Sunday, July 1, 2012

ALLAH MAMPU BUAT APA SAJA...PANAS...SEJUK DLL...MAKA SEDARLAH KITA NI MAKHLUK SAJA...KITA TAK BERDAYA MANA PUN...INSAFLAH...JANGAN BONGKAK BUKAN SAJA PADA MANUSIA...LEBIH2 LAGI PADA ALLAH...ALLAH TARIK NYAWA KITA...GOL...JANGANLAH MENENTANG ALLAH...BERTAQWALAH...

Bujang Sebelak hampir ditangkap


PASUKAN petugas Sarawak Foresty Corporation melakukan rondaan ketika operasi memburu Bujang Sebelak di Sungai Sebelak, Saratok semalam.



SARATOK - Seekor buaya berwarna hitam dipercayai Bujang Sebelak yang dianggarkan sepanjang 4.2 meter dan selebar lebih 0.7 meter hampir berjaya ditangkap oleh pawang tersohor dari Betong, Indet Sanabong di Sungai Sebelak di sini semalam.
Bagaimanapun, Indet, 49, gagal menangkap buaya hitam yang telah memakan umpan yang dipasangnya ekoran tali pancing umpan itu terputus ketika menarik reptilia ganas tersebut pada pukul 8 malam.
Terdahulu, Indet terpaksa bertarung selama sejam untuk menarik buaya hitam tersebut selepas haiwan itu tersangkut pada kayu dalam dasar sungai lalu menyebabkan tali pancing terputus.
"Saya cuba menarik buaya hitam itu dari dalam air selama sejam dengan bantuan seorang penduduk kampung. Selepas beberapa ketika, kelibat buaya itu berjaya dilihat dan ia sangat besar dan berwarna hitam.
"Ada penduduk memberitahu bahawa buaya itu yang menyerang isteri kepada ketua Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Siah Munsong, 42, sebelum ini," katanya ketika ditemui Kosmo! di Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Roban di sini semalam.

Tiga pelajar USM ditahan polis palsukan sijil akademik



DUA daripada pelajar yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan pemalsuan sijil akademik di Kampar, Perak semalam.



GEORGE TOWN - Polis menahan tiga pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) di sebuah rumah di Kampar, Perak selepas dipercayai terlibat dengan sindiket pemalsuan sijil akademik menerusi talian internet semalam.
Mereka yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki ditahan sepasukan polis khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan dibawa ke Balai Polis Jalan Patani kira-kira pukul 12 tengah malam.
Pelajar yang berasal dari Perak itu berusia antara 24 hingga 26 tahun dan mereka dipercayai tinggal serumah di rumah tersebut.
Difahamkan, mereka terlibat dalam sindiket pemalsuan sijil diploma, sijil ijazah sarjana dan sijil ijazah sarjana muda di universiti berkenaan dengan mempromosikannya kepada rakan-rakan melalui laman sosial Facebook.

Lembah Lenggong Warisan Dunia



PENEMUAN rangka manusia 'Lelaki Perak' di Lembah Lenggong, Perak pada tahun 2001 menarik perhatian dunia.



BUKIT MERTAJAM – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf Lembah Lenggong yang terletak di Hulu Perak, Perak sebagai Tapak Warisan Dunia kelmarin.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, penemuan rangka manusia purba iaitu ‘Lelaki Perak’ yang ditemui pada 2001 dan ‘Wanita Perak’ pada 2004 di kawasan terbabit menarik perhatian UNESCO dalam menyenaraikan kawasan tersebut sebagai tapak warisan dan lokasi pelancongan dunia.
“Pengiktirafan itu merupakan satu kejayaan paling membanggakan buat kerajaan dan rakyat Malaysia,” katanya.

4 ATM ditebuk, RM1.17 juta lesap



ANGGOTA polis memeriksa dan mengambil barang bukti daripada empat buah mesin ATM yang dirompak di sebuah pasar raya besar Carrefour di Wangsa Maju semalam.



KUALA LUMPUR – Sekumpulan penjenayah berjaya membawa lari wang tunai berjumlah RM1.17 juta selepas menyamun mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasar raya besar Carrefour di Wangsa Maju di sini semalam.
Dalam kejadian dipercayai berlaku pada pukul 3.06 pagi itu, kumpulan suspek dipercayai lebih daripada dua orang berjaya memecah empat daripada enam buah mesin ATM di tingkat satu premis tersebut.
Kejadian tersebut disedari oleh seorang pengawal keselamatan pasar raya tersebut pada pukul 7 pagi selepas ternampak kesan pecah pada empat buah mesin ATM terbabit.
Siasatan awal mendapati kumpulan suspek itu memasuki premis berkenaan dengan menebuk pintu kayu yang terletak di belakang pasar raya sebelum suspek naik ke tingkat satu tempat mesin ATM diletakkan.
Kumpulan suspek dikatakan menggunakan alat pemotong besi menggunakan gas Oxy-Acetylene untuk menebuk pintu mesin ATM dan mengambil wang tunai dalam keempat-empat buah mesin ATM tersebut.

Banglo Rahim dimasuki penjenayah



BANGLO Abdul Rahim di Bukit Bandaraya, Bangsar yang dimasuki penjenayah kali ketiga sejak tahun 2006.



KUALA LUMPUR - Sebuah banglo milik bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yang terletak di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini dipecah masuk sekumpulan penjenayah kelmarin.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai lebih daripada dua orang melarikan sepucuk pistol jenis Barretta bersama peluru, barang kemas, komputer riba dan wang tunai.
Ketika kejadian, tiada individu di dalam banglo dua tingkat itu. Kejadian disedari oleh anak lelaki Abdul Rahim yang baru sampai ke rumah pada pukul 9 malam dan terkejut mendapati bilik tidur bapanya di tingkat atas terang.
Anak Abdul Rahim yang curiga melihat bilik itu terang terus meninggalkan rumah tersebut dan melaporkan kejadian di balai polis.
Sumber berkata, pemeriksaan awal mendapati kumpulan penjenayah itu masuk ke dalam rumah Pengerusi Risda itu dengan memanjat pagar belakang dan memotong jeriji tingkap dapur.
"Suspek-suspek kemudian naik ke tingkat atas dan mengumpil pintu bilik utama dan sebuah bilik lain sebelum melarikan pelbagai jenis barangan berharga," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Uncle Seekers didakwa fitnah Sultan



SERAMAI 30 individu tampil membuat laporan polis mendakwa Uncle Seekers menghina Sultan Johor di Balai Polis Sentral, Johor Bharu semalam.



JOHOR BAHRU – Seramai 30 orang yang mendakwa mewakili suara rakyat Johor membuat laporan polis ke atas pengkaji paranormal, Syed Abdullah Hussien Al-Attas atau popular dipanggil Uncle Seekers kerana didakwa menghina dan menabur fitnah terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menerusi blognya, www.uncleseekers.blogspot.com.
Susulan itu, Khairul Azli Shah Jalil, 33, yang mewakili kumpulan tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral pada pukul 12.10 tengah hari semalam.
“Uncle Seekers didapati memfitnah, menghasut dan mengadakan provokasi dalam blognya dengan tujuan supaya rakyat Johor membenci dan tidak percaya kepada Sultan lagi,” dakwa Khairul ketika ditemui.

23 keluarga kecewa diarah berpindah



SEBAHAGIAN daripada penduduk mengadakan demonstrasi selepas diarah mengosongkan rumah yang didiami di Ladang Bangi baru-baru ini.



KAJANG – Masa depan 23 keluarga di Ladang Bangi, Bangi Lama di sini tidak menentu selepas menerima notis supaya mengosongkan rumah yang didiami di ladang sawit itu sebelum 31 Julai ini.
Ini ekoran syarikat perladangan itu didakwa mahu menjual tanah ladang tersebut kepada syarikat pemaju bagi tujuan pembangunan kediaman mewah.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Ladang Bangi, C. Krishnan, 57, memberitahu, penduduk tinggal di rumah milik syarikat itu sejak 50 tahun lalu dan kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah di sekitar Bangi.

88 samseng jalanan Sabah dicekup polis



SEBAHAGIAN daripada pesalah lalu lintas yang ditahan dalam operasi di Kota Kinabalu semalam.



KOTA KINABALU - Seramai 88 pesalah jalan raya termasuk tiga anggota tentera ditahan dalam operasi membanteras samseng jalanan secara besar-besaran di sekitar bandaraya ini semalam.
Operasi yang bermula pada pukul 1 pagi itu turut menemui sebilah pisau daripada seorang penunggang motosikal.
Polis turut menahan lapan gadis berumur antara 14 hingga 20 tahun dalam operasi tersebut.
Ketika operasi, beberapa samseng jalanan terutamanya pelesit rempit nekad merempuh laluan kereta api untuk melarikan diri.

Fenomena cuaca panas terik



PENDUDUK mendapatkan bekalan air daripada lori tangki Syabas di Taman Mutiara, Seputeh, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Musim Monsun Barat Daya yang kini melanda Pantai Barat Semenanjung Malaysia bermula awal bulan ini dipercayai penyumbang kepada masalah gangguan bekalan air yang dialami lebih 200,000 pengguna di 138 kawasan di ibu negara dan Selangor sejak 21 Jun lalu.
Musim yang kebiasaannya berlarutan hingga bulan September itu menimbulkan fenomena cuaca kering dan panas sehingga mendorong peningkatan kadar penggunaan air.
Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, cuaca panas menyebabkan jumlah permintaan air bersih semasa mencapai kadar pengeluaran maksimum di kesemua 34 Loji Rawatan Air (LRA) iaitu 4,371 juta liter sehari (JLH).
“LRA tidak dapat menampung permintaan air semasa yang meningkat dan situasi ini dijangka tamat apabila musim panas berlalu. Oleh itu, kita harap kerjasama orang ramai menggunakan air secara berhemah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

PBB mahu Bashar letak jawatan


REUTERS
KEBAKARAN berlaku akibat pertempuran antara para pemberontak dengan tentera Syria di Homs semalam.



PARIS - Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius memberitahu anggota-anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju supaya diadakan peralihan politik dan Presiden Syria, Bashar al-Assad perlu meletakkan jawatan.
Persetujuan itu dicapai di Geneva kelmarin dan anggota-anggota majlis tersebut meminta kerajaan peralihan perlu ditubuhkan bagi menamatkan konflik di Syria.
Ditanya kenapa Rusia dan China mempunyai perspektif yang berbeza ke atas masa depan Bashar, Fabius berkata:
"Walaupun negara-negara itu menyatakan perkara yang
sebaliknya, fakta dalam teks (persetujuan) tersebut menyatakan secara terperinci bahawa terdapat satu pentadbiran peralihan dengan semua kuasa menyatakan ia bukannya Bashar (menjadi pemimpin)."
Konflik di Syria bermula sejak Mac tahun lalu dan kini masih belum dapat diselesaikan.
Lebih 15,000 orang dilaporkan mati dalam konflik tersebut sejak kebangkitan rakyat berlaku di negara tersebut.
Penduduk di negara tersebut mahu Bashar berundur menyebabkan pertempuran berlaku dengan askar-askar Syria.
Sekurang-kurang 83 orang dilaporkan mati dan ratusan terperangkap di bandar Douma selepas tentera rejim Syria menyerang bandar itu kelmarin.
Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia di Syria berkata, dalam kejadian itu, seramai 30 orang mati selepas terkena bedilan mortar semasa menghadiri majlis pengebumian di bandar Zamalka. - Agensi

Bandar China hadkan jualan kereta



GAMBAR fail menunjukkan sejumlah kenderaan bergerak di Beijing.



BEIJING - Pihak perbandaran Guangzhou mengehadkan jualan kereta bagi mengurangkan kesesakan jalan raya dan pencemaran alam sekitar, lapor agensi berita rasmi Xinhua semalam.
Menurut agensi berita itu, hanya 120,000 buah kereta baharu dibenarkan didaftarkan dalam tempoh setahun yang bersamaan dengan 10,000 buah kereta sebulan.
Langkah itu akan dikuatkuasakan semalam.
Bandar raya ini adalah yang ketiga selepas Beijing dan Guiyang yang menghadkan jualan kereta sebagai usaha untuk memperbaikan trafik dan kualiti udara.
Pihak pengurusan bandar raya Beijing mengehadkan pemilikan kereta kepada 20,000 buah sebulan pada Januari tahun lalu.
Menurut Xinhua, semasa waktu puncak, kereta di Guangzhou hanya boleh bergerak selaju 20 kilometer sejam. - Reuters

Buaya gergasi di bandar Filipina catat rekod



GAMBAR fail menunjukkan buaya yang bernama Lolong ditangkap di sebatang anak sungai di Bunawan pada September tahun lalu.



MANILA - Pihak pengurusan Guinness World Records mengisytiharkan bahawa seekor buaya yang dipersalahkan kerana menyebabkan beberapa orang mati di selatan Filipina sebagai yang paling besar pernah dikurung di dunia.
Menurut jurucakap Guinness, Anne-Lise Rouse, buaya air masin itu berukuran 6.17 meter (m) panjang dan berat haiwan tersebut lebih satu tan.
Buaya itu ditangkap pada September tahun lalu di bandar kecil Bunawan di wilayah Agusan del Sur selepas tiga minggu diburu.
Haiwan itu mengambil alih rekod tersebut daripada seekor buaya sepanjang 5.48m yang dikurung di sebuah taman buaya di Australia.
Datuk Bandar Bunawan, Edwin Cox Elorde memberitahu agensi berita AP, beliau diberitahu oleh pihak Guinness tentang rekod tersebut pada bulan lalu.
Buaya itu yang bernama Lolong kini menjadi daya tarikan di sebuah pusat taman ekopelancongan dan penyelidikan di pinggir Bunawan.
Elorde berkata, pihak perbandaran telah memperoleh AS$72,000 (RM228,729) hasil kutipan tiket di pintu masuk taman tersebut.
Sebahagian wang itu digunakan untuk membeli makanan buaya tersebut.
Buaya itu ditangkap dengan menggunakan perangkap besi selepas seorang kanak-kanak terbunuh pada tahun 2009 dan seorang nelayan dilaporkan hilang.
Kerbau turut dijadikan umpan semasa usaha untuk menangkap buaya tersebut.
Kira-kira 100 orang yang diketuai Elorde menarik buaya tersebut dari sebatang anak sungai dengan menggunakan tali dan diangkat ke atas trak dengan menggunakan kren. - Agensi

Tandas dihias sambut kepulangan isteri



BHARTI berdiri di luar tandas di rumah mertuanya di Kampung Vishnupur Khurd, Uttar Pradesh pada Rabu lalu.



NEW DELHI - Seorang isteri, Priyanka Bharti diberi sambutan meriah pada Rabu lalu semasa dia pulang semula ke rumah mertuanya selepas melarikan diri kerana ketiadaan tandas di Kampung Vishnupur Khurd, Uttar Pradesh, India.
Bharti turut merasmikan pembukaan sebuah tandas moden di rumah mertuanya itu yang turut disaksikan sejumlah orang.
Tandas itu turut dihiasi dengan bunga.
Pembinaan tandas itu dikendalikan pihak pengurusan pertubuhan perkhidmatan sosial antarabangsa, Sulabh.
Tandas itu dibina selepas berita Bharti melarikan diri tersebar di India.
Pertubuhan itu turut membina sebuah bilik mandi di rumah mertuanya.
Pengasas pertubuhan itu, Bindeshwar Pathak turut hadir pada majlis tersebut.
Sebelum ini dia meninggalkan rumah mertuanya selepas empat hari menginap kerana malu jika ditanya oleh keluarganya tentang lokasi tandas di rumah itu.
Bharti, 19, melarikan diri semasa keluarganya yang datang dari sebuah kampung lain mahu melawat dia di rumah mertuanya itu.
"Saya berpendapat saya tidak boleh tinggal di sebuah rumah yang membolehkan orang ramai mungkin melihat saya membuang air besar di luar rumah dengan cara yang tidak bersih," katanya kepada agensi berita AFP.
Dia berasa malu apabila terpaksa membuang air besar di kawasan lapang di luar rumah kerana ketiadaan tandas.
Bharti berkahwin dengan suaminya, Amarjeet Kumar, 20, pada tahun 2007.
Bagaimanapun, dia hanya mula tinggal di rumah mertuanya pada April lalu selepas umurnya mencecah 19 tahun.
Suami Bharti menganggap perkara yang paling penting buatnya ialah kepulangan isterinya.
"Saya malu apabila dia bertanya di mana tandas dan kami perlu memberitahunya untuk ke luar rumah (membuang air besar).
"Kini, tandas itu telah dibina dan kami perlu menjaga dan menggunakannya," kata Amarjeet. - Agensi

Tauhu busuk yang lazat





TAIWAN merupakan sebuah kepulauan yang diingati kerana pernah menjadi pemilik kepada bangunan tertinggi di dunia Taipei 101.
Sejarah panjang Taiwan yang berjuang membebaskan diri daripada bersatu dengan China dan antara negara yang memegang status Harimau Asia, Taiwan sememangnya sebuah negara yang sarat dengan tempat-tempat menarik untuk berlibur.
Bagi yang benar-benar mengenali Taiwan, salah satu tarikan utama saat menjejakkan kaki di kepulauan dengan populasi penduduk lebih 23 juta orang itu ialah pasar malamnya.
Pasar malam? Mungkin kedengaran pelik mengapa pasar malam boleh menjadi satu tarikan hebat yang harus ada dalam catatan diari sang pelancong.
Percayalah, ini kerana setiap pasar malam di daerah-daerah Taiwan mempunyai signatur tersendiri.
Deretan kedai dan gerai menawarkan pelbagai pilihan barangan daripada kraf tangan hinggalah makanan eksotik. Pengunjung pasti teruja memilih produk yang sesuai dengan cita rasa dan duit poket mereka ibarat pepatah, tepuk dada tanya selera.
Antara lokasi pasar malam yang paling terkenal di Taiwan ialah pasar malam Shilin.
Terletak di ibu kota Taiwan, Taipei, pasar malam Shilin yang menawarkan variasi makanan tradisi dan moden, memulakan perniagaan sekitar pukul 3 petang dan berlanjutan hingga ke lewat malam.
Lokasi tersebut popular kerana menyajikan pelbagai hidangan tempatan 'asli' yang tidak berubah resipinya sejak turun temurun.
Tiada perubahan dilakukan seperti mengubah rasa makanan bagi menyesuaikannya dengan lidah pelancong asing yang alah kepada masakan pedas atau menambah tekstur agar hidangan tampak 'mengiurkan'.
Jika anda inginkan rasa sebenar makanan tempatan Taiwan, pasar malam tersebut merupakan lokasi wajib untuk dikunjungi.
Antara penangan pasar malam Shilin adalah 'mi sua' (mi halus), tauhu bakar, mi daging lembu, manisan dan pelbagai jenis makanan ringan.
"Shilin merupakan salah sebuah pasar malam yang paling saya suka kunjungi disebabkan kepelbagaian barangan yang ditawarkan terutamanya makanan dan pakaian.


SETIAP pasar malam di Taiwan menawarkan produk atau sajian makanan yang berbeza mengikut daerah.



"Kebanyakan pasar malam di negara kita menawarkan barangan yang sama, tetapi di Taiwan jangan harap anda boleh membeli barangan sama di pasar malam lain sekiranya anda terlupa membeli produk tersebut di pasar malam yang dikunjungi sebelum itu," kata seorang jurujual, Hon Suet Yi.
Berusia 27 tahun, Suet Yi berasal dari Perak yang pernah melancong ke Taiwan dua tahun lalu menambah, kebanyakan pakaian yang dijual di negara tersebut mengikut perkembangan fesyen terkini disebabkan kedudukan Taiwan yang tidak jauh dari hab fesyen Asia, Jepun.
"Berbalik kepada soal makanan pula, walaupun sebahagian makanan di Taiwan boleh didapati di Malaysia, namun rasanya jauh berbeza," ujar Suet Yi.
Selain pasar malam Shilin, satu lagi pasar malam yang popular ialah pasar malam Feng Jia yang terletak di Taichung.
Terkenal sebagai pasar malam terbesar di Taiwan, pasar malam Feng Jia boleh bermegah kerana memiliki lebih daripada 1,500 gerai yang dikendalikan oleh peniaga tempatan.
Lokasi tersebut yang beroperasi sejak tahun 1963, menerima kunjungan sekitar 30,000 pelawat pada setiap hari termasuk penduduk tempatan dan pelancong asing.
Pasar malam makanan laut
Jika pasar malam Shilin terkenal dengan makanan tradisional, Feng Jia tersohor kerana makanan lautnya yang dimasak ringkas tetapi segar .
Beroperasi dari pukul 5 petang hingga lewat malam, lokasi itu turut menawarkan paling banyak makanan ringan berbanding pasar malam lain di Taiwan.
Mereka yang membawa keluarga perlu bersedia berbelanja lebih kerana anak-anak pasti rambang mata melihat beraneka makanan menyelerakan.
"Oleh kerana pasar malam Feng Jia terlalu besar, saya tidak habis melawat keseluruhan tempat itu dalam satu malam sahaja," kata Chan Sook Teng, 26, yang berkunjung ke pulau itu awal Jun lalu.
"Saya dan keluarga naik lenguh kerana kami berjalan selama beberapa jam," tambahnya lagi.
Namun, ujar Sook Teng, pengalaman tersebut berbaloi kerana terdapat banyak produk seperti barangan kulit, aksesori, dres, kasut dan mekap yang menarik minat golongan muda.
Ujarnya, jika penat berjalan dan tekak terasa haus pengunjung tidak perlu risau kerana banyak gerai minuman boleh didapati di pasar malam tersebut.
"Minuman yang paling terkenal di Taiwan ialah teh susu mutiara (pearl milk tea). Ia boleh didapati dalam banyak perisa pilihan yang menyebabkan pengunjung sukar untuk membuat keputusan.
"Selain itu, kemudahan pengangkutan awam yang disediakan juga merupakan salah satu faktor yang memudahkan pengunjung untuk mengunjungi pasar malam di negara ini," katanya.
Menurut wanita itu lagi, tahap kebersihan pasar malam di negara tersebut juga berbeza dengan pasar malam di Malaysia.


PASAR malam Ning Xia terkenal dengan pelbagai jenis permainan seperti pesta ria di Malaysia.



Kebanyakan pasar malam di Taiwan katanya, adalah bersih bagi memastikan pengunjung dapat membeli-belah dalam suasana yang lebih selesa.
Sajian tradisi tauhu busuk
Jika ada pun bau busuk mencucuk hidung pengunjung, aroma tersebut bukan sampah, tetapi berasal daripada hidangan tauhu busuk yang digemari penduduk tempatan.
Makanan itu 'digeruni' pelancong asing kerana memiliki bau 'tengik' yang membuatkan mereka berasa loya untuk memakannya.
Malah, anda masih dapat menghidu bau tauhu busuk walaupun berada kira-kira 50 meter dari gerai yang menjual makanan itu.
Anda mungkin akan rasa jijik dengan cara pembuatannya, iaitu mengeringkan air daripada kepingan tauhu, memerap, menapai selama beberapa hari sehingga tumbuh kulat dan kemudian menggorengkannya.
Di sebalik bau tersebut, mereka yang berani merasa makanan itu mengakui tauhu busuk memiliki rasa lazat dan unik.
"Pada mulanya saya takut untuk mencubanya disebabkan baunya yang terlalu busuk, malah menjijikkan.
"Bagaimanapun, memandangkan ia merupakan salah satu makanan popular di Taiwan, saya memberanikan diri untuk memakan tauhu busuk. Rasanya memang di luar jangkaan saya, sangat sedap!" kata Wai Yee Lui, 34, yang melancong ke negara Taiwan tahun lalu.
Tambahnya, makanan tersebut perlu dimakan bersama sos khas bagi meningkatkan lagi kelazatannya.
Kos perbelanjaan di pasar malam juga tidak tinggi, makanan boleh dibeli pada harga semurah NT$30 (RM3), manakala minumannya seperti teh berharga sekitar NT$25 (RM2.50).
Selain itu, pasar malam di Taiwan turut memiliki keistimewaan yang tidak terdapat di negara ini iaitu permainan mini.
Seperti di pesta ria, pasar malam di sesetengah daerah seperti pasar malam Ning Xia menyediakan pelbagai permainan mini seperti 'paintball', menembak belon, menangkap ikan dan lempar gelang botol.
Pemenang akan ditawarkan hadiah yang menarik seperti patung dan juga hadiah kecil seperti makanan dan minuman. Tidak penting hadiah apa yang ditawarkan, yang penting ialah kepuasan dan kegembiraan yang dirasai semasa bermain permainan tersebut.
Bercerita tentang perbezaan pasar malam Taiwan dan pasar malam di tanah air, seorang lagi pelancong Malaysia, Chong Su Jien berkata, harga barangan yang ditawarkan di pasar malam Taiwan adalah lebih murah.

TIRAM goreng telur antara menu istimewa yang dijual di pasar malam Taiwan.


"Mereka yang suka membeli-belah pada harga yang murah boleh mengunjungi pasar malam di negara berkenaan kerana anda pasti pulang ke hotel dengan beg yang penuh," katanya.
Tambah Yee Lui pula, dia pasti akanberkunjung ke negara tersebut pada musim sejuk kerana cuaca nyaman akan menjadikan anda terasa seperti di Genting Highlands.
"Setiap kali kita mengunjungi pasar malam pasti akan berpeluh dan kurang selesa. Tetapi di Taiwan pengunjung boleh memilih untuk berkunjung ke negara tersebut pada musim sejuk iaitu pada awal dan akhir tahun. Anda pasti dapat merasai kelainannya," ujar Yee Lui.

Haiwan ajaib Galapagos



George yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun ditemui mati Ahad minggu lalu.



HARAPAN para saintis untuk melihat Lonesome George - seekor kura-kura gergasi Galapagos, meninggalkan baka berakhir apabila haiwan itu ditemui mati di Puerto Ayora, Pulau Santa Cruz, Ecuador pada 24 Jun lalu.
Puerto Ayora terletak di selatan Taman Negara Galapagos.
Dianggarkan berusia lebih 100 tahun, kura-kura berstatus duta Kepulauan Galapagos itu berjaya menarik lebih 180,000 pelancong untuk mengunjungi pulau itu tahun lepas.
George dipercayai kura-kura terakhir daripada subspesies Geochelonenigra abingdoni. Kepulauan itu masih dihuni kira-kira 20,000 ekor kura-kura gergasi daripada 13 subspesies.
"Pada waktu pagi semasa seorang renjer sedang meronda, dia menemui George mati di pusat pembiakan kura-kura gergasi.
"Kehidupan kura-kura ini telah berakhir, namun kami merancang untuk mengawet bangkainya bagi dijadikan tatapan pelancong pada masa hadapan," kata ketua taman itu, Edwin Naula.
Bangkai haiwan bertaraf selebriti itu ditempatkan di dalam sebuah kebuk sejuk bagi mengelakkannya daripada mereput. Saintis berkata, kematian George akan melenyapkan spesies itu.
George mempunyai kisah hidup yang tersendiri. Ia ditemui pada tahun 1972 di Pulau Pinta, salah sebuah pulau di Kepulauan Galapagos.
Sama seperti namanya Lonesome George, haiwan itu hidup bersendirian dan kesepian sepanjang hayatnya.
George tidak mempunyai anak. Walaupun ia cuba dibiakkan bersama dua kura-kura betina berlainan spesies, hasilnya mengecewakan.
Diburu
Pada tahun 2009, pegawai Ecuador mengumumkan seekor daripada dua kura-kura betina yang tinggal bersama George telah menghasilkan sebanyak lima biji telur. Malangnya kesemua telur itu gagal menetas.
George hidup bersama dengan kura-kura betina daripada jenis Geochlone becki itu sejak tahun 1993.
Populariti George bukan calang-calang bahkan berjaya menarik perhatian ikon terkenal Angelina Jolie dan Brad Pitt untuk melawat taman negara itu.
Lokasi tempat kura-kura itu tinggal juga dikunjungi oleh ribuan pelancong setiap tahun.
Mereka mengambil peluang bergambar dengan makhluk pelik di muka bumi itu.
Bagaimanapun, sejak kedatangan manusia ke kepulauan itu, jumlah kura-kura gergasi menurun secara signifikan.
Ia sering diburu kerana dagingnya manakala habitat semula jadinya turut dirampas oleh gerombolan kambing yang dibawa oleh penternak.


TAMAN Negara Galapagos pernah dikunjungi pasangan selebriti Angelina Jolie dan Brad Pitt (dua dan tiga dari kanan).



Namun, usaha penyelamatan oleh Taman Negara Galapagos dan Yayasan Charles Darwin untuk menambah kembali populasi kura-kura itu mula berhasil.
Secara umum, populasi kura-kura gergasi Galapagos meningkat daripada hanya 3,000 ekor pada tahun 1974 kepada 20,000 ekor sekarang.
Selain kura-kura gergasi, Kepulauan Galapagos juga terkenal sebagai rumah kepada berbagai spesies haiwan dan tumbuhan yang unik.
Keajaiban alam dan kebiasaan kura-kura Galapagos yang boleh hidup sehingga 200 tahun telah mencetuskan idea kepada saintis Britain, Charles Darwin untuk memperkenalkan teori evolusinya.
Ketua Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah, berkata usaha untuk memastikan kura-kura gergasi terus hidup sememangnya agak sukar.
"Selain masalah kesihatan kerana usia yang lanjut, haiwan ini sensitif terhadap makanan yang diberikan.
"Selain itu, ia sukar menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang berbeza daripada habitat asal," katanya kepada Jurnal.
Jelasnya, pihak Zoo Negara juga mempunyai kura-kura gergasi daripada spesies Aldabran iaitu kura-kura kedua terbesar di dunia selepas spesies Galapagos tetapi usaha untuk membiakkan haiwan itu bukan mudah.
"Namun, itu tidak bermakna kita akan berhenti berusaha membiakkannya sebaliknya banyak lagi penyelidikan saintifik perlu dilakukan," beritahu beliau. - MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

No comments:

Post a Comment