Sunday, July 24, 2011

DUNIA O DUNIA...DUNIA AKHIRAT ZAMAN...DUNIA SUDAH TUA....DUNIA HAMPIR KIAMAT...ALLAH SAJA YANG TAHU...BILA KIAMAT...BAGI MANUSIA MATI ITU PERMULAAN BAGINYA....JANGAN LEKA MEMBUAT MUNGKAR....

Amy Winehouse
mati kerana dadah



AMY WINEHOUSE



LONDON - Penyanyi bermasalah Britain, Amy Winehouse meninggal dunia di rumah barunya di sini pada usia 27 tahun.
Winehouse yang bergelut dengan masalah ketagihan dadah dan arak sejak beberapa tahun lalu ditemui mati kelmarin iaitu sebulan selepas dia terpaksa membatalkan keseluruhan konsert jelajah Eropahnya setelah menampilkan persembahan yang teruk di Serbia.
Polis tiba di kediaman penyanyi itu sekitar pukul 3 pagi waktu tempatan.
Lima jam kemudian, mayat Winehouse iaitu penyanyi yang dianggap paling berbakat dan genius dalam generasinya, dihantar untuk bedah siasat.
Terkenal kerana sikapnya yang pelik, penyanyi bersuara merdu dan pernah memenangi anugerah Grammy itu dipercayai mati akibat masalah ketagihan alkohol dan dadah yang teruk.
Satu sumber memberitahu majalah The People bahawa Winehouse dilihat membeli kokain, heroin, ekstasi dan ketamine dari seorang penjual pada Jumaat malam.
Bagaimanapun, seorang pegawai polis Britain, Superintendan polis, Raj Kohli berkata, beberapa laporan yang menyatakan bahawa Winehouse meninggal dunia akibat pengambilan dadah secara berlebihan adalah satu spekulasi buat masa ini.
"Sebenarnya, siasatan untuk mengenal pasti punca kematian penyanyi berkenaan masih diteruskan," kata Kohli.
"Buat masa ini kematian Winehouse diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada tangkapan dibuat berhubung kes tersebut," tambahnya.
Winehouse dipercayai patah hati dan 'tidak dapat menenangkan diri' selepas ditinggalkan kekasihnya, Reg Traviss, 34, sebelum dia mendaftar masuk ke sebuah klinik permulihan pada bulan lalu.
Penyanyi yang dilahirkan pada 14 September 1983 itu suka menggabungkan irama R&B, soul dan jaz menerusi lagu-lagu popularnya seperti Stronger Than Me, Rehab dan Love Is a Losing Game.
Sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi yang bermula pada 2006 ketika dia berusia 16 tahun, Winehouse tidak dapat dipisahkan dengan gejala penagihan dadah dan alkohol.
Pada tahun 2008, bapanya, Mitch memberitahu, Winehouse mengalami masalah jantung yang teruk sehingga boleh menyebabkan kematian sekiranya dia terus mengambil dadah.
Dia pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang penagih dadah, Blake Fielder Civil pada 2007 tetapi pasangan itu bercerai tiga tahun kemudian. - Agensi


Penduduk bantah cadangan jadikan Pulau Coney pantai bogel

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Penduduk bandar ini menolak cadangan untuk menjadikan sebahagian pantai Pulau Coney di sini sebagai pantai bogel, lapor sebuah akhbar semalam.
Persatuan Rekreasi Bogel Amerika (AANR) sebelum ini mencadangkan supaya satu kawasan di pantai itu dijadikan tempat untuk para pengunjungnya berjemur sambil berbogel.
Menurut AANR, usul tersebut dikemukakan selepas satu kaji selidik mendapati majoriti pengunjung di kawasan pantai berkenaan, bersebelahan Brooklyn, mahu berbogel.
Namun, cadangan berkenaan ditolak oleh pihak berkuasa tempatan.
"Pernahkah anda melihat orang ramai bersiar-siar di pantai ini (Pulau Coney). Saya tidak fikir mereka akan nampak cantik jika berbogel. Tubuh tanpa seurat benang tidak cantik," kata seorang pengunjung pantai berkenaan, Catherine Kalian.
Seorang penduduk tempatan lain, Robyn Thompson turut tidak bersetuju dengan cadangan tersebut yang dianggap menjolok mata.
"Terlalu ramai orang di pantai itu, juga terlalu ramai keluarga, saya tidak mahu melihat para pengunjung yang bersiar-siar sambil berbogel," katanya.
Sebelum ini, pengunjung wanita di pantai berkenaan dibenarkan berjemur tanpa memakai coli. - Agensi

Kereta api laju China dipanah petir



SEBUAH gerabak kereta api condong di tepi landasan selepas terlibat dalam perlanggaran di Wenzhou, China.



WENZHOU, China - Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh apabila dua kereta api berkelajuan tinggi berlanggar di timur China kelmarin.
Kemalangan tersebut yang turut mencederakan 210 penumpang merupakan nahas terburuk pernah melanda perkhidmatan kereta api China sejak 2008.
Insiden itu berlaku apabila sebuah kereta api berkelajuan tinggi merempuh sebuah kereta api lain yang terhenti di atas sebuah jambatan dekat sini, sekitar 1,380 kilometer ke selatan ibu kota China, Beijing.
Ketika kejadian, kereta api pertama kehilangan kuasa akibat dipanah petir sebelum ia dirempuh sebuah kereta api peluru yang bergerak di belakang kenderaan itu.
Anggota-anggota pasukan penyelamat memasuki bangkai empat gerabak yang terjatuh ke bawah jambatan dalam usaha mencari mangsa-mangsa yang masih hidup.
Menurut agensi berita Xinhua, pihak berkuasa China menghentikan 21 perjalanan kereta api selepas kemalangan tersebut berlaku yang turut mengorbankan dua warga asing. - Reuters

Didesak letak jawatan kerana skandal seks


David Wu


PORTLAND, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lagi wakil rakyat AS daripada Parti Demokrat, David Wu didesak supaya meletak jawatan selepas beliau didakwa terbabit dalam skandal seks dengan seorang wanita muda.
Laporan mengenai skandal Wu yang didakwa mengadakan hubungan seks secara paksa dengan wanita berkenaan, didedahkan oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
Pada Jun lepas, wakil rakyat Parti Demokrat pimpinan Presiden Barack Obama, Anthony Weiner meletak jawatan selepas dia didapati menyiarkan gambar bogelnya di akaun jaringan sosial Twitter miliknya. - AP

Rakam gambar raksaksa seperti Loch Ness


WILLIAM JOBES merakamkan gambar raksaksa seperti Loch Ness dekat Fort Agustus, Scotland pada Mei lalu.


LONDON - Raksaksa Loch Ness bukan seekor tetapi ia memiliki keluarga, kata seorang peminat haiwan legenda tersebut, William Jobes seperti yang dilaporkan sebuah akhbar semalam.
Jobes, 62, bertegas dia pernah melihat dua ekor raksaksa berlainan saiz menyerupai Loch Ness ketika keluar untuk merakamkan imej haiwan tersebut.
Jurugambar amatur itu dapat merakamkan raksaksa lebih kecil itu yang menyerupai raksaksa Loch Ness sebelum ia hilang dekat Fort Agustus, Scotland, pada Mei lalu.
"Saya datang ke tasik ini sejak 42 tahun lalu dan tidak pernah melihat haiwan seperti ini. Saya yakin ia raksaksa Loch Ness dan ia bukan hanya terdapat seekor," kata Jobes.
"Kepala raksaksa pertama keluar dari air dan ia memalingkan kepalanya sebelum menyelam. Ia kelihatan seperti kepala biri-biri. Kemudian, seekor lagi raksaksa serupa yang lebih besar timbul dan saya merakamkan haiwan tersebut ketika ia mula hendak menyelam," tambahnya.
Raksaksa Loch Ness yang lebih popular dengan gelaran Nessie pertama kali dirakamkan menerusi kamera pada tahun 1930-an. - Agensi

Penyerang 'gila' rancang serangan sejak 2009


BEBERAPA anggota polis dan penyelamat melakukan gerakan mencari mayat mangsa serangan Anders Behring Breivik di Pulau Utoya, Norway semalam.


OSLO, Norway - Suspek serangan berkembar di sini dan dekat Oslo, Anders Behring Breivik telah merancang serangan itu sejak 2009, lapor sebuah akhbar semalam.
Breivik, 32, kini ditahan kerana dia didapati menembak mati sekurang-kurangnya 85 orang dalam satu perhimpunan belia Parti Buruh di Pulau Utoya, pesisir pantai Norway dan membunuh tujuh lagi mangsa dalam satu letupan bom kereta yang merosakkan beberapa bangunan pentadbiran di sini pada Jumaat lalu.
"Dia mengaku bertanggungjawab," kata peguamnya, Geir Lippestad.
"Dia mengaku perbuatan tersebut kejam tetapi dia perlu melakukannya," jelas Lippestad.
Lelaki itu meletupkan sebuah bom kereta yang merosakkan beberapa bangunan pentadbiran termasuk pejabat Perdana Menteri, Jens Stoltenberg sebelum melakukan serangan di Pulau Utoeya dekat sini.
Pihak berkuasa Norway turut menemui satu dokumen setebal 1,500 di Internet, dipercayai ditulis oleh suspek tersebut yang menggambarkan ideologi serta perancangnya.
Dokumen tersebut mendedahkan Breivik bencikan pengaruh Islam yang dilihatnya semakin berkembang pesat di Eropah.
Lelaki itu juga dikatakan turut merancang supaya polis turut menangkapnya.
Dalam perkembangan berkaitan, polis akan mendakwa Breivik di bawah undang-undang keganasan Norway.
Lelaki berkenaan kini direman sehingga mahkamah memutuskan sama ada dia akan terus ditahan sehingga pihak berkuasa selesai melakukan siasatan.
Breivik yang berambut perang yang cedera ketika ditahan, disifatkan sebagai feudalmentalis Kristian dengan fahaman politik kanan. - Agensi

Air terjun bergerak ke udara


PERCIKAN air terjun yang bergerak ke udara akibat tiupan angin kencang di Sydney pada minggu lalu.


SYDNEY - Satu kejadian ganjil berlaku di Sydney apabila air terjun didapati bergerak ke udara akibat tiupan angin yang kuat pada minggu lalu.
Kejadian yang ganjil itu berjaya dirakamkan menerusi kamera dan ia kemudian disiarkan di You Tube.
Air terjun itu tidak turun dari kawasan tinggi seperti kebiasaan.
Apa yang terjadi ialah air terjun itu dipaksa angin bergerak ke udara.
Kejadian itu berlaku akibat tiupan angin kencang yang melanda kawasan air terjun tersebut sehingga mencecah 120 kilometer sejam.
Seorang penyelidik mengenai perubahan cuaca dunia sebuah pertubuhan bukan kerajaan Oxfam, John Magrath berkata, Bumi menyampaikan satu mesej kepada kita.
"Mesej itu ialah cuaca keterlaluan akan menjadi satu kebiasaan," katanya. - Agensi

No comments:

Post a Comment