Thursday, July 28, 2011

KEMALANGAN...ELOK BERHATI2...CERITA DAN BERITA PATUT JADIKAN PENGAJARAN BUKAN SEBAGAI BAHAN MAKLUMAT SEMATA2...MOHON PERLINDUNGAN ALLAH...

Lihat bayi berdarah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Kasdi Ali dan Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

KERIAN: “Mengalir air mata saya melihat bayi itu terbaring berlumuran darah di celah rumput tepi parit bersama ibunya. Tidak jauh dari situ, terbaring mayat bapanya yang turut tercampak dari bas,” kata saksi kejadian, Umar Khairi, 20.
Umar, seorang daripada 32 penumpang bas ekspres SNS International yang dirempuh sebuah treler membawa gula berkata, lututnya menggeletar melihat keadaan menyayat hati itu.

Katanya, ketika kejadian dia tidur sebelum dikejutkan dentuman kuat diikuti gegaran luar biasa. “Sebaik membuka mata, saya melihat kedua-dua tangan saya luka. Ketika itu kelam-kabut berikutan ramai penumpang terutama kanak-kanak menjerit ketakutan dan cuba keluar dari bas untuk menyelamatkan diri.
“Kami keluar melalui tingkap bas sebelah kanan yang pecah. Ketika itu saya melihat bayi terbabit (Muhammad Fariz Abd Shahreer, 18 bulan) terbaring sebelum didukung seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Menurutnya, ibu bayi itu tidak sedarkan diri dan bapanya pula terbaring tidak bernyawa.

Umar berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Johor Bahru selepas mengunjungi rumah kenalan lamanya di Kangar, Perlis.

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Mohd Nasir Evin, 28, bersyukur kerana anak perempuannya, Noratikah Nabila, 3, hanya tercampak ke bahagian pemandu bas tanpa cedera serius.

“Saya, isteri dan anak dalam perjalanan pulang ke Segamat, Johor, selepas bercuti di rumah keluarga isteri di Alor Setar, Kedah. Kami tidur apabila dikejutkan dengan dentuman dan saya mendapati Noratikah tiada di tempat duduk sebelum menemuinya tercampak kira-kira lima meter di ruang hadapan bas berhampiran tempat duduk pemandu.
“Saya mendapatkan Noratikah yang menangis ketakutan sebelum memimpin tangan isteri keluar dari bas melalui tingkap yang pecah. Apapun, saya bersyukur kerana kandungan isteri yang hamil lima bulan selamat selepas diperiksa di Hospital Taiping, tadi (semalam),” katanya.

Beg udara dipasang pada Perodua


AMINAR RASHID (memegang bendera) melepaskan kenderaan rasmi Tweckbot di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) telah menyemak semula jangkaan jualan kenderaannya pada tahun ini kepada 190,000 unit berbanding 195,000 unit sebelum ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, semakan tersebut terpaksa dilakukan berikutan impak bencana tsunami yang melanda Jepun pada bulan Mac lalu yang telah memberikan kesan kepada pengeluaran Perodua.
“Bagaimanapun pengeluaran kami telah kembali pulih dan kami sedang bekerja keras untuk memenuhi tempahan pelanggan, terutamanya untuk model Myvi baharu,” katanya selepas melancarkan kempen perkhidmatan pemeriksaan kenderaan menggunakan twitter, Tweckbot di sini semalam.

Lambaian terakhir anak



KUALA NERANG: “Arwah bersama anak dan isterinya sempat melambai kepada saya serta isteri sebelum mereka menaiki kereta abang iparnya untuk ke Terminal Bas Shahab Perdana di Alor Setar, kira-kira jam 9 malam tadi (kelmarin).
“Dia tidak banyak bercakap, manakala cucu saya, Muhammad Fariz Abd Shahreer, 18 bulan, pula manja dengan saya seolah-olah tidak mahu berpisah dengan kami,” kata Abu Hasan Ibrahim, bapa Abd Shahreer Abu Hasan, 23, yang maut bersama anaknya apabila bas dinaiki dirempuh sebuah treler di Kilometer 201.5, arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran susur keluar Bukit Merah, Perak, kira-kira jam 12.25 tengah malam kelmarin.

Abu Hasan, 55, berkata dia tidak menyangka panggilan telefon diterimanya kira-kira jam 7 pagi semalam membawa berita buruk mengenai kehilangan anak lelaki keempat daripada enam beradik dan cucu kesayangan buat selama-lamanya.
Sebelum kejadian, mangsa yang lebih mesra dengan panggilan Aril pulang bercuti di rumah keluarga mentuanya di Kampung Padang Setol, Mukim Pedu, dekat sini, selama tiga hari sejak Selasa lalu. Bagaimanapun, mereka singgah di rumah Abu Hasan di Lorong Telok Belanga, di sini, untuk menziarahi ibu bapanya sebelum bertolak pulang ke Johor.

Arwah yang sudah bertugas empat tahun sebagai anggota polis menetap di Kuarters Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Johor Bahru.

“Biasanya, rumah ini akan riuh jika Aril pulang, tapi semalam (kelmarin) dia tidak bercakap banyak hinggakan saya terasa perubahan pada dirinya, namun tak sangka dia pergi buat selama-lamanya.

“Saya dapat tahu mengenai kemalangan ini daripada keluarga besan dan pada mulanya hanya diberitahu bas yang dinaiki Aril terbabit kemalangan dan tak sampai 15 minit kemudian, saya dimaklumkan dia dan anaknya meninggal dunia.

“Luluh hati saya mendengar berita menyedihkan itu apatah lagi ketika saat menjelang Ramadan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Poster undang-undang syariah ditampal di Britain


SEORANG aktivis, Anjem Choudary menunjukkan poster mengenai larangan perbuatan menyalahi undang-undang syariah di Leyton, timur London baru-baru ini.


LONDON - Golongan ekstremis Islam melancarkan kempen poster untuk memaklumkan kepada orang awam mengenai kewujudan zon penguatkuasaan undang-undang Islam di serata Britain, lapor sebuah akhbar semalam.
Poster berkenaan memberitahu para pengunjung bahawa mereka memasuki zon undang-undang Islam dan dilarang melakukan aktiviti yang melanggar hukum syarak seperti meminum alkohol atau melanggan pelacur.
"Anda memasuki zon kawalan syariah, lokasi undang-undang Islam dikuatkuasakan," menurut tulisan pada satu poster itu di sini.
Poster berwarna kuning terang itu turut tertera amaran meminta dilarang berjudi, tidak dibenarkan mengadakan konsert, merokok dan dadah.
Sejumlah poster berkenaan ditampal di stesen bas dan tiang lampu beberapa kawasan di sini.
Seorang pendakwah, Anjem Choudary mengaku bertanggungjawab melancarkan kempen poster syariah itu.
"Kami memiliki beribu-ribu orang di seluruh Britain yang sanggup meronda untuk memastikan undang-undang syariah dikuatkuasakan di zon-zon berkenaan," kata Anjem.
"Kami memiliki antara 10,000 hingga 50,000 poster untuk diedarkan di kawasan penduduk Islam di Britain," tambahnya.
Bagaimanapun, pihak Scotland Yard bekerjasama dengan majlis kerajaan tempatan untuk menanggalkan poster-poster itu dan mencari dalang yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut. - Agensi

Badan putus dua



PARIT BUNTAR: Tosai menjadi makanan terakhir dijamu A Yogeswara Rao, 25, sejam sebelum badannya terputus dua apabila treler dipandunya terbabit dalam kemalangan ngeri dengan sebuah bas ekspres dalam kejadian awal pagi semalam.
Yogeswara yang baru lima bulan mendirikan rumah tangga dan rakan sekerjanya, K Supramaniam, 30, berhenti makan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang.

Rakan setugas mangsa, R Elangowan, 29, berkata, Supramaniam sempat berseloroh dan bergurau ketika ditemuinya di R&R itu sekitar jam 11 malam kelmarin.
Menurutnya, Yogeswara dan Supramaniam dalam perjalanan pulang ke kilang syarikat di Butterworth, Pulau Pinang selepas ditugaskan menghantar bekalan gula di Kuala Lumpur dan Ipoh.

“Ketika bertemu mereka, kedua-dua rakan saya itu rancak berbual dan memberitahu tidak sabar pulang ke rumah bertemu isteri dan keluarga masing-masing.

“Mereka sempat membelanja saya makan tosai sebelum meneruskan perjalanan ke Butterworth. Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang rakan kira-kira jam 2 pagi semalam,” katanya.

Sementara itu, bapa mentua Yogeswara yang hanya mahu dikenali Shanmugan, sebak ketika dimaklumkan seorang rakannya mengenai kemalangan itu kira-kira jam 6 pagi semalam.

“Pada mulanya saya tidak percaya kemalangan itu meragut nyawa menantu saya yang baru lima bulan mendirikan rumah tangga dengan anak perempuan saya, Navitha, 26. “Navitha tidak dapat datang dari Kulim kerana terlalu sedih dengan kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Supramaniam meninggalkan seorang isteri dikenali Letchumy dan tiga anak masing-masing berusia lima tahun, tiga tahun dan lapan bulan.

Konstabel, anak terpelanting



KERIAN: Seorang anggota polis dan anak kecilnya yang tidur lena di ribanya maut apabila terpelanting keluar dari bas ekspres selepas kenderaan itu dirempuh treler yang ‘terbang’ dalam satu kemalangan ngeri jam 12.25 tengah malam kelmarin di Kilometer 201.5, arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), berhampiran susur Bukit Merah, di sini.
Pelanggaran itu mengakibatkan dinding bas ekspres berkenaan terkopak menyebabkan mangsa, isteri dan anak lelakinya yang berusia setahun lapan bulan tercampak keluar kira-kira 10 meter ke bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kemalangan berlaku apabila treler membawa muatan peket gula yang dalam perjalanan menuju ke Pulau Pinang bertembung dengan bas ekspres dari arah utara.

“Berdasarkan maklumat, treler yang dipandu lelaki bernama A Yogeswara Roa, 25, sambil ditemani kelindan, K Supramaniam, 30, hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan merempuh pembahagi besi di tengah lebuh raya.


“Treler yang dipandu laju itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bas ekspres yang ketika itu membawa 32 penumpang. Pelanggaran kuat itu menyebabkan lori berkenaan putus dua manakala bahagian depan dan sisi kanan bas itu remuk,” katanya.

Isteri ‘histeria’ kejar pencuri

Oleh Fauzi Rahim Mustafa
am@hmetro.com.my

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki terpaksa memeluk sambil menahan isterinya daripada berlari keluar rumah selepas menyangka pasangannya dirasuk.
Zaludin Ibrahim, 41, dari Kampung Serukam, dekat sini, pada mulanya terkejut melihat isterinya, Roshana Jaafar, 44, menjerit tiba-tiba sambil berlari mengejar sesuatu kira-kira jam 2 pagi semalam.

Dia yang sedang nyenyak tidur terbangun serta-merta apabila mendengar jeritan kuat Roshana sebelum melihat isterinya seperti ‘hilang akal’ sambil menunjuk ke dapur.

“Saya cemas kerana jeritan isteri seperti dirasuk menyebabkan dua anak saya, Muhammad Zulhelmi, 11, dan Nurul Nadia, 9, turut terkejut dan menangis.


“Selepas bergelut dengannya kira-kira 10 minit, baru saya sedar rumah kami sebenarnya dimasuki pencuri menyebabkan isteri seperti terkena histeria,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mayat berulat dalam bilik



SENTUL: Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Taman Wilayah, di sini terbongkar dengan penemuan mayat seorang wanita berulat dalam bilik tidur dengan kesan tikaman dipercayai dibunuh suaminya, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, polis yang tiba di tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 petang menemui mayat wanita berusia 23 tahun dan berasal dari Indonesia lengkap berbaju tidur dipercayai mati lebih dari dua hari sebelum mayatnya ditemui.

“Siasatan awal, mangsa tinggal bersama suaminya dan ketika polis tiba di rumah berkenaan, suami mangsa sudah menghilangkan diri. “Pasukan forensik yang dihantar ke tempat kejadian turut menemui dua kesan tikaman pada belakang mangsa dan berkemungkinan mangsa dibunuh menggunakan pemutar skru berdasarkan penemuan bahagian hulu pemutar skru itu di sisi mayat,” katanya.
Katanya, ketika polis tiba, tiada orang di dalam rumah berkenaan selain pintu bilik tempat mayat ditemui berkunci dari dalam.

Polis kini giat memburu suami mangsa dan motif pembunuhan mungkin disebabkan masalah dalaman keluarga. Setakat ini, polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

‘Baik dia gores sendiri, mak cik...’



MELAKA: Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, semalam, mengarahkan sebuah syarikat gores dan menang, Nilam Bumi Enterprise membayar semula RM16,400 kepada seorang warga emas yang mendakwa ditipu syarikat berkenaan.
Presiden TTPM, Siti Naaishah Hambali mengarahkan syarikat itu memulangkan wang berkenaan dalam tempoh 14 hari kepada Sapilah Kataludin, 60-an. Bagaimanapun, syarikat berkenaan gagal hadir dalam prosiding itu.

Siti Naaishah yang mengeluarkan arahan kepada syarikat itu turut menegur Sapilah supaya lebih berhati-hati pada masa depan.
“Kalau menang boleh dapat kereta, baik dia gores sendiri mak cik. Macam mana mak cik boleh berikan wang sebegini banyak kepada mereka,” katanya.

Urutan manja di pantai

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Aksi romantis sepasang kekasih yang asyik melakukan urutan manja di tepi pantai secara terbuka membawa padah apabila dicekup kerana berkelakuan kurang sopan di Pesisiran Pantai Queensbay, malam kelmarin.
Kedua-dua pasangan berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan jam 8 malam.

Ketua Penolong Pengarah JHEAIPP, Jaafar Ismail berkata, kedua-dua pasangan itu dilihat asyik bercengkerama di kawasan terbuka tanpa mempedulikan orang ramai.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan, pasangan wanita asyik mengurut leher teman lelakinya sambil bergurau manja dan perbuatannya disaksikan pegawai penguat kuasa agama.


Katanya, ketika menghampiri pasangan itu, mereka terkejut sebelum ditegur pegawai penguat kuasa agama dan pasangan wanita itu memberi alasan mengurut leher teman lelakinya kerana keletihan bekerja.

Digilis bas sendiri



NIBONG TEBAL: Seorang pemandu bas sekolah maut apabila dilanggar bas yang dipandunya itu ketika berhenti memeriksa tayar belakang bas berkenaan dalam kejadian pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Jalan Besar Sungai Bakap berhadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, mangsa, Saad Yusof, 47, cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia selepas lebih tiga jam menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Mangsa yang beralamat di Taman Rebana, Sungai Bakap dikatakan memberhentikan bas sekolah dipandunya di bahu jalan hadapan sekolah berkenaan.
Kemalangan berlaku selepas mangsa berada di bawah bas memeriksa tayar belakang sebelum bas berkenaan tiba-tiba bergerak dan menggilisnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, mangsa yang cedera parah dikejarkan ke HSJ dan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 3.15 petang.

1 comment:

  1. Salam....saya baca entry kamu mengenai "Lihat bayi berdarah". Terharu dengan berita ini, kerana adik ipar saya juga berada dalam bas sewaktu kejadian.
    Jemputlah baca Entry saya mengenai kemalangan tersebut di;
    http://cintaitumisteri.blogspot.com/2011/07/kemalangan-ngeri-di-km2015-taiping-arah.html
    &
    http://cintaitumisteri.blogspot.com/2011/07/syukurlah-adik-kami-selamat.html

    Semoga menjadi ikhtibar dan pengajaran buat kita semua

    ReplyDelete