Saturday, July 7, 2012

PUTUS AIR...OK LAGI...SEDARLAH AIR ITU DARI ALLAH...BAGAIMANA PUTUS HIDAYAH...PUTUS RAHMAT ALLAH..NI LAGI PARAH...MAKA NERAKA LAH TEMPATNYA....SEDARLAH KITA MAKHLUK DAN WAJIB TAAT DENGAN PERINTAH ALLAH SWT....

Uncle Seekers menagih dadah


Uncle Seekers dan Nadhirah selepas direman di Mahkamah Majistret Johor Bahru kelmarin.



JOHOR BAHRU - Pengkaji paranormal, Uncle Seekers yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penyiaran artikel berunsur fitnah terhadap Sultan Johor melalui blognya disahkan positif mengambil dadah jenis morfin.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Akhir Ishak berkata, ujian air kencing terhadap Uncle Seekers atau nama sebenarnya Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini semalam.
"Hasil ujian air kencing tersebut, Uncle Seekers didapati positif morfin. Polis kemudian membuat satu laporan polis terhadap kesalahan dilakukan oleh Uncle Seekers," kata beliau.
Menurut beliau, kesalahan mengambil dadah terhadap Uncle Seekers disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000.
Bagaimanapun, Mohd. Akhir berkata, ujian sama yang dilakukan terhadap teman wanita Uncles Seekers, Siti Nadhirah Mohd. Zain, 26, mendapati wanita berkenaan negatif dadah.

Indet tidak mahu ditipu lagi



LATIFAH bersama anaknya, Mohd. Khusairi Drahman setia menunggu ketika operasi mencari suaminya giat dijalankan di Batang Saribas, Betong semalam.



BETONG - Pawang buaya terkenal, Indet Sanabong yang berjaya membunuh Bujang Sebelak di Roban baru-baru ini kini sedia membunuh seekor lagi buaya yang dipercayai telah membaham seorang pengumpul batang rumbia di Sungai Meruang, Batang Saribas dekat sini kelmarin.
Bagaimanapun Indet, 49, sedia berbuat demikian jika upahnya berbaloi memandangkan dia dan dua pembantunya bertarung nyawa setiap kali berdepan dengan reptilia ganas itu.
Menurutnya, dia pernah dipanggil untuk menangkap seekor buaya yang telah membunuh seorang penduduk di Sungai Seruai dekat Batang Saribas beberapa tahun lalu tetapi upah yang diterimanya hanya RM300.
Beliau berkata, semua pihak perlu sedar pekerjaan menangkap buaya ganas bukan kerja main-main kerana ia melibatkan nyawa manusia.
"Penduduk di Sungai Seruai dekat Batang Saribas pernah minta tolong saya tangkap buaya dan saya berjaya menangkapnya tetapi upah yang diberi untuk kerja tiga hari hanya RM300.
"Jumlah itu memang tidak berbaloi kerana saya dan pembantu terpaksa bertarung nyawa dengan buaya berkenaan. Saya tidak mahu dipermainkan lagi,'' katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Denda RM2.2 juta, penjara 13 tahun



BANGUNAN Plaza Masalam, Shah Alam, tempat di mana Mohan didakwa meminta rasuah daripada Sinnaiah tiga tahun lalu.



SHAH ALAM - Seorang Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihukum penjara 13 tahun dan denda berjumlah RM2.275 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan rasuah tiga tahun lalu.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Mohan, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes pendakwaan melampaui keraguan munasabah.
Bagi pertuduhan pertama, Mohan dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan denda RM1.25 juta atau 60 bulan penjara jika gagal membayar denda. Pertuduhan kedua pula, Mohan dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan denda RM1 juta atau 50 bulan penjara jika gagal membayar denda itu manakala hukuman penjara 13 tahun dan denda RM25,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda pula dikenakan ke atasnya bagi pertuduhan ketiga.
Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 13 tahun selepas Azhaniz Teh memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh jatuh hukum semalam.
Peguam yang mewakili Mohan, R. Ratha Kirushnan memohon kepada mahkamah supaya hukuman penjara dan denda ke atas anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Azrin Zairin Nik Abdullah berkata, tiada keadaan istimewa yang membolehkan hukuman ke atas tertuduh ditangguhkan walaupun dia telah berkhidmat selama 18 tahun dengan SPRM.

JAIPs serbu keluarga pincang



RUMAH yang dipercayai tempat dua pasangan ditangkap bersekedudukan di Kampung Padang Keria, Sanglang, Kangar semalam.



KANGAR - Kehidupan sebuah keluarga yang pincang di Kampung Padang Keria, Sanglang di sini terbongkar semalam apabila diserbu Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) setelah si suami didapati mempunyai hubungan dengan adik iparnya, manakala si isteri pula bersekedudukan dengan lelaki lain sehingga mengandungkan anak luar nikah.
Penolong Pengarah Penguat Kuasa JAIPs, Suhaimi Ahmad berkata, suami isteri tersebut dipercayai melakukan perbuatan sumbang tersebut dengan pasangan masing-masing di dalam satu rumah sejak setahun lalu.
Dalam dua serbuan berasingan bermula kira-kira 12.15 pagi semalam, si suami yang berusia 39 tahun dicekup hanya bertuala di dalam rumah tersebut yang mempunyai dua bilik dengan adik iparnya yang berumur 18 tahun.
"Sejam kemudian kami sekali lagi serbu rumah tersebut dan mendapati isterinya, 25, pula bersama lelaki lain yang berusia 29 tahun di kawasan rumah tersebut," katanya.
Menurut Suhaimi, ketika serbuan tersebut, isteri berkenaan berada di dalam rumah manakala pasangannya ditemui tidak memakai baju dan hanya berseluar pendek di belakang rumah.

20 samseng tetak kereta polis



BEGINILAH keadaan kereta yang dinaiki empat anggota polis yang rosak akibat diserang kumpulan samseng.



IPOH - Empat anggota polis cemas apabila kereta mereka diserang oleh kira-kira 20 samseng yang bersenjatakan parang dan pedang samurai di Kawasan Perusahaan Menglembu di sini Rabu lalu.
Kejadian berlaku pukul 1.15 pagi semasa anggota polis itu cuba menghalang kumpulan dikenali sebagai Geng 08 Vinod itu yang dalam perjalanan untuk menyerang sebuah kumpulan samseng lain.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, Geng 08 Vinod yang menunggang motosikal itu bertindak ganas dengan menetak kenderaan polis tersebut berkali-kali menyebabkan cermin hadapan dan sisi pemandu pecah.
“Dalam keadaan kelam-kabut itu, salah seorang anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara.
“Tembakan itu menyebabkan kumpulan lelaki itu bertempiaran melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim.
Mohd. Shukri berkata, ekoran kejadian itu, operasi memburu suspek telah dilancarkan dan enam anggota geng terbabit yang berusia lingkungan 20-an berjaya ditahan di sekitar Menglembu dan Batu Gajah dekat sini.
Ujarnya, polis turut merampas 23 bilah parang dan pedang samurai milik mereka.
Menurut beliau, dua lagi suspek berusia 23 dan 24 tahun diberkas pada pukul 2.45 pagi semalam di sekitar bandar raya ini.

Terseksa 10 hari terputus air



ROSMAWATI (kiri) dan penduduk menunjukkan sambungan paip yang dikunci oleh Syabas di Cheras, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Akibat nila setitik, rosak susu sebelanga. Itu perumpamaan bagi menggambarkan derita yang dialami kira-kira 300 penduduk Pangsapuri Minang Ria 2 di Taman Minang Ria 2, Batu 9, Cheras di sini yang terputus bekalan air sejak 10 hari lalu.
Penduduk mengalami masalah itu kerana sikap segelintir penduduk yang tidak membayar bil air menyebabkan syarikat pengurusan dan penyelenggaraan pangsapuri tersebut, JMS Resources Sdn. Bhd. gagal melangsaikan bil tertunggak air sebanyak RM2,100 kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Berhad (Syabas) sejak Jun lalu.
Seorang penduduk, Rosmawati Ali, 34, berkata, akibat daripada kemelut itu, dia dan jiran-jirannya mengalami masalah untuk melakukan kerja-kerja seharian.
“Sudah 10 hari, kami sekeluarga tidak dapat mencuci pakaian kotor, membersihkan rumah, memasak dan mencuci peralatan dapur.
“Setiap hari terpaksa beli makanan bungkus dan tidak dapat bayang macam mana masa Ramadan ini. Hendak mandi pun pergi ke rumah kawan,” ujarnya ketika ditemui semalam.

Penduduk lancar kempen berpakaian sopan


DUA wanita berjalan dekat papan tanda yang meminta pembeli-belah berpakaian sopan di sebuah pusat beli-belah di Dubai pada 25 Jun lalu.


ABU DHABI - Dua wanita di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengetuai kempen di laman Twitter bagi mencari cara untuk menangani peningkatan bilangan golongan Hawa memakai seluar pendek di pusat beli-belah di negara ini.
Kempen itu dimulakan oleh seorang wanita, Asma al-Muhairi, 23, yang pernah terserempak dengan dua wanita asing yang memakai seluar terlalu pendek di sebuah pusat beli-belah di UAE.
"Ketika saya pergi ke sebuah pusat beli-belah, saya menyaksikan dua wanita asing memakai (seluar) yang saya tidak boleh anggap sebagai seluar pendek. Ia ialah seluar dalam," katanya yang merupakan seorang pekerja dalam bidang pemasaran.
"Kenapa ia (pemakaian seluar pendek) berterusan. Kenapakah ia berlaku di dalam pusat beli-belah? Saya melihat kanak-kanak di sekitar pusat itu," katanya.
Asma yang gagal untuk meminta pihak pengurusan pusat beli-belah campur tangan dalam isu tersebut kemudian bertindak menyuarakan pandangannya di Twitter bersama dengan seorang lagi wanita, Hanan al-Rayes pada Mei lalu.
Kebimbangan mereka itu mendapat banyak reaksi balas daripada pengguna laman tersebut.
Kedua-dua wanita itu kemudian melancarkan kempen di laman tersebut yang dikenali sebagai @UAEDressCode yang bertujuan mencari cara bagi memerangi peningkatan bilangan wanita memakai pakaian singkat dan seluar pendek di pusat beli-belah.
Kempen itu ketika ini mempunyai lebih 3,000 pengikut. - AGENSI

No comments:

Post a Comment