Monday, July 2, 2012

KITA USAHA JE...KETENTUAN ALLAH...JANGAN MEMBUAT KEMUNGKARAN SECARA TERANG2AN...MENCABAR KETENTUAN ALLAH....

Bujang Sebelak masuk perangkap

ORANG ramai memikul bangkai Bujang Sebelak untuk dibawa ke pekan Roban selepas ia ditangkap dan dibunuh semalam.


SARATOK - Buaya ganas yang dalam buruan sejak 14 hari lalu, Bujang Sebelak akhirnya ditangkap dan dibunuh selepas ia kembali menggemparkan pekan Roban di sini dengan membaham isteri ketua Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Siah Munsong, 42, pada 19 Jun lalu.
Buaya jantan seberat 200 kilogram dan panjang 3.65 meter itu ditangkap oleh pawang buaya terkenal, Indet Sanabong, 49.
Bangkai itu disahkan sebagai Bujang Sebelak berdasarkan mata kirinya yang buta selain dua kesan tembakan pada bahagian bawah rahang kirinya. Tembakan senapang itu dilepaskan oleh penduduk pada hari buaya itu membaham Siah.
Indet memberitahu, Bujang Sebelak telah memakan umpan daging anjing putih yang dipasang di Sungai Nyiar, kira-kira tiga kilometer dari Rumah Panjang Nanga Sungai Anak petang kelmarin.
Dia kemudian menaiki perahu bersama adiknya, Tinggi Sanabong, 45, serta dua lagi pembantu untuk melihat umpan sebelum menyedari boya yang dipasang telah beralih tempat, iaitu satu petanda umpannya telah mengena.
Mereka mengambil masa sejam untuk bertarung menaikkan Bujang Sebelak.

Mayat lelaki tua dalam perigi


AHLI keluarga mangsa menunggu di luar rumah ketika polis menjalankan siasatan mengenai kematian Fook San di Bukit Sebang, Tampin kelmarin.


ALOR GAJAH - Kegagalan seorang lelaki warga emas menjawab panggilan telefon daripada ahli keluarganya sejak Sabtu lalu terungkai apabila dia ditemui mati dibunuh dengan mayatnya dicampak ke dalam perigi di rumahnya di Bukit Sebang, Tampin dekat sini kelmarin.
Mayat Yau Fook San, 68, yang masih bujang ditemui di dalam perigi sedalam lapan meter oleh ahli keluarganya yang datang ke rumah mangsa pada pukul 4.20 petang untuk mencarinya selepas lelaki itu gagal dikesan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, ahli keluarga mangsa mengetahui mayat Fook San berada di dalam perigi selepas melihat kesan tompokan darah pada peti sejuk yang terletak berhampiran perigi tersebut.
"Ekoran itu, keluarga mangsa membuat laporan polis dan pemeriksaan di tempat kejadian menjumpai mayat Fook San yang ditutup dengan enam buah kusyen.
"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa cedera di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat," kata beliau ketika dihubungi di sini.
Menurut beliau, disebabkan perigi itu cetek, pihaknya meminta bantuan pasukan bomba dan penyelamat untuk menambah air bagi menaikkan aras air perigi supaya memudahkan pihaknya menaikkan mayat Fook San.

Parah ditendang pelesit rempit


ABDUL MAJID (kanan) melihat kecederaan Zuherry ketika melawat anggota polis itu di Hospital Kluang, Johor semalam.


KLUANG - Sekumpulan enam pelesit rempit yang berang apabila kegiatan haram mereka cuba diganggu bertindak ala samseng apabila menendang motosikal dinaiki seorang anggota polis hingga menyebabkan mangsa cedera parah dalam kejadian di Machap dekat sini semalam.
Kejadian pukul 2.45 pagi itu menyebabkan Konstabel Zuherry Zulkifli, 22, patah tangan kiri selain terpaksa menerima sembilan jahitan di tapak tangan kanan dan cedera di dagu.
Mengimbau semula kejadian itu, Zuherry memberitahu, dia yang sedang melakukan rondaan bersendirian dengan memakai seragam polis telah terserempak dengan sekumpulan pelesit rempit menunggang lima buah motosikal dalam keadaan laju dan bahaya di Kampung Batu 6, Jalan Machap-Ayer Hitam.
Katanya, dia cuba mengejar kumpulan tersebut tetapi gagal sebelum membuat keputusan untuk pulang ke Balai Polis Simpang Renggam.
"Tanpa disangka, pelesit rempit itu mengejar saya pula. Sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z kemudian menghimpit saya sebelum pemboncengnya mengugut untuk menendang saya jika enggan berhenti.
"Saya terus beredar kerana bimbang mengenai keselamatan diri. Bagaimanapun, selepas bergerak kira-kira 200 meter, pembonceng motosikal Yamaha 125Z itu terus menendang motosikal saya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Kluang di sini semalam.

Personaliti TV Singapura hilang kereta



JOHOR BAHRU – Polis masih menyiasat dan mengesan kereta Nissan Sunny milik personaliti televisyen (TV) Singapura yang hilang selepas dilarikan dua penjenayah berhampiran gerai buah-buahan di Jalan Susur 5, Larkin kelmarin.
Semasa kejadian pukul 12.40 pagi, personaliti TV yang bertugas di salah sebuah saluran popular di Singapura, Rita Zahara Mohd. Nazeer, 37, memberhentikan keretanya kira-kira 30 meter dari deretan gerai buah di situ.
Dia kemudian dengan enjin kereta masih hidup membiarkan dua anaknya (seorang lelaki, seorang perempuan), seorang adiknya serta pembantu rumah menunggu di dalam kereta tersebut.
Jarak gerai buah dengan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) kira-kira tiga kilometer (km).
Bagaimanapun, selepas selesai membeli buah-buahan dalam tempoh 10 minit, Rita terkejut mendapati kereta bersama anak-anak, adik serta amahnya hilang.
Panik dengan keadaan tersebut, Rita menghubungi adiknya sebelum panggilan tersebut dijawab oleh seorang lelaki.
Selepas empat jam, dua anak Rita, adik serta pembantu rumah personaliti TV itu ditemui selamat ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Nora, Ulu Tiram yang terletak kira-kira 20km dari lokasi kereta itu hilang.
Bagaimanapun, kereta Nissan Sunny milik Rita belum ditemui.
Mengikut laporan Channel News Asia, Rita mendakwa jumlah kerugian yang dialaminya akibat kehilangan kereta dan barang-barang berharga dalam kereta tersebut bernilai RM199,718.

Samun mesin ATM: Lelaki Mesir ditahan

SUSPEK warga Mesir dibawa ke pasar raya besar Carrefour Wangsa Maju semalam bagi membantu siasatan kes pecah mesin ATM.


KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki warga Mesir bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun empat buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di pasar raya besar Carrefour di Wangsa Maju di sini kelmarin.
Lelaki warga asing berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai itu ditahan pada pukul 2 petang semalam di kawasan Wangsa Maju tidak jauh dari lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan tangkapan terhadap lelaki itu.
"Setakat ini hanya seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan dan penyiasatan lanjut berhubung kejadian kehilangan wang di mesin ATM tersebut masih diteruskan," katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti suspek itu termasuk kemungkinan ada rampasan wang.
Akhbar semalam melaporkan sebanyak empat buah mesin ATM yang terletak di aras satu Carrefour di Wangsa Maju disamun sekumpulan penjenayah profesional menyebabkan kerugian sebanyak RM1.17 juta.
Dalam kejadian pada pukul 3.06 pagi itu, kumpulan suspek dipercayai lebih daripada dua orang menebuk pintu kayu yang terletak di belakang premis pasar raya itu sebelum memecah mesin ATM dengan alat pemotong besi menggunakan gas Oxy-Acetylene.

Bas terbalik: 17 penumpang cedera


KEADAAN bas persiaran yang terbalik di Kilometer 457.7 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh dekat Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Seramai 29 penumpang dan seorang pemandu sebuah bas persiaran melalui detik-detik mencemaskan apabila kenderaan yang mereka naiki terbalik di Kilometer 457.7 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh menghala ke Utara di sini semalam.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Zulkifli Joned berkata, kemalangan pada pukul 3 petang itu dipercayai berlaku setelah bas tersebut terbabas ekoran jalan licin selepas hujan lebat.
“Sebelum kejadian, bas yang dalam perjalanan ke Butterworth itu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan terbalik ke sebelah kiri lebuh raya,” kata beliau ketika dihubungi.

Taktik baharu penyeludup


RUSLI (kanan) bersama anggota UPP menunjukkan sebahagian mercun dan bunga api yang dirampas di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Bagi mengelak tindakan penguatkuasaan yang ketat menjelang bulan Ramadan, para penyeludup di kawasan sempadan dikesan giat melakukan aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api lebih awal berbanding biasa.
Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan, Rusli Karim berkata, penyeludup dikesan telah membawa masuk barangan larangan tersebut untuk dipasarkan menjelang Hari Raya Aidilfitri, Ogos nanti.
Menurut beliau, UPP awal pagi semalam berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api selepas menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kebun getah di Kampung Bendang Ikan, Baruh Pial, Rantau Panjang.
Katanya, rumah berkenaan dipercayai menjadi pusat transit dan tempat pengumpulan barangan seludup.
“Dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu, kita menemui dalam sebuah stor 120 buah kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api.
“Kesemua mercun yang dianggarkan bernilai RM120,000 itu dipercayai untuk pasaran Lembah Klang menjelang musim perayaan ini,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar semalam.

Roket dari Lebanon serang pos imigresen di Syria

ASAP menjulang dari Kampung Azaz dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Syria di Aleppo, Syria semalam.


BEIRUT - Satu serangan roket yang dilancarkan dari Lebanon menyebabkan dua anggota polis sempadan Syria cedera semalam.
"Menjelang subuh, beberapa lelaki bersenjata melancarkan serangan roket dari Buqaya di wilayah Lebanon ke arah Syria dan mengenai sebuah pos imigresen Syria serta mencederakan dua anggota polis pengawal sempadan," menurut satu kenyataan daripada agensi Keselamatan Awam Lebanon.
Ia merupakan laporan pertama yang pernah diketahui tentang serangan roket dari negara tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, ketika anggota-anggota polis sempadan Syria mengejar lelaki bersenjata tersebut, satu serangan roket itu dilancarkan.
Lelaki-lelaki bersenjata yang melancarkan serangan tersebut berjaya melarikan diri.
Sementara itu, kerajaan Arab Saudi meminta rakyatnya tidak berkunjung ke Lebanon ekoran kebimbangan berhubung keadaan keselamatan di negara berkenaan disebabkan pergolakan antara negara tersebut dengan Syria.
Arab Saudi menyertai beberapa negara Teluk lain termasuk Bahrain, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu dalam menasihati rakyat mereka supaya menjauhi Lebanon.
Negara berkenaan menyaksikan beberapa kejadian pertempuran jalanan yang berlaku pada awal tahun ini yang didorong oleh kebangkitan rakyat di Syria.
"Ekoran situasi tidak menentu di Lebanon sekarang ini, Kementerian Luar memberi amaran kepada rakyat Arab Saudi agar tidak berkunjung ke Lebanon demi keselamatan mereka," kata seorang pegawai kementerian berkenaan yang dipetik agensi berita rasmi SPA.
Negara Teluk Arab terutamanya Arab Saudi dan Qatar dilihat menyokong kebangkitan antipemerintah di Syria dengan membayar gaji askar pemberontak di negara itu dan menggesa supaya pihak penentang Presiden Syria, Bashar Al-Assad dilengkapi senjata.
Sebelum ini, ramai pelancong rantau Teluk Arab melawat Lebanon terutamanya pada musim panas sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara itu yang terjejas teruk akibat pergolakan di Syria.
Kumpulan penyokong dan penentang Bashar sebelum ini bertempur di bandar pelabuhan Tripoli dengan kawasan sempadan Lebanon turut digunakan oleh pemberontak untuk menyeludup senjata ke Syria.
Arab Saudi turut meminta masyarakat antarabangsa supaya mengambil "tindakan tegas" bagi menamatkan pertumpahan darah di Syria.
"Arab Saudi meminta masyarakat antarabangsa mengambil langkah tegas bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai (penduduk Syria), kata kerajaan seperti yang dilaporkan agensi berita rasmi SPA.
Kenyataan tersebut disiarkan selepas satu mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah.
Gesaan tersebut dibuat ketika beberapa helikopter tempur Syria mengebom beberapa kawasan di pinggir ibu kota Syria, Damsyik semalam.
Pada masa yang sama, Turki menyatakan pihaknya mengerahkan beberapa jet pejuang ke kawasan sempadan di utara negara itu.
Tindakan tersebut dibuat ketika konflik selama 16 bulan di Syria menjadi semakin ganas dengan usaha diplomasi dilihat menemui kegagalan.
Pertempuran kini sampai ke pinggir bandar raya Damsyik sejak beberapa minggu lalu dan turut sengit di seluruh Syria ekoran perjuangan untuk menjatuhkan Bashar kini memasuki fasa perang saudara. - Agensi

Ibu kota pentadbiran baharu Korea Selatan


PEMANDANGAN di kawasan kediaman ibu kota pentadbiran Korea Selatan di bandar Sejong semalam.


BANDAR SEJONG - Majlis pelancaran ibu kota pentadbiran baharu yang akan menempatkan sebahagian besar pentadbiran negara Korea Selatan diadakan di sini semalam.
Pembukaan majlis itu menamatkan perbalahan selama sedekad berhubung projek berkenaan yang dianggap sebahagian pengkritik sebagai bermotifkan politik.
Sekitar 2,000 penduduk dan orang kenamaan dari sini menghadiri majlis pelancaran pusat pentadbiran baharu itu yang menelan belanja AS$19.4 bilion (RM61.6 bilion) apabila ia siap sepenuhnya.
Tujuan bandar raya pentadbiran tersebut dibina antara lain adalah untuk mengurangkan kesesakan di ibu kota Korea Selatan, Seoul.
"Bandar raya ini akan membuka era baharu dalam sejarah pembangunan seimbang Korea Selatan," kata Perdana Menteri, Kim Hwang-Sik.
Bandar Raya Sejong yang terletak 120 kilometer ke selatan Seoul akan menempatkan 16 kementerian atau agensi dan 30 bangunan pusat pentabdiran yang buat masa ini terletak di ibu negara Korea Selatan.
Lebih 10,000 kakitangan awam akan bekerja di pusat pentadbiran baharu tersebut. - AFP

Kompleks beli-belah untuk pelancong Sukan Olimpik


BEBERAPA orang berjalan di luar pusat beli-belah Westfield Stratford City di timur London.


LONDON - Pusat beli-belah Westfield Stratford City di sini mempunyai 150 kedai, 70 restoran, 14 lorong boling dan kasino yang boleh dikunjungi selama 24 jam sehari.
Menurut pengarah pembangunan pusat beli-belah itu, John Burton, beliau berharap ia akan menjadi daya tarikan buat peminat sukan yang datang ke sini untuk menyaksikan Sukan Olimpik yang bermula pada 27 Julai hingga 12 Ogos depan.
Pusat beli-belah itu bernilai AS$2.75 bilion (RM8.69 bilion) dan terletak antara pusat pengangkutan awam dengan pintuk masuk ke Taman Olimpik. - AP

Rekod unik dicipta di Los Angeles


DUA buah kereta bergerak melalui gelung mainan di Los Angeles pada Sabtu lalu.


LOS ANGELES - Seorang pelagak ngeri Hollywood, Greg Tracy dan pelumba kereta rally, Tanner Foust mencipta rekod dunia di sini pada Sabtu lalu.
Kedua-dua mereka mencipta rekod Guinness World Records apabila memandu kereta melalui gelung mainan setinggi 18.28 meter. - Agensi

No comments:

Post a Comment