Thursday, July 5, 2012

UNTUK MENCARI SYURGA ATAU NERAKA SEMUANYA DIDUNIA...BANGUNAN AJE TINGGI...BUATPE...JIKA KETINGGALAN DARI SEGI TAQWA YANG MENJANJIKAN SYURGA.....

Angkara cinta isteri orang

BEAUFORT – Seorang suami yang ‘naik hantu’ selepas mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit bertindak nekad apabila membelasah kekasih gelap wanita itu hingga mati dalam kejadian di pekarangan pejabat Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT) Beaufort dekat sini kelmarin.
Kejadian pukul 3.15 petang itu berlaku apabila suspek berusia 55 tahun datang ke pejabat berkenaan sebelum membelasah mangsa yang merupakan kontraktor dikenali sebagai Hasan Tahir, 57, hingga lembik.
Selepas dibelasah, mangsa sempat melarikan diri ke bangunan Giat Mara yang terletak di sebarang jalan sebelum pengsan. Dia disahkan mati ketika dirawat di Hospital Beaufort.
Difahamkan, mangsa mengenali isteri suspek selepas mereka bertemu ketika lelaki itu mempunyai urusan di pejabat wanita itu beberapa tahun lalu. Mangsa telah berkeluarga.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Mustaffa Maarof Mustaffa berkata, siasatan awal mendapati suspek cemburu apabila mengesyaki isterinya yang merupakan kakitangan JPHPT berusia lingkungan 40-an mempunyai hubungan sulit dengan mangsa.

Beg sandang berisi mayat bayi

RAHSIA pelajar bersalin dalam tandas asrama sekolah terbongkar apabila gadis itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan.


KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini sama sekali tidak menduga beg sandang yang diserahkan seorang rakan sekolahnya untuk disimpan rupa-rupanya mengandungi mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan.
Rahsia tersebut hanya terbongkar selepas 17 jam mangsa yang berusia 16 tahun menyimpan beg tersebut di bilik asramanya sebelum dia menerima panggilan daripada pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang memintanya menghantar beg sandang tersebut ke hospital.
Doktor yang memeriksa beg sandang itu menemui mayat seorang bayi perempuan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, sebelum kejadian, seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun melahirkan seorang bayi perempuan di dalam tandas asrama sekolahnya pada pukul 1 pagi Selasa lalu.
Menurut beliau, pelajar itu kemudian pergi ke HSNZ pada pukul 6 petang hari sama selepas mendakwa sakit perut.
“Doktor yang memeriksa pelajar itu mendapati pelajar terbabit sebenarnya baru melahirkan bayi,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Katanya, selepas ditanya oleh doktor yang merawatnya, pelajar itu mengaku dia melahirkan seorang bayi perempuan dan menyimpan bayi itu di dalam beg sandang.

Mengaku buat tuntutan palsu

SEREMBAN – Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan dan bekas Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan dihukum penjara tiga hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mereka mengaku salah membuat tuntutan palsu pada Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Rosidah Hasan, 39, dan Siti Saleha Abdul Rahim, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.
Rosidah yang merupakan Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan dituduh membuat tuntutan elaun fasilitator sebanyak RM800 untuk Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia Kumpulan 1 (Pengurusan dan Profesional) Siri 7 2011 pada 18 hingga 19 Oktober 2011 di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Sepang antara 21 hingga 31 Oktober di Pejabat Pelajaran Negeri Sembilan di sini.
Bagaimanapun, pada tarikh kursus itu diadakan, tertuduh yang telah berkhidmat selama 15 tahun dalam sektor awam tidak hadir sebagai fasilitator.

Rampas bas, belasah pemandu




IPOH - Empat lelaki bersenjatakan sejenis objek keras dan tumpul bertindak merampas sebuah bas henti-henti lalu mencederakan pemandunya sebelum kenderaan tersebut ditemui tersadai di atas pembahagi jalan selepas merempuh sebatang tiang lampu semalam.
Kejadian pukul 6.50 pagi di Jalan Sultan Yusof dekat Padang Ipoh di sini itu berlaku ketika T. Manirajah, 50, yang memandu bas tersebut baru lima minit bertolak dari Stesen Bas Medan Kidd dengan membawa tiga pelajar sekolah yang merupakan penumpang pertamanya.
Manirajah memberitahu, tiba di satu persimpangan lampu isyarat, basnya ditahan oleh empat lelaki berusia awal 30-an.
Katanya, tanpa disangka, keempat-empat suspek itu terus meluru dan menyerangnya sebaik dia membuka pintu bas.
"Salah seorang suspek terus memukul kepala saya dengan objek keras hingga mengeluarkan darah. Saya yang cemas kemudian lari melalui pintu pemandu manakala tiga pelajar berkenaan diarahkan turun oleh penjenayah tersebut," ceritanya yang mendakwa kehilangan RM400 ekoran peristiwa tersebut.

Tiga maut nahas kereta, motosikal


BEGINILAH keadaan kereta Proton Iswara yang dipandu Yu Guang selepas terlibat dalam kemalangan dengan dua buah motosikal di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang pemandu kereta dan dua penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini semalam.
Kejadian pada pukul 5.30 pagi itu berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu Lin Yu Guang, 49, dari pusat bandar ke Kota Tinggi, hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, kereta tersebut kemudian melanggar motosikal yang ditunggang K. Tangam, 26, dan sebuah lagi motosikal dinaiki G. Vikniswaran, 26, dan adiknya, G. Murugan, 24.
"Yu Guang, Tangam dan Vikniswaran mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat manakala Murugan cedera parah dan dirawat di hospital sama," katanya.
Menurutnya, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Uncle Seekers, Nadhirah direman


UNCLE Seekers dan Siti Nadhirah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor semalam.


JOHOR BAHRU – Pengkaji paranormal, Syed Abdullah Hussien Al-Attas, 46, atau popular dengan panggilan Uncle Seekers direman empat hari bermula semalam oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan berhubung penyiaran artikel dalam blognya yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor.
Turut ditahan reman ialah Siti Nadhirah Mohd. Zain, 26, yang merupakan teman wanitanya.
Perintah tahanan ke atas Uncle Seekers dan Siti Nadhirah itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Isa Mohamed kira-kira pukul 4 petang mengikut peruntukan Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972.
Uncle Seekers dan teman wanitanya yang tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 3 petang kelihatan ceria.
Uncle Seekers sempat memberitahu, mereka telah ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur untuk menghantar dokumen ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia malam kelmarin.
Isnin lalu, seramai 30 orang yang mendakwa mewakili suara rakyat Johor membuat laporan polis ke atas Uncle Seekers kerana didakwa menghina dan menabur fitnah terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melalui blognya www.uncleseekers.blogspot.com.

London miliki bangunan tertinggi di Eropah

GAMBAR menunjukkan bangunan tertinggi di Eropah iaitu Shard yang terletak di tebing Sungai Thames, London.


LONDON – Bangunan pencakar langit tertinggi di Eropah, Shard yang dibina dengan 95 peratus dana dari Qatar, dirasmikan di sini semalam.
Struktur besi dan kaca setinggi 310 meter itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Qatar, Hamad Jassem Al-Thani dan Putera Andrew yang merupakan anak lelaki pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II.
Satu pertunjukan cahaya laser dengan iringan muzik orkestra diadakan bagi menyerikan majlis perasmian tersebut.
Perasmian berkenaan menandakan pembinaan bahagian luar bangunan itu telah siap.
Bangunan Shard terletak di tebing selatan Sungai Thames dekat Jambatan London di sini.
Kerja-kerja menyiapkan bahagian dalaman bangunan berkenaan dijangka berterusan sehingga tahun hadapan.
Bangunan itu lebih rendah jika dibandingkan dengan Bangunan Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu yang merupakan bangunan pencakar langit tertinggi di dunia.
Burj Khalifa setinggi 828 meter.
Bagaimanapun, bangunan Shard mengatasi Menara Moscow di Rusia sebagai bangunan tertinggi di Eropah.
Nama Shard diberikan oleh arkitek Itali yang mereka bentuk bangunan berkenaan, Renzo Piano.
Dengan kapasiti boleh memuatkan 12,000 orang, bangunan setinggi 95 tingkat itu akan menempatkan sebuah hotel lima bintang, ruang pejabat seluas 600,000 meter persegi dan beberapa restoran mewah serta kedai.
Bangunan pencakar langit berbentuk meruncing itu juga akan menempatkan 10 unit apartmen.
Setiap apartmen dilaporkan berharga sehingga £50 juta (RM246 juta).
Apartmen di tingkat 53 hingga 65 bangunan itu merupakan kediaman tertinggi di Britain.
Dibina dengan kos £450 juta (RM2.22 bilion), Shard akan dibuka sebagai tarikan pelancong pada Februari depan. Setakat ini lebih 17,500 orang mendaftar secara dalam talian untuk melawat dek pemandangan bangunan tersebut manakala tiket bagi tujuan tersebut boleh ditempah bermula hari ini. – AFP

Pelancong diminta tidak pakai skirt pendek


GAMBAR fail menunjukkan sejumlah pelancong asing menaiki sebuah perahu di Tasik Nagin, Srinagar pada 30 Ogos 2007.


SRINAGAR, India - Sebuah kumpulan Islam di Kashmir India semalam memberi amaran kepada para pelancong supaya mereka tidak memakai skirt pendek dan pakaian yang mendedahkan tubuh badan di wilayah itu.
Kumpulan tersebut, Jamaat-e-Islami meminta lembaga pelancongan di wilayah itu supaya menyokong pendirian mereka.
Menurutnya, para pelancong perlu diberitahu lebih awal supaya berpakaian sopan ketika berada di Kashmir bagi mengelakkan mereka mencetuskan kemarahan golongan ekstremis agama.
"Sejumlah pelancong, terutamanya warga asing, memakai skirt pendek dan pakaian menjolok mata yang bercanggah dengan etika dan budaya tempatan serta tidak dapat diterima dalam masyarakat yang bertamadun," kata jurucakap Jamaat-e-Islami, Zahid Ali.
Sejumlah pelancong kembali mengunjungi wilayah Kashmir yang ditadbir India sejak dua tahun lalu selepas keganasan antara pihak pemisah Islam semakin berkurangan di rantau berkenaan.
Majoriti penduduk wilayah tersebut terdiri daripada orang Islam.
Kashmir terkenal kerana memiliki panorama yang indah seperti rumat bot, banjaran gunung dan tasik. - AFP

No comments:

Post a Comment