Thursday, February 7, 2013

TABUNG HAJI KERJA MENOLONG ORANG ISLAM BERIBADAH KEPADA ALLAH...JANGAN SAMPAI MENGEJAR KEUNTUNG DAN MENUMPUKAN PERNIAGAAN SEMATA2...HINGGA GAGAL MEMENUHI MATLAMAT ASAL PENUBUHANNYA

Tabung Haji umum Bonus Jubli Emas 8 peratus

JAMIL KHIR (kiri), Abi Musa Asa'ari (tengah) dan Ismee ketika majlis pengumuman jumlah agihan bonus di Dewan Besar Lembaga Tabung Haji, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pengagihan Bonus Jubli Emas Tabung Haji 2012 sebanyak lapan peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 kepada 8.2 juta pendeposit mereka.
Pemberian bonus tersebut yang merupakan tertinggi sepanjang 50 tahun penubuhan TH itu merangkumi kadar bonus tahunan sebanyak 6.5 peratus dan tambahan bonus khas sebanyak 1.5 peratus.
Pendeposit boleh mengemas kini akaun masing-masing melalui kaunter-kaunter TH dan rakan-rakan strategik TH iaitu Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam), Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) dan Maybank Islamic Bhd. (Maybank Islamic) mulai 10 Februari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jumlah keseluruhan pemberian bonus itu adalah sebanyak RM2.46 bilion iaitu RM2.13 bilion untuk bonus tahunan dan RM325 juta bagi bonus khas.
“Bayaran bonus tahunan tersebut merupakan peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding RM1.68 bilion yang diagihkan pada tahun 2011,” katanya kepada media selepas majlis pengumuman Bonus Jubli Emas TH 2012 di sini semalam.

Berguling ditimpa air panas


WAN ROHAILA memangku anaknya, Nur Aleeya Maisara yang melecur pada belakang badan dan kaki kiri akibat terkena air panas di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Percubaan pertama seorang tauke kedai makan mencelur ulam-ulaman di dalam periuk mengandungi air panas bukan sahaja tidak menjadi malah, dia kini menyesal tak sudah apabila air itu terbalik lalu menimpa anak bongsunya semalam.
Kejadian pukul 7.30 pagi di Kampung Tendong, Pasir Mas itu menyebabkan Nur Aleeya Maisara Mohd. Izba, 18 bulan, melecur di belakang badan dan kaki kirinya.
Mengimbau semula kejadian itu, ibu mangsa, Wan Rohaila Hassan, 39, memberitahu, sebelum kejadian, dia telah memasukkan air yang baru dimasak ke dalam periuk berkenaan manakala anaknya sedang tidur di ruang jualan.
Katanya, periuk itu diletakkan di atas bangku setinggi satu meter di dapur gerai miliknya berdekatan Klinik Kesihatan Tendong.
“Saya bercadang untuk mencelur ulam-ulaman ke dalam air panas tersebut untuk dijual pada waktu tengah hari. Saya tidak pernah melakukannya sebelum ini sejak berniaga lima tahun lalu.
“Entah macam mana tiba-tiba saya terdengar anak saya meraung kuat sambil berguling-guling di atas lantai dapur dengan kulit yang menggelembung manakala periuk itu tergolek atas lantai berhampirannya,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Terhempas sebelah kondominium


ZAMERI menunjukkan tempat pesawat ringan yang terhempas di tebing jalan Lebuh AMJ dekat kondominium Cheng Heights, Melaka semalam.


MELAKA – Orang ramai yang melalui Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) semalam gempar apabila sebuah pesawat ringan terhempas di tebing jalan tersebut berhampiran Kondominium Cheng Heights, Cheng di sini semalam.
Kejadian pukul 11.56 pagi itu berlaku apabila pesawat jenis Piper PA-28 itu dikatakan telah melanggar beberapa batang pokok sebelum terhempas di atas tebing berkenaan.
Bagaimanapun, juruterbang pelatih Akademi Penerbangan Malaysia (MFA), P. Devenessrao, 20, yang mengendalikan pesawat tersebut hanya cedera ringan di kepala dan tengkuk. Dia kini dirawat di Hospital Melaka.
Seorang saksi, Koperal Zameri Nawi, 50, berkata, dia terkejut apabila melihat pesawat berkenaan datang dari Alor Gajah ke bandar Melaka dalam keadaan terhoyong-hayang dan turun naik.
“Pesawat ringan itu kemudian melanggar beberapa batang pokok sebelum terhempas ke tebing menyebabkan dahan-dahan pokok berterbangan hingga ke seberang jalan.
“Tidak lama kemudian, juruterbang pesawat tersebut keluar sendiri sebelum dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans yang tiba sejurus kejadian,” ceritanya yang ketika itu sedang bertugas sempena Ops Selamat di jalan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shah Gzali Khan berkata, semakan pihaknya mendapati juruterbang berkenaan mempunyai pengalaman selama setahun dalam mengendalikan pesawat ringan berkenaan.

Pasangan licik


ANGGOTA dan pegawai Imigresen menyoal siasat suspek (depan) ketika diberkas di Balakong semalam.


KUALA LUMPUR - Kegiatan haram sepasang kekasih warga asing yang menjadikan sebuah rumah kedai sebagai markas untuk memalsukan pelbagai dokumen penting menggunakan teknologi tinggi sejak setahun lalu terbongkar apabila kedua-duanya dicekup semalam.
Serbuan pukul 12.30 tengah hari di Jalan Kasturi 5, Taman Kasturi, Batu 11, Balakong di sini itu dilakukan selepas pihak Jabatan Imigresen Putrajaya melakukan intipan selama enam bulan ke atas kegiatan pasangan berusia 45 tahun dan 47 tahun terbabit.
Suspek lelaki merupakan warganegara Myanmar dan memegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang sah manakala pasangannya merupakan warga pendatang asing tanpa izin dari Indonesia.
Difahamkan, suspek lelaki pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2001 atas kesalahan sama.

1.3 juta warga kota pulang ke kampung


SALLEH (kiri) memakaikan jaket keselamatan kepada seorang penunggang motosikal pada majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2013 di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kira-kira 1.3 juta warga kota dijangka pulang ke kampung halaman sempena cuti umum Tahun Baru Cina pada Ahad dan Isnin ini.
Menurut Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup, kesemua warga kota tersebut khususnya masyarakat Cina akan mula balik ke kampung halaman masing-masing bermula hari ini.
Katanya, kebiasaannya masyarakat Cina akan meninggalkan ibu kota menjelang sambutan perayaan tersebut bagi menghadiri majlis tradisi ‘makan besar’ bersama keluarga di kampung.
“Keadaan tersebut boleh mengakibatkan berlaku kesesakan di beberapa jalan dan lebuh raya di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Parti Islam tolak kerajaan Tunisia dibubar

SEORANG anggota polis melepaskan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan pro-Belaid di Gafsa, Tunisia kelmarin.


TUNIS – Parti Islam yang mendominasi kerajaan campuran Tunisia semalam menolak inisiatif Perdana Menteri Hamadi Jebali untuk membentuk sebuah kerajaan teknokrat bagi menyelesaikan krisis politik di negara tersebut yang berpunca daripada pembunuhan seorang tokoh politik pembangkang.
Pengumuman tersebut yang dibuat oleh Parti Ennahda mencetuskan persoalan berhubung cara untuk menyelesaikan krisis dalaman terburuk di Tunisia sejak revolusi rakyat bagi menjatuhkan diktator Zine El Abidine Ben Ali berlaku pada Januari 2011.
Tunisia kini berdepan perpecahan bukan sahaja antara kerajaan dengan pembangkang tetapi turut melibatkan anggota-anggota Parti Ennahda.
Dalam kejadian pagi kelmarin, seorang pemimpin pembangkang, Shokri Belaid mati ditembak beberapa kali di dalam kereta di luar kediamannya oleh beberapa penyerang tidak dikenali.
Pembunuhan itu mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara dengan gas pemedih mata terpaksa digunakan bagi menyuraikan mereka.
Susulan bantahan rakyat, Jebali mengumumkan lewat kelmarin bahawa beliau akan membubarkan kerajaan dan membentuk sebuah pemerintahan baharu yang dianggotai ahli-ahli teknokrat untuk mentadbir negara sehingga pilihan raya diadakan seperti yang dituntut oleh pembangkang.
Bagaimanapun, pada keesokan harinya, Timbalan Presiden Ennahda, Abdel-Hamid Jalasi berkata, partinya menolak cadangan Perdana Menteri berkenaan sekali gus menggugat masa depan Tunisia. – Agensi

55 orang maut di Damsyik


BEBERAPA anggota penentang yang merupakan askar-askar Tentera Pembebasan Syria berada di sebuah lokasi pertempuran di Jobar, Damsyik kelmarin.


DAMSYIK - Kedudukan kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad di sekitar ibu kota Syria di sini digegarkan dengan pertempuran sengit dan bedilan meriam untuk hari kedua berturut-turut semalam ketika pihak tentera melancarkan serangan besar-besaran yang dilaporkan telah meragut 55 nyawa dalam tempoh 24 jam.
Antara yang terbunuh ialah lima orang awam termasuk tiga wanita.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia menyatakan, semua mangsa maut terkena peluru mortar di kem pelarian Palestin di Yarmuk yang terletak di pinggir bandar raya ini.
Menurut kumpulan itu, sekurang-kurangnya 19 orang awam, 28 penentang dan lapan askar terbunuh sejak serangan tersebut dilancarkan awal semalam.
Serangan tentera rejim Bashar itu ditumpukan di bahagian selatan dan pinggir bandar raya ini.
Kawasan tersebut merupakan kubu kuat penentang rejim Bashar.
Lebih 60,000 orang dilaporkan terbunuh sejak pertempuran antara kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan tentera Syria berlaku pada Mac 2011.
Para penentang itu mahu Bashar digulingkan kerana kegagalannya membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan bersuara selepas kebangkitan penduduk berlaku di Tunisia, Mesir dan Libya. - Agensi

Grammy 'larang' selebriti berpakaian menjolok mata


LOPEZ pernah memakai pakaian yang hampir mendedahkan payudaranya semasa Anugerah Grammy berlangsung pada tahun 2000 di Los Angeles.


LOS ANGELES - Stesen televisyen gergasi Amerika Syarikat, CBS dilaporkan mengeluarkan satu memo etika berpakaian kepada para selebriti yang akan menghadiri Anugerah Grammy, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.
Memo berkenaan melarang para selebriti terutama tetamu wanita memakai pakaian yang mendedahkan bahagian payudara, punggung dan kemaluan.
"Sila pastikan bahawa bahagian punggung dan payudara ditutup dengan secukupnya," kata memo yang diedarkan kepada tetamu dan wakil selebriti.
Kandungan memo tersebut turut menasihatkan agar selebriti wanita mengelak mengenakan pakaian jarang yang menampakkan payudara dan bahagian sulit.
Satu sumber memberitahu, memo itu dikeluarkan Jabatan Amalan dan Piawaian CBS bagi membendung unsur-unsur lucah dan bogel.
Antara selebriti yang pernah berpakaian mendedahkan sebahagian besar tubuh mereka semasa menghadiri Anugerah Grammy ialah Toni Braxton, Lady Gaga dan Jennifer Lopez.
Anugerah berprestij kali ke-55 itu bakal berlangsung pada 10 Februari ini di Pusat Staples, Los Angeles. - Agensi

Wanita dipenjara kerana isyarat lucah


SOTO (kanan) terkejut apabila Rodriguez-Chomat menaikkan jaminan terhadapnya di sebuah mahkamah di Miami pada Isnin lalu.


MIAMI, Amerika Syarikat - Seorang wanita, Penelope Soto dipenjarakan kerana menghina mahkamah selepas dia membuat isyarat lucah semasa kes dadahnya didengar di sebuah mahkamah di sini pada Isnin lalu.
Kejadian itu bermula semasa Soto ketawa ketika Hakim Jorge Rodriguez-Chomat bertanya kepadanya nilai barangan kemas miliknya ketika dakwaan dia memiliki dadah dibicarakan.
Hakim tersebut mengemukakan pertanyaan itu kerana mahu menilai aset yang dimiliki wanita berusia 18 tahun itu.
Rodriguez-Chomat kemudian memberitahu Soto untuk bersikap lebih serius selepas dia ketawa.
Bagaimanapun, Soto menyatakan, dia memang bersikap serius.
Hakim itu kemudian menetapkan jaminan sebanyak AS$5,000 (RM15,457) dikenakan kepadanya sebelum mengungkapkan perkataan bye-bye.
Soto ketawa lagi dan membalas dengan perkataan adios yang bermaksud selamat tinggal.
Bagaimanapun, Rodriguez-Chomat kembali memanggil semula Soto dan meningkatkan jaminan terhadapnya sebanyak AS$10,000 (RM30,915).
Soto kemudian bertanya sama ada hakim tersebut serius dengan keputusannya itu.
"Saya serius, adios," kata Rodriguez-Chomat.
Soto kemudian menunjukkan sebatang jarinya yang merupakan isyarat lucah.
Hakim itu sekali lagi memanggilnya dan menjatuhkan hukuman penjara selama 30 hari ke atas Soto kerana membuat isyarat tersebut. - Agensi

Ahli sihir mati dibogel, dibakar


SEJUMLAH orang menyaksikan seorang wanita dibakar bersama timbunan sampah dan tayar di Mount Hagen, Papua New Guinea pada Rabu lalu.


SYDNEY - Seorang wanita muda, Kepari Leniata dibogelkan sebelum dibakar hidup-hidup di depan sejumlah orang di Papua New Guinea, menurut laporan semalam.
Wanita itu diikat dan didera sebelum tubuhnya dicurahkan minyak serta dibakar bersama timbunan sampah dan tayar pada Rabu lalu.
Menurut akhbar Post-Courier, wanita berkenaan dibakar kerana dia didakwa membunuh seorang budak lelaki berusia enam tahun menerusi ilmu hitam.
Kejadian itu berlaku di bandar Mount Hagen di pulau tersebut.
Sebuah jentera bomba datang ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, beberapa orang mengejar jentera tersebut yang kemudian meninggalkan tempat kejadian.
Wanita itu mati di tempat kejadian.
Menurut laporan, wanita berkenaan mengaku membunuh budak itu yang mati selepas dimasukkan ke sebuah hospital dengan sakit di bahagian perut dan dada pada Selasa lalu.
Menurut polis, pihaknya melakukan persediaan untuk mendakwa orang yang bertanggungjawab membakar wanita berkenaan.
Polis berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai pembunuhan. - AFP

No comments:

Post a Comment