Wednesday, July 4, 2012

DULU ADAKAH PERUMAHAN RAKYAT...ADAKAH BANYAK PROJEK2 PERUMAHAN MEWAH...JANGAN KENYATAAN KITA MEMBONGKAR KELEMAHAN DAHULU...SAKIT KITA...

100 batu nisan dilonggok belakang stor



PENDUDUK kampung melihat longgokan batu nisan yang dicabut dan ditinggalkan di Tanah Perkuburan Tok Kembung, Kangar semalam.



KANGAR - Projek menambak dan membersihkan Tanah Perkuburan Islam Tok Kembung, Repoh di sini menimbulkan kontroversi apabila waris dan penduduk sekitar mempersoalkan tindakan pekerja sebuah syarikat kontraktor mencabut batu nisan lebih 100 kubur sebelum dilonggokkan di belakang sebuah stor dekat situ sejak sejak Khamis lalu.
Antara yang terlibat ialah kubur seorang jurutera komputer, Allahyarham Noor Suzaily Mukhtar, 24, mangsa dicekik, dirogol dan diliwat dalam sebuah bas di Klang pada akhir tahun 2000 apabila batu nisannya turut dicabut.
Seorang penduduk, Shuib Abd. Rahman, 62, sedih melihat longgokan batu nisan di situ yang dicabut tanpa diletakkan tanda manakala pokok yang ditebang terbiar begitu sahaja.
"Tergamak mereka buat begini pada tanah perkuburan.
"Masalah timbul jika ada waris tidak pasti kedudukan sebenar kubur ahli keluarga mereka selepas batu nisannya dicabut," katanya.
Menurut Shuib, kubur ibu bapanya turut menjadi mangsa kerakusan para pekerja syarikat kontraktor itu apabila batu nisannya telah tiada manakala kawasan kuburnya pula ditimpa pokok besar yang tidak dialihkan.

Azizan pertahan Rektor Kuin

ALOR SETAR - Sehari selepas lebih 200 kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) mengadakan demonstrasi mendesak Rektornya, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman supaya meletak jawatan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula ada pandangan yang berbeza.
Beliau selaku Pengerusi Kuin mempertahankan Jamil kerana berpendapat institusi pengajian tinggi itu tidak menghadapi masalah seperti yang didakwa.
"Saya bawa dia (Jamil) dari UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) untuk mengembangkan Kuin. Suruh dia letak jawatan buat apa? Tidak masuk akal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan kira-kira 200 kakitangan pusat pengajian tinggi milik kerajaan negeri Kedah itu mendesak Jamil supaya meletak jawatan atau dipecat.
Mereka menyertai demonstrasi yang dinamakan 'Himpunan Aman Bersih Kuin 2.0' selepas kecewa dengan pentadbiran Jamil yang didakwa gagal menjaga kebajikan pekerja dan pelajar serta menutup pintu rundingan untuk mencari penyelesaian adil.
Azizan bagaimanapun mengaku memang ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Kuin sekarang.
"Sememangnya benda baru ni banyak orang tidak puas hati dan banyak perkara orang tidak faham. Lama-kelamaan nanti orang akan faham," katanya.

Kesal tiada projek rumah rakyat di PP



TONG KEONG (kanan) menunjukkan surat mengenai penjualan tanah projek perumahan rakyat Taman Manggis fasa dua di George Town baru-baru ini.



GEORGE TOWN - Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng diminta supaya tidak berdolak-dalik dalam melaksanakan projek perumahan rakyat (PPR), kata Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang.
Ketuanya, Oh Tong Keong berkata, jika kerajaan negeri tidak ada keikhlasan untuk membina rumah rakyat kos rendah dan sederhana, pihaknya bersedia meminta kerajaan Pusat untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan.
Katanya, kerajaan negeri sebaliknya mengelirukan rakyat dalam isu perumahan kos rendah dan sederhana dengan menyatakan tanah yang dijual adalah kerana saiznya yang kecil dan tidak sesuai untuk perumahan rakyat.
"Pihak kerajaan negeri telah menjual tanah kerajaan yang lain kepada pihak swasta untuk pembinaan rumah mewah dan tidak ada rumah rakyat kos rendah dan sederhana dibina," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Tong Keong turut menyoal tindakan kerajaan negeri yang menjual tanah di Taman Manggis dan menafikan wujudnya cadangan pembinaan satu blok tambahan rumah rakyat di bawah fasa dua pembangunan di kawasan berkenaan.

Sri Wani didakwa lambatkan kes

KUALA LUMPUR – Suami kepada Sri Wani Choo Abdullah bertegas mahu menyoal balas isterinya itu berhubung permohonan komital selepas menuduh wanita berkenaan sengaja membuat helah bagi melengah-lengahkan kes mereka di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Bagaimanapun, permohonan Prof. Dr. Bahrom Sanugi itu tidak dibenarkan Hakim Syarie Abd. Walid Abu Hassan kerana keputusan mengenai bidang kuasa mahkamah bagi mendengar segala isu berkaitan perkahwinan mereka hanya akan diputuskan pada 30 Ogos depan.
Keputusan Abd. Walid turut didorong oleh bantahan peguam syarie, Mohamad Azrul Azhan Mohammad Jamil yang mewakili Sri Wani yang tidak mahu membazir masa mahkamah sekiranya soal balas dilakukan memandangkan pihaknya akan memfailkan bantahan kelak.
Terdahulu, peguam syarie Muhammad Hafiz Ab. Rashid yang mewakili Bahrom, 61, selaku pemohon berkata, pihaknya sedia menyoal balas Sri Wani selepas pengusaha butik kecantikan itu telah menyerahkan jawapan bertulis dan alasan mengapa dirinya tidak boleh dipenjarakan kerana menghina mahkamah.
Permohonan komital iaitu tindakan memenjarakan kerana menghina mahkamah difailkan Bahrom selepas mendakwa responden melanggar lapan perintah Mahkamah Tinggi pada 29 Disember 2010 berhubung kes pengesahan cerai dan faraq pasangan itu.

Panggil mak sebelum rentung



KEADAAN rumah yang terbakar dan mengorbankan Mohd. Aminuddin di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru semalam.



JOHOR BAHRU - Seorang ibu hanya mampu meraung-raung apabila mendengar panggilan 'mak' daripada anak bongsunya yang minta diselamatkan ketika terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Jalan Permas 2/2, Permas Jaya di sini semalam.
Nadia Abd. Samad, 25, tidak mampu berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat memusnahkan rumahnya yang baru sehari didiami.
Pada saat ketibaan bomba dan penyelamat sampai, panggilan 'mak' daripada Mohd. Aminuddin Mohd. Nor, 2, sudah senyap.
Kanak-kanak itu kemudian ditemui rentung di atas katil di bilik tidur.
Mohd. Aminuddin yang patah tangan kiri akibat terjatuh seminggu lalu sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya yang kedua pada 19 Julai ini.
Nadia dan keluarganya baru berpindah ke rumah tersebut pada pukul 9 malam kelmarin. Rumah tersebut merupakan rumah keluarga malang itu tetapi sebelum ini rumah tersebut disewakan.
Nadia dan keluarganya tinggal menyewa di Stulang Baru kira-kira 10 kilometer dari Permas Jaya.
Cerita ibu muda itu, ketika kejadian pada pukul 9.15 pagi, Mohd. Aminuddin sedang tidur seorang diri di sebuah bilik di tingkat atas manakala dia serta dua lagi anaknya, Muhammad Amirul Hakim, 6, dan Nur Aisyah Nadirah, 4, berada di tingkat bawah.
"Selepas memandikan Muhammad Amirul dan Nur Aisyah, saya lihat Mohd. Aminuddin masih tidur jadi saya pula yang mandi. Selesai mandi tiba-tiba saya terdengar Mohd. Aminuddin menangis dengan memanggil 'mak'.
"Saya kemudian nampak asap dari tingkat atas tetapi saya tidak boleh naik ke tingkat atas kerana asap tebal. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kecuali mendengar Mohd. Aminuddin memanggil saya," katanya.

3 timbalan pendakwa raya disapina

SHAH ALAM - Tiga timbalan pendakwa raya dalam kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain semalam disapina bagi menjadi saksi dalam permohonan pihak pembelaan untuk membuang dua eksibit dalam kes tersebut.
Tiga timbalan pendakwa raya berkenaan ialah Ishak Mohd. Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani.
Dua eksibit itu merupakan nota prosiding membabitkan kes dua saksi pendakwaan, U. Suresh dan K. Sarawanan yang didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas kesalahan melupuskan bukti dalam kes pembunuhan itu.
Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka.
Terdahulu, peguam Gurbachan Singh yang mewakili tertuduh kedua, T. Thilaiyangan mengemukakan permohonan untuk membuang dua dokumen berkenaan sebagai eksibit atas alasan ia tidak relevan dengan perbicaraan kes tersebut.
Peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N. Pathmanabhan pula berkata, rasional pihak pendakwaan mengemukakan dua eksibit itu di akhir kes pendakwaan sebelum ini adalah untuk mencabar kredibiliti Suresh dan Sarawanan yang didakwa berpaling tadah.

4 VIP antara 100 bookie ditahan



MOHD. BAKRI menunjukkan gambar-gambar serbuan dalam Ops Soga di seluruh negara pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.



KUALA LUMPUR - Kemeriahan kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 yang berlangsung selama sebulan berakhir pada Isnin lalu mengheret 100 individu termasuk empat orang kenamaan (VIP) ke dalam lokap kerana bertindak sebagai bookie.
Kesemua mereka yang terdiri daripada 83 lelaki dan 17 wanita berusia 20 hingga 65 tahun itu diberkas secara berasingan dalam Ops Soga di seluruh negara.
Dalam operasi selama dua bulan sejak 1 Mei lalu, sebanyak 148 serbuan dilakukan dengan 61 serbuan tersebut berjaya.
Nilai pertaruhan daripada 61 serbuan yang berjaya dibongkarkan dianggarkan berjumlah RM49.9 juta.
Negeri yang mencatatkan tangkapan tertinggi dalam Ops Soga ialah Johor seramai 10 orang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, daripada jumlah keseluruhan tangkapan itu, empat daripada mereka ialah warga asing iaitu dua warga Singapura dan dua warga Indonesia.
"Ops Soga dilakukan hasil risikan serta perkongsian maklumat dengan beberapa agensi dalam negara dan negara-negara lain seperti China, Macau, Hong Kong dan Vietnam.
"Siasatan mendapati nilai pertaruhan tertinggi yang diterima sepanjang kejohanan Euro 2012 berlangsung ialah RM14 juta iaitu di Johor," kata beliau pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini semalam.

Tauke nasi kandar ditahan miliki pistol, peluru

GEORGE TOWN – Seorang tauke restoran nasi kandar popular di sini ditahan apabila polis menjumpai sepucuk pistol bersama beberapa butir peluru yang disembunyikan di dalam kereta yang dipandunya.
Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di hadapan sebuah pusat snuker dekat Jelutong kira-kira pukul 11.30 malam kelmarin oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) yang melakukan operasi cegah jenayah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung senjata api itu membuat pemeriksaan terhadap suspek dan memeriksa kereta dipandunya jenis Proton Perdana.
Menurut beliau, tiada kekasaran atau pergelutan semasa pemilik dua buah restoran nasi kandar di Jelutong dan Relau itu diperiksa, malah suspek memberikan kerjasama mengikut arahan polis.

Nelayan cerita pengalaman nyaris maut dirempuh bot pancung



ABD. MALEK (berdiri) dan Mohamad Nazri menunjukkan kerosakan pada bot mereka selepas dilanggar bot pancung di perairan Pengerang, Kota Tinggi semalam.



KOTA TINGGI – “Pada masa itu, saya hanya fikir pasal mati sahaja, bot pancung yang besarnya empat kali ganda daripada bot saya tiba-tiba seperti terbang lalu merempuh bot dan kipas enjin yang berputar laju pada bot itu hanya seinci daripada kepala saya.”
Demikian detik-detik cemas yang dialami nelayan bot dalam, Abd. Malek Abd. Rahim, 50, yang hampir kehilangan nyawa apabila sebuah bot pancung haram dari arah Tanjung Balau, kira-kira 12 batu nautika timur laut Tanjung Penyusop, Pengerang di sini melanggar botnya ketika dia sedang memukat ikan semalam.
Mengimbau semula kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, Abd. Malek memberitahu, seperti kelaziman, dia bersama adik iparnya, Mohamad Nazri Rahim, 23, keluar menangkap ikan pada pukul 1.30 pagi.
Mereka begitu teruja apabila berjaya menangkap lebih daripada 100 kilogram ikan seperti talang, kurau dan tenggiri dan berhasrat untuk berada lebih lama di laut.
Bagaimanapun, akibat keletihan, Mohamad Nazri tertidur sementara dia terus memukat.

Pejabat Presiden Mesir dikerumuni rakyat



BEBERAPA penduduk mengetuk pintu pejabat Morsi manakala seorang lagi cuba memanjat pintu itu di Kaherah semalam.



KAHERAH - Ratusan penduduk Mesir mula mengunjungi pejabat Presiden Mesir, Mohammed Morsi di sini bagi mengadu masalah dan mencari penyelesaian daripadanya.
Pada Sabtu lalu, Morsi menyatakan pintunya akan dibuka kepada semua penduduk Mesir selepas beliau mengangkat sumpah jawatan.
Beberapa kakitangannya membenarkan para penunjuk perasaan untuk memasuki pejabat Morsi dan menyerahkan tuntutan permintaan mereka.
Seorang penduduk, Shehata Etman yang bekerja di sebuah kilang di Alexandria menyatakan beliau dipaksa untuk bersara awal dan tidak dibayar gaji.
Shehata mahu Morsi menyelesaikan masalah tersebut.
Beberapa wanita turut bergegas memasuki pejabat tersebut tetapi sempat dihalang oleh beberapa pengawal keselamatan.
Situasi itu tidak pernah dilihat semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak yang meletakkan jawatan pada Februari tahun lalu.
Semalam, 50 guru mengadakan tunjuk perasaan bagi meminta mereka dijadikan staf tetap.
Tunjuk perasaan itu diadakan di depan pejabat Morsi. - AFP

Ikan paus tiga tan ditemui mati



SEEKOR ikan paus seberat tiga tan terdampar di sebuah pantai dekat Puerto Eten kelmarin.



PUERTO ETEN, Peru - Seekor ikan paus spesies humpback sepanjang tujuh meter ditemui mati terdampar di sebuah pantai dekat sini kelmarin.
Menurut laporan media, pakar-pakar hidupan marin mengumpulkan sampel daripada ikan seberat tiga tan itu bagi mengetahui punca kematian haiwan tersebut. - REUTERS

No comments:

Post a Comment