Dikebumi sebagai seorang lelaki
KUALA TERENGGANU – Kisah kontroversi yang menyelubungi seorang lelaki, Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz selepas permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana ditolak Mahkamah Tinggi di sini dua minggu lalu berakhir apabila dia menghembuskan nafas terakhir pagi semalam.
Lelaki berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 4.55 pagi, iaitu hanya sehari selepas mendapatkan rawatan.
Bapa mangsa, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika mengesahkan kematian Ashraf menjelaskan, anaknya itu dimasukkan ke HSNZ pukul 3 pagi kelmarin selepas mengalami muntah yang teruk.
Jelasnya, pihak keluarga juga akur dengan keputusan mahkamah dan telah bersetuju untuk menguruskan serta mengebumikan jasad arwah sebagai Ashraf dan bukannya Aleesya Farhana.
“Semua keluarga terdekat berada di sisi arwah pada saat-saat terakhirnya. Pemergian Ashraf merupakan satu kehilangan besar buat keluarga,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HSNZ di sini semalam.
Pesakit mental guna pemetik api bakar bilik
KUALA LUMPUR - Kebakaran yang berlaku di Bilik Isolasi Pesakit Mental, Jabatan Kecemasan Hospital Kuala lumpur (HKL) awal pagi kelmarin dikenal pasti berpunca daripada tindakan seorang pesakit mental memulakan kebakaran dengan menggunakan pemetik api yang ada padanya.Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, punca kejadian pada 12.30 pagi itu diketahui melalui pemerhatian kamera litar tertutup (CCTV) di bilik itu.
Katanya, ekoran itu api merebak dengan pantas serta mengeluarkan asap tebal sehingga menyebabkan perkhidmatan di Jabatan Kecemasan tergendala.
"Petugas hospital cuba memadamkan api dengan alat pemadam api dan mengeluarkan pesakit. Bagaimanapun, api merebak dengan pantas sehingga meragut nyawa pesakit mental berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Hasan berkata, sebelum kejadian, pesakit mental itu yang bertindak agresif telah dibawa oleh polis dengan diiringi dua anggota keluarganya ke Jabatan Kecemasan HKL pada pukul 10.15 malam.
Beliau berkata, pesakit itu yang pernah menerima rawatan di HKL, ditempatkan di Bilik Isolasi Pesakit Mental selaras dengan Prosedur Operasi Standard bagi pesakit mental yang agresif.
Katanya, pesakit lain serta petugas Jabatan Kecemasan telah dipindahkan keluar sehingga api berjaya dipadamkan oleh anggota pasukan Bomba dan Penyelamat pada pukul 12.55 pagi.
Hasan berkata, kejadian itu menyebabkan perkhidmatan di jabatan tersebut tergendala selama 94 minit dan disambung semula pada pukul 1.20 pagi dan kerosakan hanya melibatkan bilik berkenaan. - Bernama
Kapal MV Oceania karam
JOHOR BAHRU - Seramai 23 kru MV Oceania melalui detik-detik cemas apabila kapal yang mereka naiki karam setelah dilanggar kapal MV Xin Tai Hai pada kedudukan lapan batu nautika ke barat daya Pulau Pisang, Pontian dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10.45 malam itu, kesemua kru kapal terpaksa menggunakan dua buah rakit penyelamat selama dua jam sebelum diselamatkan oleh sebuah kapal, MV Ikaruga dan dibawa ke Singapura.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Zulkifili Abu Bakar berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu pada pukul 11.50 malam sebelum mengarahkan dua buah bot ke tempat kejadian.
"Kapal itu kemudian tenggelam pada pukul 12.30 pagi menyebabkan kesemua kru terpaksa menyela- matkan diri menggunakan dua but rakit penyelamat yang terdapat pada kapal berkenaan.
"Selepas perlanggaran, MV Xin Tai Hai meneruskan pelayaran dan bersauh di kedudukan 1.5 batu nautika ke selatan Tanjung Piai," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Maut kerana permainan video
|
|
SHEFFIELD, Britain - Kegilaan seorang pemuda, Chris Staniforth bermain permainan video Xbox hingga 12 jam sehari menyebabkan nyawanya melayang apabila saluran darahnya tersumbat, lapor sebuah akhbar semalam.
Bedah siasat mendapati, Staniforth, 20, mengalami trombosis pembuluh darah (DVT). Penyakit tersebut menyebabkan pembentukan darah beku dalam salur darah manusia akibat duduk terlalu lama.
Darah beku itu yang terbentuk pada kaki, boleh membawa maut apabila ia bergerak bersama aliran darah dan menyumbat paru-paru manusia.
"Saya tidak pernah menjangka perkara seperti ini berlaku. Anak saya tidak dapat dipisahkan dengan Xbox. Saya tidak pernah membayangkan dia berada dalam bahaya kerana hobinya itu," kata bapa pemuda berkenaan, David Staniforth.
Menurut David, anak lelakinya itu mengadu sakit dada dan sesak nafas sebelum rebah baru-baru ini.
Lelaki berkenaan memberitahu, anaknya tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya atau komplikasi kesihatan sebelum ini.
Pesawat rempuh rumah
MANCHESTER, Britain - Dua lelaki teruk melecur apabila pesawat mereka merempuh dua buah rumah di kawasan penempatan penduduk di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Tiada kecederaan lain dilaporkan dalam insiden tersebut yang berlaku pada Khamis lalu. Beberapa jiran berkata, juruterbang pesawat berkenaan dan penumpangnya meraung kesakitan apabila pesawat itu terbakar selepas terhempas.
Kedua-dua mangsa nahas tersebut kini berada di hospital selepas mereka diselamatkan oleh 40 pekerja binaan dari sebuah tapak pembinaan berhampiran.
Pekerja-pekerja terbabit segera mengeluarkan mangsa dan menyimbah baldi-baldi berisi air untuk memadamkan api.
"Pekerja-pekerja binaan itu menjadi wira dalam nahas ini. Mereka menyelamatkan nyawa mangsa terbabit," kata seorang saksi Sonia Vize, 41.
No comments:
Post a Comment