Sebar ideologi jihad di Internet
KUALA LUMPUR - Ancaman beberapa kumpulan militan di negara ini belum berakhir. Jika dahulu kumpulan-kumpulan tersebut merekrut anggota dengan menghantar orang baharu menghadiri usrah sulit kini cara merekrut dikesan lebih mudah iaitu melalui Internet.
Perkembangan teknologi maklumat itu secara tidak langsung memberi ruang dan peluang kepada rangkaian militan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qeeda meneruskan misi mereka menubuhkan negara Daulah Islam Nusantara. Satu sumber keselamatan berkata, dari tahun 2000 hingga kini, dikesan terdapat 6,000 buah blog di miliki beberapa kumpulan militan yang menyebarkan ideologi Salafiah Jihadiah. Salafiah Jihadiah merupakan satu ideologi yang memperjuangkan sebuah negara Islam melalui perjuangan bersenjata.
Individu yang mendokong ideologi itu menolak demokrasi, sistem pilihan raya termasuk perlembagaan Malaysia yang dianggap tidak Islamik atau murtad. "Blog-blog yang diwujudkan oleh kumpulan militan ini menyasarkan golongan muda dan pertengahan kerana kumpulan tersebut lebih cenderung melayari Internet dalam urusan kerja seharian mereka," kata sumber keselamatan itu kepada Kosmo! baru-baru ini.
Selain Jemaah Islamiah (JI), kumpulan militan lain menggunakan blog bagi menyebar dan merekrut anggotanya ialah Jemaah Ansarut Tauhid, Al-Qaeda dan Al-Shabab. Sumber keselamatan itu berkata, pada permulaan operasi, penulisan di dalam blog-blog terbabit hanya berkisar mengenai hal-hal berkaitan dengan penindasan umat Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan serta kaedah-kaedah mempertahankan Islam.
Broker peguam mati dibelasah
IPOH – Seorang bekas polis mati apabila dia dipukul sekumpulan enam lelaki bersenjatakan besi dan batu-bata dalam kejadian di sebuah restoran berhampiran Pasar Pengkalan di sini kelmarin. S. Sunther, 50, yang kini merupakan broker peguam di tiga buah mahkamah iaitu Mahkamah Sesyen, Majistret dan Tinggi Ipoh disahkan mati pada pukul 8.10 malam selepas 20 jam dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.Difahamkan, lelaki itu dibelasah ketika sedang membeli rokok pada pukul 12 tengah malam Ahad lalu. Anak sulung mangsa, S. Yoges, 21, berkata, dia bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan rakannya dan sebaik tiba, dia mendapati bapanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah. “Saya dimaklumkan oleh beberapa saksi, orang yang memukul bapa tinggal dekat dengan rumah di Taman Desa Pinji di sini namun saya tidak tahu motif kejadian.
“Kejadian itu ibarat luka lama berdarah kembali kerana ibu saya, K. Sumapahy sebelum ini mati dibunuh seorang lelaki tidak siuman ketika suspek memecah masuk rumah kami lebih 10 tahun lalu,” ceritanya kepada Kosmo! semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 18 dan 30 tahun yang disyaki terlibat dengan kejadian itu di sekitar Taman Lapangan di sini awal pagi semalam. Suspek direman tujuh hari bermula semalam dan polis sedang memburu baki tiga atau empat lagi lelaki yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Penyelia feri mati ditembak dalam rompakan
26/07/2011 11:31am
ALOR SETAR 26 Julai – Seorang penyelia syarikat perkhidmatan feri ke Langkawi mati ditembak, dipercayai satu kejadian rompakan, berhampiran rumahnya di Taman Desarina, Kuala Kedah dekat sini malam tadi.
Mangsa Zamzuri Ghazali, 36, ditembak kira-kira 300 meter dari rumahnya sewaktu menunggang motosikal ketika pulang dari Jeti Kuala Kedah untuk ke rumahnya.
Mangsa dipercayai membawa sebuah beg mengandungi wang hasil jualan tiket syarikat tempat dia bekerja.
Jiran mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Zam berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira 7.45 malam itu, dia bersama dua rakannya berada kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.
Katanya ketika itu mereka sedang bersiap-siap untuk pulang ke rumah setelah bermain sepak takraw dan azan Maghrib baru selesai berkumandang.
Zam berkata, tiba-tiba dia terdengar tiga das tembakan di hadapan mereka lalu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa terbaring tidak bermaya dan terdapat darah dan kesan tembakan di dada kanan mangsa.
"Sebelum itu saya melihat dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal mengambil beg yang dibawa mangsa lalu memecut laju ke arah Kuala Kedah,” katanya ketika ditemui lewat malam tadi.
Zam berkata, dia terus membuat panggilan kecemasan ke Balai Polis Kuala Kedah bagi memaklumkan kejadian itu dan kemudian membawa mangsa ke hospital dengan menggunakan kenderaan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
Zamzuri meninggalkan seorang balu berusia 32 tahun dan empat orang anak yang berusia antara tiga hingga sembilan tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - Bernama
Keterangan Suresh mengelirukan
SHAH ALAM – Bekas pekerja ladang, U. Suresh yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana terlibat dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain cuba berpaling tadah apabila memberi keterangan bercanggah dan menuduh polis memaksanya memberi keterangan palsu. Lebih mengelirukan apabila tertuduh selaku saksi pendakwaan ke-29 gagal mengecam bekas majikannya, N. Pathmanabhan yang duduk di kandang pesalah.Suresh yang memberi keterangan dalam bahasa Tamil dengan riak selamba menjawab tidak kenal dan tidak tahu mengenai bekas peguam berkenaan. Tindakan tidak dijangka saksi itu menyebabkan pihak pendakwaan hari ini mengemukakan permohonan bagi menyoal balas Suresh, 27, berhubung percanggahan keterangan di Mahkamah Tinggi di sini semalam. Suresh disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff dan Saiful Edris Zainuddin semasa pemeriksaan utama.
Ishak: Siapa tangkap awak?
Suresh: 40 orang polis, saya ditangkap di kawasan ladang tapi tak tahu nama ladang itu. Sekarang saya jalani hukuman penjara 20 tahun bersama K. Sarawanan.
Ishak: Awak ditangkap di ladang itu, tahu pemilik ladang?
Suresh: Tidak tahu
Ishak: Kenapa awak dipenjara di Penjara Sungai Udang, Melaka?
Suresh: Sebab polis paksa bagi keterangan palsu.
Suresh juga memberitahu, dia tidak mengenali pemandu van sekolah, V. Selvapandian, 46, yang sebelum ini mengesahkan kepada mahkamah bahawa dia menerima seutas jam tangan jenis Longines daripada seorang pekerja ladang Pathmanabhan bernama Suresh. Jelas saksi, dia masuk kerja di ladang itu dua bulan sebelum kejadian dan tinggal di situ kerana bekerja sebagai pemandu lori dan memberi haiwan makan. Dakwa Suresh lagi, majikannya bernama Ravi.
Berlakon pengsan elak diberkas
KUALA LUMPUR – Taktik seorang lelaki yang berlakon pengsan untuk mengelak daripada diberkas selepas meragut seorang wanita tidak berhasil apabila dia cedera akibat dibelasah orang ramai sebelum diserahkan kepada polis Jumaat lalu. Lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu diberkas pada pukul 4.30 petang selepas dia meragut dompet Siti Noraini Mat Noh, 24, berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Pudu di sini. Siti Noraini merupakan kerani di sebuah kedai menjual motosikal di Jalan Pasar di sini.
Mengimbau semula kejadian itu, Siti Noraini memberitahu, sebelum kejadian, dia sedang berjalan kaki bersama seorang rakan untuk ke tempat kerja selepas makan di sebuah restoran makanan segera berdekatan. “Saya terkejut apabila lelaki memakai baju belang itu datang dari belakang dan terus merampas dompet yang saya pegang. “Kejadian itu berlaku sepantas kilat dan saya tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menjerit,” ceritanya kepada Kosmo! di sini semalam. Tambahnya, dia dan rakannya kemudian mengejar peragut yang berjalan kaki itu tetapi tidak berhasil kerana suspek berlari pantas.
Wanita didakwa cuba dirogol bekas ketua IMF dedah diri
NEW YORK - Seorang pekerja Hotel Sofitel yang mendakwa bekas Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn melakukan serangan seksual ke atasnya akhirnya mendedahkan diri buat kali pertama.
Pekerja wanita tersebut, Nafissatou Diallo mendedahkan buat kali kejadian yang menimpa dirinya itu Diallo memberikan kenyataannya kepada majalah Newsweek dan stesen berita ABC News. Kedua-dua media itu menyiarkan temu ramah Diallo kelmarin.
Diallo berkata, Strauss-Kahn menyerangnya seperti seorang lelaki yang gila pada 14 Mei lalu di bilik suite berharga AS$3,000 (RM8,922) satu malam di Manhattan, New York. Wanita itu yang memperoleh upah AS$25 (RM75.35) sejam kerana membersihkan 14 bilik hotel sehari berkata, dia diberitahu oleh seorang pelayan perkhidmatan bilik bahawa suite tersebut kosong. Namun, Strauss-Kahn tiba-tiba muncul di dalam bilik dalam keadaan bogel dan membuatkannya terkejut, katanya. "Oh tuhan, saya minta maaf," kata Diallo kepada Strauss-Kahn.
Diallo berkata, dia memusingkan badan untuk keluar dari bilik hotel. Bagaimanapun, Strauss-Kahn bertindak menghalangnya, katanya lagi. Kemudian, Diallo berkata, Strauss-Kahn bertindak seperti seorang lelaki yang gila. "Anda seorang yang cantik," kata Strauss-Kahn kepada wanita tersebut. Menurut Diallo, dia kemudian ditarik oleh Strauss-Kahn ke bilik tidurnya. "Saya berkata, tuan, hentikan. Saya tidak mahu kehilangan pekerjaan saya," jelas Diallo.
"Saya tidak melihat ke arahnya. Saya berasa amat takut. Saya tidak menjangkakan sesiapa berada di dalam bilik. "Dia menarik saya ke atas katil," katanya kepada majalah itu. Diallo berkata, Strauss-Kahn kemudian bergelut dengannya. "Saya keluar di sana. Saya tidak kembali lagi. Saya berasa agak gementar," ceritanya lagi. Strauss-Kahn masih dibicarakan berhubung kes itu dan dia tidak mengaku salah melakukan serangan seksual. Dia meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan IMF sekoran kejadian berkenaan. - Agensi
No comments:
Post a Comment