Sunday, February 3, 2013

RAKYAT MISKIN...KONON DIBELA...BALIK RUMAH...MEREKA HIDUP KAYA RAYA...LAGI MEWAH...NI PEMIMPIN APA AGAKNYA

Wartawan Malaysia mati tertembak

AHLI keluarga serta jiran mengunjungi rumah wartawan Al-Jazeera dari Malaysia, Claudia yang mati tertembak di Taman Bukit Kepayang, Seremban, semalam.


SEREMBAN - Wartawan Malaysia, Claudia Theophilus, penerbit di syarikat penyiaran Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar mati dipercayai akibat terkena tembakan secara tidak sengaja dalam satu insiden di Baakleen yang terletak di sebuah kawasan pergunungan dekat Beirut, Lebanon kelmarin.
Menurut laporan media di Lebanon, Claudia terkena tembakan ketika dia dan dua orang rakannya sedang 'bermain' dengan beberapa laras senapang sebelum senjata itu tiba-tiba meletup.
Difahamkan, pihak polis telah menahan kedua-dua rakan Claudia terbabit untuk disoal siasat.
Laporan media itu juga menyebut, mangsa tiba di Lebanon pada 28 Januari lalu untuk melawat kawannya di negara berkenaan.
Claudia dikatakan berkunjung ke Baakleen bersama dua rakannya yang merupakan rakyat Lebanon.
Duta Besar Malaysia di Lebanon, Ilango Karuppannan berkata, menurut laporan awal polis, tiada elemen jenayah dalam kejadian yang menimpa Claudia kira-kira pukul 2.30 pagi waktu Lebanon itu.
"Sebaliknya, ia berlaku secara tidak sengaja yang mana dia (Claudia) terkena tembakan dari selaras senjata api," katanya ketika dihubungi semalam.

Nuri tidak akan dijual walaupun ada EC725 Cougar

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berhasrat menjual 30 pesawat helikopter Nuri jenis Sikorsy buatan Amerika Syarikat yang telah berkhidmat lebih 50 tahun dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Panglima ATM, Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin sebaliknya berkata, pesawat tersebut lebih ekonomi dan praktikal dibaik pulih untuk terus beroperasi membantu helikopter EC725 Cougar yang baru dibeli kerajaan.
Malah, beliau yakin ATM masih memerlukan helikopter Nuri terutamanya dalam tugas-tugas utiliti dan misi bantuan biarpun negara akan memiliki 12 buah helikopter EC725 Cougar buatan Perancis awal tahun depan.
ATM telah menerima dua daripada 12 helikopter EC725 Cougar pada 3 Disember tahun lalu untuk menggantikan peranan pesawat Nuri dan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.
"Kita akan menambah baik dan menaik taraf pesawat Nuri kerana ia masih baik dan masih boleh digunakan untuk misi-misi bantuan, kita perlu menambah baik dari segi sistem dan bahagian kokpit serta beberapa bahagian lain," katanya dalam satu ditemu bual di sini.

Penjual ayam ugut ibu didenda RM5,000


IKHWAN HAKIMI ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Hanya kerana tidak dibenarkan meminjam motosikal untuk keluar membeli rokok, seorang penjual ayam tergamak memecahkan cermin tingkap dan menghempas gelas ke lantai sebelum mengugut ibunya untuk membakar rumah pada minggu lalu.
Gara-gara sikap buruknya itu, Ikhwan Hakimi Hamid, 24, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam dijatuhi hukuman denda RM5,000 selepas dia mengaku salah atas tuduhan melakukan ugutan jenayah.
Majistret Mohd. Hafiz Mohd. Noor memerintahkan jika Ikhwan Hakimi gagal membayar denda tersebut dia akan dipenjarakan selama enam bulan.
Ikhwan Hakimi didakwa melakukan ugutan jenayah itu bagi menakutkan ibunya, Norliza Abdul Rahman, 55, dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Wakaf Mek Zainab di sini pada pukul 7.30 malam, 30 Januari lalu.

Serpihan tulang dalam kereta terbakar cetus misteri


ANGGOTA polis dan ahli keluarga seorang lelaki yang dilaporkan hilang melihat kereta yang terbakar di tepi ladang kelapa sawit berdekatan Alam Impian, Seksyen 25, Shah Alam kelmarin.


SHAH ALAM – Sebuah kereta Proton Waja yang hangus terbakar mencetuskan misteri apabila polis menemui beberapa serpihan tulang di dalam kenderaan itu di tepi ladang kelapa sawit berdekatan Alam Impian, Seksyen 25 di sini kelmarin.
Laporan mengenai penemuan kereta yang terbakar itu diterima daripada orang awam pada pukul 2 pagi.
Bagaimanapun, sehingga petang semalam, polis belum mengetahui sama ada tulang yang dijumpai di dalam kenderaan itu merupakan milik manusia atau tulang haiwan.
Difahamkan, polis sedang menyiasat kaitan penemuan kereta tersebut dengan kes kehilangan seorang juruteknik berusia 36 tahun dari Bandar Putra Klang dekat sini pada Khamis lalu.
Dalam laporan tersebut, lelaki terbabit dikatakan memandu kereta Proton Waja milik ahli keluarganya sebelum dia dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pemeriksaan polis ke atas kenderaan tersebut mendapati kereta itu dipercayai sudah beberapa hari terbakar sebelum polis menerima aduan mengenai kejadian itu.

Rezeki nelayan pantai terjejas


MOHD. JOHARI (kanan) membaca kain rentang mengenai masalah nelayan yang berdepan dengan pencerobohan nelayan pukat tunda yang mengancam sumber perikanan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Kedah, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Kerajaan akan mengharamkan penggunaan pukat tunda dalam sektor perikanan negara kerana didapati mengancam mata pencarian kira-kira 80,000 nelayan pantai dan pembiakan sumber hidupan laut.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang masih membenarkan penggunaan pukat tersebut yang turut dikenali sebagai pukat buaya dalam kalangan nelayan, berbanding Indonesia dan Thailand yang telah mengharamkannya.
Katanya, negara terbabit menyedari penggunaan pukat tunda akan memusnahkan sumber perikanan, selain menimbulkan konflik antara nelayan pantai dan komersial.
“Pihaknya telah memberi penerangan dan memaklumkan pengusaha bot pukat tunda bahawa penggunaannya akan diharamkan.
“Masa yang sesuai akan ditentukan untuk penguatkuasaan operasi dan berharap mereka faham,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian lesen sampan kepada nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Kedah di sini semalam.
Pada majlis itu, sebanyak 240 lesen sampan diserahkan kepada nelayan di kawasan Utara Kedah bermula dari Kuala Sanglang hingga ke Kuala Sala membolehkan mereka turun ke laut dan menikmati subsidi serta insentif lain daripada kerajaan.

2 ahli Geng Aime mati ditembak

KOTA BHARU - Dua daripada empat penjenayah Geng Aime yang aktif melakukan rompakan bersenjata sejak setahun lalu mati ditembak polis di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari hingga 1 petang semalam, anggotanya berjaya mengesan sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki empat suspek terbabit.
Sebelum kejadian, menurut beliau, keempat-empat suspek itu menyamun seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan seorang kerani di sebuah syarikat di Kuala Krai yang baru mengeluarkan wang sebanyak RM50,000 dari sebuah bank di situ.
"Sebaik mengeluarkan wang, mangsa yang memandu kereta Proton Saga diekori kereta Myvi dinaiki suspek sebelum kereta mangsa dihalang dan suspek menarik keluar kerani bersama sebuah beg yang berisi wang masuk ke dalam kenderaan penjenayah itu," kata beliau selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ops Selamat II sempena Tahun Baru Cina di Kubang Kerian dekat sini semalam.
Jalaluddin memberitahu, selepas melarikan mangsa sejauh kira-kira 50 kilometer, suspek kemudian meninggalkan kerani itu di tepi jalan di Kampung Sungai Sam.
Mangsa kemudian terus membuat laporan polis sebelum kenderaan Myvi dinaiki suspek di Kampung Sungai Sam dikesan.

Dua beradik hilang dicari


FOOK CHAI (duduk, dua dari kanan) bersama isteri dan anak-anak menunjukkan gambar Poh Choo dan Poh Fong di Klang semalam. Turut kelihatan Eu Boon (kanan).


KLANG - Sambutan Tahun Baru Cina kali ini seakan-akan tidak bermakna kepada sepasang suami isteri apabila kedua-dua anak perempuan mereka, Chen Poh Choo, 15, dan Chen Poh Fong, 13, hilang sejak lima hari lalu.
Bapa kanak-kanak itu, Chen Fook Chai, 42, berkata, dia dan isterinya, Lee Lay Ching, 35, bimbang jika kehilangan anak sulung dan anak kedua daripada empat beradik tersebut ada kaitan dengan kes culik.
Fook Chai berkata, kejadian bermula apabila kedua-dua anaknya itu keluar rumah bersama pada pukul 12.30 tengah hari pada Khamis lalu untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pandamaran Jaya di sini yang terletak kurang satu kilometer dari rumahnya.
Menurutnya, kedua-dua remaja terbabit tidak membawa bersama pakaian tambahan dan hanya mempunyai wang saku sebanyak RM1 setiap seorang.

Israel mengaku serang Syria

GAMBAR yang disiarkan stesen televisyen Syrian TV kelmarin menunjukkan beberapa buah kereta musnah dalam serangan udara jet Israel di sebuah pusat kemudahan penyelidikan ketenteraan dekat Damsyik pada Rabu lalu.


MUNICH - Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak memberi petunjuk semalam bahawa negaranya merupakan dalang satu serangan udara ke atas Syria pada Rabu lalu.
Sebelum ini, beberapa pegawai Amerika Syarikat menyatakan sasaran itu ialah senjata-senjata antipesawat yang dihantar untuk anggota-anggota Hezbollah.
"Saya tidak boleh menambah sebarang perkara berhubung apa yang anda telah baca di dalam surat khabar tentang apa yang berlaku di Syria beberapa hari lalu," katanya di sini.
Beliau berada di Jerman untuk menghadiri satu persidangan berhubung keselamatan dengan para diplomat dan pegawai pertahanan dari beberapa buah negara.
"Kami menyatakan bahawa kita tidak berpendapat bahawa ia sepatutnya dibenarkan untuk membawa senjata-senjata canggih ke Lebanon," katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa kejatuhan Bashar akan berlaku tidak lama lagi.
Menurutnya, kejatuhan tersebut akan memberi tamparan hebat kepada Iran dan Hezbollah.
Beberapa pemimpin Israel pernah menyuarakan kebimbangan bahawa perang saudara di Syria mungkin telah menyebabkan Presiden Bashar Al-Assad kehilangan kawalan di negaranya termasuk ke atas senjata kimia.
Di Syria, Bashar menyatakan kepada seorang pegawai kanan Iran bahawa negaranya akan berdepan sebarang serangan luar.
Bashar menyatakan bahawa Israel menyerang sebuah kemudahan penyelidikan ketenteraan dekat Damsyik.
Ia merupakan kenyataan pertama Bashar berhubung serangan udara Israel.
Beliau membuat kenyataan itu ketika membuat pertemuan dengan perunding kanan nuklear Iran, Saeed Jalili.
Iran merupakan sekutu rapat Syria.
Saeed berikrar bahawa Iran akan terus memberi sokongan kepada rejim Bashar.
Syria juga berikrar akan menyerang balas serangan Israel itu.
Ketua Pengawal Revolusi Iran, Jeneral Mohammad Ali Jafari berkata, pihaknya berharap Syria akan menyerang balas Israel.
Pertempuran antara tentera Syria dengan para penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan berlaku sejak Mac 2011.
Lebih 60,000 orang dilaporkan terbunuh sejak pertempuran tersebut berlaku.
Kumpulan penentang itu mahu Bashar digulingkan kerana mendakwa beliau gagal membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan hak asasi manusia. - Agensi

White House siar gambar Obama menembak


GAMBAR yang disiarkan White House kelmarin menunjukkan Obama menembak piring terbang di Kem David, Maryland.


WASHINGTON - White House kelmarin menyiarkan sekeping gambar yang menunjukkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menembak dengan menggunakan selaras senapang.
Gambar tersebut disiarkan sebagai usaha untuk meredakan kebimbangan para pemilik senjata api berhubung pendirian Obama tentang pemilikan senjata itu.
Para pemilik berkenaan berasa bimbang jika Obama menentang pemilikan senjata api selepas berlaku kejadian tembakan di sebuah sekolah di AS pada Disember tahun lalu.
Usaha-usaha untuk melarang penggunaan senjata api itu dibuat oleh beberapa pihak selepas seorang pemuda menembak mati 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa pada 14 Disember tahun lalu di Newtown, Connecticut.
Pemuda itu, Adam Lanza, 20, kemudian menembak mati dirinya.
Sejak beberapa hari lalu, Obama berusaha untuk menunjukkan beliau bukannya asing dalam sukan menembak.
Baru-baru ini, Presiden AS itu menyatakan, beliau telah memilih sukan menembak sebagai hobi.
Obama memberitahu akhbar The New Republic bahawa beliau kerap menembak piring terbang.
Gambar yang disiarkan itu bertarikh 4 Ogos 2012 di Kem David, Maryland.
Gambar tersebut disiarkan di akaun Flickr milik White House.
Ia menunjukkan Obama menembak piring terbang. - Agensi

Penari separuh bogel hiburkan Styles




LONDON - Seorang penari separuh bogel menghiburkan anggota kumpulan nyanyian One Direction, Harry Styles (gambar) sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-19, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Seorang rakannya dilaporkan mengupah penari itu untuk menari di depan Styles di sebuah bar di sini pada minggu lalu.
Styles menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-19 pada Jumaat lalu.
"Dia (penari itu) menanggalkan pakaiannya sehingga menampakkan seluar dalamnya. Bagaimanapun, terdapat dasar tidak boleh berbogel di bar itu," katanya.
Kumpulan itu turut dianggotai Liam Payne, Louis Tomlinson, Zayn Malik dan Niall Horan. - Agensi

Air tasik bertukar menjadi hijau


SEORANG penduduk mendayung perahu di Tasik Ypacarai yang berwarna hijau dekat Aregua, Paraguay kelmarin.


AREGUA, Paraguay - Sejumlah ikan mati apabila air Tasik Ypacarai dekat sini bertukar menjadi hijau kelmarin.
Penduduk yang tinggal berdekatan tasik itu terpaksa berdepan bau busuk bangkai ikan tersebut.
Air itu bertukar menjadi hijau adalah kerana kewujudan tumbuhan alga biru hijau yang turut dikenali sebagai cyanobacteria di dalam tasik berkenaan. - Agensi

Mumia berusia 4,000 tahun diimbas


MUMIA lelaki berusia 4,000 tahun dialihkan dekat mesin imbasan tomografi berkomputer di Pusat Pengimejan HCA Virginia, Richmond pada Jumaat lalu.


RICHMOND, Virginia - Para kakitangan Muzium Seni Halus Virginia di sini menganalisis mumia lelaki yang berusia 4,000 tahun pada Jumaat lalu.
Pihak muzium itu bekerjasama dengan sebuah pusat perubatan untuk membuat analisis itu dengan menggunakan mesin imbasan tomografi berkomputer.
Imbasan itu dibuat di Pusat Pengimejan HCA Virginia di sini.
Penggunaan mesin berkenaan akan membolehkan imej tiga dimensi mumia tersebut diperoleh dan membentuk semula wajah lelaki itu.
Pakar-pakar berharap mereka akan dapat mengetahui umur mumia yang bernama Tjeby dengan tepat, diet dan punca kematiannya menerusi data-data pengimejan mesin itu.
Mereka juga mahu mengetahui bahan yang digunakan untuk mengawet mayat lelaki tersebut dan organ-organ badan yang telah dikeluarkan.
Mumia itu ditemui di sebuah kawasan kubur di Sheikh Farag, Mesir dan digali pada tahun 1923.
Penyelidikan yang dilakukan sebelum ini mendapati si mati mungkin berusia antara 23 hingga 40 tahun. - Agensi

No comments:

Post a Comment