Terkulai selepas mengamuk
|
KUALA LUMPUR - Suasana tenang di Wad 18 Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin bertukar cemas apabila seorang lelaki Nigeria berbadan sasa yang ditahan selepas dipercayai menelan 46 ketulan syabu mengamuk dan menyerang anggota polis sebelum suspek mati ditembak di situ.
Kejadian yang tidak diduga itu berlaku pukul 9.45 malam apabila suspek berusia 31 tahun tersebut dapat memutuskan gari yang dikenakan pada tangan dan besi katil sebelum mengamuk dengan memecahkan cermin tingkap dan lampu syiling.
Difahamkan, ketika kejadian terdapat kira-kira lapan pesakit pada bahagian tempat suspek diletakkan dan lebih 20 lagi berada di dalam wad tersebut. Suspek ditahan di katil nombor 10, Wad 18, Tingkat 4 hospital itu.
Seorang penjaga pesakit yang enggan dikenali memberitahu, kejadian berlaku begitu pantas hingga dia sendiri tidak sempat untuk menyembunyikan diri dan hanya melindungi suaminya yang terlantar dari melihat insiden tersebut.
Katanya, dia dapat melihat bagaimana suspek merentap gari yang dipasang beberapa kali hingga besi itu terputus dan tercampak sebelum memecahkan lampu syiling.
Ribut, hujan lebat landa KL
KUALA LUMPUR - Beberapa pengguna jalan raya cemas apabila sebuah papan iklan gergasi di persimpangan berhampiran Kompleks Desa Kepong di sini tumbang menyembah bumi ketika hujan lebat dan ribut kencang yang melanda ibu negara hampir sejam petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, tiang papan iklan itu patah lalu tumbang ke arah jalan raya semasa warga kota mula berpusu-pusu untuk pulang ke rumah.
Bagaimanapun, semua pengguna jalan raya di laluan itu menarik nafas lega apabila papan iklan itu tumbang ke bahagian bahu jalan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian tersebut.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, sehingga pukul 8 malam pihaknya menerima lebih daripada 10 laporan berhubung kejadian pokok tumbang termasuk tiga buah kenderaan yang dihempap pokok di Kepong.
"Pokok tersebut dikatakan tumbang selepas hujan lebat yang disusuli angin kencang selama hampir sejam sejak pukul 6 petang hari ini (semalam).
"Selain Kepong, kita turut menerima laporan di Wangsa Maju, Jelatek, Kampung Baru, Mont Kiara serta Taman Koperasi Polis di sini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Katanya, hujan lebat itu juga telah menyebabkan beberapa jalan di Kepong dinaiki air, namun masih boleh dilalui kenderaan.
Panjat macam orang muda
KUALA TERENGGANU – Misteri menyelubungi sebuah keluarga apabila bapa mereka yang nyanyuk dan dikatakan hilang sejak Rabu lalu ditemui terbaring di kawasan cerun dengan berselimutkan ranting di puncak Bukit Jong dekat sini semalam.
Senik Mamat, 87, ditemui pada pukul 10 pagi oleh seorang pencari madu, Mohd. Azam Ismail, 31, kira-kira 13 kilometer dari rumah mangsa di Kampung Lerek, Tepoh di sini.
Beberapa hari sebelum dijumpai, keluarga, penduduk dan pihak berkuasa telah mencarinya di situ namun tidak menemuinya.
Anak mangsa, Abdullah, 49, memberitahu, bapanya disedari hilang ketika dia hendak menghantar nasi kepada lelaki itu pada pukul 4 petang Rabu lalu. Abdullah tinggal di Kampung Jeram Banggol Peradong di sini iaitu kira-kira lima kilometer dari rumah bapanya.
Katanya, dia pulang semula ke rumah sebelum kembali sejam kemudian dan mendapati bapanya masih belum pulang. Dia bersama ahli keluarga lain kemudian mencari di kawasan sekitar tetapi gagal menemuinya.
“Esoknya, kami mencari lagi di beberapa buah kampung lain sebelum membuat laporan polis pada Jumaat lalu. Kami juga mencarinya di sekitar kawasan Bukit Jong tetapi tidak habis sebab keadaan bukit yang curam dan cuaca tidak mengizinkan.
Mayat bongkok bawah katil
HULU LANGAT - Mayat seorang warga emas ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila berada dalam keadaan membongkok di bawah katil dipercayai cuba menyelamatkan diri sebaik rumahnya di Kilometer 25.7, Dusun Tua, Hulu Langat di sini terbakar kelmarin.
Mayat Mohd. Ali Hassan, 67, ditemui dalam keadaan sedemikian di bawah katil yang terletak di ruang tamu rumahnya sebaik kebakaran pukul 10.30 malam itu dapat dipadamkan sepasukan anggota bomba.
Jurucakap polis memberitahu, mangsa bersendirian ketika kebakaran berlaku dan jiran tidak sempat menghulurkan bantuan kerana api marak dengan cepat.
"Terdapat saksi yang ditemui memberitahu, dia terdengar seperti bunyi litar pintas di rumah mangsa tetapi sebaik pergi, dia melihat api telah marak dan gagal menyelamatkan mangsa," katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, mangsa sepatutnya tinggal bersama anaknya di Puchong sejak mengalami masalah kesihatan tetapi pada hari kejadian dia beriya-iya hendak pulang dan tinggal di rumahnya di Hulu Langat.
Menurut jurucakap itu, anak mangsa menghalangnya untuk pulang tetapi tanpa diduga mangsa telah mengambil teksi untuk pergi dan bermalam bersendirian di situ.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, jenazah Mohd. Ali dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Dua Bangladesh belasah perompak
|
|
ALOR SETAR – Hajat seorang anggota tentera untuk merompak kedai serbaneka 1 Station di Jalan Sultanah di sini buat kali keempat bukan sahaja tidak tercapai malah dia cedera dibelasah oleh pekerja premis yang geram dengan tindakannya itu.
Suspek berusia 29 tahun yang lari dari tugas sejak dua tahun lalu itu cedera di kepala dan badan selepas dipukul dengan kayu oleh dua pekerja Bangladesh, Shairajul Islam, 33, dan Md. Mizan Nur Rahmat, 37.
Difahamkan, suspek datang ke kedai itu dengan menunggang motosikal curi yang diletakkan depan premis tersebut.
Menceritakan semula kejadian pada pukul 4.40 petang kelmarin itu, Shairajul yang ketika itu berada di kaunter pembayaran memberitahu, suspek terus mengacukan sejenis objek menyerupai pistol di bahunya sebelum mengarahkannya supaya menyerahkan wang.
Katanya, dia bagaimanapun enggan mengikut arahan itu kerana dapat mengecam suspek yang pernah merompak kedai itu sebanyak tiga kali sebelum ini.
“Dia kemudian menghentak kepala saya dengan pistol mainan itu. Saya yang geram dengan tindakannya kemudian mengambil sebilah pisau di bawah kaunter lalu mengacukannya kepadanya.
“Kami kemudian bergelut dan pisau itu terpelanting ke luar kaunter sebelum dia mencakar muka dan menggigit kedua-dua belah telinga saya menyebabkan saya menjerit,” ceritanya yang berani melawan kerana tahu suspek menggunakan pistol palsu.
Tambahnya, ketika itulah Md. Mizan datang membantu dan terus memukul kepala dan beberapa bahagian badan lelaki itu dengan kayu.
Menurut Shairajul, melihatkan suspek yang berlumuran darah, dia mengambil kesempatan itu untuk mengikat kaki dan tangannya sebelum menghubungi polis.
“Sebelum ini, saya cam dia yang merompak kedai ini sebanyak tiga kali bulan lalu dengan melarikan wang, rokok dan barangan lain bernilai ribuan ringgit,” ceritanya yang telah bekerja di situ sejak empat tahun lalu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu berkata, suspek direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. Katanya, motosikal ditunggang suspek dicuri di Ampang, Selangor pada 2008.
Parti-parti Islam Mesir dapat 65 peratus undi
|
KAHERAH - Parti-parti Islam memenangi 65 peratus undi dalam pusingan pertama pilihan raya Parlimen Mesir, menurut perangkaan rasmi yang diperoleh agensi berita AFP semalam.
Parti Ikhwanul Muslimin memenangi 36.62 peratus undi diikuti Salafist Al-Nur dengan 24.36 peratus undi dan Al-Wasat sebanyak 4.27 peratus undi.
Perangkaan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pilihan Raya Mesir, Yusri Abdel Karim.
Menurut satu senarai rasmi, Parti Kebebasan dan Keadilan yang mewakili pergerakan Ikhwanul Muslimin memenangi 3.56 juta undi daripada 9.73 juta undi sah.
Parti Salafist Al-Nur memenangi 2.37 juta dan Parti Wasat memperoleh 415,590 undi.
Perikatan liberal, Blok Mesir menerima 13.35 peratus dengan 1.29 juta undi.
"Kami mengalu-alukan pilihan penduduk Mesir," kata jurucakap Parti Kebebasan dan Keadilan, Ahmed Sobea.
"Mesir kini memerlukan semua parti untuk bekerjasama bersama untuk keluar daripada krisis," tambahnya.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin dikenali sejak berdekad-dekad lalu melakukan kerja-kerja kebajikan dan menentang pemerintahan Hosni Mubarak sebagai Presiden Mesir selama 30 tahun.
Hosni meletakkan jawatan pada Februari lalu selepas sejumlah besar penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir di sini untuk menuntut peletakan jawatannya.
Namun, prestasi Parti Salafist Al-Nur yang memperjuangkan tafsiran fundamental mengenai Islam mengejutkan sekali gus mencetuskan kebimbangan menjadi lebih konservatif dalam Parlimen yang mengandungi 498 anggota.
Pilihan raya itu diadakan pihak tentera yang memerintah sementara Mesir bagi membolehkan kuasa pentadbiran diserahkan kepada pemerintahan pilihan rakyat.
Keputusan pilihan raya di Mesir itu adalah sama seperti di Tunisia dan Maghribi apabila parti Islam turut menang kesan daripada kebebasan baharu yang dibawa oleh pergerakan demokrasi. - Agensi
No comments:
Post a Comment