Saturday, February 16, 2013

APA PUN SOKONGAN...MAKA SOKONGLAH YANG MEMBERI KESEJAHTERAAN BUKAN YANG MENGUMPUL KEKAYAAN KELUARGA SERTA KRONI2...KITA APA YANG DAPAT

Tragedi berdarah ketika sarapan



ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat seorang pesara tentera ditembak dan ditetak sampai mati.



BACHOK – Kerisauan seorang wanita mengenai keselamatan ahli keluarganya selepas rumahnya dikepung sekumpulan lelaki malam kelmarin ternyata berasas apabila suaminya mati akibat ditembak dan ditetak ketika sedang bersarapan di sebuah warung di Kampung Kemasin dekat sini semalam.
Kejadian pukul 9 pagi itu mengakibatkan seorang pesara tentera, Sauti Muda, 57, mati di warung milik sepupunya.
Ketika kejadian, mangsa sedang bersarapan bersama isterinya, Sarinah Abdullah (gambar kecil), 40, dan beberapa penduduk lain di situ.
Mengimbau semula kejadian itu, Sarina memberitahu, dia dan arwah suaminya keluar rumah untuk membeli nasi berlauk di Beris Kubur Besar sebelum singgah di warung itu untuk makan.
Jarak antara warung dan rumahnya kira-kira 100 meter.
Katanya, ketika sedang asyik menyuap nasi, dia melihat dua lelaki berusia lingkungan 30-an memberhentikan motosikal di depan warung dengan sepucuk pistol terselit di pinggang penunggang manakala pembonceng pula membawa sebilah pedang.


ORANG ramai melihat kesan darah di sebuah warung tempat Sauti mati ditembak di Kampung Kemasin, Bachok semalam.



“Penjenayah kemudian terus melepaskan tembakan ke arah suami dalam jarak enam meter. Arwah kemudian melompat masuk ke dapur untuk bersembunyi di bawah meja.
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian turut masuk dan melepaskan beberapa das tembakan lagi sebelum rakannya yang turut masuk lalu menetak suami saya dengan pedang,” ceritanya yang memberitahu mereka bersarapan di situ setiap pagi.
Tambahnya, malam sebelum kejadian, rumahnya telah dikepung sekumpulan lelaki dan seminggu lalu, anak lelakinya yang berusia 16 tahun turut dikejar beberapa lelaki dipercayai rakan penjenayah namun sempat menyelamatkan diri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, identiti kedua-dua penjenayah itu telah dikenal pasti dan mereka disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah dan dadah.
“Mereka dikenali beberapa penduduk kerana tidak memakai topeng atau menutup muka sewaktu kejadian. Kita percaya kejadian itu bermotifkan dendam,” katanya yang menyiasat kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tinjauan Kosmo! ke lokasi kejadian mendapati beberapa kelongsong peluru ditemui di tepi jalan dan dalam warung berkenaan termasuk kesan tembakan yang menembusi kerusi plastik.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat

Rusia panik dilanggar tahi bintang


KESAN pergerakan tahi bintang di ruang udara sebuah kampung di Bolshoe Sidelnikovo, kira-kira 50 kilometer dari Chelyabinsk.



MOSCOW, Rusia - Sebutir tahi bintang jatuh di kawasan padat dengan penduduk di bandar Chelyabinsk, pergunungan Ural, kira-kira 1,500 kilometer dari sini semalam menyebabkan lebih 1,000 orang cedera.
Kebanyakan daripada mangsa termasuk kanak-kanak cedera akibat terkena serpihan kaca tingkap bangunan ekoran impak letupan sebaik sahaja tahi bintang itu menghentam bumi.
Kuasa perlanggaran tahi bintang yang dianggarkan seberat 11 tan metrik itu telah merosakkan banyak bangunan di enam buah bandar di wilayah Oblasts.
Ketika kejadian, sebahagian penduduk dalam perjalanan untuk pergi ke tempat kerja.
Menurut seorang koresponden agensi berita Reuters, ramai penduduk dapat menyaksikan cahaya yang terang bergerak laju sebelum kelihatan ledakan cahaya yang diikuti letupan.
Impak letupan itu menyebabkan penggera banyak kenderaan berbunyi, tingkap bangunan pecah dan gangguan pada perkhidmatan telefon bimbit.
Pejabat gabenor tempatan dalam satu kenyataan menyatakan, tahi bintang yang bergerak pada kelajuan 54,000 kilometer sejam itu jatuh ke dalam sebuah tasik dekat bandar Chebakul, kira-kira 60 kilometer dari Chelyabinsk.
Bagaimanapun, serpihannya belum ditemui.
Sekolah-sekolah ditutup selama sehari dan pertunjukan teater dibatalkan di wilayah tersebut selepas gelombang kejutan itu berlaku ketika suhu berada pada paras 18 darjah Celsius.
Sebuah stadium hoki ais di Chelyabinsk turut rosak menyebabkan satu perlawanan terpaksa dibatalkan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Vadim Kolesnikov menyatakan, mereka yang cedera telah mendapatkan rawatan perubatan selepas tahi bintang tersebut jatuh dan meletup.
Kolesnikov menjelaskan, bumbung sebuah kilang zink turut runtuh.
Rakaman video amatur yang disiarkan di televisyen Rusia menunjukkan sebuah objek bergerak dengan laju di langit pada pukul 9.20 pagi waktu tempatan.
Objek itu meninggalkan kepulan seperti awan putih yang tebal dan boleh dilihat dari jarak sejauh 200 kilometer.
Tahi bintang itu jatuh pada hari yang sama sebuah asteroid 2012 DA14 yang sebesar separuh padang bola sepak bergerak mendekati bumi pada kedudukan 28,000 kilometer.
Serpihan kecil komet atau asteroid yang bergerak dalam sistem suria dikenali sebagai meteoroid.
Apabila meteoroid memasuki atmosfera bumi, ia dikenali sebagai tahi bintang.
Kebanyakan tahi bintang terbakar di atmosfera.
Seorang saksi, Sergey Hametov berkata, penduduk berasa panik semasa letupan itu berlaku.
"Kami mendengar bunyi gemuruh yang kuat," katanya kepada agensi berita Associated Press.
Seorang lagi penduduk, Valya Kazakov menyatakan, beberapa wanita tua menangis kerana menyangka hari kiamat.
Seorang penduduk di Yekaterinburg di kawasan pergunungan Ural, Viktor Prokofiev menyatakan, ketika kejadian dia sedang memandu untuk pergi ke tempat kerja.
"Persekitaran gelap tiba-tiba cerah seperti hari siang.
"Saya berasa seperti 'buta' disebabkan cahaya terlampau terang," katanya.
Bagaimanapun, pemimpin nasionalis Rusia, Vladimir Zhirinovsky yakin letupan itu bukan impak tahi bintang tetapi senjata baharu Amerika Syarikat, lapor agensi berita RIA Novosti. - Agensi

Dua lemas ketika menjala ikan


PENDUDUK kampung mengusung mayat salah seorang mangsa yang ditemui lemas di Sungai Panawan, Nabawan, Sabah kelmarin.



NABAWAN - Dua sahabat yang teruja untuk menyertai tiga rakan yang lain menjala ikan ditimpa nasib malang apabila mereka ditemui lemas ketika berenang untuk menyeberang lubuk Maulor di Sungai Panawan di sini kelmarin.
Mayat Jaineh Emih dan Andua Malulur, kedua-duanya berusia 21 tahun, ditemui lemas oleh sepasukan bomba serta orang kampung yang menjalankan usaha mencari dan menyelamat.
Jaineh merupakan pelajar tahun satu jurusan Seni Kraftangan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sementara Andua pula bekerja sambilan di Jabatan Air Daerah Nabawan. Mereka berasal dari Kampung Empat, Nabawan.
Ketua Polis Keningau, Deputi Superintendan Robert Salisip @ David berkata, kejadian pada pukul 9 pagi itu berlaku apabila kedua-dua mangsa mengikut tiga rakan pergi menjala ikan di lubuk tersebut.
Katanya, mereka ke situ kerana mengikuti aktiviti perkhemahan dan perkelahan bersama 50 individu lain anjuran sebuah gereja di sini sejak petang Rabu lalu.
"Lubuk itu terletak kira-kira 300 meter dari tempat perkhemahan dan mereka dipercayai dihanyutkan arus selepas gagal berenang ketika cuba menyeberang lubuk tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sardin bagus untuk tulang





KUALA LUMPUR – Kita sering mendengar dakwaan mengatakan bahan pengawet yang dicampur dengan sardin dalam tin memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Malah di internet heboh dakwaan tulang manusia akan menjadi rapuh sekiranya makanan kegemaran ramai itu diambil secara kerap.
Selain itu, ia juga dikaitkan dengan ketumbuhan fibroid kepada wanita.
Bagaimanapun, dakwaan itu diragui kebenarannya oleh Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. E. Siong Tee.
Menurutnya, ikan sardin dalam tin sebenarnya mempunyai kandungan kalsium tinggi yang diperlukan oleh tulang manusia.
“Kajian sains mendapati tulang ikan sardin dalam tin merupakan salah satu sumber kalsium yang baik untuk tulang selain produk tenusu.
“Setakat ini, makanan dalam tin tidak mempunyai sebarang risiko yang memudaratkan sekiranya bahan yang digunakan oleh pengeluar mematuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Selain sardin, katanya, amalan makan ikan bersaiz kecil seperti ikan bilis juga membantu meningkatkan kandungan kalsium yang diperlukan oleh tubuh manusia.
Tambah Siong Tee, makanan dalam tin juga membantu memudahkan penyediaan hidangan diet bagi mereka yang sibuk dengan jadual harian.
Sementara itu, seorang pakar tulang, Dr. M. Ismail Maulut (gambar) memberitahu, masalah berkaitan dengan sendi dan tulang manusia berkait rapat dengan kandungan garam atau asid urik dalam makanan.
“Kandungan asid urik di dalam kebanyakan makanan dalam tin adalah minimum serta tidak bahaya kecualilah ia tidak diawet secara sempurna dan telah dijangkiti bakteria.
“Sebenarnya, makanan laut dan organ dalaman haiwan lebih berpotensi meningkatkan kandungan asid urik dalam darah yang menjadi punca serangan penyakit sendi berbanding makanan dalam tin,” katanya.
Antara makanan organ dalaman itu ialah paru, hati, limpa dan perut haiwan.
Menurut M. Ismail, makanan dalam tin mungkin memudaratkan jika kandungannya tercemar oleh bakteria jenis Clostridium Botulinum.
“Bakteria tersebut mudah ditemui pada tanah dan air yang kotor. Ia juga mudah menular dalam makanan dalam tin yang tidak diawet sempurna sehingga boleh menyebabkan sel-sel bakteria akan menghasilkan toksin yang boleh mengakibatkan keracunan kepada manusia,” jelasnya.

Dua ekor kuda padi dikahwinkan di Rusia



BEBERAPA ekor unta menyaksikan majlis perkahwinan antara kuda padi jantan (kiri) dengan kuda padi betina di Zoo Royev Ruchey, Krasnoyarsk kelmarin.



KRASNOYARSK, Rusia - Dua ekor padi dikahwinkan pada stau majlis yang diadakan di Zoo Royev Ruchey di sini kelmarin.
Para kakitangan zoo itu mengatur majlis perkahwinan tersebut sempena dengan Hari Kekasih.
Kuda padi jantan yang bernama Silver memakai topi manakala kuda padi betina bernama Zorka dipakaikan kain berwarna putih di atas badannya pada majlis tersebut. - Reuters

Penduduk diminta jangan dekati tahi bintang



AWAN kelihatan di laluan tahi bintang itu.



MOSCOW - Pihak berkuasa Rusia semalam meminta para penduduk supaya jangan mendekati sebarang objek yang dipercayai serpihan tahi bintang.
Tahi bintang itu jatuh ke dalam sebuah tasik dekat Chebakul, wilayah Chelyabinsk Oblast semalam.
"Kementerian Kecemasan Rusia memberi amaran kepada penduduk di kawasan pergunungan Ural supaya tidak mendekati objek yang tidak dikenali," kata kementerian berkenaan di laman webnya.


SEBUAH bangunan runtuh akibat letupan kuat tahi bintang tersebut.



Akademi Sains Rusia menganggarkan tahi bintang itu bergerak selaju 54,000 kilometer sejam.
Tahi bintang itu menyebabkan 1,000 orang mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca tingkap bangunan akibat letupan semasa ia jatuh ke dalam tasik itu.
Pihak akademi menyatakan, ia menghantar beberapa kakitangannya ke lokasi tempat tahi bintang itu jatuh. - Agensi

Asteroid gergasi dekati bumi



LAKARAN artis menunjukkan asteroid 2012 DA14 berada dekat bumi.



CAPE CANAVERAL, Florida - Sebuah asteroid gergasi sebesar 45 meter mendekati bumi semalam pada kedudukan 17,600 kilometer.
Para saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat menyatakan, asteroid sebesar separuh padang bola sepak itu akan mendekati bumi setiap 40 tahun.
Asteroid itu dikenali dengan nama 2012 DA14.
Bagaimanapun, ia terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar manusia.
Ia berada dekat Lautan Hindi dan Sumatera, Indonesia semasa berada pada kedudukan dekat bumi. - Agensi

Pistorius menangis di mahkamah


PISTORIUS menutup muka dengan tangannya.



PRETORIA - Atlet terkenal Afrika Selatan yang memakai dua kaki palsu, Oscar Pistorius menangis semalam di sebuah mahkamah di sini selepas dia didakwa menembak mati kekasihnya, Reeva Steenkamp yang juga seorang model di rumahnya.
Pistorius yang pernah bertanding pada Sukan Olimpik pada acara 400 meter dan Paralimpik di London berdiri dengan menundukkan kepala di depan Majistret Desmond Nair untuk mendengar dakwaan yang dikenakan terhadapnya.
Dia yang berusia 26 tahun kemudian menangis dan menekup kedua-dua tangannya ke mukanya.
"Tenang. Datang dan duduk di kerusi," kata Nair kepadanya.

GAMBAR fail Pistorius dengan kekasihnya.



Kesnya itu menggemparkan Afrika Selatan kerana dia dianggap sebagai wira negara.
Pistorius didakwa menembak mati kekasihnya itu yang merupakan graduan undang-undang kelmarin.
Dia tidak membuat sebarang pengakuan ketika tampil dengan memakai sut lengkap di mahkamah tersebut.
Keluarganya mengeluarkan kenyataan menerusi seorang ejen yang berpangkalan di London.
"Dia (Pistorius) jelas menyatakan mahu menyampaikan simpatinya yang mendalam terhadap keluarga Steenkamp," kata kenyataan berkenaan.
Steenkamp ditemui mati ditembak di rumah Pistorius yang terletak di dalam sebuah kawasan perumahan yang dikawal dengan ketat oleh para pengawal.
Menurut akhbar berbahasa Afrika, Beeld, dia ditembak empat kali iaitu di kepala, dada dan pelvis.
"Pengawal keselamatan menemui Pistorius pada mayat Steenkamp di dalam bilik mandi," kata akhbar berkenaan di laman webnya.
"Pintu bilik itu mengandungi lubang peluru," lapor akhbar tersebut.


PISTORIUS menggunakan kaki palsu khas
semasa menyertai acara 400 meter di Sukan Paralimpik, Beijing, China pada tahun 2008.



Peguam Pistorius, Kenny Oldwage berkata, anak guamnya mengalami trauma.
Atlet itu yang terkenal dengan panggilan pelari bilah kerana memakai kaki palsu tidak meminta diikat jamin.
Kesnya ditangguhkan sehingga 19 Februari depan.
Kedua-dua kakinya dipotong dari paras lutut semasa kecil kerana tidak mempunyai tulang kaki semasa dilahirkan.
Sebelum ini dia dilarang bertanding pada Sukan Olimpik di Beijing oleh Persekutuan Persatuan Atlet Antarabangsa kerana menganggap kaki palsunya memberi kelebihan kepadanya berbanding peserta lain.
Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan.
Dia pernah menang pingat emas acara 400m pada sukan Paralimpik. Pelari itu turut berjaya memasuki separuh akhir acara itu di Sukan Olimpik London. - Agensi

Tunjuk perasaan berdarah di Manama



BEBERAPA penunjuk perasaan berlari daripada terkena gas pemedih mata semasa mereka meraikan ulang tahun kedua tunjuk perasaan menentang pemerintahan beraja di Manama kelmarin. - AFP



MANAMA, Bahrain - Seorang pegawai polis mati dekat sini dalam pertempuran terbaharu dengan para penunjuk perasaan bagi meraikan ulang tahun kedua kebangkitan penduduk penganut Syiah menentang pemerintah, kata Kementerian Dalam Negeri semalam.
Pegawai polis itu mati selepas dia terkena bom petrol semasa pertempuran berlaku di sebuah kampung Syiah dekat sini.
Para penunjuk perasaan membaling bom petrol, batang besi dan batu ke arah polis di Kampung Al-Sahla semasa kejadian tersebut berlaku.
Kelmarin, seorang penunjuk perasaan mati ditembak apabila para penunjuk perasaan meraikan kebangkitan rakyat menentang pemerintahan beraja di negara ini.
Penunjuk perasaan itu, Hussein al-Jaziri yang berusia 16 tahun mati selepas dia cedera parah termasuk di bahagian dada apabila terkena tembakan di Kampung Daih, pinggir bandar raya ini.
Tunjuk perasaan itu yang pada mulanya aman bertukar menjadi ganas apabila polis melepaskan tembakan senapang patah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan para penunjuk perasaan menyebabkan beberapa ornag cedera.
Dua tahun lalu, seramai 80 orang mati apabila satu siri tunjuk perasaan menentang pemerintahan beraja berlaku di negara ini. - Agensi

Penyokong Morsi berarak di Kaherah



RIBUAN penyokong Morsi berhimpun di Kaherah semalam.



KAHERAH - Ribuan penyokong Presiden Mesir, Mohamed Morsi semalam berarak bagi mengutuk keganasan selepas tunjuk perasaan ganas berlaku di negara ini beberapa minggu lalu.
Parti Pembangunan dan Pembinaan Islam mendesak supaya tunjuk perasaan itu diadakan dengan menyalahkan pihak pembangkang.
"Semua itu disebabkan pihak pembangkang. Mereka menjadi dalang keganasan," kata seorang penunjuk perasaan, Mohamed Ahmed.
Para penunjuk perasaan itu menjerit nama Morsi selain mengibarkan bendera Mesir.
"Tidak untuk keganasan. Ya untuk syariah," kata para penunjuk perasaan itu. - AFP

WHO dakwa belum ada bukti rokok elektrik selamat



GAMBAR fail menunjukkan rokok dan paip elektrik di Beijing, China. - AFP



PARIS - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan tiada kajian saintifik tetang keselamatan penggunaan rokok elektrik telah dilakukan.
"Potensi tentang kesihatan para pengguna masih belum dapat ditentukan, " kata WHO.
Badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu menyatakan terdapat beberapa ujian yang mencadangkan terdapat kewujudan toksik kimia pada rokok tersebut.
Ia menasihatkan para pengguna supaya tidak menggunakan rokok itu.
Rokok elektrik buat kali pertama muncul di China pada tahun 2003 sebagai pilihan lain bagi menggantikan rokok tembakau.
Terdapat kebimbangan sebelum ini bahawa rokok elektrik itu yang menggunakan bateri mungkin menyebabkan bahaya ke atas kesihatan. - AFP

No comments:

Post a Comment