Wednesday, May 9, 2012

APA KOMEN MAJLIS FATWA...ADAKAH KONSERT BERITA DIBAWAH NI TAK HARAM...HAI BANYAK MEREKA NAK TANGGUNG...PAYAH BILA BERADA DIHADAPAN ALLAH KELAK...APA ALASAN NAK BERIKAN...TU SEBAB BANYAK ILMUAN2@ULAMAK2 DAHULU MENOLAK JAWATAN MUFTI...MEREKA SANGGUP DIPENJARA DARI MENERIMA JAWATAN MUFTI...BAGAIMANA PULA HUKUM BELAJAR BERGAUL BEBAS ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN...DAN BANYAK MASALAH LAGI PERLU DIBERITAHU TENTANG HALAL DAN HARAM...

46,698 pelajar ke IPTA, politeknik


JUMLAH pemohon yang berjaya ke IPTA dan politeknik terus meningkat dengan golongan wanita mendahului lelaki dari segi bilangan pelajar baharu. - Gambar hiasan



PUTRAJAYA - Sebanyak 46,698 pemohon telah ditawarkan tempat untuk mengikuti program asasi dan diploma di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Politeknik Premier bagi sesi akademik 2012/2013.
Jumlah itu mencatat peningkatan kira-kira 11 peratus berbanding 41,267 permohonan yang berjaya untuk sesi akademik tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Rujhan Mustafa berkata, sejumlah 218,931 permohonan diterima dan selepas ditapis, 189,959 permohonan layak dipertimbangkan.
"Keputusan kemasukan telah pun diumumkan pada 7 Mei lepas dan bagi calon yang telah ditawarkan tempat mereka perlu menyatakan pengesahan penerimaan sebelum 15 Mei ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Rujhan berkata, kepada calon yang gagal, mereka boleh mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan di http://upu/mohe.gov.my sebelum 18 Mei depan dan keputusan rayuan akan diumumkan pada minggu kedua bulan Jun iaitu selepas pendaftaran kemasukan pelajar baharu.
"Hanya seramai 143,261 layak mengemukakan rayuan. Jika tiada sebarang jawapan diterima dalam tempoh empat minggu selepas tarikh pendaftaran pelajar baharu itu maka rayuan dianggap gagal. Keputusan rayuan adalah muktamad," katanya.

Penduduk gempar kubur dirosakkan



BATU nisan yang dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab di tanah perkuburan Islam Jalan Mendu, Kuching semalam.



KUCHING – Penduduk Kampung Mendu gempar apabila 20 batu nisan dan kubur di tanah perkuburan Islam Jalan Mendu di sini dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Amat menyedihkan apabila batu nisan dan binaan sekeliling kubur rosak serta berselerakan di atas tanah.
Kejadian tersebut disedari pada Ahad lalu oleh seorang penduduk yang datang untuk menziarah kubur kakaknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga di sini malam kelmarin.
Tanah perkuburan seluas 60 meter persegi itu menempatkan hampir 100 pusara.
Seorang tukang kebun, Ahmad Sontol, 63, yang dalam perjalanan ke tempat kerja terkejut melihat batu-batu nisan, dinding kubur dan longgokan tanah berselerakan.
“Perkara pertama terlintas di fikiran saya ialah kubur arwah nenek saya.
“Nasib baiklah tidak berlaku apa-apa tetapi saya kecewa dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam

Jelitawan WHF meriahkan konsert



JELITAWAN WHF 2012 bergambar bersama produk minyak wangi tajaan One Drop Perfumes di Kuching malam tadi.



KUCHING – Acara World Harvest Festival (WHF) 2012 sempena sambutan Hari Gawai Dayak anjuran Kampung Budaya Sarawak dijangka meriah dengan pelbagai program sepanjang bulan ini.
Antara yang menjadi tumpuan utama ialah penyertaan 15 jelitawan Miss World Harvest Festival 2012.
Malam tadi, kesemua jelitawan itu diperkenalkan pada sidang akhbar diikuti konsert mini selama dua jam setengah di Centre Court, Kompleks Kubah Ria di sini.
Turut hadir pada sidang akhbar dan konsert itu ialah Menteri Muda Pelancongan Sarawak merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Datuk Talip Zulpilip.
Finalis Miss WHF ialah Rebekah Livan Balan, 23; Corry Anak Philip, 21; Gracia Vicky Chua, 18; Helina Sarani Anak Saba, 24; Kara Karissa Simon, 23; Rachel Frankie, 22, Angelica De Rozario, 24; Diana Anak Kedeny, 21; Alfira Asmila Asmi, 20; Magrina Awing George, 19; Stephanie Yiap Ai Nee, 20; Prescilla Anak Mark, 22; Farahana Zita Anak Joes, 21; Dayang Haizum Abang Kerni, 24, dan Annie Anak Salang, 19.
Pada majlis itu, One Drop Perfumes, jenama haruman terkenal Malaysia, selaku penaja utama Miss World Harvest pada tahun ini menyerahkan penajaan melalui wakilnya, Pengurus Pengiklanan Utusan Media Sales, Stella Abdullah.
Kosmo! menjadi rakan media rasmi Miss WHF 2012.
Penaja-penaja lain ialah SEGI College, Lea Holdings (M) Sdn. Bhd., Celcom, 360 Urban Resort Hotel, The Collective, Eyesight Optic, Keringkam Jingga Bridal, Get Away Agencies Sdn. Bhd., E-One Talent Management, Nestle, Red Bull, Kuching Waterfront, Sarawak Plaza, Riverside Majestic Hotel, Grand Margherita Hotel dan Damai Beach Resort Hotel.

Polis beri seminggu serah diri

KUALA LUMPUR - Polis memberi tempoh seminggu kepada semua peserta Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 3.0) pada 28 April lalu, yang gambar mereka disiar dalam akhbar supaya menyerah diri sebelum mereka diburu pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, mulai Rabu depan, polis akan membuat tangkapan dari rumah ke rumah terhadap mereka yang enggan menyerah diri.
"Satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk mengesan mereka yang terlibat, jadi kita beri peluang terakhir untuk tampil sebelum polis mencari mereka dari rumah ke rumah," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Bakri memberitahu, sebanyak 25 lagi gambar peserta perhimpunan itu akan disiarkan di dalam laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang dicari untuk membantu siasatan ialah seramai 129 orang.
Menurut beliau, setakat semalam, seramai 12 orang telah ditahan dengan lapan daripada mereka telah didakwa di mahkamah manakala yang lain dibebaskan dengan jaminan polis.
"Polis telah membuka sebanyak 43 kertas siasatan berhubung perhimpunan itu dengan 22 daripadanya adalah laporan orang awam terhadap polis manakala selebihnya adalah berkaitan perhimpunan itu sendiri," kata beliau.

Penyamun stesen minyak maut



LOKASI (dalam bulatan) suspek terjatuh selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan Honda CRV di stesen minyak Shell Jalan Kepong, Kuala Lumpur.



KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang menyara hidup dengan melakukan jenayah lebih 10 tahun lalu berakhir kelmarin apabila dia mati selepas terlibat dalam kemalangan sejurus selepas menyamun sebuah stesen minyak Shell di Jalan Kepong di sini.
Suspek yang berusia 31 tahun mati ketika dirawat di Hospital Selayang di sini semalam selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan Honda CRV ketika melarikan diri dalam keadaan panik kerana terserempak dengan seorang anggota polis berpakaian seragam di stesen minyak itu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek itu pada pukul 8 malam dengan bersenjatakan parang masuk ke stesen minyak di Jalan Kepong dan memaksa dua pekerja termasuk seorang wanita menyerahkan wang sebanyak RM1,115 hasil jualan minyak dan barang-barang di kedai serbaneka di premis itu.
“Kedua-dua pekerja itu diarah membuka kaunter wang dan menyerahkan semua wang yang ada di dalam kaunter sambil mengacu parang ke leher mereka.
“Mangsa-mangsa yang ketakutan menyerahkan semua wang kepada suspek sebelum lelaki itu melarikan diri dengan menunggang motosikal,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Penganggur aniaya isteri dijel



MOHD. ASRI (kanan) dibawa keluar selepas mengaku bersalah memukul isterinya di Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU - Seorang penganggur dipenjara dua tahun dan tiga kali sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah memukul isterinya menggunakan dua batang kayu termasuk sebatang kayu hoki pada tahun lalu.
Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly memutuskan hukuman itu ke atas Mohd. Asri Ahamed, 26, dan diarah berkuat kuasa mulai tarikh dia ditahan pada 6 Mei lalu.
Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa memukul isterinya, Nik Rosdiana Mohammad, 22, sehingga mendatangkan kecederaan serius kepada wanita itu di sebuah rumah di Jalan Panji di sini pada pukul 10 pagi, 17 Julai 2011
Tertuduh dikatakan berbuat demikian kerana marah dengan isterinya yang cuai menjaga anak sehingga menyebabkan anak mereka terjatuh.
Dia menggunakan sebatang kayu berukuran setengah meter dan juga sebatang kayu hoki untuk memukul wanita itu hingga cedera di muka, lengan dan badan.

'Pengurus palsu' larikan kamera bernilai RM51,694



BEE HOCK (kanan) dan Michael menunjukkan salinan laporan polis berhubung kecurian kamera di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan menanggung kerugian RM51,694 selepas 13 buah kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR) jenama Canon di kedainya di sini dilarikan oleh seorang lelaki yang memperdaya dua kakitangannya.
Mangsa, Tan Bee Hock, 53, mendakwa, semasa kejadian pada 27 April lalu, pekerjanya menerima panggilan telefon daripada lelaki yang mendakwa dirinya pengurus di salah satu kedainya di Klang dan meminta menyediakan 13 buah kamera untuk dibawa ke cawangan tersebut.
Bee Hock berkata, ketika itu dia tidak berada di kedai dan dua pekerjanya yang berumur 17 dan 18 tahun telah mengikut arahan lelaki tersebut tanpa pengetahuannya.
"Suspek meminta pekerja-pekerja saya menghantar kesemua produk itu ke pintu hadapan kedai namun mereka terkejut kerana tidak mengenali lelaki berkenaan.
"Bagaimanapun, suspek mengatakan dia mengambil kamera itu atas arahan pengurus cawangan Klang dan berpura-pura menghubungi pengurus tersebut melalui telefon bimbitnya," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Jalan Ampang di sini semalam.

Jutawan Lebanon ugut bunuh


ELIE YOUSEF dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Lelaki Lebanon yang mengaku jutawan, Elie Yousef Najem didakwa mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat serta ugutan bunuh terhadap semua ahli keluarga pegawai penguat kuasa agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang melakukan serbuan di bilik penginapannya, dua tahun lalu.
Elie yang terlalu marah ketika itu, turut dikatakan membuat panggilan kepada beberapa orang kenamaan untuk mengadu tentang serbuan oleh Jawi berhubung kes khalwat dirinya.
Perkara itu diberitahu pegawai terlibat, Shariza Zakaria semasa memberi keterangan dalam perbicaraan kes khalwat Elie, 52, bersama seorang wanita tempatan, Roslin Taha, 51, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bilik bernombor 8804, Tingkat 8, Wisma Belia, Brickfields di sini pada pukul 3.45, 26 April.
Elie dan Roslin didakwa mengikut Seksyen 27(a) dan (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 yang boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut Shariza yang disoal Pegawai Pendakwa Syarie Jawi, Hanifah Haydar Ali Tajuddin, tertuduh didakwa berkelakuan demikian hampir 20 minit sehingga pihak polis terpaksa dipanggil untuk meredakan keadaan.

Tidak tahan bingit tren LRT



HAIRIL HAKIMIN terpaksa menutup telinganya ekoran bunyi bising apabila sebuah tren LRT melintasi kawasan belakang rumahnya di Taman Dagang, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Penduduk yang tinggal berhampiran depot transit aliran ringan (LRT) di Taman Dagang, Ampang di sini mendakwa tidak tahan hidup dalam bunyi bising ekoran operasi dan penyelenggaraan tren di depot tersebut.
Penduduk berkata, hidup mereka terganggu kerana bunyi bising yang bermula dari pukul 5 pagi sehingga tengah malam setiap hari.
Tinjauan mendapati jarak di antara depot tersebut dengan deretan rumah penduduk hanya kira-kira lima meter.
Seorang penduduk, Hairil Hakimin Iberahim, 30, berkata, dia sudah membuat aduan mengenai masalah itu kepada pihak Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) pada 24 April lalu.
“Pada 28 April, juruteknik RapidKL membuat pemeriksaan dan menyatakan bunyi yang dikeluarkan tidak melebihi kadar yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu 60 desibel (dB).
“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan itu dilakukan, saya ternampak kadar bunyi pada alat pengukur yang digunakan melebihi 70 dB,” dakwanya ketika ditemui di sini semalam.

Pesawat bawa 50 orang hilang di Indonesia


GAMBAR kelmarin menunjukkan pesawat buatan Rusia, Sukhoi Superjet-100 berada di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta.



JAKARTA - Sebuah pesawat penumpang baharu buatan Rusia yang membawa 50 orang hilang semasa melakukan penerbangan demonstrasi di sebuah kawasan pergunungan di Indonesia.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan memberitahu, pasukan mencari dan penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian di barat Indonesia.
Cuaca buruk bagaimanapun, menyebabkan sekurang-kurangnya dua buah helikopter terpaksa berpatah balik.
Pesawat berkenaan, Sukhoi Superjet-100 berlepas dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di ibu kota Indonesia di sini pada pukul 2.21 petang waktu Indonesia.
Pesawat itu tidak dapat dikesan oleh radar 12 minit kemudian, selepas seorang kru meminta kebenaran daripada pusat kawalan trafik udara untuk terbang pada ketinggian 3,000 meter ketika menghampiri Banjaran Gunung Salak.
"Saya melihat sebuah pesawat besar terbang melintasi rumah saya," kata Juanda, seorang penduduk kampung yang tinggal dekat gunung setinggi 2,200 meter itu kepada stesen televisyen tempatan, TVOne.
"Pesawat itu senget dan enjin pesawat pula seperti mengaum," tambah wanita berkenaan.
Ketika kejadian, pesawat itu membawa beberapa orang diplomat dari Kedutaan Rusia, sejumlah pegawai syarikat penerbangan Indonesia dan wartawan dalam penerbangan demonstrasi selama 50 minit. - Agensi

No comments:

Post a Comment