Hasrat sunting Shakeera berkecai
KUALA LUMPUR – Di sebalik kesedihan yang melanda Abdul Salimi Abdul Halim, 31, akibat kehilangan rakan sekerja wanitanya, Shakeera Hani Aznan yang maut dalam kemalangan di Hulu Selangor kelmarin, tersimpan satu hasrat di hatinya yang mungkin akan dibawa hingga ke mati.
Menurut Abdul Salimi, dia memang berhasrat untuk menyunting Shakeera Hani, (gambar kecil) 26, untuk dijadikan teman hidupnya dan perkara itu telah dipersetujui mangsa. Shakeera Hani merupakan Eksekutif Pemasaran di Utusan Media Sales Sdn. Bhd.
Katanya, dalam sekelip mata, dia kehilangan orang yang dicintainya itu dan peristiwa tersebut bagaikan satu sejarah hitam yang tidak dapat dilupakan. Bagaimanapun, dia reda dengan ketentuan Ilahi.
“Semasa dalam perjalanan pulang ke ibu kota selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan Shakeera di Langkawi, kami telah berbincang mengenai perkara itu dalam kereta.
“Dalam malu, dia nampak gembira lebih-lebih lagi bila saya mahu tarikh pernikahan ditetapkan segera iaitu pada Jun tahun depan dengan majlis pertunangan hendak diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” ceritanya ketika dihubungi semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan, Abdul Salimi terselamat selepas kereta jenis Proton Inspira yang baru dibeli tiga minggu lalu terlibat dalam kemalangan apabila tayar depannya pancit sebelum melanggar penghadang jalan lalu berpusing beberapa kali.
Kemalangan pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 401.8, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Hulu Selangor itu menyebabkan Shakeera Hani yang turut berada di dalam kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak ke dalam gaung sedalam 10 meter.
Menurut Abdul Salimi, hasrat murni mereka juga telah dimaklumkan kepada keluarga kedua-dua belah pihak.
“Arwah baru saja kerja di situ kira-kira empat bulan manakala saya pula enam tahun. Kami berkenalan sejak dua bulan lalu dan mula rapat sebulan kemudian.
“Saya meminatinya kerana dia gadis yang mempunyai ciri-ciri wanita idaman saya iaitu pandai mengambil hati dan sempurna,” katanya lagi.
Ujar Salimi, dia kini perlu menguatkan semangat untuk menghilangkan kesedihan yang menimpanya selepas tragedi mengejut tersebut.
Jenazah Shakeera Hani selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zuhur kelmarin.
Isteri Sheikh Muszaphar lahir bayi menerusi kaedah bersalin dalam air
KUALA LUMPUR - Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor kini bergelar bapa apabila isterinya selamat melahirkan bayi sulung mereka menerusi kaedah bersalin di dalam air. Dr. Halina Mohd. Yunos yang berkahwin dengan Sheikh Muszaphar pada 10 Oktober 2010 selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 21 Julai lalu.
Bayi seberat 3.6 kilogram itu dinamakan Sophea Isabella. Halina mengambil masa 18 jam untuk melahirkan bayi itu di Hospital Pantai Bangsar di sini. Halina kini adalah doktor bius di Hospital Selayang di sini. Ketika dihubungi Kosmo!, Sheikh Muszaphar berkata, dia sangat teruja dengan kehadiran bayi tersebut yang dianggap sebagai anugerah Ilahi paling istimewa. "Isteri saya dimasukkan ke hospital pada pukul 2 pagi Jumaat dan berjaya melahirkan anak pada pukul 9.08 malam.
"Dia memilih kaedah bersalin di dalam air kerana kurang sakit selain lebih semula jadi,'' katanya. Sheikh Muszaphar merupakan rakyat Malaysia pertama berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007 dan berada di stesen itu selama 10 hari bagi menjalankan pelbagai penyelidikan. Dia kemudian menjadikan tarikh keramat berlepas ke angkasa pada 10 Oktober itu untuk melangsungkan perkahwinan dengan Halina pada tahun lalu.
Sheikh Muszaphar yang kini bertugas sebagai Felo Penyelidik Utama Institut Sains Angkasa berkata, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai bapa. "Kami banyak membaca tentang cara mendidik anak-anak malah mendapat nasihat daripada kedua-dua orang tua kami supaya anak kami kelak berjaya kepada agama, negara dan bangsanya," ujar beliau.
Guru maut, adik angkat parah
KOTA TINGGI – Seorang guru sekolah menengah maut manakala adik angkatnya cedera parah apabila kereta yang dinaiki terbabas sebelum melanggar kenderaan dari arah bertentangan di KM 33.7 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Ladang Tai Tak di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa, Nur Zakiah Umar, 29, maut di tempat kejadian setelah tercampak keluar dari kenderaan terbabit sebelum terperosok di bawah kenderaan yang dilanggarnya.
Manakala adik angkatnya yang juga seorang guru, Azuanurhuda Abdul Rahman, 24, mengalami kecederaan parah dan dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Difahamkan, sebelum kejadian Nur Zakiah yang memandu Toyata Rush dari Melaka tiba ke Johor Bahru untuk menjemput adik angkatnya membeli-belah.
Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh sebuah kenderaan Toyota Hilux.
Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan Nur Zakiah terperosok di bawah kenderaan manakala Azuanurhuda jatuh di bahu jalan.
Pemandu Toyota Hilux itu yang memandu sendirian hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Keluarga risau Nazaruddin sakit
KUALA LUMPUR - Kumpulan Abu Sayaf terus meningkatkan tekanan ke atas keluarga seorang rakyat Malaysia yang mereka culik pada 8 Mei lalu dengan mendesak supaya wang tebusan RM50,000 dibayar segera.Lebih mengejutkan, wang tersebut bukan untuk pembebasan sebaliknya bagi membeli ubat untuk Nazaruddin Saidin (gambar), 38, yang didakwa kini sakit selain sebagai jaminan bagi memastikan nyawa rakyat Malaysia itu selamat.
Adik mangsa, Mohd. Lukman, 27, berkata, dia menerima panggilan telefon yang sangat menakutkan daripada salah seorang anggota kumpulan penculik pada Jumaat lalu.
Katanya, ini kerana lelaki tersebut mendesak supaya wang tebusan tersebut dilunaskan dalam masa tiga hari demi keselamatan abangnya.
"Dia bukan sahaja menelefon malah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya dua hari berturut-turut, mahu wang RM50,000 dibayar segera jika mahu abang saya selamat," ceritanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Nazaruddin yang merupakan bapa kepada enam orang anak diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata ketika menguruskan perniagaan berkaitan cicak tokek di selatan Filipina pada 8 Mei lalu.
Kumpulan penculik terbabit meminta keluarga Nazaruddin membayar sebanyak RM5.6 juta bagi tujuan membebaskannya.
Mohd. Lukman menjelaskan, mereka tidak mampu untuk membayar wang tersebut dan hanya mampu merayu kepada mana-mana pihak yang sudi untuk membantu keluarganya.
Katanya, keluarganya sudah buntu kerana tidak tahu bagaimana hendak mencari wang sebanyak itu.
"Saya berharap kerajaan Malaysia dan Filipina dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu membebaskan abang saya. Kami sekeluarga kini cukup tertekan,'' ujarnya lagi.
Mangsa asid lawat ayah di penjara
MARANG - Biarpun hanya menyentuh tangan ahli keluarganya beralaskan cermin kaca, namun itu sudah cukup untuk menguatkan semangat Mat Haizan Mat Yassin, 34, dalam mengharungi hukuman di Penjara Marang kerana menyimbah asid pada anak dan isterinya sendiri tahun lalu.
"Terima kasih sebab masih ingat saya lagi. Terima kasih sekali lagi sebab bawa anak-anak jumpa saya," kata Mat Haizan sambil menitiskan air mata ketika menerima kunjungan isteri dan anak-anaknya di penjara semalam.
Mat Haizan kini menjalani hukuman penjara 10 tahun selepas mahkamah mendapati bersalah mencederakan isteri, anak-anaknya di rumah ibu mertuanya di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu 15 Ogos tahun lalu dengan menyimbah asid.
Pada kejadian itu, anak keduanya daripada empat beradik, Nurul Dahyatul Fazlinda, 9, atau Lin cedera hampir keseluruhan wajahnya dan beberapa anggota badan manakala isterinya, Che Ku Huzaimah Che Ku Wang, 29, anak keduanya, Muhammad Irfan Firdaus, 3, ibu mertuanya Minah Omar, 57, cuma cedera ringan.
"Saya benar-benar menyesal dengan apa yang telah berlaku dan saya amat terharu apabila isteri yang telah diceraikan sudi memaafkan dan membawa anak-anak melawat saya di penjara hari ini (semalam)," katanya.
Sementara itu, Che Ku Huzaimah berkata, kunjungan itu sebagai memenuhi permintaan Mat Haizan dan anak-anaknya sempena menyambut ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi.
"Tahun lepas kami berpuasa di hospital sebab kejadian berlaku pada minggu pertama puasa dan masa tu Lin kena tahan di wad lebih dua bulan sehingga hari raya.
"Selepas hampir setahun kejadian berlaku, saya reda dan rasa marahnya pada Mat Haizan sudah hilang sepenuhnya dan berharap puasa kali ini dapat disambut dalam suasana yang lebih tenang," katanya lagi.
Menurut Che Ku Huzaimah, apa yang berlaku dianggap sebagai takdir.
Amah warga Filipina ditemui mati dicekik
PETALING JAYA - Seorang amah warga Filipina ditemui mati dengan kesan leher dicekik dalam sebuah bilik tidur di rumah banglo di Jalan 5/50, Jalan Gasing di sini kelmarin.
Mayat mangsa yang berusia 36 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring oleh majikannya pada pukul 11.45 malam.
Semasa kejadian, majikan kepada pembantu rumah itu yang merupakan seorang ahli perniagaan yang berusia 30-an, isteri dan dua orang anaknya tiada di rumah sejak pukul 7 malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian tersebut bergegas ke tempat kejadian.
"Pemeriksaan awal polis menemui kesan lebam akibat dicekik di leher mangsa selain ada kesan luka di kepalanya," kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Menurut beliau, polis percaya mangsa baru mati sebelum mayatnya ditemui oleh majikannya.
Arjunaidi berkata, polis percaya mangsa dibunuh oleh orang dikenali kerana tiada kesan pecah masuk di rumah banglo tersebut.
"Kematian mangsa juga tiada kaitan dengan kejadian samun kerana pemeriksaan mendapati tiada barang berharga hilang," kata beliau lagi.
Mangsa yang telah sembilan tahun bekerja di rumah tersebut ketika ditemui lengkap berpakaian.
Polis menyiasat motif kejadian tersebut dan mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Terseksa lihat anak meronta
KUALA LUMPUR – “Saya terseksa tengok anak-anak meronta kesakitan apabila jururawat mencuci luka mereka.” Begitulah rintihan seorang ibu, Ruhasimah Julaili, 33, yang tidak sanggup melihat derita kedua-dua anaknya, Shafiq Aiman Mat Safar Zaidi, 10, dan Syafiq Haikal, 13, ketika jururawat membuang kulit mati serta mencuci luka akibat kecederaan akibat disimbah asid Selasa lalu. Cerita beliau, adakalanya dia terpaksa mengalihkan pandangan kerana tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang mengerang kesakitan setiap kali proses membersih luka tersebut.
“Shafiq Aiman, meronta-ronta sehingga kakinya terangkat menahan kesakitan dan melarang tindakan jururawat membersihkan kulitnya. “Kesakitan yang dialami mereka sukar saya gambarkan, sehinggakan Syafiq Haikal demam selepas selesai mencuci luka pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Ruhasimah memberitahu, doktor pakar bedah plastik akan membuat pemeriksaan terhadap status kecederaan kulit yang dialami oleh kedua-dua anaknya pada Selasa ini sebelum menentukan sama ada mereka perlu menjalani pembedahan plastik atau tidak.
Menurutnya, kedua-dua anaknya itu dijangka berada di HKL sekurang-kurangnya dua minggu lagi. “Para doktor sedang mengenal pasti jenis cecair digunakan suspek yang menyebabkan kawasan kulit yang terkena simbahan itu bertukar serta-merta menjadi hitam. “Khabarnya pihak polis Maran telah membawa suspek ke rumah di Jengka 9 mengambil bekas cecair yang digunakannya ketika menyimbah anak saya itu,” katanya.
Ruhasimah kemudiannya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya kepada suspek yang menyimbah asid ke muka dan tubuh kedua-dua anaknya sehingga mereka kini merana.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabudin ketika ditemui berkata, suspek dalam lingkungan usia 30-an kini ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Jenayah (KK) yang membawa kecederaan parah. Katanya, pihak polis kini sedang menunggu laporan hospital mengenai status kesihatan mental suspek. Dalam kejadian pada 19 Julai lalu, kedua-dua mangsa telah disimbah asid oleh seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman ketika dalam perjalanan ke rumah kawan mereka di Felda Ketumbar Jengka 9, Maran, Pahang.
Cucu berpakat ragut nenek dijel
KOTA BHARU – Seorang cucu bukan saja tergamak berpakat dengan rakan untuk merompak neneknya dalam kejadian di sebuah rumah di Ketereh di sini bulan lalu malah sanggup membiarkan warga emas itu ditolak oleh rakannya ketika meragut rantai emas dipakai mangsa. Tindakan jahat cucu warga emas, Shamsul Kahar Mohamad, 30, rakan sebayanya, Mohd. Ikhwan Abdullah, menerima balasan apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 tahun selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan merompak Rokiah Boto, 78, di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Irwan Suainbon turut mengenakan lima kali sebat terhadap setiap tertuduh. Shamsul dan Mohd. Ikhwan didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas Rokiah dengan melarikan seutas rantai tangan emas dan seutas rantai leher emas yang bernilai RM6,000 dipakai mangsa di dalam rumah wanita itu di Taman Binjai Manis, Ketereh pada pukul 1 petang pada 28 Jun lalu. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Hakim Irwan menyifatkan kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh serius dan mengarahkan mereka menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum iaitu semalam. Menurut fakta kes, Shamsul dan rakannya, Mohd. Ikhwan pergi ke rumah Rokiah pada hari kejadian dan berpura-pura meminta air daripada wanita itu. Rokiah kemudian masuk ke dapur sebelum Mohd. Ikhwan mengekori mangsa dengan bertanyakan di mana tandas.
Mohd. Ikhwan kemudian menolak dan memeluk mangsa sebelum suspek menarik rantai leher emas yang dipakai mangsa. Rokiah menjerit meminta tolong namun cucunya, Shamsul bersama rakannya kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal. Kejadian ditolak dan diragut itu menyebabkan mangsa menderita sakit di seluruh badan. Shamsul kemudian ditangkap polis pada 4 Julai lalu diikuti Mohd. Ikhwan empat hari kemudian.
Hasil siasatan polis mendapati barang kemas yang dirompak telah dijual oleh kedua-dua tertuduh yang merupakan penganggur itu sebelum hasilnya dikongsi bersama.
Semasa rayuannya, Shamsul dari Padang Enggang, Jalan Pasir Hor, berkata, dia melakukan perbuatan itu kerana berada dalam pengaruh dadah selepas mengambil pil kuda dan sudah seminggu tidak tidur. Mohd. Ikhwan dari Kampung Kubur Kuda, Kota Bharu yang mempunyai empat rekod jenayah pula dalam rayuannya berkata, dia meminta hukuman diringankan kerana sudah insaf. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari memohon kedua-dua tertuduh diberikan hukuman yang setimpal atas kesalahan yang dilakukan.
“Apabila mangsa menjerit meminta tolong, cucu sepatutnya membantu tetapi dalam kes ini cucu bukan sahaja membiar neneknya disakiti bahkan telah melarikan diri dengan motosikal. “Jenayah dalam kes ini amat berat iaitu di dalam rumah sendiri, melibatkan warga tua dan ahli keluarga sendiri,” kata beliau. Menurut Asmah lagi, alasan tertuduh pertama iaitu cucu mangsa bahawa ia melakukan perbuatan itu atas pengaruh dadah bukan satu pembelaan yang boleh diterima mahkamah. “Dadah itu diambil sendiri oleh tertuduh dan bukan dengan paksaan,” kata Asmah.
Banduan menyamar polis dicekup
KOTA BHARU - Tembelang seorang bekas banduan yang menyamar sebagai polis berpangkat Inspektor dan Asisten Supritendan (ASP) untuk memperdaya orang ramai sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila dia ditahan di Jalan Long Yunus dekat sini Khamis lalu.
Lelaki berusia 34 tahun dari Miri, Sarawak itu ditahan ketika sedang memandu sebuah kereta Toyota Alphard yang disewa. Turut menemui ‘vest’ bertulis polis dan wang RM2,619.
Modus operandi suspek ialah akan mengaku sebagai pegawai kanan polis sebelum memperdaya mangsa kononnya dia mampu membebaskan rakan atau ahli keluarga mereka yang ditahan selain memiliki album gambar di mana dia memakai seragam polis dalam pelbagai aksi.
Difahamkan, dalam tempoh tersebut, suspek berjaya mengaut RM145,000 selepas memperdaya lima mangsa di Lembah Klang dan di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, polis kemudian telah menyerbu rumah suspek di Tanjong Chat dekat sini dan merampas gari, seragam polis, sarung tangan dan sarung pistol.
Katanya, selain itu, pihaknya turut menemui satu album gambar suspek lengkap berpakaian seragam, lencana polis, pangkat Inspektor dan ASP.
“Semakan mendapati suspek pernah terlibat memperdaya mangsa masing-masing seorang dari Dang Wangi, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Selangor, dan tiga di sini sebaik sahaja dibebaskan dari penjara tiga bulan lalu.
“Salah satu penipuan yang dilakukannya ialah menyamar polis dan berjanji dengan mangsa untuk membebaskan seorang suspek yang ditahan dengan kes dadah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, suspek meneruskan kegiatannya dengan menyamar sebagai polis Bukit Aman dan meminta wang RM20,000 kononnya untuk membantu menyelesaikan urusan melelong barangan elektrik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.
Menurut Azham, pada Mei lalu, suspek bersama rakan wanitanya telah memperdaya seorang peniaga emas di Kubang Kerian dengan memberikan cek palsu selepas mendapat barang kemas bernilai RM125,000.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170/420 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam dan menipu. Sabit kesalahan dia boleh dipenjara 10 tahun, sebat dan denda.
Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barang-barang yang dibekalkan kepada pegawai polis. Dia boleh dipenjara enam bulan atau denda RM500.
No comments:
Post a Comment