Pelajar hilang 4 hari ditemui mati di Pattaya
Oleh Gaddafi Musli dan Fairus Anuar
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
SYAFIQ...terjatuh dari kondominum
Muhammad Syafiq Abu Ani, 25, dari Batu Pahat, Johor ditemui mati akibat terjatuh dari sebuah kondominum di Pattaya, Thailand, 23 Julai lalu.
Menurut laporan akhbar dalam talian, pattayaone.net, siasatan polis Thailand mendapati mangsa jatuh dari tingkat 14, Niran Grand Condominium di Soi Arunothai, berdasarkan penemuan barangan peribadi mangsa termasuk selipar dan tiket penerbangan balik ke Malaysia di sebuah unit di aras berkenaan.
Butiran tiket menunjukkan mangsa sepatutnya kembali ke Malaysia sehari sebelum penemuan mayatnya.
Penghuni kondominium itu juga mendakwa tidak mengenali mangsa dan sebab kehadirannya di Thailand masih dalam siasatan polis.
Berdasarkan laporan itu, siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai membunuh diri namun siasatan lanjut akan dilakukan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Bangkok. Sementara itu jurucakap Wisma Putra mengesahkan kematian mangsa.
Penyelia feri maut ditembak
ALOR SETAR – Seorang penyelia sebuah syarikat feri maut selepas ditembak dalam kejadian samun melibatkan wang hasil jualan tiket sebanyak RM12,500 di Taman Seri Putra Fasa 3, Kuala Kedah di sini kelmarin.
Kejadian pukul 7.30 malam itu mengakibatkan Zamzarmi Ghazali, 36, (gambar) maut selepas ditembak sebanyak tiga kali dari jarak dekat masing-masing di dada dan perut ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desarina, Kuala Kedah.
Ketika itu, dia sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Nuovo selepas mengambil wang hasil jualan tiket tersebut di Terminal Feri Kuala Kedah.
Sebaik tiba di satu deretan bangunan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya, mangsa telah didatangi dua individu menunggang motosikal dengan memakai topi keledar berpenutup penuh. Mereka dipercayai telah mengekori mangsa dari terminal feri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan memberitahu, salah seorang suspek kemudian telah menembak mangsa sebanyak tiga kali dari jarak dekat sebelum melarikan wang RM12,500 yang dibawa lelaki itu.
Katanya, suspek masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Pengurus Ferryline Ventures, Hussin Hassan, 51, memberitahu, ketika kejadian, mangsa membawa hasil jualan tiket feri yang diperoleh sejak kelmarin.
“Saya dan Allahyarham bergilir-gilir membawa pulang hasil jualan tiket. Wang itu akan dimasukkan ke bank keesokan harinya,” ceritanya.
Tambahnya, dia sepatutnya membawa pulang wang itu tetapi Zamzarmi mahu mengambilnya sendiri sebelum keluar pada pukul 7.10 petang.
Isteri mangsa, Faradina Ghazali, 32, berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia mendapati suaminya sudah tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di situ.
“Dia telah bekerja di situ sejak 15 tahun lalu dan pernah membawa pulang wang hasil jualan tiket sebanyak RM200,000 tetapi tidak pernah disamun,” ceritanya yang mempunyai empat anak berusia di antara tiga dan 10 tahun.
Syukur keturunan diperakui
KOTA BHARU - Raja Tengku Putri Anis Raja Sazali, 24, bersyukur apabila statusnya sebagai pewaris ketujuh Puteri Saadong akhirnya mendapat perakuan pakar Jabatan Warisan Negara walaupun belum ada pengumuman rasmi dibuat setakat ini.
Padah berlakon diculik penjenayah
SHAH ALAM – Helah sepasang kekasih yang kononnya diculik oleh seorang penjenayah untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM1.5 juta terbongkar apabila kedua-duanya ditahan selepas didapati sengaja mengada-adakan cerita tersebut.Pasangan yang merupakan graduan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kajang dekat sini itu ditahan di sebuah hotel di Pulau Pinang selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan yang dibuat bapa wanita berusia 23 tahun itu pada 21 Julai lalu.
Difahamkan, teman lelaki wanita tersebut merupakan warga Nigeria berusia lingkungan 20-an manakala wanita tempatan itu berasal dari Kuching, Sarawak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah (gambar) berkata, bapa mangsa yang merupakan akauntan di Sarawak berusia 53 tahun terus membuat laporan di Balai Polis Kuching sebaik menerima panggilan daripada seorang lelaki pada pukul 3 petang mengatakan pasangan itu diculik.
Katanya, dalam aduannya, kedua-dua mangsa didakwa diculik pada pukul 11.30 malam sehari sebelum laporan dibuat.
“Penculik didakwa meminta wang tebusan AS$500,000 (RM1.5 juta) untuk membebaskan pasangan tersebut.
“Dua hari kemudian, polis telah menyerbu sebuah bilik hotel di Pulau Pinang sebelum menahan pasangan kekasih itu pada pukul 8 malam bagi membantu siasatan. Mereka kini direman sehingga Sabtu ini di Balai Polis Kajang,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, polis yang menjalankan siasatan kemudian mendapati pasangan itu telah mereka-reka cerita bagi mendapatkan wang daripada akauntan tersebut untuk menampung perbelanjaan seharian mereka.
Menurut Mohd. Adnan lagi, siasatan lanjut mendapati mereka telah tamat pengajian di IPTS tersebut dan sedang menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebat jika sabit kesalahan.
Ibu gadai nyawa selamatkan zuriat
KUALA TERENGGANU – Kasih sayang seorang ibu terhadap dua anaknya termasuk bayi berusia 22 hari terbukti apabila dia sanggup meredah api untuk menyelamatkan zuriatnya itu selepas rumah mereka di Kampung Padang Tengir, Manir dekat sini terbakar semalam.
Kejadian mencemaskan pada pukul 9.30 pagi itu berlaku ketika Norazizah Yusof, 42, yang masih dalam pantang sedang menyusukan Wan Mohd. Hazim di dalam sebuah bilik sambil ditemani seorang lagi anak perempuannya, Wan Noraiha Suffiah, 3.
Mengimbau semula kejadian itu, Norazizah berkata, ketika asyik menyusukan anak bongsunya itu, dia terkejut selepas terdengar bunyi letupan di bilik bersebelahan sebelum melihat api mulai marak.
Dalam keadaan panik dan lemah, dia terus mendukung bayi lelakinya dan memimpin tangan anak perempuannya itu sebelum mereka bergegas berlari keluar melalui pintu utama rumah.
“Saya hanya fikir untuk menyelamatkan diri dan anak selepas bilik yang terbakar itu runtuh dijilat api walaupun ketika itu rumah itu dipenuhi asap dan berbahang.
Lelaki dijel lapan tahun, sebat
TEMERLOH – Kesengsaraan dua beradik yang melecur teruk selepas disimbah cuka getah oleh seorang buruh ladang sedikit terubat apabila Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan.
Hakim Dazuki Ali memerintahkan Mohammad Hafiz Ismail, 31, menjalani hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh terhadap dua dakwaan kerana mencederakan Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13, dan adiknya, Syaffiy Aiman, 10.
Kesalahan itu dilakukan berhampiran rumah No. 149, Felda Jengka 9 pada pukul 7.30 malam hingga 8.30 malam, 19 Julai lalu.
Ketika diminta mengulas mengenai hukuman tersebut, ibu mereka, Ruhasimah Julaili Mansor, 33, menyifatkan ia tidak setimpal jika dibandingkan dengan kesengsaraan yang akan ditanggung seumur hidup anaknya.
Katanya, hukuman itu agak ringan dan tidak memadai berbanding perbuatan kejam itu.
“Saya sukar terima keputusan itu kerana dua anak saya yang masih kecil. Selain menderita mereka juga mengalami trauma hingga ke akhir hayat ekoran perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki itu,” luahnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Lebih membuatkannya terkilan ialah dia mendakwa ibu tertuduh yang juga jiran mereka langsung tidak pernah menjenguk dua anaknya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) apatah lagi memohon maaf di atas kesalahan tertuduh.
Suami Ruhasimah, Mat Safar Zaidi Che Sam, 33, pula merasakan hukuman tersebut tidak berbaloi dan boleh menyebabkan tertuduh mengulanginya.
“Saya akan berbincang dengan ahli keluarga untuk membuka semula fail kes bagi memastikan nasib anak saya benar-benar terbela,” katanya.
Dalam prosiding semalam, tertuduh yang berbadan kurus didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Tuduhan pertama ialah menyebabkan kecederaan parah kepada Syafiq Haikal dengan menyimbah cecair disyaki cuka getah di muka dan badan. Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mencederakan Syaffiy Aiman dengan cecair yang sama.
Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara 20 tahun, denda atau sebat.
Mohammad Hafiz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadapnya dikurangkan tetapi dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Rashidi Abd. Rahim.
Dazuki kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkannya berjalan serentak.
Mengikut fakta kes, kedua-dua mangsa telah disimbah cuka getah di muka dan badan ketika melalui depan rumah tertuduh ketika mereka menunggang motosikal untuk ke rumah rakan bagi mengulangkaji pelajaran.
Dua beradik itu masih lagi dirawat di HKL dan selepas menjalani pembedahan, kulit mati pada tubuh mereka telah dibuang sebelum dibalut.
Cikgu tabika bertaraf diploma
TANJUNG MALIM – Seramai 107 tenaga pengajar Taman bimbingan kanak-kanak (tabika) muncul sebagai graduan sulung Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak pada Majlis Konvokesyen Ke-13, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam.
Seorang guru tabika Kemas dari Pekan, Pahang, Norizan Abu Bakar, 45, berkata, usahanya selama dua tahun belajar di UPSI kini berbaloi setelah mengalami kekecewaan sebelum ini apabila pengajiannya di salah sebuah institusi pengajian tinggi dalam negara tidak diiktiraf.
“Ini merupakan kali kedua saya memperoleh diploma setelah pengajian sebelum ini tidak diiktiraf kerana tidak cukup kredit.
“Namun, peluang kembali cerah apabila Kemas menawarkan pengajian secara percuma selain memikirkan pendidikan amat penting bagi menjamin masa depan,” ujarnya yang memperoleh purata nilai gred terkumpul (CGPA) 3.63.
Seorang lagi guru tabika Kemas dari Pelabuhan Klang, Selangor, Azizan Ibrahim, 39, berkata, kejayaan memperoleh CGPA 3.84 amat bermakna kerana dia antara graduan sulung daripada Kemas yang berjaya menamatkan pengajian dengan baik.
“Saya berterima kasih kepada Ketua Pengarah Kemas kerana memberi galakan kepada kami menyambung pelajaran dan kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada anak-anak serta murid kami untuk lebih berjaya,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Gabenor Aceh, Indonesia, Irwandi Yusuf dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2010, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kerana jasa mereka kepada pembangunan pendidikan.
Kedua-dua tokoh itu masing-masing dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kepemimpinan dan Pembangunan Pendidikan dan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan.
Kesemua graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing yang disampaikan oleh Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun.
Budak lelaki ada 34 jari pecah rekod
|
|
NEW DELHI - Seorang budak lelaki berusia setahun di India memecahkan rekod dunia kerana dilahirkan dengan 34 jari tangan dan kaki, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang jurucakap Guinness Book of Records berkata, Akshat Saxena memiliki tujuh jari pada setiap tangannya manakala setiap kakinya mempunyai 10 jari kaki.
Kanak-kanak berkenaan berasal dari wilayah Uttar Pradesh, utara India.
Akshat yang dilahirkan tanpa mempunyai ibu jari menyebabkan doktor kini cuba untuk menggunakan jari yang sudah dipotong bagi menggantikan ibu jari tersebut.
"Saya amat gembira melihat anak saya buat pertama kali kerana dia merupakan cahaya mata pertama kami," kata ibunya, Amrita Saxenakata.
"Saya kemudian terkejut melihat jari-jarinya yang banyak," tambah wanita itu.
Didorong oleh seorang rakan mereka, keluarga berkenaan mendaftarkan anak mereka ke dalam Guinness Book of Records menerusi Internet.
Rekod untuk kategori tersebut sebelum ini dipegang oleh seorang budak lelaki di China berusia enam tahun yang memiliki 15 jari tangan dan 16 jari kaki.
Kanak-kanak China itu yang namanya enggan didedahkan keluarganya turut menjalani pembedahan untuk membuang baki jarinya.
Dia kini mempunyai 10 jari tangan dan 10 jari kaki selepas menjalani pembedahan selama enam setengah jam di sebuah hospital di Shenyang, Liaoning pada Mac lalu.
Satu kajian terbaharu menunjukkan lebihan jari tangan dan kaki itu merupakan sindrom yang dikenali sebagai polydactyly yang jarang berlaku ke atas bayi. - Agensi
No comments:
Post a Comment