Sunday, June 17, 2012

ADAKAH KITA TAK TAKUT SEKSAAN ALLAH SWT

Kelibat buaya Miri menakutkan


SALAH seekor buaya tembaga yang berehat di tebing Sungai Adong, Miri kelmarin.


MIRI - Penduduk Kampung Pujut Corner di sini hidup dalam ketakutan berikutan kemunculan dua ekor buaya tembaga sepanjang dua meter di Sungai Adong sejak kelmarin.
Walaupun reptilia tersebut setakat ini belum mendatangkan ancaman kepada penduduk, mereka tetap bimbang kerana sungai itu kerap digunakan oleh penduduk untuk aktiviti harian.
Seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Voong, 56, berkata, dua ekor buaya tersebut sering berjemur di tepi pasir landai di tepi sungai berkenaan.
"Kita bimbang dengan keselamatan penduduk kampung khususnya kanak-kanak yang sering bermain dan mandi-manda di sungai tersebut.
"Jika buaya-buaya itu tidak ditangkap, selagi itulah penduduk hidup dalam ketakutan dan dan saya bimbang ada yang menjadi mangsa serangan reptilia itu," katanya di sini kelmarin.
Jelasnya, kemunculan buaya di sungai itu bukanlah kali pertama berlaku kerana ia pernah dilihat tahun lalu.

Keluarga rayu Kikah pulang


ISEH dan Rosman menunjukkan gambar anak gadis mereka yang tidak pulang ke rumah sejak dua minggu lalu di Muar semalam.


MUAR - Sepasang suami isteri merayu anak gadis mereka, Nurul Safiqikah, 14, yang menghilangkan diri sejak 5 Jun lalu agar pulang segera ke pangkuan keluarga.
Ibunya, Iseh Atan, 51, berkata, pada hari kejadian, anaknya memaklumkan bahawa dia mahu keluar ke bandar Muar bersama seorang rakan perempuan dengan menaiki bas kira-kira pukul 8 pagi.
Bagaimanapun, katanya, sehingga pukul 7 malam, anaknya masih tidak pulang lalu dia pergi berjumpa rakan anaknya dan diberitahu bahawa Nurul Safiqikah atau lebih mesra dengan panggilan Kikah telah berjumpa seorang rakan lelaki.
"Rakan anak saya itu memberitahu Kikah turut mengarahkannya pulang kerana dia mahu berjumpa rakan lelaki itu sebelum dia mengikuti seorang wanita yang tidak dikenali ke sebuah pusat beli-belah," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tauke pasar mini mati disamun

KUALA KANGSAR - Seorang warga emas ditemui mati dengan kedua-dua tangannya diikat selepas disamun empat lelaki yang memecah masuk rumahnya di Taman Seri Melati di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad berkata, mangsa, Mohamad Ali Samsuddin, 61, ditemui mati di rumahnya dalam kejadian samun pada pukul 3.30 pagi.
"Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat," kata beliau kepada pemberita.
Abdul Ghaffar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama isterinya baru sampai di rumah selepas selesai menguruskan perniagaan pasar mini mereka yang terletak tiga kilometer dari rumah pasangan itu.
"Tiba-tiba, empat lelaki menyerbu masuk lalu mengikat mangsa tetapi isteri mangsa, Rajiah Kamaruddin, 62, sempat menyelamatkan diri lalu meminta bantuan penduduk berhampiran menghubungi polis," kata beliau.

Suami dijel angkara aniaya isteri


INILAH rumah di Kampung Kedai Buloh, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu tempat Rohana dicederakan oleh suaminya.


KOTA BHARU – Seorang lelaki yang tergamak memukul isterinya menggunakan kerusi dan mencucuh mata kiri mangsa dengan api hingga melecur menerima balasan apabila dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Muhamad Hafiz Mohd. Noor mengarahkan tertuduh, Wan Mustafa Mamat, 40, menjalani hukuman tersebut selepas lelaki itu mengaku bersalah mencederakan isterinya, Rohana Abdullah, 40.
Mengikut pertuduhan, Wan Mustafa didakwa mencederakan Rohana menggunakan kerusi dan wang kertas RM1 yang dibakar di rumah pasangan itu di Kampung Kedai Buloh, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini pada pukul 9.30 malam 2 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Dadah diisi dalam pek minuman untuk dijual


ABDUL Rahim (tiga dari kanan) menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Gombak di Selayang semalam.


GOMBAK – Taktik satu sindiket pengedaran dadah menyorok bahan terlarang tersebut di dalam pek-pek minuman segera terbongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah teres tiga tingkat yang diubah suai menjadi pusat hiburan di Bukit Idaman, Selayang di sini kelmarin.
Operasi yang bermula pada pukul 1 pagi itu kemudian membawa polis ke sebuah unit kondominium di kawasan berhampiran dan merampas dua buah kenderaan iaitu Toyota Alphard dan BMW.
Pemeriksaan di dalam rumah teres, satu unit kondominium dan dua buah kenderaan itu, polis menemui sejumlah dadah jenis pil eramin 5, ketamin dan ekstasi yang kesemuanya bernilai RM570,000.
Sebahagian daripada dadah yang dirampas itu sama ada berbentuk pil dan serbuk sudah dimasukkan ke dalam pek minuman segera seperti pek minuman teh, milo atau kopi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Dalam serbuan itu, polis menemui puluhan botol kaca kecil yang digunakan untuk menghisap dadah.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, dalam serbuan tersebut, polis menahan lapan orang termasuk dua wanita dan seorang daripadanya warga China berusia antara 16 hingga 56 tahun.

Pentas konsert rock runtuh


GAMBAR menunjukkan pentas konsert rock sebelum dan selepas ia runtuh di Downsview Park, Toronto kelmarin.


TORONTO, Kanada - Seorang maut dan tiga yang lain cedera apabila sebuah pentas gergasi runtuh tiga jam sebelum persembahan konsert band rock dari Britain, Radiohead di sini, kata beberapa pegawai kelmarin.
Timbalan Komander Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, David Viljakainen berkata, seorang lelaki berusia pertengahan 30-an yang terperangkap di bawah runtuhan pentas tersebut disahkan mati.
Menurut Viljakainen, seorang lelaki berusia 45 tahun yang mengalami kecederaan di kepala dimasukkan ke sebuah hospital dan dua mangsa lain dirawat di tempat kejadian di Downsview Park.
Sementara itu, jurucakap polis, Tony Vella berkata, ketika kejadian, beberapa kru sedang bekerja di atas pentas tersebut.
Punca kejadian masih disiasat dan polis menolak spekulasi bahawa ia disebabkan angin kencang.
Kumpulan Radiohead mengumumkan di laman Twitter bahawa konsert tersebut dibatalkan ekoran kejadian tersebut.
Laman web rasmi kumpulan tersebut turut menyatakan sebanyak 40,000 tiket konsert itu habis dijual.
Band itu dianggotai lima orang iaitu Thom Yorke, Jonny Greenwood, Colin Greenwood, Phil Selway dan Ed O'Brien. - Agensi

Majlis perkahwinan unik


MEABON (kiri) dan Robinson melangsungkan perkahwinan di atas trak pikap di Wattsburg kelmarin.


WATTSBURG, Amerika Syarikat - Satu pasangan pengantin, Beth Meabon dan Drew Robinson menaiki sebuah traktor gergasi di sini kelmarin.
Meabon, 20, dan Robinson, 22, memandu traktor itu selepas mereka melafazkan ikrar perkahwinan semasa berdiri di atas bahagian tempat membawa muatan trak pikap di belakang rumah Meabon.
Lebih 150 orang menghadiri majlis perkahwinan pasangan penternak itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment