Tragedi pilu masuk hutan
|
KUANTAN – Hasrat tiga rakan untuk pulang ke rumah masing-masing selepas dipercayai keluar berburu di hutan Matau Balak dekat Kota Gelanggi berkecai apabila kesemuanya ditemui lemas selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mereka naiki tergelincir ke dalam sungai kelmarin.
Kejadian pukul 11.20 malam itu mengakibatkan pemandu 4WD jenis Jeep Cherokee itu, Hamzah Muhammad, 52 serta dua penumpang, Abd. Zahran Asran, 28, dan Roshaizad Abd. Rashid, 29, maut selepas gagal menyelamatkan diri.
Mayat mangsa pertama ditemui pada pukul 3.55 pagi, diikuti mayat kedua selang 20 minit kemudian dan mangsa ketiga pada pukul 4.25 pagi di sekitar 100 meter dari tempat kenderaan itu tergelincir ke dalam Sungai Pahang.
Difahamkan, kemalangan itu disedari oleh seorang Orang Asli yang tinggal berdekatan sebelum dia menghubungi polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim berkata, kejadian tersebut berlaku di kawasan laluan pembalakan yang berselut.
Katanya, ketiga-tiga mangsa dipercayai pergi berburu di hutan tersebut ketika operasi pembalakan dihentikan sementara sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.
“Ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan pulang selepas berburu di situ. Kenderaan mereka terjatuh ke dalam sungai semasa menyeberangi jambatan kerana hilang kawalan.
“Mayat mereka berjaya ditemui dan dikeluarkan dari hutan tebal itu pada pukul 5 pagi tadi (semalam). Polis tidak menemui senjata atau binatang buruan di dalam 4WD itu,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu di Maran, isteri Abd. Zahran, Badariah Daud, 31, mendakwa, suaminya masuk ke hutan itu untuk melakukan aktiviti lasak bersama dua rakannya dan bukan berburu.
“Mereka memulakan aktiviti itu sejak pukul 9 pagi Sabtu lalu. Ketika tiba di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, suami menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) menyatakan mereka sudah sampai sebelum meneruskan perjalanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Keramat di sini.
Badariah memberitahu, sebelum keluar, suaminya sempat mengejutkan dan mencium anak sulungnya, Amar, 4, dan memaklumkan dia ingin masuk ke hutan.
“Arwah bekerja di Maran Golf Hill Resort bersama Hamzah. Empat bulan lalu, kami kehilangan anak kedua kami, Adib, sembilan bulan, kerana demam panas,” katanya sedih.
Dalam pada itu, keluarga Hamzah dan Roshaizad enggan ditemu bual.
Muflis akibat rumah tidak siap
KUALA LUMPUR – Projek perumahan terbengkalai merupakan antara punca ramai penduduk di Malaysia diisytiharkan muflis sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (gambar kecil) berkata, setiap tahun semakin ramai rakyat di negara ini terdedah dengan risiko muflis ketika berusia 22 hingga 48 tahun.
Katanya, kegagalan pemaju menyiapkan projek perumahan menjadi punca pembeli dibebani dengan hutang dan pinjaman yang akhirnya menyebabkan mereka berdepan tindakan mahkamah.
“Jumlah individu yang muflis akibat rumah terbengkalai cukup membimbangkan iaitu seramai 200,000 orang di bawah projek perumahan pemaju tidak berlesen.
“Bagi pemaju berlesen pula seramai 150,000 orang diisytiharkan muflis. Kedua-dua jumlah itu adalah yang direkodkan sejak tahun 1990,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Nadzim memberitahu, nasib yang dialami pembeli rumah terbengkalai dilihat tidak adil apabila pihak bank tidak mendesak pemaju untuk melangsaikan hutang akibat projek yang tidak siap.
“Pihak bank memang tidak akan mencari pemaju sebaliknya pembeli yang perlu berhadapan dengan risiko pembelian rumah terbengkalai,” jelasnya.
Sehubungan itu, Nadzim meminta institusi perbankan supaya bersifat berperikemanusiaan dan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum mengambil tindakan muflis ke atas mana-mana individu yang berhutang.
Beliau turut mencadangkan sistem Perbankan Islam di seluruh negara diperbaiki supaya dapat memberi manfaat kepada rakyat terutamanya dalam hal tanggungan hutang akibat rumah yang dibeli tidak dapat disiapkan.
Polis ada 54 saksi untuk inkues
KUALA LUMPUR - Polis membayangkan pihaknya akan menggunakan khidmat 54 saksi dalam inkues bagi mencari punca kematian seorang kanak-kanak William Yau Zhen Zhong yang dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu sebelum ditemui mati di Pelabuhan Klang lapan hari kemudian.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, tidak semua saksi akan dipanggil dalam inkues tersebut yang tarikhnya akan ditetapkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.
"Tujuan utama inkues adalah untuk menentukan sebab kematian mangsa, sekiranya ada faktor kecuaian dan penglibatan individu lain, pihak polis akan menjalankan siasatan semula.
"Setakat ini kita masih berpegang kepada teori yang mengatakan William mungkin hanyut selepas terjatuh berdasarkan kepada keterangan ibunya yang mengatakan pakaian yang ditemui pada mayat itu adalah sama dengan pakaian sewaktu dia hilang," katanya ketika dihubungi semalam.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, mayat William ditemui terapung di Sungai Sireh, Pelabuhan Klang selepas ibu bapanya, Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, mengenal pasti mayat itu sebagai anak mereka berdasarkan kesan parut di belakang kepala dan dahi.
William dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di Putra Heights, Subang Jaya.
Polis yang menyerahkan laporan penuh kertas siasatan berhubung kes itu kepada Pejabat Peguam Negara kemudian diarahkan membuat inkues bagi mencari punca sebenar kematian kanak-kanak tersebut Jumaat lalu.
Menurut Yahaya, setakat ini, pihaknya masih belum menemui sebarang bukti mengatakan kes itu melibatkan unsur jenayah.
Sedih tak dapat selamatkan anak
|
BALING - Seorang wanita diselubungi rasa bersalah apabila gagal berbuat apa-apa untuk menyelamatkan anak keduanya daripada rentung selepas terperangkap dalam rumah papan dua tingkat yang terbakar kelmarin.
Siti Khuzaimah Abas, 33, memberitahu, sehingga kini dia masih tidak dapat melupakan tragedi tersebut dan amat merindui Adam Akmal Erwan, 4, yang ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Rambong Padang, Batu Tujuh di sini itu.
Katanya, dia bertambah sedih apabila anak kecilnya itu menemui ajal dengan cara sedemikian.
"Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Allah namun belum dapat melupakan tragedi itu.
"Sebelum kejadian, saya baru bermesra dengan arwah selepas pulang menghadiri majlis kenduri rumah saudara di Sungai Petani," ceritanya yang melecur di kedua-dua belah kaki dalam kejadian tersebut.
Semalam Kosmo! melaporkan, Adam Akmal ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 4.30 petang itu.
Bapa mangsa, Erwan Md. Nayan, 33, tidak menyangka arwah masih terperangkap kerana sebelum itu kanak-kanak tersebut bermain dengan abangnya, Airil Zaquan, 6, di hadapan rumah.
Siti Khuzaimah ditemui selepas menerima kunjungan Jabatan Kebajikan Masyarakat Baling yang memberikan kaunseling dan bantuan kematian sebanyak RM300 kepada keluarganya.
Menurut Siti Khuzaimah, dia sekeluarga kini menumpang di rumah saudaranya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Baling, Abdul Kudus Abd Malik berkata, pihaknya terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer ke tempat kejadian kerana jalan sempit selain pokok-pokok yang menghalang laluan jentera bomba masuk.
"Harap penduduk memberi kerjasama untuk melebar jalan dan membersihkan pokok kayu yang merentangi jalan untuk kesenangan di masa depan," katanya.
2 kereta rosak teruk
KUALA LUMPUR - Penduduk kondominium Alpha Villa, Wangsa Maju di sini dikejutkan dengan struktur bahagian atas kondominium berkenaan jatuh dan menghempap dua buah kereta di salah satu blok ekoran ribut yang melanda kawasan tersebut semalam.
Ribut yang berlaku pada pukul 2 petang itu turut menyebabkan bumbung kondominium tersebut rosak teruk.
Menurut pengawal keselamatan di kondominium tersebut, Kaka Singh, 62, keadaan cuaca pada masa kejadian adalah baik dan cerah, namun secara tiba-tiba angin kuat melanda kawasan tersebut.
"Ribut berkenaan yang berlaku selama beberapa minit menyebabkan konkrit daripada struktur bahagian atas kondominium terbabit jatuh dan menghempap dua kereta berkenaan yang diletakkan berhampiran kondominium terbabit.
"Saya terdengar jeritan beberapa tukang cuci yang berada di sekitar kawasan tersebut lari bertempiaran menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mengulas lanjut, Kaka memberitahu, selepas ribut tersebut reda, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi terbabit.
"Saya diberitahu, tidak banyak yang dapat dilakukan dan kawasan tersebut dikatakan tidak selamat untuk orang awam buat masa ini.
"Pita penghadang kemudian dipasang di sekitar kawasan tersebut bagi mengelakkan orang ramai menghampiri kawasan tersebut," ujarnya.
Lelaki ugut isteri dijel 6 bulan
|
KOTA BHARU – Seorang penganggur didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengugut isterinya menggunakan alat pencungkil isi kelapa baru-baru ini.
Majistret Muhamad Hafiz Mohd. Noor mendenda Muhammad Hafizol Salman, 19, selepas menerima pengakuan bersalahnya dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar wang berkenaan.
Tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa selepas gagal membayar denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Hafizol didakwa mengugut untuk membunuh isterinya, Nor Shuhada Abdullah, 21, dengan mengacukan alat pencungkil isi kelapa di sebuah rumah di Kampung Pasir Ara, Binjai di sini pada pukul 2 petang, 3 Februari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, tertuduh telah mengacukan senjata tajam tersebut dan mengugut bunuh sekiranya mereka bercerai.
Perbalahan tercetus apabila tertuduh berasa marah dengan tindakan isterinya menyuruh ibu mertuanya menyimpan rantai emas milik mangsa kerana bimbang dijual tertuduh.
Tertuduh dan isterinya telah mempunyai dua orang anak.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md. Zukri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Curi 7 ekor lembu guna ubat pelali
JEMPOL – Seorang penternak lembu menanggung kerugian kira-kira RM30,000 selepas tujuh ekor lembu susu jenis Friesian-Jersey hilang dipercayai dicuri awal pagi semalam.
Kejadian itu disedari penternak tersebut, M. Nganersegaran, 54, dari Kampung Taman Jaya dekat sini kira-kira pukul 7 pagi semalam apabila pergi ke kandang tersebut yang terletak berhampiran ladang Chong Win Chan dekat Rompin.
“Setiap hari saya pergi ke kandang yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah saya itu.
“Hari ini (semalam) saya amat terkejut apabila mendapati ada kesan tayar lori dan motosikal dekat tanah berhampiran kandang tersebut.
“Lebih mengejutkan, apabila saya masuk ke dalam kandang cuma ada enam ekor lembu. Empat ekor lembu dalam keadaan terbaring lemah manakala dua ekor lagi masih dalam keadaan baik,’’ katanya ketika ditemui di sini semalam
Katanya, setelah diperiksa, dia rupa-rupanya telah kehilangan tujuh ekor daripada 13 ekor lembu yang diternaknya.
“Enam tabung ubat pelali turut ditemui di kandang dan saya yakin pencuri menggunakannya untuk melemahkan lembu sebelum mencurinya.
“Berikutan itu, saya telah memaklumkan kejadian tersebut kepada Jabatan Veterinar daerah dan membuat laporan di Balai Polis Bahau kira-kira pukul 8 pagi,” katanya.
Nganersegaran menternak lembu jenis itu untuk mendapatkan susunya sejak 30 tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Tukiman Seriman mengesahkan pihaknya telah menerima laporan kes tersebut.
Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Bekas komando AS dedah cara dia bunuh Osama
|
WASHINGTON - Seorang bekas anggota komando SEAL Amerika Syarikat (AS) kelmarin mendedahkan buat kali pertama cara dia membunuh bekas ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden.
Dia mendedahkan cerita itu menerusi satu temu bual yang disiarkan agensi berita AFP bahawa tiga das tembakan dilepaskan ke arah Osama di rumah persembunyiannya di Abbottabad, Pakistan pada Mei 2011 selepas sekumpulan komando AS membuat serbuan.
Bagaimanapun, dia kini berhadapan masalah kewangan kerana tidak lagi bekerja.
Dia merahsiakan identitinya semasa ditemu bual oleh pemberita majalah Esquire.
Namun, buat pertama kalinya dia mendedahkan peranan yang dilakukannya dalam satu serbuan di rumah persembunyian Osama.
Bekas anggota komando tersebut mendedahkan kebimbangan terhadap keselamatan ahli keluarganya.
"Dia (Osama) kelihatan keliru. Tubuhnya lebih tinggi berbanding jangkaan saya," katanya tentang Osama.
Pasukan komando itu melakukan serang hendap ke atas Osama di tingkat tiga rumah tersebut.
Ketua Al-Qaeda tersebut meletakkan tangannya di bahu isteri termudanya ketika itu.
Osama menolak badan isterinya itu ke depan dan terdapat selaras senjata AK-47 berdekatannya.
"Saya tidak tahu sama ada isterinya mendapatkan jaket dan dia kemudian ditolak untuk mati syahid. Dia (Osama) mendapatkan senjata dekat dengannya. Dia (Osama) merupakan satu ancaman.
"Saya perlu melepaskan tembakan tepat ke kepala Osama agar dia tidak berpeluang untuk meletupkan dirinya," kata bekas komando tersebut.
"Saya menembaknya, dua kali di dahi. Bap! Bap! Dia terjatuh di atas lantai di depan katilnya dan saya menembaknya sekali lagi.
"Bap! tempat yang sama," katanya.
"Dia mati. Tidak lagi bergerak. Lidahnya terkeluar," tambahnya.
Menurut artikel majalah itu, pembunuhan ke atas Osama mengambil masa selama 15 saat.
Menjelang musim panas pada tahun lalu, selepas bersara daripada tentera, dia menjadi gementar tentang kemungkinan serangan balas terhadap keluarganya.
Bekas anggota komando itu kini menjadi orang awam.
Disebabkan bersara daripada perkhidmatan ketenteraan selepas 16 tahun berkhidmat, dia tidak layak untuk mendapatkan pencen.
Pencen hanya diberikan kepada bekas anggota tentera yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun.
"Dia memberikan banyak khidmat kepada negaranya. Kini dia kelihatan hilang di dalam debu," kata isterinya.
"Saya berasa tiada sokongan, bukan sahaja untuk keluarga saya tetapi untuk keluarga lain di dalam komuniti.
"Secara jujurnya, saya tidak mempunyai tempat untuk mengadu," tambahnya lagi.
Jenazah Osama kemudian dikebumikan di laut oleh tentera AS selepas dia mati.
Osama mati ditembak dalam operasi tentera AS ketika negara itu berada di bawah kepimpinan Presiden Barack Obama. - Agensi
Korea Utara buat ujian nuklear
WASHINGTON - Beberapa pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) menyatakan satu ujian nuklear yang dilakukan Korea Utara mungkin sekuat beberapa kilotan.
Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan AS menyatakan dalam satu kenyataan semalam bahawa Korea Utara mungkin melaksanakan ujian nuklear bawah tanah di pekarangan P'unggye.
Menurut kenyataan itu, analisis ujian tersebut masih dilakukan.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan menyatakan, ia mengesan letupan nuklear itu dianggarkan sekuat enam hingga tujuh kilotan.
Presiden AS, Barack Obama menganggap tindakan Korea Utara itu merupakan satu provokasi yang kuat.
Obama berkata, ia mengancam keselamatan AS dan keamanan antarabangsa.
Sementara itu, China memanggil seorang duta Korea Utara untuk menyuarakan bantahannya terhadap ujian itu.
Menurut Beijing, Pyongyang meneruskan ujian itu walaupun ia mendapat bantahan meluas daripada masyarakat antarabangsa.
Beberapa agensi yang mengesan gegaran gempa bumi di rantau Asia Timur mendapati terdapat gegaran sekuat 4.9 dan 5.1 pada skala Richter pada pukul 11.57 pagi waktu tempatan.
Pusat gegaran itu dikesan di lokasi ujian nuklear tersebut.
Pentadbiran Gempa Bumi China menyatakan ia mengesyaki berlaku satu letupan.
Agensi gempa bumi di Korea Selatan dan Jepun merumuskan gegaran tersebut kemungkinan disebabkan ujian nuklear.
Agensi Kajian Geologi AS memberitahu, kedalaman pusat gegaran itu hanya satu kilometer. - Agensi
Cassius peroleh gelaran buaya terbesar dunia
SYDNEY - Seekor buaya gergasi sepanjang 5.48 meter yang bernama Cassius memperoleh semula gelaran sebagai buaya terbesar di dunia yang dipelihara di dalam kurungan, lapor agensi berita dpa semalam.
Cassius dipamerkan kepada orang ramai di taman buaya Marineland Melanesia, Pulau Green yang terletak dekat Cairns, Australia.
Buaya jantan itu seberat satu tan dan berumur 110 tahun.
Reptilia tersebut memperoleh semula gelaran itu selepas seekor buaya gergasi sepanjang 6.17 meter yang bernama Lolong mati di sebuah taman ekopelancongan di Bunawan, selatan Filipina pada Ahad lalu.
Bedah siasat dilakukan bagi mengetahui punca kematian buaya air masin itu yang dianggarkan berusia sekitar 50 tahun.
Sebelum mati, buaya itu dikatakan menelan tali pintal.
Bagaimanapun, bedah siasat itu mendapati tiada benda ganjil seperti tali pintal itu yang ditemui di dalam perutnya.
Ketua Biro Hidupan Liar dan Perlindungan di Filipina, Mundita Lim berkata, punca kematian haiwan itu akan diketahui hujung minggu ini.
Buaya jantan itu ditangkap oleh penduduk dan pakar-pakar haiwan tersebut di sebatang anak sungai pada September 2011 selepas ia dipercayai membaham kepala seorang kanak-kanak perempuan.
"Kami berasa kecewa terutamanya George Craig," kata Billy Craig yang merupakan cucunya ketika mengulas tentang kematian Lolong.
"Dia (George) merupakan seorang pemburu buaya di sini dan pengasas taman itu.
"Justeru, kematian itu adalah sesuatu yang menyedihkan walaupun ia menjadikan Cassius sebagai 'raja' semula," tambahnya.
Menurut Billy, pihak Guinness Book of World Records menghubungi pihak taman itu selepas Lolong mati.
"Menurut pihak Guinness Book of World Records, rekod itu akan dikembalikan semula kepada kami.
"Ia baik untuk perniagaan," tambahnya.
Cassius ditangkap di sebatang sungai di Wilayah Utara, Australia selepas haiwan itu menyerang bot-bot dan enjin motor sangkut.
Reptilia itu dijual kepada George yang membawanya ke Pulau Green.
Menurut Billy, adalah sesuatu yang menyedihkan kerana Lolong mati terlalu muda.
"Cuba bayangkan apakah saiz haiwan itu jika ia boleh hidup selama 50 tahun lagi?" katanya. - Agensi
Penentang Syria tawan pangkalan tentera
DAMSYIK - Kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad berjaya menawan sebuah pangkalan tentera udara Syria dan beberapa buah pesawat semalam.Perkembangan itu berlaku sehari selepas kumpulan penentang tersebut berjaya menawan empangan terbesar di Syria.
Kumpulan Pemantau Untuk Hak Asasi Syria berkata, kumpulan penentang menawan sebuah lapangan terbang tentera di Al-Hajjar di wilayah Aleppo.
Menurutnya, pihak penentang kini dalam proses untuk merampas satu armada pesawat perang pengangkut termasuk beberapa buah jet pejuang MiG.
Sumber tentera di Aleppo mengesahkan kumpulan penentang berjaya menawan pangkalan tentera itu selepas 48 jam bertempur.
"Ia merupakan sebuah lapangan terbang kecil yang digunakan untuk tujuan latihan.
"Beberapa buah pesawat yang ada di sana sudah lama tidak digunakan," kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon meminta rejim Bashar untuk menerima tawaran berdialog daripada seorang pemimpin penentang.
Pertempuran antara rejim tentera Bashar dengan kumpulan penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan dan asing sejak Mac 2011.
Kumpulan itu mahu Bashar digulingkan selepas beliau gagal membawa pembaharuan dalam pentadbirannya. - AFP
Ulama Al-Azhar pilih mufti baharu
KAHERAH - Para ulama di Universiti Al-Azhar kelmarin telah melantik seorang mufti baharu kelmarin melalui satu sistem undian yang belum pernah berlaku sebelum ini.Seorang profesor perundangan Islam, Shawqi Ibrahim Abdel Karim telah dipilih oleh sebuah majlis yang dianggotai beberapa ulama kanan.
Majlis ulama itu telah menghantar nama Shawqi kepada Presiden Mesir, Mohamed Morsi untuk pengesahan.
Menurut para pengkritik, beberapa mufti sebelum ini dipilih oleh Presiden Mesir.
Mufti sebelum ini, Ali Gomaa, menerima kritikan keras kerana beliau meramalkan bahawa Hosni Mubarak akan dimasukkan ke dalam syurga.
Ali membuat kenyataan itu sebelum Hosni meletakkan jawatan pada Februari 2011.
- AFP
Kereta api rempuh trak di Jepun
TOKYO - Sebuah kereta api penumpang tergelincir dan melanggar sebuah trak di sebuah kawasan lintasan di Jepun semalam, kata polis.
Menurut polis, berdasarkan rakaman dan laporan yang diterima, dua gerabak kereta api itu berada di atas platfrom di sebuah stesen kereta api di sini.
Seorang jurucakap polis tempatan mengesahkan kejadian itu dan menyatakan jumlah mangsa yang cedera setakat ini sebanyak 16 orang.
"Sebuah kereta api dan trak bertembung di lintasan dekat stesen Arai di laluan Sanyo di bandar Takasago pada pukul 3.50 petang waktu tempatan," katanya.
Menurutnya, pemandu kereta api itu cedera parah.
Beliau berkata, pemandu trak itu juga cedera.
"Namun, terdapat kemungkinan jumlah yang cedera akan bertambah. Kami masih tidak tahu sekiranya terdapat mangsa yang mengalami kecederaan serius," kata jurucakap itu. - AFP
No comments:
Post a Comment