Monday, June 18, 2012

KERJAYA BANYAK TERLIBAT MUNGKAR DIBELA...BAGAIMANA PENDAKWAH MENGAJAK KEBAIKAN...BARAT DAN NON MUSLIM PUN TAK SETUJU PAKAIAN KETAT DAN JARANG.....

Tribunal Hak Cipta perlu tegas bela nasib artis


Atilia



KUALA LUMPUR – Artis-artis tanah air mahu Tribunal Hak Cipta yang diwujudkan semula oleh kerajaan bertindak tegas terhadap pihak-pihak yang sering menafikan hak mereka dalam industri seni selama ini.
Tribunal itu yang diwujudkan semula melalui Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012 baru-baru ini diharapkan dapat memberi nafas baharu kepada penggiat seni yang sering tertindas dan tidak dapat pembelaan sewajarnya.
Bagi penyanyi Jay Jay atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Darus, 54, beliau mahu tribunal itu lebih tegas dalam penguatkuasaannya agar dapat memberi pengajaran kepada badan yang sewenang-wenang mencuri hasil seni artis.
“Bila artis buat aduan di tribunal itu nanti, jangan ada masalah birokrasi dan urusan pembelaannya mestilah adil kerana itu satu-satunya saluran untuk kami mengadu apabila tertindas,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012 diwartakan pada 9 Februari lalu selepas dibentangkan di Parlimen pada Oktober 2011.
Pindaan berkenaan antara lain merangkumi aspek kutipan royalti yang lebih telus, penguatkuasaan Tribunal Hak Cipta, larangan muat turun bahan seni secara tidak sah serta jumlah bayaran minimum yang sepatutnya diterima karyawan.

 

Tukang kayu Thai mati ditembak

KOTA BHARU - Seorang penyelia yang sedang membuat rondaan di sebuah tapak pembinaan terkejut apabila menemui satu mayat lelaki yang mempunyai tiga kesan tembakan di pipi, leher dan belakang kepala di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa di sini kelmarin.
Mayat Mamat Omar, 58, dari Chenerong, Thailand ditemui penyelia berusia 32 tahun itu pada pukul 11.30 malam dalam keadaan berlumuran darah di hadapan pejabat syarikat tapak pembinaan tersebut. Mamat telah menetap di Kampung Simpangan, Tumpat sejak 22 tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pemeriksaan pada mayat buruh binaan itu menemui tiga kesan tembakan di pipi kanan, leher dan belakang kepala.
Katanya, ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah. Dia memakai kain sarung, berbaju T hitam dan selipar.
"Kita tidak menemui kelongsong peluru dari senjata api jenis Revolver itu. Siasatan mendapati bapa kepada lima anak itu merupakan tukang kayu di situ dan tidak tinggal di rumah kongsi yang disediakan majikan," katanya.

Sindiket judi Euro 2012 tumpas



MOHD. MOKHTAR (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas daripada bookie judi pada sidang akhbar di Johor Bahru, Johor semalam.



JOHOR BAHRU – Kegiatan haram 10 bookie termasuk dua warga Singapura mencari wang mudah sempena Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 melibatkan nilai pertaruhan berjumlah RM14 juta terbongkar apabila kesemuanya ditahan baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek-suspek berusia antara 30 hingga 51 tahun tersebut ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan mereka yang terlibat dengan judi Euro, lumba kuda dan ekor haram.
Menurutnya, siasatan awal mendapati antara modus operandi sindiket berkenaan ialah menerima panggilan ataupun faks daripada kaki judi yang ingin membuat pertaruhan mengikut perlawanan.
Setiap pertaruhan akan dicatat di atas kertas atau komputer selain dirakam sebagai bahan bukti oleh bookie yang menerima taruhan.
Katanya, pembongkaran bermula apabila pihaknya menahan seorang bookie Euro 2012 pada pukul 12.15 pagi Khamis lalu di Taman Scientex, Pasir Gudang.

Awang Hitam buka kedai makan



Peniaga warga Afrika sedang menyediakan makanan di gerainya di Desa Aman Puri, Kepong semalam.



KUALA LUMPUR - Tidak cukup dengan pelbagai masalah melibatkan Awang Hitam di negara ini, warga asing dari Afrika itu kini berani pula merampas hak penduduk tempatan dengan menjalankan perniagaan secara haram.
Tinjauan Kosmo! mendapati senario itu sudah mula berlaku di ibu kota terutama di kawasan Desa Aman Puri, Kepong di sini sejak setahun lalu.
Kehadiran warga Afrika itu boleh dilihat terutama sekitar pukul 5 petang sehingga awal pagi di kawasan premis perniagaan di Jalan Desa 1/2.
Menjelang pukul 8 malam, gerai tersebut mula dipenuhi pelanggan yang kebanyakannya warga Afrika sendiri.
Mengulas mengenai perkara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd. Shah berkata, tindakan harus diambil kerana kewujudan premis berkenaan membuktikan warga asing itu tidak takut dengan pihak berkuasa.
"Pihak berkaitan seharusnya membuka mata dan sedar dengan tindakan berani warga asing yang seolah-olah mencabar kewibawaan pihak berkuasa.
"Saya percaya mereka berniaga tanpa lesen yang sah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Rita Rudaini fail bantahan perintah kembali taat



RITA RUDAINI di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya semalam.



PETALING JAYA - Pelakon sensasi, Rita Rudaini memfailkan bantahan awal di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam bagi menolak permohonan perintah kembali taat yang dikemukakan suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak.
Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar, 36, memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia mendapat arahan daripada anak guamnya untuk mendapatkan tarikh sebutan bagi memasukkan bantahan awal berkenaan.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudian menetapkan sebutan kes pada 9 Julai depan untuk memberi peluang kepada Rita Rudaini (defendan) memasukkan bantahan awalnya berhubung permohonan perintah kembali taat difailkan Mohamad Aidil Zafuan (plaintif) pada 15 Mei lalu.
Terdahulu Rita Rudaini hadir ke mahkamah pada pukul 9 pagi, manakala Aidil Zafuan dan peguam syarienya, Ahmad Nazib Johari tidak hadir, namun mewakilkan seorang peguam dari Tetuan Ahmad Nazib & Associates.

Papan lapis tutup dadah


Noor Rashid (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Taktik licik satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah rumah kedai tinggal di Taman Pinggiran Senawang, Negeri Sembilan untuk menyimpan 225,500 biji pil eramin 5 bernilai RM3.4 juta terbongkar apabila diserbu Rabu lalu.
Dadah seberat 68 kilogram (kg) yang disembunyikan di dalam 12 buah kotak kertas itu ditemui selepas polis menahan empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an di Taman Ehsan, Kepong dan kawasan Damansara, Selangor pada 31 Mei lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, suspek ditahan atas maklumat dan risikan pihaknya. Empat daripada enam suspek itu merupakan pasangan kekasih.
Katanya, selain suspek, pihaknya merampas sebanyak 44,930 biji pil eramin 5 bernilai RM898,000.
"Soal siasat kemudian menyerbu rumah kedai tinggal tersebut dan kita berjaya menemui 225,500 biji lagi pil berkenaan bernilai RM3.4 juta.
"Sindiket menutup kotak-kotak itu dengan papan lapis bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan sebiji pil khayal tersebut dijual antara RM15 hingga RM25," kata beliau pada sidang akhbar di ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

H1N1: Kem PLKN tidak ditutup



ABDUL HADI (kiri) berkata sesuatu kepada pelatih-pelatih lelaki yang masih diasingkan berikutan jangkitan virus H1N1 di Kem PLKN Dusun Resort di Kuala Nerang, Kedah semalam.



KUALA NERANG – Kem-kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak akan ditutup biarpun terdapat kes pelatihnya dijangkiti virus influenza A H1N1 kerana penyakit itu dikategorikan sebagai endemik.
Endemik ialah keadaan suatu penyakit yang sentiasa wujud dalam sesuatu komuniti atau populasi.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, selepas serangan H1N1 pada 2009, Kementerian Kesihatan telah mempunyai panduan untuk mengawal dan merawat penyakit berkenaan jika ia menular di sesebuah institusi.
“Tiga tahun lepas jika ada kes H1N1, kem PLKN terpaksa ditutup dan pelatih terpaksa pulang ke rumah. Cara itu mungkin tidak sesuai kerana ia boleh menyebabkan virus itu merebak dengan cepat dalam masyarakat.
“Keputusan Kementerian Kesihatan dalam menangani penyakit ini cukup positif dan hasilnya bilangan pelatih yang dijangkiti menurun dengan cepat. Sebab itu peraturan penutupan kem PLKN sudah tiada,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kem PLKN Dusun Resort di sini setelah 78 orang daripada keseluruhan 303 pelatihnya dikesan dijangkiti H1N1.

Pakaian Katy Perry cetus kontroversi



PAKAIAN yang dipakai Perry semasa membuat persembahan pada Anugerah MuchMusic di Toronto kelmarin.



TORONTO, Kanada - Bintang pop Katy Perry mencetuskan kontroversi semasa dia membuat persembahan pada Anugerah MuchMusic di sini, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Penyanyi itu muncul dengan memakai pakaian ketat dan jarang.
Perry, 27, memakai pakaian seksi tersebut ketika dia menyanyikan single terbarunya, Wide Awake.
Dia memenangi dua anugerah termasuk Artis dan Kumpulan Antarabangsa Pilihan pada majlis berkenaan yang berlangsung kelmarin.
Selain Perry, anugerah berkenaan turut membariskan beberapa artis popular seperti Carly Rae Jepsen, Justin Bieber, Selena Gomez, Miley Cyrus dan kumpulan LMFAO.
Jepsen merangkul tiga anugerah iaitu Video Terbaik, Video Paling Kerap Ditonton dan Video Pilihan untuk lagu popularnya, Call Me Maybe.
Bieber yang banyak memberi sokongan kepada penyanyi senegara dengannya itu turut memuji kejayaan Jepsen.
Jepsen juga menyanyi bersama Flo Rida dalam majlis tersebut.
Bieber turut menyanyikan lagu All Around the World dalam anugerah itu.
Dia turut memenangi anugerah muzik video terbaik menerusi lagu Boyfriend.
LMFAO merancakkan lagi acara berkenaan apabila beraksi lincah di pentas selepas mereka menerima Video Antarabangsa Terbaik untuk Artis Berkumpulan bagi lagu popular mereka, Sexy And I Know It. - Agensi

Minta Indonesia kawal pembakaran hutan



PEMANDANGAN pusat bandar raya Kuala Lumpur yang menunjukkan keadaan jerebu semakin berkurangan.



KUALA LUMPUR - Seorang penyokong kerajaan meminta kerajaan Malaysia mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Indonesia untuk meningkatkan penguatkuasaan bagi mengawal pembakaran hutan yang menjadi punca jerebu berlaku pada saban tahun.
Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata, walaupun pencemaran alam yang berpunca daripada titik panas di negara jiran itu berlaku hampir setiap tahun tetapi ia masih tiada jalan penyelesaian dan akibatnya tahap kesihatan rakyat Malaysia terjejas akibat terdedah kepada jerebu.
Beliau berkata, melalui pemantauan Jabatan Alam Sekitar dan kajian antara empat ke lima tahun kebelakangan ini, didapati kemungkinan titik panas itu adalah di kawasan hampir sama.
"Apabila kita tahu di mana kawasan titik panas itu, apakah masalah untuk kita minta supaya penguatkuasaan dapat ditingkatkan di kawasan yang dikenal pasti sebagai areas prone to hotspot, areas prone to open burning.
"Kalau tidak, kita akan sentiasa menerima sahaja alasan bahawa kawasan itu terlalu luas tetapi kalau kita buat mapping mengenai titik panas yang menjadi punca jerebu yang datang ke Malaysia, saya yakin kita boleh bantu pihak penguasa Indonesia membuat siasatan terhadap kawasan yang cenderung kepada titik panas itu," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2012 pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Ribuan itik menuju ke kolam



RIBUAN itik berjalan di sebatang jalan raya di Taizhou semalam.



TAIZHOU, China - Seorang petani kelmarin menyebabkan pergerakan lalu lintas di sebatang jalan raya di sini terhenti, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Beberapa buah kereta dan motosikal berhenti bagi membolehkan haiwan tersebut bergerak secara berkumpulan untuk menuju ke kolam.
Petani tersebut dan beberapa rakannya mengawal pergerakan kira-kira 5,000 itik itu dengan menggunakan sebatang kayu.
- Agensi

Anggota polis Pakistan diarah atasi perut buncit


DUA anggota polis yang berperut buncit mengawal sebatang jalan raya di Karachi semalam.



ISLAMABAD - Seorang ketua polis Pakistan telah mengarahkan 175,000 anggotanya mengamalkan diet, kata beberapa pegawai semalam.
Akhbar-akhbar tempatan menganggap arahan itu adalah sebagai 'pertempuran memerangi perut buncit'.
Seorang jurucakap polis, Nabila Ghazanfar berkata, Ketua Polis Punjab, Habibur Rahman telah mengarahkan supaya anggota-anggotanya memakai seluar yang mempunyai ukuran pinggang tidak lebih 96 sentimeter.
"Saya sedang berdiet dan jika saya boleh melakukannya mengapa tidak anda?" kata jurucakap tersebut yang memetik kenyataan Habibur kepada para pegawainya pada bulan lepas.
Menurutnya, kira-kira 50 peratus anggota polis di Punjab mempunyai berat badan berlebihan.
Akhbar The News melaporkan bilangan anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan di bandar Rawalpindi berjumlah lebih 77 peratus.
Polis menyatakan, anggota-anggota tersebut diberikan tempoh sehingga 30 Jun ini untuk mengurangkan berat badan.
Ia menjelaskan anggota-anggota yang dilihat terlalu gemuk tidak akan diberikan tugas di barisan depan bermula pada 1 Julai depan.
"Sejumlah pegawai polis mengunjungi gimnasium, berjoging dan melakukan pelbagai senaman termasuk banyak berlari untuk menjadi kurus," kata jurucakap tersebut. - AFP

No comments:

Post a Comment