Wednesday, February 13, 2013

TUA SAKIT DAN SEGALANYA DAH BERKURANG...PASTU MATI...KITA TAK BOLEH TONGKAT LANGIT...JADI BERTAQWALAH

Buaya terbesar mati di Filipina

SELEPAS diukur, Lolong yang sepanjang 6.17m diisytihar buaya terbesar dalam kurungan.


MANILA - Seekor buaya jantan air masin terbesar yang pernah dipelihara di dalam kurungan, Lolong mati selepas 17 bulan reptilia itu ditangkap.
Lolong yang berukuran 6.17 meter (m) panjang mati pada malam Ahad lalu akibat penyakit misteri di sebuah taman ekopelancongan di Bunawan, Pulau Mindanao.
Taman itu dibina oleh kakitangan perbandaran untuk mempamerkan buaya berkenaan.
Kehadiran haiwan tersebut menyebabkan ramai pelancong datang ke Bunawan sekali gus memberi pulangan ekonomi yang besar kepada bandar kecil itu.
"Ia merupakan hari yang paling sedih buat kami. Lolong telah membawa kemasyhuran kepada bandar kami," kata jurucakap bandar itu, Welinda Elorde kepada agensi berita AFP.
Reptilia itu ditangkap di sebatang anak sungai pada September 2011 selepas ia dipercayai membaham kepala seorang kanak-kanak perempuan.
Perangkap besi digunakan untuk menangkap haiwan itu.
Buaya itu juga dipercayai membaham seorang nelayan.
Kira-kira 100 orang yang diketuai Elorde menarik buaya tersebut dengan menggunakan tali dari anak sungai kecil sebelum ia diangkut dengan kren ke atas sebuah trak.
Selepas ditangkap oleh sekumpulan penduduk tempatan dan pakar-pakar haiwan itu, ia diletakkan di dalam kurungan untuk dipamerkan kepada orang ramai.
Akhbar The Philippine Star melaporkan semalam bahawa Lolong menelan tali pntal tiga minggu lalu.
"Kami telah memberikan haiwan itu daging, ayam dan itik.
"Tidak mungkin, ia makan makanan lain," kata Elorde.
Pada tahun lalu, Guinness Book of World Records secara rasminya mengisytiharkan Lolong sebagai buaya terbesar pernah hidup dalam kurungan.
Menurut Elorde, haiwan itu diberi nama Lolong sempena nama seorang pegawai alam sekitar yang mati disebabkan serangan jantung selepas dia pergi ke Bunawan untuk membantu menangkap buaya tersebut.
Satu majlis pengebumian khas akan diadakan untuk Lolong yang seberat hampir satu tan.
Badannya mungkin diawet untuk dipamerkan di sebuah muzium.
Penduduk Bunawan merancang untuk melakukan majlis ritual dengan menyembelih ayam bagi mengucapkan terima kasih kepada roh hutan kerana populariti yang dibawa haiwan berkenaan.
Sekumpulan penganut Kristian juga akan berdoa sebelum reptilia itu dibedah siasat.
Lolong menewaskan pemegang rekod sebelum in, Cassius yang sepanjang 5.48m.
Cassius dipamerkan di sebuah taman di Pulau Green di luar perairan Queensland, Australia. - Agensi

Presiden Filipina lawat kubu kuat MILF


AQUINO (kanan) dan Murad berbual di Sultan Kudarat, selatan Filipina semalam.


SULTAN KUDARAT, Manila - Presiden Filipina, Benigno Aquino membuat lawatan bersejarah ke kubu kuat Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di sini.
Lawatan itu dibuat empat bulan selepas pentadbirannya menandatangani pelan damai dengan MILF.
Menurut Aquino, perjanjian damai yang terakhir antara pemerintahannya dengan MILF akan ditandatangani pada bulan depan.
Turut hadir semasa lawatan Aquino itu ialah Ketua MILF, Murad Ebrahim.
Pihak MILF telah bertempur sejak tahun 1970-an untuk memperoleh kemerdekaan di Mindanao.
Seramai 150,000 orang telah mati akibat pertempuran itu. - Agensi

Lapangan terbang khas pesawat A380 di Dubai


SEBUAH pesawat Airbus A380 milik syarikat Emirates diletakkan di lapangan terbang khas itu kelmarin.


DUBAI, Emiriah Arab Bersatu - Lapangan terbang khas untuk pesawat gergasi dua tingkat Airbus A380 telah dibuka sepenuhnya di sini.
Pesawat itu boleh membawa 525 orang penumpang menyebabkan beberapa lapangan terbang di dunia terpaksa melakukan pengubahsuaian bagi membolehkan ia mendarat.
Sebanyak 20 buah pintu disediakan di lapangan terbang itu.
Projek pembinaan lapangan terbang itu merupakan sebahagian daripada pelan pembesaran lapangan terbang antarabangsa Dubai menjelang tahun 2015 melibatkan kos AS$7.8 bilion (RM24.16 bilion).
Syarikat penerbangan Emirates yang berpangkalan di sini mempunyai 31 buah pesawat A380 yang telah digunakan.
Ia turut menempah 59 buah lagi pesawat itu daripada syarikat Airbus. - AP

Pope umum letak jawatan

POPE BENEDICT XVI


BANDAR VATICAN - Pope Benedict XVI yang berusia 85 tahun mengumumkan beliau mahu meletakkan jawatan sebagai Ketua Gereja Roman Katolik pada 28 Februari ini.
Beliau berkata, usianya itu menghalangnya untuk melakukan tugas-tugasnya dengan lancar.
Peletakan jawatan itu tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Gereja Katolik.
Beliau membuat pengumuman itu semasa mesyuarat Kardinal di sini, semalam.
Pope itu sebelum ini lebih dikenali sebagai Joseph Ratzinger dari Jerman dilantik sebagai ketua kepada 1.1 bilion penganut Kristian Katolik pada 19 April 2005.
Beliau menggantikan Pope John Paul II.
Pada tahun 1296, Celestine V pernah meletakkan jawatan sebagai Pope atas alasan beliau tidak berupaya untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya. - AFP

Penentang Bashar tawan empangan terbesar

BEIRUT - Kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad menawan sebuah empangan terbesar di Syria semalam selepas bertempur selama beberapa hari.
Sebelum ini kumpulan tersebut berjaya menawan dua lagi empangan di Sungai Euphrates.
Bagaimanapun, kejayaan menawan Empangan Al-Furat di wilayah Raqqa, timur laut Syria menyebabkan para penentang menguasai bekalan air dan elektrik untuk sejumlah besar kawasan.
Lebih 60,000 orang telah terbunuh sejak pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan penentang berlaku pada Mac 2011.
Pertempuran itu berlaku kerana kumpulan penentang yang terdiri daripada rakyat tempatan dan asing mahu menggulingkan Bashar.
Menurut pihak penentang, Bashar gagal membawa pembaharuan dalam pentadbiran dan kebebasan hak bersuara. - Agensi

Masuk ular ke dalam hidung


KOMBINASI gambar menunjukkan seorang lelaki memasukkan ular ke dalam hidung dan mulutnya di Kuil Ditan, Beijing semalam.


BEIJING - Seorang lelaki membuat persembahan unik bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina di Kuil Ditan di sini semalam.
Lelaki itu memasukkan seekor ular hidup yang kecil ke dalam hidung.
Mulut lelaki itu juga dilihat mengandungi ular semasa dia membuat persembahan tersebut. - Agensi

Imej puting beliung landa Hattiesburg di AS


GAMBAR yang dirakamkan Holliman menunjukkan angin puting beliung di Hattiesburg pada Ahad lalu.


HATTIESBURG, Mississippi - Gambar angin puting beliung di sini berjaya dirakamkan oleh jurugambar Jordan Holliman pada Ahad lalu.
Beberapa pegawai kecemasan berkata, puting beliung itu menyebabkan sejumlah bangunan mengalami kerosakan.
Kampus Universiti Southern Mississippi turut mengalami kerosakan.
Satu rakaman video yang menunjukkan pergerakan puting beliung itu juga berjaya dirakamkan oleh Rynal Grant.
Sebanyak tiga orang dilaporkan cedera dalam kejadian itu. - Agensi

Kerbau dikahwinkan dengan lembu


KERBAU jantan (kanan) dan pasangannya yang merupakan seekor lembu betina (kiri) diletakkan di depan hantaran perkahwinan haiwan itu di Ayutthaya semalam.


AYUTTHAYA, Thailand - Seekor kerbau jantan berumur 21 tahun, Yai Chai-Yuen dikahwinkan dengan lembu betina berusia lapan tahun, Thong-Kwao di sini semalam.
Beberapa penduduk menganjurkan majlis perkahwinan untuk kerbau jantan yang dianggap paling cantik di sini.
Lembu betina itu dicari oleh penduduk di sini selepas menimbangkan beberapa 'calon' lain.
Haiwan yang dipilih untuk menjadi pasangan Chai-Yuen itu berasal dari Ubon Ratchathan, timur laut Thailand yang terletak 600 kilometer dari sini. - Reuters

600 orang sertai pertandingan sauna


SEBAHAGIAN peserta yang menyertai pertandingan maraton sauna.


OTEPAEAE, Estonia - Kira-kira 150 pasukan melibatkan 600 orang menyertai pertandingan maraton sauna di sini kelmarin.
Pertandingan unik itu mencari pasukan yang paling pantas menggunakan 22 sauna. Para peserta juga perlu terjun ke dalam sembilan lubang ais.
Sebahagian peserta lelaki itu hanya memakai seluar pendek manakala beberapa wanita dilihat berpakaian bikini semasa mereka menuju ke sauna.
Pertandingan itu diadakan semasa kawasan Otepaeas dipenuhi dengan timbunan salji. - Agensi

Ana Dahlia nyaris maut


BEGINILAH keadaan kereta Toyota Vios milik Ana Dahlia yang rosak selepas dirempuh di Jalan Genting Klang semalam. Gambar kanan menunjukkan kecederaan yang dialami pelakon itu.


berita@kosmo.com.myKUALA LUMPUR - Pelakon Ana Dahlia yang juga bekas isteri Chef Riz nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Genting Klang di sini semalam.
Kejadian pukul 1.30 pagi itu melibatkan kereta jenis Proton Iswara dipandu A. Chandran Segaran, 30, Toyota Vios yang dipandu Ana Dahlia dan sebuah van dinaiki tiga lelaki.
Kereta Ana Dahlia tersadai di atas benteng pembahagi jalan akibat dirempuh dengan kuat.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu Chandran Segaran terbabas ketika dalam perjalanan dari Gombak ke pusat bandar lalu merempuh dua lagi kenderaan.
"Ketiga-tiga kenderaan itu rosak teruk namun pemandunya tidak mengalami kecederaan serius," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ana Dahlia memberitahu, dia masih trauma dengan kejadian yang mengakibatkan dia cedera ringan di kepala dan tulang rusuknya retak.
Mengimbau semula kejadian itu, pelakon filem Mantra itu memberitahu, kejadian berlaku begitu pantas hingga membuatkan dia tidak sempat hendak bertindak apa-apa.
"Saya cuma nampak cahaya lampu yang datang dari arah depan dan kemudian merempuh van yang berada lebih kurang 300 meter di hadapan saya.
"Kereta itu kemudian melanggar pula sebelah kanan kereta saya sebelum ia berpusing beberapa kali dan tersadai di atas pembahagi jalan," ceritanya ketika dihubungi.
Ujar Ana Dahlia, dia dimaklumkan kereta Proton Iswara yang melanggarnya itu tidak mempunyai cukai jalan sekali gus menyukarkan dia untuk membuat tuntutan insurans.
"Saya diarahkan oleh doktor supaya berehat dan tidak boleh banyak bergerak," katanya.

Dua remaja tangkap ikan pari gergasi


MOHAMMAD AZRI (kiri) memegang pari gergasi yang berjaya ditangkapnya di Kampung Gong Datuk, Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH - Penduduk di Kampung Gong Datuk, dekat sini gempar apabila dua remaja kampung berkenaan yang menahan pukat berhampiran pintu kawalan air Gong Kulim di Terusan Semerak membawa pulang seekor ikan pari seberat 150 kilogram yang terperangkap di pukat yang dipasang mereka petang semalam.
Pari daripada jenis pari batik dengan ukuran lebar 1.8 meter dan panjangnya tiga meter itu kini menjadi tumpuan seluruh penduduk kampung berkenaan yang sebelum ini tidak pernah melihat ikan pari besar yang dianggap bersaiz gergasi.
Remaja terbabit, Mohamad Azri Azmi, 20, berkata, ikan yang tersangkut pada pukat disedari ketika dia bersama rakan, Nik Mohd. Anaz Nik Mansor, 17, ke sungai berkenaan untuk memungut hasil tangkapan selepas pukat itu ditahan lewat petang kelmarin.
Menurutnya, sangkaan awal pukat yang tidak mampu ditarik dari dasar sungai ke atas bot mungkin disebabkan tersangkut pada akar kayu.
"Kami terpaksa berhempas pulas menarik pukat itu sehingga kelihatan bentuk badan ikan pari besar yang tersangkut pada pukat. Nasib kami baik dengan rezeki yang tidak diduga itu walaupun bot kami hampir tenggelam apabila ikan berkenaan cuba melepaskan diri ketika diangkat naik ke atas bot," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Datuk dekat sini petang semalam.
Mohammad Azri berkata, mereka berdua menggunakan pendekatan menarik pukat ke tebing sungai kerana tidak mahu ikan sebesar itu terlepas begitu sahaja.
"Ini kali pertama ikan sebesar itu tersangkut pada pukat saya dan yang peliknya ia berada di kawasan air tawar sedangkan spesies ikan ini hidupan air masin.
"Saya terpaksa menghubungi ayah supaya datang dengan kereta untuk membawa pulang ikan berkenaan. Saya anggap ini rezeki keluarga kerana sebelum ini pukat yang ditahan hanya memerangkap ikan kecil," katanya.
Jurucakap Jabatan Perikanan Kelantan ketika dihubungi berkata, ikan berkenaan hidup dalam habitat pantai dan air payau dan paling banyak ditemui di antara perairan Afrika Selatan hingga ke Australia.

Budak rentung rumah hangus


PENDUDUK kampung membantu bomba memadamkan kebakaran di rumah papan dua tingkat.


BALING - Seorang bapa menyesal tak sudah apabila anak yang disangka telah keluar rupa-rupanya masih terperangkap di dalam rumah yang terbakar sebelum kanak-kanak berusia empat tahun tersebut ditemui rentung dalam kejadian di Kampung Rambong Padang, Batu Tujuh di sini semalam.
Kejadian pukul 4.30 petang tersebut mengakibatkan Adam Akmar Erwan maut manakala bapa, Erwan Md. Nayan, 33; ibu, Siti Khuzaimah Abas, 33; abang, Mohd. Airel Zaquan, 6, dan seorang adiknya terselamat.
Mengimbau semula kejadian itu, Erwan berkata, sebelum kejadian dia dan isterinya sedang berehat di ruang tamu rumah kayu dua tingkat tersebut sebelum ternampak kepulan asap di sebuah bilik dekat dapur.
Katanya, ketika itu dia sekeluarga baru sampai dari Sungai Petani selepas menghadiri kenduri.
"Saya kemudian terus membawa isteri dan anak bongsu saya berusia tiga bulan keluar. Ketika itu, saya ingatkan arwah sedang bermain di luar bersama Mohd. Airel jadi saya tidak hiraukan dia sangat.
"Bagaimanapun ketika melihat api semakin marak, saya terkejut apabila terdengar suara dia memanggil saya dari tingkat atas namun saya tidak berupaya berbuat apa-apa kerana api sudah menjulang tinggi," ceritanya ketika ditemui.
Tambah anggota tentera di Pengkalan Hulu, Perak itu, selain keluarganya, bapa mertuanya, Abas Ibrahim, 59, turut menetap di situ.
Sementara itu, Abas berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana pergi ke rumah jiran kira-kira 200 meter dari kediamannya bagi membuat persiapan majlis kenduri perkahwinan keesokan harinya.
"Saya bergegas pulang sebaik ternampak asap dan menendang pintu sekuat hati selepas dimaklumkan cucu saya terperangkap namun gagal kerana api marak," katanya.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, sebaik api dipadamkan, pihaknya menemui mayat kanak-kanak itu yang rentung di hadapan pintu tingkat dua dipercayai cuba keluar untuk menyelamatkan diri.
"Kemungkinan asap tebal dan api marak menyebabkan dia terperangkap," katanya.

No comments:

Post a Comment