Cemburu punca 1,200 terkandas
IPOH – Siasatan polis terhadap kes panggilan bom palsu hingga menyusahkan 1,200 pengguna kereta api dari Tapah Road ke Tanjung Malim Khamis lalu hampir terungkai dengan tertangkapnya seorang lelaki yang disyaki berbuat demikian semata-mata hendak menghalang kekasihnya pergi ke Kuala Lumpur.
Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 6.10 petang di Teluk Intan Sabtu lalu selepas polis mengenal pasti identitinya. Suspek yang merupakan jurujual di sebuah syarikat jualan langsung membuat panggilan dengan telefon bimbit.
Suspek berbuat demikian untuk menghalang kekasihnya yang juga bekerja di situ untuk pergi berkursus di Kuala Lumpur. Difahamkan, dia cemburu kerana bimbang jika kekasihnya terpaut hati terhadap seorang rakan sekerja mereka yang turut mengikuti kursus itu.
Pasangan itu juga dikatakan sering bergaduh tetapi berbaik semula selepas keadaan reda.
Hospital 'bebas sakit'
|
IPOH - Kementerian Kesihatan semalam melancarkan perkhidmatan 'hospital bebas kesakitan' di tiga hospital kerajaan yang membolehkan pesakit tidak merasai kesakitan khususnya selepas pembedahan.
Ketika melancarkannya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkhidmatan itu dapat disediakan hasil perkembangan teknik bius, pembedahan, peralatan serta ubat selain memanfaatkan teknik perubatan tradisional dan komplimentari terutama rawatan akupuntur.
Perkhidmatan itu, yang turut disediakan di Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang, menyasarkan pesakit yang menjalani prosedur yang berkemungkinan meninggalkan kesan kesakitan yang kuat.
"Tiga buah hospital ini dipilih untuk menjalankan projek perintis ini di mana semua modaliti rawatan dilaksanakan secara berintegrasi untuk meringankan beban sakit pesakit," kata beliau kepada pemberita.
Buat tilikan sebelum temui ajal
JELI – Tilikan seorang remaja mengenai ajalnya yang akan tiba sekiranya dia menjejakkan kaki ke tanah di tempat kerjanya menjadi kenyataan apabila dia meninggal dunia akibat ditelan lumpur dalam kejadian di Kilometer 18, Kampung Air Puteh di sini semalam.
Kejadian pukul 10.55 pagi itu menimpa Mohd. Amir Azmi, 14, selepas dia tenggelam sedalam 1.5 meter sebaik memijak permukaan tanah ketika membuat kerja-kerja pemasangan paip bersama tiga sepupunya.
Mereka bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor untuk projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar.
Difahamkan, pada malam sebelum kejadian, Mohd. Amir yang tidak lagi bersekolah itu mengatakan yang dia akan mati sekiranya turun ke tanah tempat kerja.
Mangsa ragut maut rempuh tiang elektrik
BACHOK – Seorang ibu kepada tujuh orang anak maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas dan melanggar tiang elektrik ketika mengejar dua penjenayah yang meragut dompetnya dalam kejadian di Kampung Keluat, Beris Kubor Besar di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, Siti Delima Aladdin, 43, yang sebelum itu sudah mengejar peragut sejauh enam kilometer, maut di tempat kejadian.
Mangsa mengalami kecederaan parah manakala anak lelakinya Mohd. Hishamuddin Yari, 11, yang membonceng hanya cedera ringan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah apabila dua lelaki bermotosikal meragut dompetnya.
Beliau berkata, sebaik diragut, mangsa terus mengejar peragut tersebut sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik.
“Mangsa disahkan mati di tempat kejadian dan kerugian dianggarkan bernilai RM1,000," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Wanita melecur teruk maut
KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah maut manakala suaminya seorang pengawal keselamatan kritikal apabila kedua-duanya melecur teruk selepas disambar api dari dapur rumah mereka yang terbakar di tingkat 15 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Ranjang, Setapak Jaya di sini semalam.
Kejadian pukul 1.30 petang itu menyebabkan Tuty Suriyaty Abd. Manan, 34, maut selepas melecur hampir 95 peratus manakala suaminya, Raja Basir Ali Peerbux, 56, cedera di kepala, kaki dan tangan. Dia kini kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Setapak, Suki Annuar (gambar kecil) memberitahu, sebaik sampai di rumah mangsa, pihaknya menemui wanita itu terbaring di ruang tamu rumah dan suaminya pula terbaring di luar rumah.
Tiga penculik jutawan terima balasan
IPOH – Tiga penculik warga asing yang mati ditembak polis di sebuah ladang kelapa sawit Sabtu lalu merupakan penjenayah tegar di mana mereka telah melakukan empat kes penculikan di sekitar Kedah melibatkan wang tebusan berjumlah jutaan ringgit sejak awal tahun ini.
Suspek-suspek bersenjatakan pistol berusia di antara 25 dan 30 tahun tersebut dikatakan telah menculik dua mangsa di Kuala Muda dan masing-masing seorang di Kubang Pasu dan Kota Setar.
Difahamkan, suspek amat berbahaya kerana sanggup mendera kesemua mangsa sebelum dibebaskan sebaik mendapat wang tebusan. Wang tebusan ditetapkan mengikut tahap kekayaan keluarga mangsa.
Polis gagal menjejaki suspek sebelum ini kerana kes itu hanya dilaporkan selepas wang tebusan berpindah tangan
Portal soal jawab Islam pertama di IslamGRID
KUALA LUMPUR - Umat Islam mahupun bukan Islam kini boleh mengetahui dan mendalami mengenai selok belok agama itu melalui portal interaktif IslamGRID yang dilancarkan semalam.
Portal berkenaan dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika merasmikan seminar IslamGRID kali kedua 2011 dan pelancaran program rancangan realiti televisyen Adik-adikku Musim Ke-3 di Kompleks Pusat Islam di sini.
Jamil Khir berkata, buat permulaan, portal tersebut akan menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya sebelum diperluaskan dengan penggunaan dua bahasa lain iaitu bahasa Inggeris dan Arab bagi memudahkan pembacaan dan kefahaman mengenai Islam.
Jalan rosak menyebabkan kesesakan lalu lintas
KUALA LUMPUR - Penduduk di sekitar Jalan Burung Hantu dan Jalan Taman Bukit Maluri di Bandar Menjalara, Kepong meminta pihak berkuasa segera membaiki jalan rosak yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan tersebut.
Menurut seorang penduduk, Chuah Chew Huat, 57, masalah tersebut telah berlaku sejak dua bulan lalu namun tiada tindakan berkesan diambil.
"Jalan rosak termasuk lubang-lubang di sepanjang jalan ini mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk terutama ketika waktu puncak kerana semua kenderaan memperlahankan kenderaan mereka serta cuba mengelak lubang berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Penoreh maut diserang babi hutan, 2 lagi cedera
06/12/2011 12:53pm
KUALA LIPIS - Seorang penoreh getah maut diserang seekor babi hutan, manakala dua termasuk isteri mangsa cedera dalam satu kejadian di kawasan kebun getah dekat kampung Jerkoh, Benta, dekat sini.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam itu, mangsa, Wahab Saad, 59, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt. Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menoreh getah, dan tiba-tiba muncul seekor babi hutan dan menyerangnya.
"Mangsa diserang babi hutan berkenaan dan kemudian terjatuh ke dalam anak sungai, isteri mangsa, Napisah Aman, 50, yang sedang memasak di sebuah pondok berdekatan cuba membantu mangsa tapi turut diserang haiwan terbabit,” katanya kepada pemberita di sini.
Haiwan berkenaan kemudiannya turut menyerang seorang lagi penoreh getah di kebun bersebelahan. - Bernama
Gajah liar ancam penduduk
KOTA TINGGI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diminta berbuat sesuatu ke atas sekawan 12 ekor gajah liar yang memasuki Kampung Mawai Lama dan Kampung Mawai Baru dekat sini sejak Oktober lalu.
Kumpulan gajah yang dipercayai dari hutan Kambau dan juga hutan Panti di sini, dikatakan sering memusnahkan tanaman kebun selain boleh mengancam keselamatan penduduk kampung.
Seorang penduduk, Mohd. Khir Johari, 45, berkata, kehadiran kumpulan gajah liar tersebut telah menyebabkan hampir separuh daripada tanaman kebunnya seluas 2.43 hektar musnah.
"Banyak tanaman dirosakkan dan dimusnahkan haiwan liar ini hingga menjejaskan mata pencarian kami dan menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk," katanya yang ditemui di sini semalam.
Gempar jumpa harimau, beruang
BESUT – “Saya terperanjat apabila ternampak seekor harimau tiba-tiba keluar dari kawasan semak dan melintas di hadapan kami.”
Demikian cerita seorang penduduk, Abd. Manaf Ismail, 37, yang terserempak dengan seekor harimau ketika menoreh getah bersama ibunya di Kampung Pancur, Hulu Besut dekat sini pada Jumaat lalu.
Menurut Abd. Manaf, ketika kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, dia dan ibunya, Wan Minah Wan Yahya, 60, tergamam apabila ternampak haiwan liar setinggi kira-kira 0.5 meter dan 1 meter panjang itu.
“Namun, kebetulan pada masa itu saya membawa mercun bola yang disimpan di dalam poket seluar lalu saya mencucuh sumbu dan melemparkannya untuk menakutkan harimau tersebut.
“Ia menyebabkan harimau berkenaan menghilangkan diri di kawasan semak,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Abd. Manaf berkata, kerana bimbang keselamatan mereka terancam, dia lantas mengajak ibunya pulang ke rumah dan membatalkan hasrat menoreh getah.
Dalam pada itu, beberapa penduduk turut mendakwa terserempak dengan beruang sejak dua minggu lalu menyebabkan ada segelintir daripada mereka enggan turun ke kebun masing-masing ekoran takut diserang haiwan liar berkenaan.
Salah seorang penduduk, Wan Nawang Wan Yahya, 47, mendakwa pernah terserempak dengan seekor beruang ketika mengutip getah sekerap di kebunnya di kampung tersebut baru-baru ini.
Ceritanya, dia hanya tahu mengenai kehadiran binatang itu apabila terdengar bunyi batang pokok getah tumbang sebelum seekor beruang muncul di depannya.
Penduduk lega ular sawa batik 8 meter ditangkap
MELAKA - Kecekapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat menangkap seekor ular sawa batik sepanjang 8 meter di Pangsapuri Murni, Bukit Beruang di sini berjaya meredakan kebimbangan penduduk terhadap reptilia itu.
Penduduk mendakwa, ular tersebut pernah muncul beberapa kali di kawasan sekitar pangsapuri tersebut tetapi gagal ditangkap.
Bagaimanapun, kemunculan ular berkenaan semalam disedari oleh salah seorang pengawal keselamatan pangsapuri itu pada pukul 8.30 pagi yang terlihat reptilia itu berada di dalam longkang di tepi pangsapuri berkenaan.
Tanpa berlengah, dia terus memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.
No comments:
Post a Comment