Wednesday, December 7, 2011

BILA ADA AHLI MASYARAKAT YANG TIDAK MEMPENDULIKAN KESUSAHAN@KETAKUTAN ORANG LAIN....

Sesal dengan dosa silam

Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali
am@hmetro.com.my

KEJAM...penemuan tong berisi mayat Koh dua tahun lalu di Kampung Parit Punggur Darat.
KEJAM...penemuan tong berisi mayat Koh dua tahun lalu di Kampung Parit Punggur Darat.
MUAR: Sesal dengan dosa silam dilakukan lebih dua tahun lalu, seorang lelaki mengaku terbabit dalam kes pembunuhan rakan sekampungnya walaupun keluarga mangsa sudah membayar wang tebusan RM100,000 ketika dia disoal siasat berhubung kes jenayah lain, 25 November lalu.
Pengakuan penganggur itu terbabit dalam kes culik dan bunuh Koh Wei Seang, 21, yang disumbat ke dalam tong dan disimen serta dicampak ke dalam parit di Kampung Parit Punggur Darat, Jalan Sri Tanjung di sini, membawa kepada tangkapan tiga lagi rakannya.

Difahamkan empat sekawan berusia antara 24 hingga 28 tahun iaitu jurutera, nelayan, pekebun serta penganggur itu menculik rakan sekampung mereka dekat Parit Jawa dan meminta wang tebusan RM1 juta daripada keluarga mangsa. Oleh kerana keluarga mangsa hanya membayar RM100,000, mereka membunuh Koh yang mayatnya ditemui sekumpulan lima remaja jam 4.15 petang, 21 Mac 2009.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, hasil tangkapan semua empat suspek berkenaan, pihaknya percaya kes itu berjaya diselesaikan dan semua suspek dijangka didakwa di mahkamah tidak lama lagi.

“Seorang suspek yang ditahan bekerja sebagai jurutera di ibu negara manakala dua lagi suspek bekerja di daerah ini sebagai nelayan dan bekerja sendiri.

“Siasatan mendapati, semua suspek adalah kenalan mangsa. Mereka ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Menurutnya, motif pembunuhan masih belum dikenal pasti dan pihaknya akan menjalankan secara terperinci sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwaraya.

Katanya, empat suspek berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum gantung sampai mati.
Dua tahun lalu, media melaporkan sekumpulan pelajar yang dalam perjalanan untuk memancing terkejut menemui tong bersimen mengandungi mayat lelaki dalam parit di kawasan terpencil di Parit Punggor Darat, 2.5 kilometer dari jalan utama, jam 4.15 petang, 21 Mac 2009.

Bapa mangsa menerima panggilan telefon daripada penculik meminta wang tebusan RM1 juta namun hanya mampu membayar RM100,000. Keluarga mangsa melaporkan kehilangan mangsa kepada polis pada 17 Mac 2009, sebelum mayat Koh ditemui tiga hari kemudian.



Penduduk tak berani bersuara



KUALA LUMPUR: “Kami di sini sudah tak tahu nak buat apa mengenai masalah lepak di sini. Jika bersuara, nanti harta benda kami yang jadi taruhan,” kata warga emas, Norliana Abdullah, penduduk Kondo Rakyat di Pantai Dalam, di sini.
Norliana, 55, berkata kebimbangan itu disebabkan budaya melepak yang seakan-akan sudah sebati dengan golongan muda di situ apabila boleh dikatakan setiap hari mereka akan duduk di bawah lima blok di situ tanpa tujuan termasuk melakukan perbuatan tidak bermoral.

“Kalau mereka melepak saja tak apa, tetapi jika sudah sampai tahap mencuri dan merosakkan harta benda awam, itu sudah melampau.
“Mereka juga dengan sesuka hati kencing dan berak dalam lif tanpa memikirkan penduduk lain di sini,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Dia berkata, kebanyakan orang muda itu sudah terjebak teruk dengan dadah dan gam sehingga menyebabkan mereka berfikir tanpa waras.

Katanya, baru-baru ini, kereta suaminya dihentak menggunakan batu besar disebabkan mereka menegur perbuatan anak muda di situ.

Norliana berkata, kebanyakan penduduk tidak berani bersuara kerana khuatir barangan mereka akan dirosakkan mahu pun dicuri.

Pekerja am yang bekerja sebagai tukang cuci di situ, dikenali sebagai Nora, 65, berkata hampir setiap hari dia akan membersihkan bekas plastik gam yang digunakan ‘kaki lepak’ di situ.
“Mereka suka melepak di semua blok termasuk di tangga dan di pondok berhampiran di sini,” katanya.

Katanya, ada juga botol minuman keras berselerakan di sekitar kawasan kediaman terbabit selain plastik dan bekas gam dibersihkannya setiap hari.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada badan pengurusan tetapi rasanya mereka juga tidak berani bertindak sebarangan kerana memikirkan kesannya nanti,” katanya.

Polis ambil keterangan Ciko

TAWAU: Polis sudah mengambil keterangan remaja lelaki berusia 16 tahun yang menjadi mangsa belasahan lebih 10 lelaki sebelum lehernya dipanah dalam pergaduhan di Persisiran Traulsen, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin ketika dihubungi mengesahkan sudah melakukan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Berdasarkan keterangan mangsa, polis memburu semua suspek yang terbabit kejadian itu dan masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Terdahulu, mangsa yang dikenali Ciko dikejarkan ke hospital dengan sebatang anak panah masih terpacak di tengkuknya selepas diserang lebih 10 lelaki, dipercayai tersalah sasaran.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, mangsa bersama abangnya berusia 17 tahun bersiar-siar di kawasan itu dengan menaiki basikal apabila tiba-tiba ditahan dua lelaki sebelum dibelasah beramai-ramai.



Bunyi ketukan terjawab

Oleh DJ Dolasoh
am@hmetro.com.my

LENGGONG: Bunyi ketukan misteri saban malam dari sebuah hutan tebal hingga menimbulkan ketakutan penduduk, akhirnya membongkar sindiket kegiatan mencuri kenderaan mewah didalangi dua beradik lelaki.
Penjenayah dikatakan membeli kenderaan pacuan empat roda dicuri dari sekitar Lembah Klang dan Cameron Highland dengan harga semurah RM4,000 sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, penduduk kawasan berhampiran jalan raya Lenggong-Selama, di sini, mula sangsi apabila bunyi bising itu hanya bermula pada waktu lewat malam dan berlarutan sehingga awal pagi.
Tanda tanya penduduk akhirnya terjawab selepas polis menemui sebuah bengkel membaiki dan mengubah suai kenderaan curi yang dikendalikan penjenayah di dalam hutan berkenaan.

Kegiatan mereka itu dihidu selepas sepasukan polis membuat serbuan di bengkel berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin, sebaik menerima aduan daripada penduduk di kawasan perumahan berdekatan yang mendakwa tidak tahan dengan bunyi bising dari kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Bahrum, berkata hasil serbuan itu, tiga lelaki ditahan masing-masing berusia 24, 26 dan 34 tahun kerana memiliki kenderaan curi, selain merampas tiga kenderaan pacuan empat roda dalam beberapa siri tangkapan berasingan.

“Ketika serbuan dilakukan, anggota kami menemui satu kenderaan Ford Ranger berwarna merah hati di bengkel berkenaan yang turut dihuni dua beradik lelaki berusia 24 dan 26 tahun. Sebaik menyedari kehadiran kami, dua beradik itu terus melarikan diri dan bersembunyi di dalam hutan berkenaan.

“Kami cuba mengejar mereka dan menahan abang suspek berusia 26 tahun, manakala adiknya gagal dikesan. Susulan tangkapan itu, kami terus melakukan dua lagi serbuan di sebuah rumah di Kampung Sumpitan dan di Lenggong serta menahan dua lagi suspek berusia 34 dan 24 tahun,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Abdul Manab berkata, dalam tangkapan itu, tiga pacuan empat roda iaitu dua Toyota Hilux dan Ford Ranger milik ketiga-tiga suspek dirampas dan siasatan lanjut mendapati kesemua kenderaan itu adalah kenderaan curi.

“Ketiga-tiga suspek juga mengaku membeli pacuan empat roda itu daripada satu sindiket sejak lima tahun lalu, dengan harga serendah RM4,000 walaupun kenderaan itu baru berusia tidak lebih dari tiga tahun.

“Mereka mendakwa tidak mengetahui kenderaan itu dicuri dan mengaku ia dibeli untuk kegunaan kerja mengangkut kayu gergaji dari kawasan pembalakan di hutan simpan berdekatan,” katanya.


Sempat merangkak keluar



IPOH: Pemandu dan penumpang sebuah pacuan empat roda sempat merangkak keluar sebelum kenderaan dinaiki mereka terbakar dan hangus dijilat api beberapa saat kemudian.
Dalam kejadian jam 6.45 petang semalam, dua mangsa terselamat selepas Perodua Kembara dinaiki terbalik sebelum terbakar berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Kilometer 247, Lebuhraya Utara Selatan, di sini.

Kejadian berlaku selepas kenderaan dinaiki Ketua Keselamatan Pas Lenggong, Ahmad Ramdzi Othman Jalaluddin, 42, dan Ketua Penerangan Pas Lenggong, Mohd Saidi Sabri, 39, dari arah Ipoh dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik beberapa kali dan terbakar.
Saksi yang hanya mahu dikenali Michael, 36, berkata, dia dalam perjalanan ke Simpang Pulai dari Kuala Kangsar ketika kejadian berlaku.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya seperti tidak percaya melihat kereta itu terbalik beberapa kali di tengah laluan lebuh raya.

“Saya fikir pemandu kenderaan itu pasti parah atau lebih buruk, tetapi terkejut melihat dua lelaki merangkak keluar dan hanya cedera ringan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Ramzi yang dihubungi berkata, kejadian berlaku ketika dia dan Mohd Saidi selesai menghadiri satu mesyuarat di pejabat Perhubungan Pas Perak di Ipoh.

Menurutnya, enjin kenderaan dipandu Ahmad Ramdzi tiba-tiba terhenti dan tidak berfungsi menyebabkan dia melanggar penghadang jalan.
“Kejadian berlaku dengan pantas, tetapi kami bernasib baik kerana sempat keluar sebelum ia meletup terbakar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang berkata, sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran dan berjaya mengawal kesesakan lalu lintas kira-kira dua jam kemudian.

“Kedua-dua mangsa hanya cedera ringan dan sudah dibenarkan pulang,” katanya.


Pengawal keselamatan didakwa cederakan lelaki guna topi keledar

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mencederakan seorang lelaki dengan menggunakan topi keledar Rabu lalu.
Wan Abd Razak Abu Salam, 30, didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera kepada Mohd Farid Muzamer, 26, di No. 18, 7 Eleven Jalan Megan Setapak, Taman Sri Rampai, Wangsa Maju, Sentul di sini pada 8.30 pagi, 30 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Azura Murah kemudiannya menetapkan 16 Januari depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap Wan Abd Razak, sementara menunggu laporan perubatan.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman. - Bernama

No comments:

Post a Comment