Friday, March 16, 2012

BILA PERNIAGA BESAR MENGUTAMAKAN BISNES DARI KEPENTINGAN ORANG RAMAI....

Ayah hiba meraung

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

KUANTAN: “Ya Allah, anak aku!” jerit seorang bapa yang gagal mengawal perasaan sebaik melihat jasad anak kesayangannya yang terbunuh selepas Perodua Myvi dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 43, Jalan Kuantan-Kemaman, berhampiran Balai Polis Cherating, di sini, kelmarin.
Tindakan Rosli @ Rosdi, 50-an itu menyebabkan abang iparnya, Wan Rosli Wan Ismail, 52, terpaksa memujuknya kerana bimbang dia gagal mengawal perasaan selepas mengecam mayat anaknya, Ruhazril, 19, di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Dalam kejadian jam 7 malam itu, Ruhazril yang juga pelajar Kolej Tati di Kijal, Terengganu dan berasal dari Gong Pasir, Dungun mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas tersepit dalam kereta sebelum mayatnya dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng.

Manakala seorang rakan mangsa yang belum dikenal pasti identiti yang turut berada dalam kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun masih trauma dan sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di HTAA.


Menurut Wan Rosli, mereka sekeluarga menerima panggilan daripada ibu arwah, Wan Rubiha, 44, memaklumkan kemalangan menimpa anak saudaranya sebelum bergegas ke HTAA.

‘Abah’ tarik selimut

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
am@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Dua beradik berdepan detik cemas kira-kira lima minit apabila terpaksa bergelut dengan seorang lelaki rakan bapanya yang didakwa mencabul seorang daripada mereka di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Selasa lalu.
Sebelum kejadian di rumah mereka pada jam 3 pagi, suspek yang bersahabat baik dengan keluarga mangsa memasuki rumah berkenaan sambil memberi alasan konon tertinggal cincin dan mancis.

Mangsa berusia 17 tahun berkata, dia tersedar daripada tidur selepas menyedari selimut ditarik dan paha diraba sebelum melihat rakan bapanya itu berada dalam bilik tidurnya.

Katanya, suspek memintanya tidak menjerit, sebaliknya terus menutup lampu bilik sebelum menerkamnya hingga berlaku pergelutan.


“Saya cuba melawan dan sempat menendang perutnya manakala adik yang bersembunyi dalam bilik air sempat menjerit meminta tolong sebelum didengari abang yang berniaga burger di depan rumah.

“Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri manakala abang bersama rakannya yang cuba mengejar gagal menangkap penjenayah itu,” katanya.

Dasar laut gelap, jarak terhad jejas operasi



KLANG: Keadaan dasar laut yang gelap selain jarak pemandangan terhad menyukarkan pihak penyelamat menjejaki anggota penyelam bomba yang dilaporkan lemas sewaktu menjalankan operasi mencari kontena tenggelam di Dermaga 14, Northport, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, selain unit selam pasukan Bomba dan Penyelamat, turut membantu adalah pasukan skuba polis Marin dan penyelam swasta dalam usaha mengesan Mohd Tajul Arifin, 30, anggota dari Unit Selam Northport yang lemas.

Mohamad Shukor berkata, operasi mencari dan menyelamat dimulakan semula pada jam 7 pagi dan sehingga kini masih giat dijalankan selain akan menggunakan sepenuhnya kepakaran dari agensi yang terbabit.
“Sukar untuk penyelam menemui sebarang petunjuk disebabkan keadaan laut yang gelap dan jarak penglihatan terhad menyebabkan kerja mencari dan menyelamat lambat.

“Bagaimanapun usaha mencari akan diteruskan pasukan bomba dan polis marin selain mendapat bantuan dari pasukan penyelam swasta yang turut sama dalam operasi berkenaan,” katanya sewaktu dihubungi Harian Metro, semalam.

Katanya, operasi menyelamat terpaksa dihentikan dan di sambung esok berikutan keadaan cuasa tidak mengizinkan.

Pengirim SMS belum ditahan

JOHOR BAHRU: Wanita yang mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta wang tebusan daripada keluarga Nurul Nadirah Abdullah, 5, atau Dirang, yang dibunuh awal bulan ini masih belum ditahan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin (gambar) berkata, setakat ini, pihaknya sudah mendapatkan kerjasama daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk menahan wanita terbabit yang beralamat di negeri itu.

“Kami juga sudah memanggil keluarga Dirang untuk memberi keterangan berkaitan kiriman SMS itu pagi semalam bagi membantu siasatan.
“Kami harap wanita terbabit dapat ditahan secepat mungkin bagi membantu menyelesaikan kes pembunuhan Dirang,” katanya, di sini, semalam.

Menurut Roslan, pihaknya akan bekerjasama dengan IPK Kelantan bagi menahan wanita yang menghantar SMS berbaur ugutan dan meminta wang tebusan sebanyak RM30,000 daripada keluarga Dirang.

Dalam perkembangan berkaitan, Roslan berkata, empat individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Dirang akan dilanjutkan tempoh reman mereka hari ini.

Dua maut tak nampak treler

MARAN: Seorang pemandu lori tiga tan dan kelindannya terbunuh selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh belakang sebuah treler membawa biji besi di Kilometer 158.7, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Muzadrul Hasdi, 35, dari Batu Caves, Selangor manakala kelindannya, Muhamad Fuzi Yaakob, 22, dari Mantin, Negeri Sembilan. Kedua-dua mereka mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki lori membawa muatan produk makanan beku itu dalam perjalanan menghala ke Kota Bharu dari Puchong.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, Muzadrul dipercayai tidak dapat melihat dengan jelas treler di depannya akibat kabus tebal.

Katanya, siasatan awal mendapati Muzadrul dipercayai gagal menekan brek sebelum kenderaannya terus merempuh treler yang bergerak perlahan di lorong kiri lebuh raya berkenaan dan rempuhan itu mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat bersama satu jentera bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa.

“Mayat dihantar ke Hospital Bandar Jengka (HBJ) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing, tengah hari semalam,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, polis sudah mengambil keterangan pemandu treler terbabit berusia 44 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

ADO rentung dalam MPV

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

KOTA MARUDU: “Saya terdengar empat letupan sebelum melihat kenderaan itu terbakar,” kata Hisyamsul Hamza, 35, saksi kejadian yang mengorbankan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kota Marudu, Hilde Primus Peki @ Hilde Primus Kayau selepas Proton Exora miliknya terbakar di Jalan Ulu Tandek, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Hilde, 43, ditemui mati dalam keadaan rentung selepas anggota bomba memadamkan kebakaran kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan. Hisyamsul berkata, ketika kejadian dia dan isteri sedang memasang khemah untuk berniaga di Tamu Tandek, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik terdengar letupan itu dia bersama beberapa peniaga lain bergegas ke tempat kejadian dan mendapati sebuah MPV terbakar.
“Kami segera menghubungi bomba dan cuba memadamkan api, namun tidak berani menghampiri kenderaan yang marak terbakar itu kerana bimbang meletup,” katanya ketika dihubungi.

Hisyamul berkata, dia menyangka tiada mangsa di dalam kenderaan itu kerana keadaan agak gelap selain bahang panas menyukarkan mereka menghampiri MPV terbabit.

“Saya ingat tiada orang di dalam kenderaan itu tetapi terkejut apabila bomba menemui satu mayat rentung sebaik api dipadamkan,” katanya yang juga saksi pertama tiba di tempat kejadian.

Ketua Operasi Menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Marudu, Pegawai Bomba Larsson Majaya, berkata pihaknya menerima panggilan jam 4.09 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota dikerah ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba 15 minit kemudian, kami mendapati keseluruhan kenderaan sudah terbakar. Anggota bomba kemudian menemui satu mayat rentung dalam kenderaan itu,” katanya.
Larsson berkata, tiada identiti diri atau dokumen ditemui berikutan keadaan mayat yang rentung.

“Berikutan penemuan mayat itu, bomba menghubungi polis bagi melakukan siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba masih melakukan siasatan berhubung punca kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof, berkata kejadian itu dipercayai akibat masalah pendawaian elektrik.

Niat bapa sertai percutian terbantut

KLUANG: Niat bapa kepada seorang kanak-kanak yang lemas di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk bersama-sama menyertai percutian anaknya itu terbantut apabila dia menerima berita menyayat hati itu pagi semalam.
Rosdi Abdul Rahman, 33, berkata, isterinya, Norazura Ahmad, 28, membawa anak mereka, Irfan Danish, 2, terlebih dulu ke rumah kakaknya di Wangsa Maju untuk bercuti.

Katanya, dia tidak menyangka, hasratnya untuk menyusul ke Kuala Lumpur semalam, bagi menyertai percutian mereka sekeluarga berakhir dengan berita sedih itu.
“Malam kelmarin, saya dimaklumkan bahawa anak hilang dan tidak dapat dikesan sehinggalah pagi semalam, isteri memaklumkan berita yang menyayat hati ini.

“Saya hanya reda dengan pemergian Irfan. Memang berat untuk menerima kenyataan kerana dia adalah anak sulung hasil perkahwinan kami,” katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Seri Lambak, di sini, semalam.

Rosdi ditemui ketika bersama saudara dan rakannya menyempurnakan pengebumian Irfan.

Rosdi menambah, walaupun usia Irfan baru dua tahun, dia petah berkata-kata terutama apabila memanggilnya dan Norazura.

“Kediaman kami pasti sunyi selepas ini,” katanya. Nurazura yang masih trauma pula enggan ditemui.

Tinggal bayi di kedai



KUALA TERENGGANU: Seorang wanita dipercayai ibu bayi lelaki (gambar) berusia lingkungan 40 hari tergamak meletakkan anaknya itu di sebuah kedai makan di Kampung Melayu, Sungai Buluh, Selangor sebelum menghilangkan diri dalam kejadian 14 Februari lalu.
Bagaimanapun, bayi malang yang diberi nama Mohd Amzar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bernasib baik apabila ditemui seorang penduduk kampung berkenaan yang kebetulan melalui kawasan berkenaan, kira-kira jam 6 pagi hari sama sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan diserahkan kepada JKM. Lebih menyayat hati, ketika ditemui bayi berkenaan hanya ditinggalkan atas bangku di kedai berkenaan dalam keadaan kesejukan tanpa pakaian, cuma dialas dengan kain.

Jurucakap JKM berkata, bayi malang itu yang cukup sifat ditemui tanpa sebarang pengenalan diri serta nota dan kini berada di bawah jagaan sementara pihaknya bagi memudahkan waris mengambilnya selepas proses pendaftaran selesai.
“JKM sedih dengan kejadian ini kerana bayi tidak berdosa itu ditinggalkan berseorangan dalam kegelapan awal pagi di kedai berkenaan.

“Jika orang ramai tidak menemui bayi berkenaan, pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuk digigit haiwan liar hingga boleh menyebabkan kematian.

“Kita berharap ibu bapa yang tidak mahu menjaga anak dilahirkan tidak meletakkannya sesuka hati di sebarang tempat, sebaliknya berhubung dengan JKM untuk memudahkan urusan perlindungan bayi terbabit,” katanya. Menurutnya, bayi itu dalam keadaan sihat dan meminta orang ramai yang mengenali warisnya berhubung dengan JKM.

Tergelincir ketika bermain

KUALA LUMPUR: Polis mengklasifikasikan kematian Irfan Danish Rosdi, berusia dua tahun yang ditemui terapung dalam Tasik Titiwangsa, di sini pagi semalam sebagai mati mengejut kerana lemas selepas dipercayai tergelincir semasa bermain di taman permainan berhampiran tasik itu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira jam 7 malam kelmarin yang mengatakan anaknya hilang.

“Siasatan polis mendapati kejadian berlaku di belakang Restoran Nelayan berhampiran tempat permainan kanak-kanak dan kira-kira 15 meter dari tasik.
“Pada awalnya mangsa disyaki lemas di tasik berhampiran atau diculik penjenayah, namun perkara sebenar tidak diketahui dan kawasan sekeliling juga tiada kamera litar tertutup (CCTV). “Pencarian mangsa dilakukan sehingga awal pagi dan kira-kira jam 7.30 pagi tadi (semalam), mayat kanak-kanak itu dijumpai pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terapung di tepi tasik dipercayai lemas selepas tergelincir,” katanya ketika dihubungi semalam.

Nelayan terkejut jumpa mayat terapung



KLANG: Sekumpulan nelayan yang menaiki bot terkejut sebaik menemui mayat seorang lelaki terapung dengan kesan luka di kepala ketika melalui kawasan perairan Pulau Ketam, di sini, semalam.
Mayat lelaki terbabit ditemui jam 1.45 tengah hari sebelum pihak polis dimaklumkan kejadian berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, sebaik menerima maklumat, sekumpulan anggota Polis Marin dihantar ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan.
Katanya, mayat lelaki yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju itu dibawa ke Jeti Pangkalan Marin, Pulau Indah, di sini, sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat luka di kepala mangsa yang berukuran kira-kira 3 inci dan mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an.

‘Kami beri masa sebulan’

Oleh Mohamad Naufal Mohamad Idris
am@hmetro.com.my

BANTAH...penduduk membuat demonstrasi membantah operasi kilang simen.
BANTAH...penduduk membuat demonstrasi membantah operasi kilang simen.
MERU: “Kami beri masa sebulan kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu bunyi bising dan habuk kilang simen yang terletak kurang 50 meter dari rumah penduduk.
“Jika kerajaan negeri gagal berbuat demikian, kami akan mengadakan demonstrasi aman di depan pintu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK),” itulah amaran yang diberikan penduduk, S Hassan Kuthoos Syed Ahmad Kaber, 38, berhubung pencemaran berpunca daripada sebuah kilang simen di Taman Daya Maju dan Taman Daya Meru, di sini, semalam.

Penduduk tidak tahan hidup dalam keadaan tidak selesa disebabkan habuk dan bunyi bising yang dikeluarkan sebuah kilang simen sejak tahun 1990-an lagi. Katanya, masalah pencemaran itu sejak dari 2008 sehingga kini dan masalah semakin meruncing sehingga membahayakan kesihatan penduduk.
“Tahap kesihatan kebanyakan penduduk terjejas dan sering diserang penyakit seperti asma dan batuk.

“Jika dibiarkan masalah ini berlarutan, dikhuatiri pelbagai lagi penyakit akan menyerang penduduk dalam jangka masa panjang,” katanya.

Tambah rumit apabila lori dari kilang simen dan kilang berhampiran turut melalui kawasan berkenaan mengundang bahaya terutama kepada kanak-kanak.

Beliau berkata demikian sewaktu melakukan demostrasi di hadapan kilang simen berkenaan yang dihadiri kira-kira 50 penduduk dari kedua-dua taman perumahan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Daya Maju, Muhamad Haswar Ewan berkata, pihaknya sudah menghantar pelbagai aduan kepada pihak bertanggungjawab sejak 2008.
“Namun aduan itu seolah-olah tidak diendahkan dan dipandang sepi kerana sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil.

“Kami sudah hantar pelbagai surat kepada Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Alam Sekitar Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor semenjak 2008, tetapi tiada tindakan diambil pihak berkenaan,” katanya.

Haswar berkata, pihaknya pernah dihalang pekerja ketika ingin berjumpa dengan pemilik kilang itu.

“Kami pernah bersemuka dengan pemilik kilang itu dan pemilik kilang itu pernah berjanji akan memindahkan operasi kilangnya.

“Namun janji tinggal janji dan pemilik kilang itu sehingga kini gagal memindahkan operasi kilangnya,” katanya.

Katanya, pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan yang tegas mengenai isu ini secepat mungkin bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Namun, polis masih belum memperoleh butiran peribadi mangsa berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada seluar mangsa dan sekitar tempat mayat ditemui,” katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati kurang dari 24 jam berdasarkan keadaan mayat sewaktu ditemui namun polis masih menyiasat sama ada mangsa dibunuh atau tidak. Beliau berkata, setakat ini polis menyiasat dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).

1 comment:

  1. salam sejahtera.. boleh x saya nak tau kilang simen ni masih beroperasi atau tidak. sebab saya buat kajian mengenai habuk simen terhadap penduduk sekitar.

    ReplyDelete