Sunday, June 17, 2012

YANG HARAM ITU JELAS....YANG BATIL JUGA JELAS...YANG HAQ JUGA JELAS...TAKDIR ITU DALAM KEKUASAAN ALLAH....

Malas nak layan gosip

Oleh FIRDAUS SAHAT dan SHAMRAN SARAHAN
am@hmetro.com.my

MESRA... Nazmi bersama seorang remaja ‘Tengku F’ yang dikatakan kekasihnya.
MESRA... Nazmi bersama seorang remaja ‘Tengku F’ yang dikatakan kekasihnya.
KUALA LUMPUR: “Perkara lepas biarkan berlalu. Saya tak mahu ia mengganggu kerjaya saya yang baru saja bermula. Saya tak nafikan mengenali gadis terbabit, tapi saya bukan playboy.
“Buat masa ini, saya tak mahu layan apa-apa gosip atau kontroversi membabitkan nama saya. Orang boleh kata apa saja, tapi saya tahu kebenarannya,” kata bintang muda bola sepak negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor, 17, mengenai penyebaran beberapa gambar gadis di Internet yang didakwa teman wanitanya.
Carian dan semakan Metro Ahad mendapati sekurang-kurangnya dua gadis dikaitkan dengan pemain itu yang baru saja menandatangani kontrak lumayan dengan kelab divisyen satu Portugal, SC Beira-Mar, baru-baru ini.

Kebanyakan gambar itu membabitkan aksi mesra Nazmi bersama seorang gadis yang dikatakan kekasih barunya dikenali sebagai Tengku F.


Tidak cukup dengan itu, beberapa gambar wanita lain turut dikaitkan dengannya, termasuk seorang dikenali sebagai N, sehingga membuatkan Nazmi digelar ‘playboy’ di kalangan pengkritiknya.

‘Asalkan Nazmi tahu hadnya’

KUALA LUMPUR: “Asalkan Nazmi (Faiz) tahu hadnya, kami sekeluarga tiada halangan,” kata Mansor Mustapha berhubung isu penyebaran gambar anaknya, Muhamad Nazmi Faiz bersama teman wanita yang dikenali sebagai T di Internet, baru-baru ini.
Mansor berkata, sebagai bapa, dia memahami situasi dialami Nazmi dan menganggapnya proses biasa yang akan dihadapi mana-mana remaja seusia dengannya.

“Sebagaimana ibu bapa lain, saya faham dia kini di peringkat remaja dan akan melalui situasi (percintaan) macam ini.
“Yang perlu saya dan keluarga lakukan ialah memantau perkembangannya. Itu yang mampu kami (keluarga) lakukan. Kita bukan nak menghalang (Nazmi) mahupun menggalakkan, tapi ada hadnya,” katanya.

Mansor berkata demikian ketika ditemui pada majlis kesyukuran dan meraikan kejayaan Nazmi terpilih beraksi bersama kelab divisyen satu Portugal, SC Beira-Mar bersama Belia AU5D lembah Keramat, Rabu lalu.

Menyentuh lanjut mengenai penyebaran gambar anaknya bersama beberapa gadis itu, Mansor berkata, dia dan keluarga menasihatkan Nazmi supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Nazmi anak yang mudah diberi nasihat. Tiada masalah dengannya, saya harap ada jalan keluar dan perkara ini tidak membebankannya.

“Namun, sekalipun kami (keluarga) dapat memberi perhatian dan mengawal Nazmi, orang lain pula yang mungkin mendedahkan hal peribadi Nazmi. Itu di luar kawalan kami,” katanya.
Ketika ditanya sama ada akan merestui jika Nazmi benar-benar menyintai gadis dalam gambar berkenaan, beliau menegaskan belum sampai masanya untuk memikirkan soal itu.

“Apa yang Nazmi lalui (alam percintaan) sama saja dengan apa dilalui remaja lain. Sebagai ibu bapa dan keluarga, kami yang akan memantaunya.

“Yang penting, Nazmi tak pergi terlalu jauh dan tahu hadnya. Dia kena disiplinkan diri kerana ada komitmen (karier bola sepak), jangan terlalu fikirkan hal peribadi,” katanya.

Dalam pada itu, Mansor turut berharap isu peribadi membabitkan anaknya beransur-ansur senyap.

“Saya harap dengan perkembangan sekarang ini, semua isu ini akan dapat diselesaikan dan tidak berpanjangan.

“Nazmi pun selepas ini akan sibuk dengan komitmen bersama kelab disertainya. Biarlah dia menumpukan tumpuan pada kariernya selepas ini,” katanya.

Mengenai persiapan anaknya bersama kelab divisyen satu di Portugal nanti, Mansor berkata, buat sementara waktu anaknya akan tinggal bersama kakaknya, Nazirah Farhah yang kebetulan akan menamatkan pengajian di Moscow, Russia pada Julai depan.

“Itulah rancangan awalnya dan pada masa sama, jurulatih skuad bawah 23 tahun, Ong Kim Swee dan ejen Nazmi, Marco Guimaraes akan ke Kedutaan Malaysia di Lisbon untuk membantu kami mendapatkan keluarga angkat untuk Nazmi.

“Selepas kakaknya, mungkin abangnya, Nazir Farhan pula mengambil alih tugas menemani Nazmi di sana. Saya juga akan ke sana untuk melawatnya,” katanya.

Tragedi hari lahir

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my

PILU...Fadhilah (kanan) tidak dapat menahan sebak melihat jenazah Muhammad Faris (gambar kecil) di bilik mayat HRPZ 11.
PILU...Fadhilah (kanan) tidak dapat menahan sebak melihat jenazah Muhammad Faris (gambar kecil) di bilik mayat HRPZ 11.
KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia tujuh yang baru beberapa jam diraikan dalam majlis ringkas sempena hari lahirnya, maut selepas tertembak pistol milik bapa saudaranya dalam kejadian di rumah neneknya, di Ketereh, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam, Muhammad Faris Faizal Noor Hissham dikatakan bermain pistol milik bapa saudaranya, Saufi Abd Wahab, 42, yang juga anggota polis selepas selesai majlis kenduri kahwin ibu saudaranya, Syakirah Rifa’in, 25, sehingga tertembak kepalanya.

Difahamkan, peluru daripada pistol itu menembusi kepalanya dan terkena dada seorang lagi bapa saudaranya, Helmi Ghazali, 32.
Murid tahun satu, Sekolah Kebangsaan Pohon Tanjung, Pasir Mas itu disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh, manakala Helmi yang juga kerani dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Jenazah Muhammad Faris yang juga anak sulung daripada dua beradik dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Ketereh, petang semalam.

Ibu Muhammad Faris, Fadhilah Rifa’in, 27, berkata, dia menetap di Pasir Mas dan datang ke Ketereh untuk majlis perkahwinan adiknya dan pada masa sama sempat menyambut hari lahir anaknya dengan majlis kecil-kecilan.

Katanya, sebelum kejadian, dia berada di luar rumah mengemas meja dan kerusi sementara menanti pembekal khemah datang mengambil barangan yang disewa selepas selesai majlis perkahwinan adiknya.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat. Sebaik masuk ke rumah, saya lihat anak saya terkulai di di atas lantai.
“Suasana menjadi kelam-kabut apabila seorang lagi ahli keluarga saya meraung kesakitan akibat luka di dada,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HRPZ II, semalam.

Menurutnya, anaknya dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, masih terngiang-ngiang keletah anaknya apabila secara tiba-tiba bersolat sambil menjadi imam kepada adik lelakinya berusia lima tahun untuk tempoh tujuh hari berturut-turut, seminggu sebelum kejadian.

“Sambil bersolat, anak saya meletakkan buku panduan solat di depannya sambil membaca beberapa bacaan solat di dalam buku itu.

“Masih terngiang-ngiang juga betapa arwah anak yang baik apabila membentang ‘selimut toto’ setiap kali hendak tidur dan menyediakan pinggan untuk meletakkan makanan setiap kali pulang daripada pasar malam,” katanya sebak.

Fadhilah yang juga guru Yayasan Islam Kelantan dan mengajar di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah di Pasir Mas berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anaknya turut mengungkapkan ayat yang membuatkan dia terharu.

“Anak saya menyebut ‘kalau umi ada masalah, umi bagitahulah’.

“Betapa terharunya saya apabila anak sekecil itu mampu mengungkapkan ayat sedemikian kepada ibunya,” katanya.

Menurutnya, anaknya bijak kerana ketika berusia lima tahun sudah pandai membaca akhbar.

“Pelajarannya juga cemerlang sehingga guru dan guru besar bertanya apa rahsia saya memiliki anak sebijak itu. Apapun, saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

Sementara itu, nenek Muhammad Faris, Norizan Abd Wahab, 46, berkata, selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah, dia masuk ke dalam dan dan melihat Helmi meraung kesakitan, manakala cucunya dalam keadaan diam.

Maut ditimpa lampu jalan

Oleh MOHD JAMILUL ANBIA MD DENIN
anbia@hmetro.com.my

TIMPA... lampu jalan yang jatuh menimpa kepala mangsa, Muhammad Aizat (gambar kecil).
TIMPA... lampu jalan yang jatuh menimpa kepala mangsa, Muhammad Aizat (gambar kecil).
IPOH: Seorang pelajar maut dalam keadaan mengerikan apabila ditimpa lampu jalan yang jatuh tepat ke arah kepalanya sejurus motosikal ditunggang merempuh tiang lampu itu.
Rempuhan kuat itu menyebabkan Muhammad Aizat Idrus, 16, maut di lokasi kejadian ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya berhampiran Kampung Kuala Pari Hilir, di sini.

Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, mangsa yang menunggang motosikal bersama seorang lagi rakannya dikatakan terbabas sewaktu melalui selekoh berhampiran.
Pelanggaran kuat itu menyebabkan tiang lampu jalan bergegar sebelum lampu pada bahagian atas tiang jatuh dan menimpa belakang kepala mangsa.

Seorang rakan mangsa, Mohd Faiz Abdul Rahim, 18, berkata, mangsa sebelum itu dilihat menaiki motosikal dan singgah di tepi padang berhampiran untuk melihatnya bermain bola sepak.

Menurutnya, dia sempat mengajak Aizat bermain bola, namun rakannya beredar sebelum pergi bermain sepak takraw di kawasan berhampiran kampung.

“Saya hanya mengetahui nahas berlaku selepas terserempak dengan mayat mangsa terbaring berlumuran darah di bawah tiang lampu manakala motosikal dinaiki bersepai.

“Aizat ketika itu tidak bernyawa dan mayatnya ditutup dengan surat khabar oleh orang ramai yang melihat kemalangan. Jenazah mangsa kemudian dihantar ke hospital dengan van polis,” katanya.
Menurutnya, Aizat pelajar tingkatan empat sekolah Menengah Anglo Chinese School (ACS) Ipoh dilihat pendiam kebelakangan ini dan tidak ceria seperti biasa.

“Kedua-dua lampu jalan pada tiang itu jatuh dan menimpa kepalanya akibat pelanggaran itu,” katanya.

Bapa mangsa, Idrus Sujak, 48, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan sepupunya yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, anak bongsunya dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum terbabit dalam kemalangan ngeri itu.

“Muka arwah luka pada dahi kanan selain kecederaan teruk di belakang kepala akibat ditimpa lampu jalan,” katanya sewaktu menuntut mayat anaknya di Bilik Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainon (HRPB), Ipoh.

Mati ditolak pesakit ginjal



KLANG: Gara-gara salah faham ketika menjalani rawatan dialisis buah pinggang Taman Desa Utama, di sini, seorang lelaki maut selepas ditolak seorang lagi pesakit yang turut datang bagi mendapatkan rawatan di tempat sama, Selasa lalu.
Kejadian jam 8 malam itu bermula apabila Leow Peng Seng, 56, datang ke pusat dialisis untuk mendapatkan rawatan sakit buah pinggang.

Namun ketika menjalankan rawatan, berlaku pertengkaran di antara Leow dan suspek sebelum mangsa ditolak sehingga jatuh dan dipukul dengan beg di luar premis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, berikutan kejadian itu, mangsa cedera di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut, kelmarin.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut kerana doktor mendapati wujud darah beku kepalanya sebelum disahkan meninggal dunia jam 12.50 tengah malam, semalam.

Mohamad berkata, hasil siasatan lanjut, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di sekitar Klang yang juga pesakit di pusat berkenaan sejak 2009.

Katanya, polis turut menerima laporan daripada pihak pusat dialisis itu mengenai kejadian itu.

“Suspek kini ditahan reman untuk polis menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan sabit kesalahan akan membawa hukuman mati,” katanya.

Otak berkecai digilis kereta

Oleh NORUL AWATIF ROMLI
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Seorang penunggang motosikal maut dengan otaknya berkecai dipercayai digilis beberapa kenderaan dalam kemalangan langgar lari di Persiaran Jubli Perak, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang, Ahmad Sabri Hassin @ Hashim, 26, yang menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai terjatuh selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti sebelum motosikalnya terseret sejauh 10 meter.

Kemalangan ngeri itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala, dipercayai digilis kenderaan berat berdasarkan kecederaan dialami.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai datang dari arah sebuah kilang gula, Batu 3, di sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Subang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dilanggar dari belakang oleh kenderaan lain selepas mangsa keluar dari persimpangan lampu isyarat sebelum terjatuh dan digilis beberapa kenderaan lain, dipercayai kenderaan berat, menyebabkan kepalanya hancur.

“Namun, kami belum mengenal pasti kenderaan yang melanggar mangsa kerana tiada saksi melihat kejadian mahupun tampil membuat laporan polis,” katanya.

Ruslan berkata, setakat ini kejadian diklasifikasikan sebagai kes langgar lari dan polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan kenderaan yang terbabit dengan kejadian.
Beliau meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Shah Alam, Mohd Faznur Mohd Fauzi di talian 013-2504185.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk bedah siasat dan keluarga mangsa juga dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Bayi RM17,000

Oleh RABI ‘ATUL ‘ADAWIYAH ISMAIL
rabiatul@hmetro.com.my

DICEKUP... wanita yang ditahan bersama bayi yang cuba dijualnya.
DICEKUP... wanita yang ditahan bersama bayi yang cuba dijualnya.
KUCHING: Seorang bayi perempuan berusia tiga hari yang dipercayai dalam proses untuk dijual dengan harga RM17,000 oleh seorang lelaki tempatan diselamatkan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Batu Kawa, di sini, semalam.
Susulan serbuan jam 6.50 pagi itu, polis menahan ibu bayi berkenaan, seorang warga Indonesia berusia 27 tahun dan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zulkifli Hassan berkata, sebelum serbuan ke rumah itu, polis menerima maklumat mengenai suspek yang sedang mencari pembeli bayi itu dengan harga yang ditetapkan.
Susulan itu, katanya, sepasukan anggota daripada Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak melakukan serbuan ke rumah berkenaan pada waktu urus niaga dirancang jam 6.30 pagi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, polis menemui seorang warga Indonesia mendukung seorang bayi perempuan berusia tiga hari dan sedang berunding dengan seorang lelaki warga tempatan.

“Ketika disoal siasat, bayi perempuan itu baru tiga hari dilahirkan di sebuah hospital kerajaan di sini dan meminta bantuan lelaki itu untuk mencari pembeli yang berminat.

“Siasatan lanjut mendapati wanita itu menetapkan harga RM17,000 untuk menjual bayi berkenaan kepada mana-mana individu yang berminat di sekitar negeri ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Suspek dibawa ke IPK untuk siasatan lanjut dan ditahan reman atas kesalahan cubaan menjual anak, manakala bayi malang berkenaan dihantar ke pusat perlindungan sementara.
Zulkifli berkata, status bayi berkenaan masih belum diketahui dan polis masih menyiasat sebab dia dijual serta kaitannya dengan suspek lelaki warga tempatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14, Akta Anti Perdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Sementara itu, Ketua Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya sedang berusaha untuk mengenal pasti sejauh mana aktiviti penjualan bayi di negeri ini sama ada ia dijalankan secara individu atau ada sindiket di sebaliknya.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan ini diminta menghubungi balai polis berhampiran

No comments:

Post a Comment