Tuesday, July 26, 2011

BILA MANUSIA HILANG PERTIMBANGAN...TIADA LAGI BELASAN KASIHAN....

Peras bapa RM1.5 juta

Oleh Norul Awatif Romli
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Akibat kemaruk cinta kepada lelaki warga Nigeria, seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menipu bapa sendiri kononnya dia bersama kekasihnya itu diculik dan meminta wang tebusan RM1.5 juta untuk dibebaskan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata bapa gadis itu memberitahu polis, dia menerima panggilan telefon seorang lelaki pada jam 3 petang 21 Julai lalu mengatakan anak perempuannya bersama teman lelaki diculik di Kajang.
Menurutnya, berikutan itu bapa berusia 53 tahun yang juga akauntan di Kuching, Sarawak, menghubungi Balai Polis Kajang bagi membuat laporan pada hari sama, kira-kira jam 11.30 malam.

“Bertindak atas laporan itu, polis melakukan siasatan dan mengesan lokasi pasangan kekasih terbabit di lobi sebuah hotel di Pulau Pinang pada jam 8 malam, 23 Julai lalu.


“Hasil siasatan, pasangan itu didapati sengaja mereka-reka cerita kononnya mereka diculik, sedangkan tujuan utama mereka ingin mendapatkan wang untuk kegunaan peribadi,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, semalam.

Perompak paksa mangsa berenang lepas ditembak

TAWAU: Seorang lelaki yang ditembak di betis kiri ketika memancing bersama tiga rakannya dipaksa berenang ke pantai kira-kira tiga kilometer selepas diserang dua lelaki bersenjata dalam kejadian rompak dan bunuh di Perairan Batu 5, di sini, kelmarin.
Bukan itu saja, kedua-dua penjenayah itu turut melarikan bot dua enjin milik empat sahabat itu berharga lebih RM10,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Rambo, 40, ditemui lemas selepas dipercayai gagal berenang akibat cedera selepas terkena tembakan penjenayah terbabit.
Bagaimanapun, tiga lagi rakan mangsa yang tidak dicederakan berenang ke pantai sebelum mendapatkan pertolongan.

Difahamkan, empat sahabat itu dipercayai ke laut untuk memancing sebelum dihampiri sebuah bot dinaiki dua lelaki.

Sebaik menghampiri bot mangsa, seorang daripada suspek mengeluarkan senjata api dipercayai pistol lalu melepaskan tembakan rambang hingga terkena kaki seorang daripada mangsa menembusi betisnya.

Tidak cukup dengan itu, penjenayah terbabit mengacukan senjata ke arah semua mangsa sebelum mengarahkan mereka berenang ke pantai.

Bimbang ditembak, semua mereka termasuk Rambo yang cedera akur dan terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
Namun, kecederaan dialami menyebabkan mangsa gagal berenang sebelum tenggelam dan lemas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, polis menerima maklumat daripada mangsa yang terselamat kira-kira jam 11 malam.

“Semua mangsa berusia 20 sehingga 40 tahun keluar ke laut menangkap ikan sebelum dihampiri sebuah bot dinaiki dua lelaki.

“Sebaik dihampiri, tiba-tiba seorang daripada suspek mengeluarkan senjata api lalu melepaskan beberapa das tembakan secara rambag,” katanya.

Menurutnya, selepas ditembak, semua mangsa dipaksa terjun ke laut menyelamatkan diri menyebabkan tiga daripada mereka berjaya berenang ke pantai sebelum meminta bantuan.

Sempat masak sayur rebung sebelum maut

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita sempat menyediakan juadah sayur rebung untuk anak bongsunya yang baru mendirikan rumah tangga kira-kira enam bulan lalu sebelum dia terbunuh dalam kemalangan selepas melawat cucunya di Kampung Maras, Batu Rakit, di sini, petang kelmarin.
Tukang rumah, Abdul Razak Kadir, 65, suami kepada Dayang Ahmad, 70, berkata, dia terkejut mendengar berita isteri keempatnya yang dikahwini sejak setahun lalu terbabit dalam kemalangan ketika pulang dari tempat kerjanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, wanita berkenaan maut selepas motosikal dinaiki bersama cucunya, Nor Aida Syazana Zainudin, 17, terbabas apabila mengelak daripada merempuh seekor lembu ketika dalam perjalanan pulang dari rumah anak bongsunya di Bukit Agu, Tepoh, di sini.
Motosikal Yamaha 125Z ditunggang cucunya yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Guntung ketika hujan renyai gagal dikawal sebelum terbabas di bahu jalan selepas seekor lembu tiba-tiba menghalang laluan mangsa.

Warga emas itu maut di tempat kejadian selepas mengalami pendarahan teruk di kepala manakala cucunya cedera parah di badan dan muka kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian dan kedua beranak terbabit didapati tidak memakai topi keledar ketika kejadian.

Buang abu mayat ke sungai

Oleh Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah
am@hmetro.com.my

SHAH ALAM: R Khatavarayan, tertuduh keempat dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, didakwa ada memberitahu seorang pegawai penyiasat bahawa abu mayat mangsa dibuang ke Sungai Panchau, Banting.
Pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Cif Inspektor N Govindan, 45, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, berkata maklumat itu diperoleh hasil temu bual dengan Khatavarayan ketika membuat siasatan pada 12 September 2010.
Selain itu, Govindan mendakwa tertuduh kedua dalam kes itu, T Thilaiyalagan yang juga rakan sekerja Khatavarayan memberitahunya mereka membuang kayu digunakan untuk membakar semua mangsa dan zink untuk melapik mayat di ladang sawit Sungai Arak, Banting.

Beliau berkata, perkara itu diberitahu sendiri oleh Khatavarayan, 31, dan Thilaiyalagan, 20. Kedua-dua lelaki itu juga membawa polis serta menunjukkan tempat barangan terbabit dibuang di beberapa lokasi di sekitar Banting, antara 12 dan 14 September tahun lalu.


Khatavarayan yang juga saksi pendakwaan ke-31 berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin pada hari ke-11 perbicaraan kes bunuh Sosilawati dan pemandu jutawan itu, Kamaruddin Shamsuddin; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank, Noorhisham Mohamad.

Dijel simbah cuka getah



DIHUKUM...Mohamad Hafiz dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Temerloh, semalam.
DIHUKUM...Mohamad Hafiz dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Temerloh, semalam.
TEMERLOH: Seorang buruh ladang yang menyimbah cuka getah kepada dua beradik di Felda Jengka 9, Maran, pada 19 Julai lalu, dijatuhi hukuman 16 tahun penjara dan empat sebatan selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Tertuduh, Mohamad Hafiz Ismail, 31, dari Felda Jengka 9 berdepan dua pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13, dan adiknya Syaffiy Aiman, 10.

Lelaki terbabit tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman dijatuhkan dan kelihatan sekadar memahami serta membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Hakim Dazuki Ali yang menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan kepada tertuduh, bagaimanapun mengarahkan hukuman berkenaan berjalan serentak dari tarikh dia ditahan.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki terbabit didapati menyebabkan kecederaan parah dengan menyimbah cecair dipercayai cuka getah ke atas Syafiq Haikal pada 19 Julai lalu di jalan berdekatan Felda Jengka 9 antara jam 7.30 malam hingga jam 8.30 malam.

Dia turut menghadapi tuduhan kedua iaitu melakukan perbuatan sama terhadap Syaffiy Aiman pada tarikh dan tempat sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, buruh ladang terbabit didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya dengan memberi alasan menanggung seorang ibu menghidap sakit jantung dengan berpendapatan RM300 sebulan hasil bekerja di ladang sawit.

Pelakon dicekik kekasih

Oleh Wan Asrudi Wan Hassan, Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon drama dan filem popular berusia 25 tahun yang sering mencetuskan kontroversi antaranya penyebaran gambar intim dengan teman lelakinya di Internet membuat laporan polis mendakwa dia dicekik, ditampar dan ditumbuk teman lelakinya itu, kelmarin.
Lebih mengerikan apabila teman lelaki mangsa yang juga seorang pelakon drama bersiri Tari Kirana dan Sahara disiarkan di TV3, berusia 22 tahun itu mengugut untuk membunuhnya.

Semuanya bermula apabila pelakon wanita yang bakal muncul menerusi drama Laila Manja (TV3), memulakan kerjayanya dalam bidang model sebelum bergiat aktif dalam lakonan itu dipukul selepas terbabit dalam pertengkaran apabila mangsa menemui teman lelakinya itu sedang berdua-duaan dengan seorang wanita di dalam rumahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi di rumah teman lelakinya di sebuah kondominium di Damansara, di sini, pelakon lelaki yang turut dilanda kontroversi kerana bergaduh dan mengugut membunuh wartawan tahun lalu, terkejut apabila mangsa tiba-tiba membuka pintu rumahnya.


Difahamkan, pelakon wanita terbabit mempunyai kunci pendua rumah berkenaan dan pergi ke rumah teman lelakinya itu tanpa pengetahuan pelakon lelaki berkenaan kononnya untuk membuat kejutan.


Nyawa diragut 6 samseng

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

DIREMAN...dua suspek direman untuk membantu siasatan.
DIREMAN...dua suspek direman untuk membantu siasatan.
IPOH: Sepuluh tahun lalu, ibu dan adiknya maut ditetak seorang pesakit mental dan kini bapanya turut menemui ajal dengan tragik apabila kepala dan mukanya dihentak dengan kerusi dan batu-bata oleh sekumpulan samseng dalam kejadian Jumaat lalu.
S Yogesh, 21, berkata, ayahnya, S Sunther, 50, bekas anggota polis berpangkat lans koperal dan pernah berkhidmat selama 26 tahun dalam pasukan keselamatan, meninggal dunia kira-kira jam 8.10 malam kelmarin selepas dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, sejak Jumaat lalu.
Menurut Yogesh, ayahnya diserang sekumpulan lelaki kira-kira jam 11.30 malam Jumaat lalu ketika minum di sebuah restoran tidak jauh dari rumah mereka di Taman Desa Pakatan, Pengkalan di sini.

Katanya, ketika minum, sekumpulan enam lelaki tiba-tiba muncul sebelum memukul ayahnya bertubi-tubi dengan kerusi dan batu-bata.


“Ayah sempat melarikan diri sejauh 10 meter, namun ditangkap semula kumpulan samseng itu yang kemudian memukulnya lagi hingga dia tidak sedarkan diri.

Nenek digilis dua penyamun



AMPANG: Seorang nenek patah tulang rusuk kiri selepas digilis tayar motosikal ditunggangi dua lelaki yang cuba menyamun rumahnya di Taman Muda, di sini, Sabtu lalu.
Lelaki terbabit bertindak demikian selepas terkejut apabila mendapati wanita berusia 60-an itu yang baru pulang dari kedai tiba-tiba muncul di rumahnya, kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun, lelaki terbabit mencuri 10 kepala paip tembaga dan tiga pemutar skru.
Menurut sumber, mangsa yang mengesyaki sesuatu sebaik melihat pintu pagar rumahnya terbuka dan terdapat sebuah motosikal di perkarangan rumahnya cuba melakukan pemeriksaan.

“Ketika itu muncul dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh datang dari arah belakang rumah dengan membawa kepala paip dan pemutar skru dianggarkan bernilai RM200.

“Mangsa menegur lelaki terbabit menyebabkan mereka terkejut,” katanya.

Beliau berkata, panik selepas melihat mangsa menyebabkan kedua-dua lelaki itu berlari ke arah motosikal dan menghidupkan enjin sebelum melanggar mangsa di hadapan mereka hingga terjatuh.

“Mangsa yang kesakitan menjerit meminta pertolongan menyebabkan lelaki terbabit yang bimbang kejadian itu disedari jiran menggilis kiri badan mangsa yang cuba menghalang laluan mereka.
“Selepas itu kedua-dua lelaki itu melarikan diri dan membiarkan mangsa kesakitan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa cuba bangun dan masuk ke dalam rumah sebelum menghubungi suaminya yang berada di luar kawasan.

Suami mangsa membawanya ke Hospital Ampang dan membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment