Lelaki hodoh mahu jadi model iklan
ZIMBABWE – Pemenang wajah terhodoh di Zimbabwe, menyimpan hasrat menjadi terkenal dan kaya selepas memenangi pertandingan itu, dua bulan lalu.
William Masvinu, 38, dari bandar Mbare berharap kemenangannya itu dapat memberi peluang untuknya menjadi model iklan sekali gus keluar dari belenggu kemiskinan.
“Saya berbangga dikurniakan wajah hodoh, muka saya membuatkan saya istimewa dan tiada sebab untuk berasa rendah diri,” katanya.
Ketika pertandingan itu, beliau meraih wang AS$100 (RM320) dan menginap di hotel mewah selepas menewaskan empat lelaki lain.
“Saya telah menukar baucar itu kepada tunai untuk membeli makanan kerana tiada sebab untuk menginap di hotel mewah sedangkan terpaksa berlapar, “ katanya.
Menurut penganjur, pertandingan itu dibuat sebagai cara baru menghiburkan penonton kerana selama ini Zimbabwe sering menjadi tuan rumah untuk pertandingan ratu cantik konvensional.
Jantung pisang tumbuh tanpa daun
YAN BESAR – Walaupun batangnya dicantas, namun sebatang pokok pisang di Kampung Teluk Mat Acheh di sini masih mengeluarkan jantung pisang sekali gus membuatkan pemiliknya terkejut kerana tidak menduga kewujudan jantung pisang berkenaan.
Seorang pekerja am, Hashim Awang, 39, berkata, dia berpengalaman selama 15 tahun menanam pokok pisang di sekitar rumahnya namun tidak pernah mengalami perkara sedemikian.
Menurutnya, pokok itu ditanam kira-kira tiga tahun lalu dan lebih sepuluh kali berbuah sebelum dicantas di bahagian tengah batang pokok pisang itu olehnya sebulan lalu.
“Sebelum itu, bahagian atas pokok pisang terbabit terkulai hampir menyembah bumi dan kerana itulah saya mencantas bahagian itu dengan harapan pokok pisang itu akan ditumbuhi daunnya semula.
“Saya biarkan begitu sahaja selepas mencantasnya sejak sebulan lalu. Namun terkejut apabila pada Khamis lepas, saya lihat pokok pisang itu jantungnya tumbuh tanpa mengeluarkan daun seperti kelazimannya,” katanya.
Hashim berkata, dia menganggap ia sebagai satu bukti kekuasaan ALLAH SWT dan diharap memberikan rahmat kepadanya sempena Maulidur Rasul yang disambut umat Islam 5 Februari lalu.
Sementara itu, isterinya, Noraskin Lat, 40, berkata, mereka akan terus memelihara pokok pisang itu bagi memantau perkembangannya terutama untuk mengetahui sama ada buahnya tumbuh atau tidak.
“Kami selalu menanam pokok pisang di kawasan sekitar rumah namun kebanyakannya mati akibat faktor tanah di sini yang kurang sesuai.
“Kami tidak sangka pula pokok pisang yang telah dicantas ini boleh hidup dan mengeluarkan jantungnya,” katanya.
Sinar
Ally kahwini pilihan keluarga
Pengacara popular, Ally Iskandar, 36, bakal menamatkan zaman bujangnya bersama gadis pilihan keluarganya, Farah Lee, 23, pada 20 Januari ini.
Menurut Ally, majlis pernikahan mereka akan diadakan di rumah Farah yang terletak di Kampung Atas Tol, Terengganu.
“Majlis ini akan diadakan secara kecil-kecilan. Ia hanya dihadiri sanak-saudara dan teman rapat sahaja. Bagaimanapun, pihak saya masih belum menentukan sebarang majlis sebelah lelaki,” katanya yang berkenalan dengan Farah selama hampir empat bulan.
Bercerita mengenai detik perkenalan mereka, Ally berkata, semuanya diatur oleh keluarganya. Jelasnya, tempoh perkenalan singkat tidak menjadi masalah untuk mendirikan rumahtangga.
“Saya tidak pernah bercinta dengan Farah, namun dia berjaya menawan hati saya kerana sikapnya yang berbeza dengan gadis lain yang pernah saya temui.
“Setelah keluarga perkenalkannya pada saya, kami berhubung melalui laman Facebook, kemudian baru berjumpa.
“Ketika berjumpa, saya ditemani ibu dan adik manakala dia pula ditemani rakannya. Pertama kali berjumpa, hati saya telah terbuka untuk menerimanya,” katanya.
Tidak mahu menunggu lama, Ally kemudiannya menyuarakan hasrat memperisterinya Farah kepada keluarganya.
Ditanya apakah yang membuatkannya terpikat kepada Farah, Ally berkata, dia kagum dengan keperibadian Farah.
“Dia seorang yang sangat menjaga tingkah laku, malah untuk berjumpa dengannya pun saya perlu berjumpa dan meminta izin keluarganya terlebih dahulu,” katanya yang turut terpikat dengan penghijrahan bakal isterinya yang bertudung sejak menyambung pelajaran di Korea.
Sinar
6 maut, pesawat tentera Indonesia jatuh di kawasan rumah
JAKARTA – Seramai 10 orang terbunuh, tujuh daripadanya anggota Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) manakala tiga lagi orang awam, apabila sebuah pesawat Fokker F-27 milik TNI-AU terhempas di kawasan perumahan Rajawali dekat Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, petang Khamis.Jurucakap TNI-AU berkata pembantu juruterbang itu Leftenan Satu Paulus Adi, iaitu satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas itu tetapi cedera parah, meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pusat TNI-AU (RSPAU) Jakarta malam ini.
Tiga orang awam yang terbunuh merupakan penghuni sebuah rumah yang ditimpa pesawat itu iaitu dua kanak-kanak dan seorang wanita.
Sekurang-kurangnya 12 penghuni beberapa rumah yang turut rosak kerana ditimpa pesawat itu, cedera dan dirawat di hospital.
Pesawat malang itu berlepas pada pukul 1.30 petang dari pangkalan udara berkenaan untuk latihan rutin sebelum ia terhempas menimpa lapan rumah dalam kompleks perumahan Halim Perdanakusuma pada pukul 2.40 petang. – Bernama
Bom di madrasah ragut tujuh lagi nyawa
QUETTA, Pakistan – Jumlah kematian akibat satu serangan bom di sebuah madrasah di sini meningkat kepada 15 orang semalam selepas tujuh lagi mangsa yang cedera parah meninggal dunia di hospital.Mereka yang meninggal dunia ialah lima orang pelajar. Mangsa cedera apabila sebutir bom meletup ketika orang ramai berkumpul bagi menghadiri satu majlis tamat sekolah. Sepuluh lagi yang maut ialah guru, kakitangan madrasah dan saudara-mara pelajar.
“Tujuh lagi mangsa yang cedera parah meninggal dunia di hospital dalam tempoh semalaman. Seramai 30 orang termasuk pelajar cedera dalam letupan tersebut,” jelas seorang pegawai polis, Abdur Rahim Khokhar.
Menurut polis, enam kilogram bahan letupan diletakkan pada sebuah basikal yang diparkir di luar kawasan madrasah dan ditutup oleh kalungan bunga. Setakat ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Quetta ialah ibu negeri wilayah Baluchistan yang juga merupakan sempadan di antara Afghanistan dan Iran.
Pemberontak Baluchistan mula bangkit pada tahun 2004. Mereka menuntut autonomi politik dan peratusan lebih besar daripada keuntungan penjualan minyak, gas serta sumber mineral di rantau itu. – AFP
‘Ini keajaiban, kuasa Tuhan’
GEORGETOWN: “Ini semua keajaiban dan kuasa tuhan,” kata Osman Yusuf, 40, wakil jemaah tabligh ketika menceritakan kejadian bas sekolah menjunam ke gaung sedalam 10 meter di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau, di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, jika dilihat keadaan bas yang melanggar tiang sebelum berpusing dan jatuh gaung sehingga bumbungnya tercabut, pasti ramai menyangka tiada seorang penumpang terselamat.
“Memang jika dilihat keadaan bas itu sangat teruk, namun kami bersyukur hanya seorang meninggal dunia dan ternyata tuhan melindungi rombongan jemaah untuk bersama-sama ke majlis ijtimak.
“Kami anggap kematian Abdul Jatba sebagai mati syahid dan berharap rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya yang ditemui di perkarangan Hospital Balik Pulau (HBP), malam kelmarin.
Sementara itu, mangsa yang cedera ringan, Mohd Anwar Mohd Sidek, 47, berkata ketika kejadian, dia berada di bahagian tengah kerusi penumpang sebelum melihat bas seperti hilang kawalan ketika mendaki bukit.
“Saya lihat bas bergoyang ketika mendaki bukit, ketika itu mungkin pemandu menyedari brek tidak berfungsi namun dia tidak mampu melakukan apa-apa kerana kelam kabut.
“Sejurus menuruni bukit, bau hangit terlalu kuat dan ketika itu pemandu hilang kawalan dan merempuh tiang sebelum berpusing dan jatuh ke gaung,” katanya.
Harian Metro
Nenek ditumbuk, ditendang peragut
KOTA BHARU – Kegembiraan seorang wanita yang baru seminggu bergelar nenek untuk melawat anak dan cucunya bertukar malang apabila dia cedera parah selepas terjatuh ditendang peragut yang meragut beg tangannya ketika menunggang motosikal di Lundang di sini kelmarin.Akibat kejadian itu, pembantu taman asuhan kanak-kanak (Taska), Che Rahimah Dollah, 44, yang dalam perjalanan ke rumah anaknya di Telipot patah tangan kanan, patah sebatang gigi, cedera di kepala dan terpaksa menerima 10 jahitan.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi di Jalan Yahya Petra berhampiran Kompleks Balai Islam di Lundang, Che Rahimah telah diragut oleh dua lelaki menunggang motosikal yang telah mengekorinya.
Sebaik terjatuh dari motosikal, mangsa terus pengsan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dari arah Kubang Kerian dipercayai telah diekori dua lelaki bermotosikal selepas suspek melihat beg tangan mangsa diletakkan dalam raga motosikal.
“Semasa suspek cuba merampas beg tangan dalam raga, mangsa cuba menarik balik beg tangannya itu.
“Geram dengan tindakan mangsa yang tidak mahu melepaskan beg tangan itu, suspek yang membonceng motosikal itu kemudian menumbuk mangsa sebelum menendang pula motosikal mangsa menyebabkan mangsa terjatuh dan pengsan,” kata beliau ketika ditemui pemberita semasa melawat mangsa di HRPZ II petang semalam.
Kosmo
No comments:
Post a Comment