penyeludupan pada waktu subuh sedang menunggu rakan untuk membawa dadah tersebut ke luar negara melalui laut.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, sepasukan polis diarahkan membuat intipan sebaik mendapat maklumat awam yang curiga melihat kehadiran kereta berkenaan.
Katanya, ketika diserbu, salah seorang suspek cuba melarikan diri, namun gagal apabila diberkas oleh polis marin daerah Tawau.
"Pemeriksaan di dalam kereta tersebut menemui satu beg berwarna hitam mengandungi dua pembungkus minuman Alicafe Power Root.
"Sebaik dibuka, kita menemui 13 paket plastik lut sinar mengandungi syabu seberat 1.5 kilogram dianggarkan bernilai RM440,000," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, selain itu, pihaknya turut merampas wang RM40,606, kereta Proton Iswara, sebentuk cincin dan seutas rantai emas.
Menurut Hamza, polis kemudian dibawa ke sebuah rumah milik salah seorang suspek berdekatan kawasan tersebut dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
"Kita percaya mereka dijadikan keldai dadah oleh satu sindiket antarabangsa yang hanya menjalankan kegiatan itu pada waktu subuh untuk mengelak dari dikesan," katanya yang percaya suspek bukan pertama kali melakukan kegiatan haram itu.
Kedua-dua suspek kini direman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Taman Warisan Batu Sapi terbiar
SANDAKAN - Keindahan Taman Warisan Batu Sapi yang menjadi kebanggaan penduduk daerah ini suatu ketika dahulu kini hanya tinggal kenangan.
Terletak kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar, taman tersebut yang terkenal dengan bongkah batu yang menyerupai sapi (lembu) terus terbiar sejak beberapa tahun lalu tanpa sebarang penyelenggaraan.
Tinjauan Kosmo! ke taman tersebut baru-baru ini mendapati, hampir keseluruhan kawasannya berada dalam keadaan daif dengan kemudahan awam seperti tandas, jejantas dan rumah rehat telah rosak.
Lebih menyedihkan, taman yang pernah menjadi tumpuan pelancong luar negara itu turut dijadikan tempat pemujaan berdasarkan penemuan kain-kain kuning dan makanan yang diletakkan di atas bongkah batu menyerupai seekor lembu itu.
Seorang penduduk, Sarman Ali, 50, berkata, taman tersebut yang menjadi sebahagian daripada mercu tanda daerah tersebut sepatutnya dijaga sebaiknya kerana mempunyai nilai warisan tinggi untuk tatapan generasi akan datang.
"Setiap kali datang ke sini, saya berasa sedih dan kecewa kerana taman ini dibiarkan begitu sahaja dengan dipenuhi semak samun dan sampah," katanya di sini semalam.
Sarman yang juga kakitangan Jabatan Perhutanan memberitahu, dia pernah membuat kerja-kerja pembersihan dan penaiktarafan di kawasan berkenaan pada tahun 2006 bersama Lembaga Pelancongan Negeri Sabah, namun selepas itu, ia tidak dijaga dan diselenggara dengan baik.
"Lihat sahaja sekarang, kemudahan awam semua rosak dan hanya tinggal tiang konkrit sahaja, selain jalan untuk masuk ke taman ini berlumpur dan dipenuhi semak," jelasnya.
Seorang lagi penduduk, Abdullah Chik Utu, 48, berkata, taman tersebut pernah menjadi pusat pelancongan terkenal di Sabah.
Katanya, orang ramai datang untuk melihat keunikan dan daya tarikan bongkah batu tersebut.
"Disebabkan bongkahnya menyerupai lembu, pada masa ini, ada golongan tertentu menjadikannya sebagai tempat pemujaan sama ada untuk bernazar atau tolak bala," katanya.
Beli petrol sebelum rentung
IPOH – Misteri kematian empat beranak yang ditemui rentung di dalam banglo yang terbakar di Taman Bukit Medan, Sungai Siput dekat sini kelmarin semakin terungkai apabila siasatan lanjut polis mendapati mangsa telah membeli petrol dalam kuantiti yang banyak.
Petrol melebihi 30 liter berharga RM60 tersebut dibeli di sebuah stesen minyak berdekatan rumah mereka beberapa jam sebelum kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, minyak itu dibeli oleh S. Jayalatchumy, 45, dan tiga anaknya iaitu R. Thilagawati, 23, R. Puvaneswary, 21 serta R. Suhan, 17.
Berdasarkan maklumat terbaharu itu, polis masih mengekalkan kes tersebut sebagai mati mengejut kerana ia tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Berdasarkan maklumat jiran-jiran, kali terakhir kelibat empat beranak itu dilihat di pekarangan rumah antara pukul 6 petang hingga 7 malam.
“Jiran-jiran memberitahu, mereka tidak mendengar sebarang pertengkaran atau pergelutan dari dalam banglo yang disewa sejak setahun lalu oleh keluarga berkenaan pada malam kejadian,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan, empat beranak tersebut ditemui rentung selepas disyaki membakar diri setelah tertekan dan tidak dapat menerima hakikat berhubung kematian ketua keluarga mereka, S. Rajan, 48, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Jumaat lalu.
Keluarga berkenaan merahsiakan kematian Rajan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini daripada pengetahuan keluarga terdekat dan jiran-jiran.
Menurut Mohd. Shukri, siasatan percaya keluarga berkenaan begitu tertekan dengan kematian Rajan empat hari sebelum kejadian hingga sanggup mengambil tindakan drastik tersebut.
Tambahnya, keluarga Jayalatchumy juga disifatkan sebagai orang yang kurang bergaul dengan masyarakat setempat.
Namun menurut Mohd. Shukri, pihaknya masih menunggu laporan forensik untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
Sementara itu, Pengawai Kanan 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Rushisha Haris pula berkata, siasatan lanjut pihaknya percaya kebakaran di dalam banglo itu telah menyebabkan tong gas di dapur meletup.
“Rumusan itu dilakukan selepas unit forensik bomba melakukan pemeriksaan di dalam banglo yang telah 80 peratus musnah itu semalam (kelmarin),” katanya.
Tauke stevia didakwa
|
KUALA LUMPUR – Usahawan internet dan Ketua Pengarah Eksekutif Syarikat Megaherbs Bioextreme Sdn. Bhd. dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua tuduhan membuat tawaran pembelian saham membabitkan skim pelaburan ‘Rakan Niaga Kontrak Stevia’ yang tidak sah tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Dr. Zubir Yahya, 46, yang pernah menerbitkan filem seram Gentayangan empat tahun lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan tersebut dan mohon dibicarakan.
Megaherbs Bioextreme adalah syarikat yang menjalankan perniagaan serta kursus keusahawanan berasaskan penanaman pokok stevia bagi menggantikan gula sebagai bahan pemanis.
Syarikat tersebut mendapat publisiti meluas dan sering menyiarkan iklan bukan sahaja di akhbar-akhbar tetapi juga di media elektronik.
Zubir didakwa menawarkan kepada orang awam pembelian saham bagi skim pelaburan itu walhal syarikatnya bukan menjalankan perniagaan sedemikian.
Tawaran itu dilarang mengikut Seksyen 363 (3) Akta Syarikat 1965 dan jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara 10 tahun atau denda RM250,000.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menawarkan pembelian saham skim pelaburan yang sama walhal tidak mempunyai surat ikatan yang diluluskan.
Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan antara 1 April 2011 hingga 13 April 2012 di Megaherbs Bioextreme, di 36-3, Blok G, Platinum Walk, No. 2, Jalan Langkawi, Danau Kota di sini.
Bagi tuduhan kedua, Zubir didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 91(1) Akta Syarikat 1965 dan dihukum mengikut Seksyen 94(1) akta sama.
Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM100,000.
Pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Mohd. Zulkhairi Kamaruzaman yang menawarkan jaminan RM30,000 dan RM20,000 masing-masing untuk setiap tuduhan memberitahu, tertuduh telah menyerah diri kepada polis dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.
Zubir kemudian memaklumkan dia telah mempunyai peguam namun gagal hadir pada prosiding semalam selain memohon dikurangkan wang jaminan dengan isteri hadir sebagai penjamin.
Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi kedua-dua tuduhan dan menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan kes. Tertuduh membayar jaminan tersebut.
Filem Gentayangan yang menelan belanja sebanyak RM2.5 juta diarahkan oleh Zulkiflee M. Osman dan dibintangi pelakon Rusdi Ramli, Nasir Bilal Khan, Hasnol Rahmat dan Yasmin Hani. Ia mengisahkan empat sekawan yang pulang bercuti di sebuah kampung, namun menemui pelbagai peristiwa misteri dan dan menyeramkan.
Bagaimanapun, penayangan filem itu terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab tertentu.
Speaker DUN Perak fail saman malu
IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan memfailkan saman malu RM25 juta terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Perak di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Lima ADUN pembangkang itu ialah Datuk Ngeh Koo Ham (Sitiawan), V. Sivakumar (Tronoh), Nga Kor Ming (Pantai Remis), A. Sivasubramaniam (Buntong) dan Lim Pek Har (Menglembu).
Ganesan yang juga Timbalan Pengerusi MIC Perak berkata, kesemua defendan telah mengeluarkan kenyataan fitnah ke atasnya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di sini baru-baru ini.
“Sebelum ini, saya telah memaklumkan akan melakukan tindakan perundangan kepada individu yang menerbitkan, menyebabkan untuk diterbitkan, menerbitkan semula, mengulangi, menyebabkan untuk mengulangi perkataan yang telah memfitnah saya dengan mengatakan terdapatnya cakera padat salah laku saya.
“Saya juga telah membuat laporan polis supaya siasatan terperinci dapat dilakukan terhadap pihak-pihak terlibat pada 22 Disember lalu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Terdahulu, beliau melalui peguam, Azad Bashir Abdul Karim Bashir menyerahkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 11.53 pagi.
Ganesan memberitahu, kelima-lima defendan gagal memberi maklum balas ke atas surat tuntutan agar mereka menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf kepada beliau yang dihantar peguamnya pada 15 Januari lalu.
Sehubungan itu, beliau telah memfailkan tindakan saman malu terhadap kesemua defendan untuk mendapat ganti rugi injuksi, faedah dan kos.
Pada 21 Disember lalu, Sivakumar dan Sivasubramaniam pada sidang akhbar berkenaan mendakwa menerima sampul surat berisi cakera padat yang tertera di atasnya gambar lucah Ganesan bersama seorang wanita.
No comments:
Post a Comment