Thursday, February 7, 2013

MENOLAK HUDUD RAKYAT TAK SELAMAT...PERKOSA...ZINA MENJADI2

pix_topright

Pelatih juruterbang nyaris maut

Oleh Iskandar Shah Mohamad
MELAKA: Seorang pelatih juruterbang Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) nyaris maut apabila pesawat ringan dipandunya terbabas lalu terhempas di tebing berdekatan kondominium Cheng Height, di sini, kira-kira jam 11.57 tengah hari tadi.
Mangsa, P Devenis Roa, 20, cedera di kepala dan tengkuk bagaimanapun berjaya keluar dari pesawat jenis Piper 28 itu.

Mangsa dikatakan sempat menghubungi menara kawalan berdekatan sebelum merempuh beberapa pokok dan terhempas di tebing berdekatan lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) menghala ke Melaka.

Tiada kebakaran berlaku dan keadaan berjaya dikawal bomba yang menggunakan buih untuk memadam kebocoran pesawat itu.

Derita tubuh berulat

Oleh Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: Akibat terlalu lama terlantar di tempat tidur disebabkan penyakit reput tulang, hidup seorang ibu tunggal cacat penglihatan dan miskin semakin sengsara apabila seluruh tubuhnya kini bernanah manakala tengkuk dan punggung mula berulat.
Rabiah Baser, 56, yang tinggal di Flet Simpang Kuala, di sini, hanya terbaring sejak terjatuh di rumahnya pada November tahun lalu dan dia kini dijaga anak bongsunya, Mohd Ikhlas Yahya, 14.
Lebih menyedihkan, remaja itu juga menguruskan abangnya yang juga buta, Mohd Asyid Abu Bakar, 20, dan beban yang ditanggung memaksanya berhenti sekolah.

Rabiah berkata, kesempitan hidup, kecacatan dan penyakit dialaminya menyebabkan dia tidak mampu bekerja untuk menampung kehidupan serta menguruskan keluarga.
Foto

“Saya bernasib baik kerana mempunyai jiran yang menghantar bubur nasi untuk makanan harian dan saya bersyukur kerana anak bongsu sabar serta tabah menjaga saya,” katanya.pix_topright

Merusuh kerana bengang

Oleh Na'imah Mohamed
KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,200 pekerja warga Nepal merusuh, termasuk merosakkan harta benda di Apartmen Ceria Heights, Taman Bukit Cheras, di sini, kerana kecewa selepas tidak dihantar pulang oleh bekas majikan mereka, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kumpulan terbabit tidak berpuas hati kerana masih belum dihantar pulang ke negara asal walaupun sudah diberhentikan sejak sebulan lalu oleh sebuah syarikat elektronik di ibu negara.
Difahamkan, kumpulan itu memecahkan cermin tingkap bilik asrama mereka, selain membaling pelbagai objek sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk setempat yang kemudian bertindak menghubungi polis.

Berikutan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dikejarkan ke tempat kejadian sebelum mengawal sepenuhnya keadaan menjelang kira-kira 11 malam.

Difahamkan, polis turut memanggil wakil syarikat elektronik itu untuk berbincang dengan kumpulan berkenaan membabitkan proses penghantaran pulang mereka ke negara asal, termasuk berkaitan penempahan penerbangan dan urusan imigresen.

Bagaimanapun, sehingga jam 1 pagi tadi, kumpulan pekerja terbabit didapati enggan bersurai kerana tidak berpuas hati dengan cara isu itu dikendalikan syarikat elektronik berkenaan, termasuk urusan kebajikan mereka.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh ketika dihubungi mengesahkan kejadian, malah memaklumkan pegawai dan anggotanya turut ditempatkan di apartmen berkenaan bagi
mengelak sebarang insiden tidak diingini

.pix_topright

Gelabah terjun laut

Oleh Hadzlihady Hassan
Georgetown: Panik perbuatan jahat mereka berjaya dikesan polis dan orang ramai, dua penjenayah nekad terjun ke dalam laut di persisiran Pantai Gurney di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, dua lelaki terbabit yang menunggang motosikal, masuk ke dalam sebuah kedai runcit dan seorang daripada mereka berpura-pura membeli minuman.
Ketika pemilik kedai membuka laci kaunter, suspek merampas wang tunai RM30 dari dalam laci terbabit dan melarikan diri bersama rakannya yang sudah bersiap sedia menunggu di atas motosikal tidak jauh dari kedai.

Bagaimanapun, perbuatan mereka itu dilihat anggota polis yang melakukan rondaan selain orang ramai yang turut mengepung menyebabkan lelaki berkenaan nekad terjun ke dalam laut.

Seorang daripada mereka berjaya ditahan kerana tidak pandai berenang manakala rakannya meredah lumpur berikutan air surut ketika itu menyebabkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat terpaksa dipanggil bagi membantu menahannya berkenaan, tetapi gagal kerana keadaan berlumpur.pix_topright

Tahan warga Bangladesh salah guna permit kerja

Kuala Lumpur: Permit kerja adalah bagi sektor pembinaan, pertanian dan perladangan, namun sekumpulan warga asing menyalahgunakannya dengan berniaga serta bekerja di gerai menjual pelbagai barangan di pusat beli-belah terkemuka di ibu negara.
Hasil maklumat orang ramai, kumpulan warga asing terbabit diberkas dalam Ops Belanja yang dijalankan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIWPKL), malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 7 malam itu, enam warga Bangladesh termasuk seorang wanita ditahan kerana menyalahguna permit kerja.
Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur James Musa Singa berkata, serbuan dilakukan di beberapa premis perniagaan beg, cermin mata, topi, barang mainan dan pelbagai aksesori perhiasan di tingkat tiga pusat beli-belah berkenaan.

“Berdasarkan aduan awam, sepasukan pegawai JIWPKL yang diketuai Mohd Zamry Mohd Nor memeriksa 10 premis yang dipercayai dimiliki dan menggaji warga asing. “Hasil pemeriksaan menahan lima lelaki dan seorang wanita semuanya warga Bangladesh yang didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dan salahguna permit serta dua daripadanya disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana dipercayai majikan dan pemilik premis,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semua warga asing terbabit memiliki permit kerja dalam sektor lain yang masih sah tempohnya, namun disalahgunakan dan mereka kini ditahan di Pejabat JIWPKL, Jalan Duta.

Lelaki ditemui mati telentang

Oleh Norul Awatif Romli
Shah Alam: Seorang lelaki ditemui mati di sebuah rumah terbiar di Taman Alam Impian, Seksyen 36, di sini, dengan kesan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.
Mayat mangsa, P Mahendran, 21, ditemui dalam keadaan telentang pada 28 Januari lalu pada jam 1.11 pagi oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kepada polis namun hingga kini polis masih mencari motif pembunuhan mangsa.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa dipercayai mati dalam tempoh 48 jam di rumah berkenaan akibat parah di kepala.
Menurutnya, mayat mangsa kini masih berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

“Laporan forensik mengesahkan terdapat beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa seperti di dahi kanan, tepi mata kanan, leher serta belakang telinga dan dia disahkan mati akibat kecederaan serius di kepala,” katanya.

Katanya, susulan itu, polis kini mencari seorang lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai dapat membantu siasatan.
“Kami belum tahu motif kejadian dan lelaki yang dicari itu mungkin dapat membantu polis. Namun siasatan terperinci mengenainya sedang dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, polis memburu seorang lelaki warga Vietnam dipercayai terbabit kejadian bunuh di Kampung Jawa, di sini, Ahad lalu.
Zahedi berkata, kejadian berlaku jam 10 malam apabila orang awam terdengar bunyi pergaduhan antara dua lelaki warga Vietnam di rumah mereka.

Katanya, polis yang tiba di tempat kejadian sebaik menerima laporan mendapati mangsa berusia 40-an sudah dihantar ke HTAR dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian terbabit tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan IPD Shah Alam di talian 03-55202022 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Fazidah Mohd Yusoff di talian 019-6731999.

Juruwang disamun lepas diperkosa empat lelaki

Gombak: Seorang juruwang menghadapi detik hitam hidupnya apabila dia bukan saja disamun, malah dirogol empat lelaki dalam kejadian berhampiran rumahnya di Desa Jaya, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, wanita berusia 26 tahun terbabit baru pulang dari tempat kerjanya dan sebaik keluar dari kenderaan miliknya Perodua Viva, sebuah van putih berhenti di sebelah kanan kenderaannya sebelum empat lelaki bersenjatakan kayu serta besi memecahkan cermin kereta mangsa.

Menurut sumber, empat lelaki terbabit merampas beg tangan, gelang tangan dan rantai milik mangsa sebelum menariknya masuk ke dalam van berkenaan.
“Mata mangsa diikat menggunakan kain hitam sebelum mangsa dibawa ke sebuah rumah yang tidak diketahui lokasinya.

“Lebih menyedihkan, mangsa dirogol bergilir-gilir oleh empat lelaki berusia lewat 20-an terbabit sebelum diheret semula ke dalam kenderaan mereka untuk dibawa ke mesin pengeluar wang automatik (ATM) dan memaksa mangsa mengeluarkan wang RM1,600,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke satu kawasan kondominium di Subang Jaya sebelum ditinggalkan di tepi jalan dan dengan dibantu pengawal keselamatan kondominium berkenaan, mangsa dibawa membuat laporan di balai polis berdekatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata, siasatan lanjut dijalankan.

Wak Paksa dalang sindiket

Oleh Zaitie Satibi
Petaling Jaya: Seorang lelaki warga Indonesia menjadikan rumah yang disewanya di Kampung Melayu Subang, di sini, sebagai bengkel melerai komponen kenderaan curi sejak setahun lalu sebelum premis haram itu diserbu, semalam.
Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Wak Paksa berusia 45 tahun juga dipercayai dalang sindiket curi kenderaan di sekitar Sungai Buloh dan Petaling Jaya sebelum komponen kenderaan curi itu dijual sebagai alat ganti terpakai termasuk menjualnya sebagai besi lusuh.
Kegiatan Wak Paksa yang mempunyai kepakaran dalam membaiki serta meleraikan kenderaan terbongkar selepas sepasukan anggota Unit Curi Kenderaan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya diketuai Asisten Superintendan Nasrol Sain Hamzah menyerbu rumahnya, jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, ketika serbuan, lelaki terbabit bersama empat lagi pekerjanya sedang sibuk meleraikan komponen sebuah lori satu tan.

“Dalam serbuan itu, turut ditemui dua kereta dan sebuah lori yang belum dileraikan. Hasil soal siasat, suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen membuktikan kenderaan berkenaan miliknya.


Shila sembunyi

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Kuala Lumpur: Mungkin kerana tekanan perasaan berhubung kontroversi berlaku di antara ND Lala, 52 dan pelakon, Sharnaaz Basir Ahmad, 28, penyanyi terkenal, Shila Amzah, 24, difahamkan menyembunyikan diri di suatu tempat yang tidak diketahui berikutan ingin mencari ketenangan.
Shila menerusi akaun Twitter miliknya semalam, meluahkan perasaan tidak mahu terlalu dikongkong keluarga dan mahukan peluang membuat keputusan sendiri.

Kenyataan itu dipaparkan di Twitter selepas penyanyi itu dilihat tertekan dengan kontroversi menimpa bapa serta kekasihnya yang disifatkan sebagai biadap sehinggakan ia memberi kesan negatif kepada keluarga Sharnaaz.

Menerusi paparan itu, Shila berkata, biarpun keluarga menjadi keutamaan, namun pada masa sama, dia berharap diberikan peluang membuat keputusan membabitkan kehidupannya.

“Ya, keluarga didahulukan, tetapi pada masa sama, saya ingin peluang membuat keputusan sendiri juga. Saya tidak mahu terlalu dikongkong lagi. Biarlah saya menjadi diri sendiri,” katanya dalam Twitter itu.

Penjual burger maut ambil barangan jualan

Ledang: Seorang peniaga burger dan otak-otak terbunuh selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan di Batu 10, Jalan Muar-Tangkak, berhampiran Bukit Kangkar, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, Muhamad Farid Khalid, 31, dari Jalan Naib Long, Tangkak meninggal dunia di tempat kejadian selepas Proton Iswara dipandunya bertembung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.

Difahamkan, ketika kejadian Muhamad Farid memandu bersendirian dan dalam perjalanan menghala Muar untuk mengambil barangan jualan di Kesang manakala MPV berkenaan menuju Tangkak.
Ketua Polis Daerah Ledang Superintendan Harun Idris berkata, siasatan awal mendapati MPV yang dipandu seorang guru wanita memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta mangsa.

“Rempuhan secara berdepan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

“Bahagian depan Proton Iswara remuk menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya,” katanya

12 hari maksiat di hotel bajet

Melaka: Seorang gadis berusia 16 tahun bukan saja menyewa hotel bajet di Kampung Hulu, di sini, menggunakan identiti orang lain, malah bertindak bagaikan ‘penganjur’ apabila dipercayai menjadikan bilik itu untuk kegiatan maksiat dan melepaskan gian syabu serta transit bagi kegiatan ragut bersama rakannya.
Bilik yang disewa sejak 12 hari lalu itu dikatakan sering menjadi tumpuan beberapa lelaki keluar masuk sehingga menimbulkan syak sehinggalah sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melakukan serbuan, kira-kira jam 8.30 pagi, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim Rahimin Bani berkata, pihaknya ke hotel berkenaan untuk melakukan pemeriksaan selepas mendapat maklumat.
“Pintu bilik hotel dibuka gadis terbabit selepas diketuk beberapa kali dan apabila masuk menemui dua lelaki berusia 17 dan 19 tahun yang masing-masing sedang nyenyak tidur.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg berisi peralatan dipercayai untuk menghisap syabu selain bekas kosong dijadikan tempat menyimpan bahan larangan itu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, lebih mengejutkan apabila pemeriksaan lanjut dalam beg remaja perempuan terbabit menemui empat kad pengenalan milik individu berusia antara 17 dan 21 tahun serta satu beg duit wanita.

Tiba-tiba dah kahwin

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
Kota Bharu: “Belum hilang runsing anak tidak pulang ke rumah selama empat hari, saya dikejutkan dengan kiriman surat nikah Thailand kononnya anak saya sudah berkahwin.
“Bagaimanapun, saya tidak percaya kerana yakin surat itu palsu. Tolonglah carikan anak saya,” kata seorang buruh Abd Wahab Mat Ghani, 47.

Abd Wahab mendakwa anaknya, Siti Khairunisa, 18, dilarikan seorang lelaki yang dianggapnya seperti ahli keluarga sendiri pada 23 Januari lalu.
Menurutnya, lelaki itu datang ke rumahnya di Kampung Air Asahan Tengah, Jalan Jedok, Tanah Merah kira-kira jam 7.30 malam bersama isterinya dikenali sebagai Aja.

Katanya, lelaki itu yang berkerja sebagai pemandu lori mengambil anaknya dengan memberi alasan meminta jasa baik menemani isterinya di rumah kerana dia perlu ke Kedah menghantar kelapa sawit.

“Sebelum ini, dia pernah datang mengambil anak saya menemani isterinya, tetapi kebiasaannya selepas dua hari, dia menghantar pulang anak saya. Bagaimanapun, kali ini selepas tiga hari anak saya masih tidak pulang. “Saya cuba menghubungi anak saya dan lelaki itu tetapi gagal, malah ketika berkunjung ke rumah lelaki itu, tiada penghuni seolah-olah mereka sudah berpindah. Selepas empat hari, saya menerima kiriman surat nikah Thailand kononnya dia sudah berkahwin dengan anak saya,” katanya ketika datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.
Bimbangkan keselamatan anaknya, Abd Wahab membuat laporan pada jam 12.50 tengah hari 28 Januari lalu di Balai Polis Batu Gajah, Tanah Merah.

Bapa kepada enam anak itu berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai anaknya boleh segera menghubunginya di talian 010-5723147 atau jirannya, Fadil di talian 012-9828702 bagi membantu mengesan Siti Khairunisa

Dipaksa kahwin perogol

Kabul: Seorang wanita Afghanistan yang dipenjarakan kerana berzina selepas dirogol suami sepupunya kini dipaksa berkahwin dengan lelaki terbabit untuk memulihkan maruah keluarga dan mengelak dipinggir masyarakat.
Gulnaz, 22, berkahwin dengan perogolnya minggu lalu di Kabul selepas dipenjara 13 bulan.
Kisah menyayat hati itu menunjukkan nasib dihadapi beribu-ribu wanita Afghanistan tanpa bantuan undang-undang.

Gulnaz didapati bersalah kerana “berzina secara paksaan” ekoran serangan kejam pada 2008 yang menyebabkan dia hamil.
FotoGULNAZ bersama anak perempuannya, Badam Bagh.

Dia dihukum penjara dua tahun, tetapi ditambah kepada 12 tahun selepas dia merayu.

Gulnaz melahirkan anak perempuan, Badam Bagh di penjara wanita di Kabul sebelum Presiden Hamid Karzai membebaskannya tanpa syarat pada Disember 2011.

Walaupun bebas dari penjara, Gulnaz hidup terpinggir dan miskin kerana semua golongan ibu tanpa suami di Afghanistan dihindari masyarakat dan keluarga sendiri.

Dia disarankan menerima syarat perjanjian dan menemui keluarga perogol itu untuk berunding.

Ketika tinggal di penjara, dia dilaporkan menggunakan jarum untuk mentatu nama perogol itu di tangannya sebagai tanda cinta.

Perkahwinan mereka disahkan mahkamah keluarga di Kabul Sabtu lalu, tetapi kebanyakan terbabit dalam kes itu bimbang Gulnaz menjalani kehidupan sebagai hamba kerana menjadi isteri kedua lelaki itu.

Malah, terdapat kebimbangan bahawa dia mungkin dibunuh untuk memulihkan maruah keluarga perogol itu.

Heather Barr dari Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Afghanistan berkata: “Saya rasa dia tidak memikirkan mengenai dirinya, tetapi lebih kepada anak perempuannya dan diskriminasi yang perlu dihadapinya.

“Tetapi sukar membayangkan kehidupan menanti mereka adalah indah”

“Gulnaz telah sah menjadi isteri kedua kepada lelaki yang merogolnya.

“Sedihnya terdapat berpuluh-puluh lagi kes seumpamanya dan kerajaan gagal mengambil tindakan serius untuk menanganinya.” - Daily Mail

Beg disambar burung kea

Auckland: Seorang pelancong Scotland rugi AS$1,000 (RM3,000) apabila wangnya dicuri seekor burung kea.
Wang itu disambar burung ketika dia sedang mengambil gambar. Peter Leach berkata, dia berhenti seketika mengambil gambar pemandangan di Puncak Arthur. “Sepasang pelancong Kanada menegur dengan berkata: ‘Kami melihat burung itu mengambil sesuatu dari kereta kamu,’” kata Leach.

Apabila memeriksa, dia menyedari wangnya hilang, disambar burung berkenaan.
“Burung itu membawa lari beg berisi AS$1,099 (RM3,405) yang diletakkan di atas papan pemuka kereta,” katanya.

Leach melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Polis yang menangani kes itu serius pada peringkat awal, tetapi berkata, ‘Bolehkah saya berhenti sekejap untuk ketawa,’” kata Leach. – Agensi

Dua cedera diserang biawak komodo

Jakarta: Dua pekerja pusat perlindungan cedera parah selepas diserang biawak komodo, kata pihak berkuasa semalam.
Seorang daripada mangsa adalah renjer taman perlindungan berusia 50 tahun yang sedang berada di mejanya ketika dia diserang.

Pegawai Taman negara Komodo, Heru Rudiharto, berkata seekor biawak komodo sepanjang dua meter masuk ke bilik mangsa.
“Dia terkejut dan cuba menyelamatkan diri dengan melompat naik ke kerusi, tetapi biawak itu menerkam dan membaham satu daripada kakinya,” katanya.

Menurut Heru, mangsa pernah diserang biawak komodo pada 2009 dan sejak itu mengalami trauma. Seorang lagi mangsa adalah pekerja berusia 35 tahun yang cuba membantu.

Kata Heru, mangsa kedua turut diserang di kakinya. “Kedua-dua mangsa dalam keadaan stabil selepas luka mereka dijahit, tetapi pemantauan diteruskan untuk mengelak sebarang jangkitan,” katanya. - AFP

Pendapatan anak SBY pula dipertikai

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono perlu bertindak lebih daripada sekadar membuat dakwaan salah laku dalam isu cukai keluarganya.
Bekas Menteri Kewangan, Fuad Bawazier, berkata Susilo perlu menangani isu itu dengan telus demi kepentingan orang awam.

“Pembayar cukai mesti membuat penjelasan sama ada berlaku kesilapan pengisian dokumen atau sebarang masalah lain.
“Kita semua tidak tahu apa yang berlaku dan mereka mesti menjelaskannya,” katanya kepada media, semalam. Isu percanggahan data bayaran cukai ahli keluarga Susilo dilaporkan akhbar The Jakarta Post awal minggu ini.

Menjawab isu itu dalam sidang media di Jeddah, Arab Saudi, Isnin lalu, Susilo berkata, maklumat disiarkan akhbar itu berbeza daripada data diterima pihak berkuasa percukaian Indonesia.

“Bagaimanapun, itu bukan apa yang ingin saya jelaskan.
“Saya mahu memberitahu rakyat Indonesia bahawa saya dan anak lelaki saya memenuhi tanggungjawab membayar cukai secara jujur,” katanya. Dokumen diperoleh The Jakarta Post menunjukkan beberapa percanggahan antara kekayaan keluarga Susilo dengan pendapatan tahunan mereka.

Maklumat itu dikesan hasil dokumen diserahkan Susilo dan dua anak lelakinya, Agus Harimurti dan Edhie Baskoro.
Sebagai pegawai pasukan Komando Simpanan Strategik Angkatan Darat di Jakarta, Agus mengisytiharkan pendapatan tahunannya pada 2011 sebanyak RM22,619.

Bagaimanapun, Agus didapati membuka empat akaun bank berbeza dan menyimpan lebih RM512,300 pada tahun sama. Tiada sebarang dokumen menjelaskan bagaimana Agus memperoleh pendapatan tambahan itu. Penyata pendapatan Edhie pada 201 juga menimbulkan tanda tanya apabila dia memperoleh pendapatan RM58,595 sebagai wakil rakyat Parti Demokrat.

Pada masa sama, dia juga memiliki pelaburan bernilai RM288,000 di syarikat PT Yastra Capital, selain simpanan tunai bernilai lebih RM1 juta. - Jakarta Post

No comments:

Post a Comment