Tuesday, August 21, 2012

ADA BERHUTANG SIKIT TAK LUPUS....ADA HUTANG BERJUTA2 LUPUS...HAIRAN BIN PELIK

Hidup sesak dibelenggu hutang

Kegilaan rakyat Malaysia membeli-belah menjelang musim perayaan menyebabkan hutang mereka turut meningkat. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Kegilaan masyarakat negara ini menjalani gaya hidup moden dengan berhutang keliling pinggang begitu menggerunkan apabila maklumat terkini menunjukkan lebih enam juta isi rumah di Malaysia mempunyai jumlah hutang terkumpul sebanyak RM653 bilion.
Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.
Pembiayaan sewa beli kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan adalah tiga punca utama golongan tersebut terpaksa menanggung hutang yang banyak.
Lebih memburukkan keadaan, ketiga-tiga hutang berkenaan memakan masa berpuluh tahun untuk diselesaikan.
Ia disebabkan sikap segelintir peminjam bertindak menambah lagi pinjaman ketika pinjaman asal masih belum selesai sekali gus menyebabkan hutang mereka terus bertambah.
Bagi golongan isi rumah dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan pula, hampir separuh daripada jumlah itu terpaksa digunakan untuk membayar hutang berkenaan.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin (gambar) berkata, jumlah hutang yang terlalu tinggi dalam kalangan isi rumah akan mengurangkan keupayaan mereka untuk berbelanja.
Beliau berkata, kebanyakan daripada jumlah gaji yang diterima oleh mereka terpaksa diperuntukkan untuk tujuan membayar semula hutang.
“Akibatnya, ia bukan sekadar memberi kesan kepada individu itu sendiri, malah ekonomi negara turut terjejas kerana penggunaan isi rumah merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Mangsa simbahan asid cekal sambut Aidilfitri


Mohd. Raffie melihat kembali laporan Kosmo! mengenai nasib malangnya disimbah asid tahun lepas.


KUALA LUMPUR - Tiada yang lebih menggembirakan hati umat Islam pada Hari Raya Aidilfitri selain memakai baju baru dan berkunjung ke rumah sanak saudara.
Namun kegembiraan seperti itu bagaikan sudah berlalu bagi mangsa simbahan asid, Mohd. Raffie Abdul Latiff, 29.
Dia terpaksa menerima hakikat kesempurnaan fizikal yang dimilikinya dahulu telah diragut sekelip mata selepas wajahnya melecur teruk akibat disimbah asid dalam satu kejadian pada 8 Ogos tahun lalu.
Menurutnya, biarpun sudah genap setahun kejadian malang itu, kedatangan Syawa dirasakan hambar kerana dia masih trauma dengan peristiwa hitam itu.
"Tiada istilah hari raya bagi saya. Sambutan Aidilfitri saya tidak seceria seperti tahun-tahun sebelum ini.
"Begitupun, saya bersyukur kerana masih hidup dan berpeluang berhari raya bersama keluarga. Tahun lalu saya cuma beraya di katil hospital," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya di sini baru-baru ini.

Ibu, dua anak maut kereta bertembung lori ais

KOTA BHARU - Seorang ibu dan dua anak maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori ais di Kampung Pak Badol dekat sini pagi semalam.
Dalam kejadian tersebut yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu, kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga beranak malang itu bersama seorang lagi kanak-kanak sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu ke Pasir Puteh.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superitenden Ab. Rahim Che Ghani memberitahu, mangsa yang terbunuh ialah Maisara Mohd. Ali, 34 (gambar) dan dua anaknya, Zakiah Hanim Uda, 4 dan Rashidah, 7.
Menurutnya, seorang lagi mangsa yang cedera dikenali sebagai Aisyah Syafikah, 7, yang merupakan anak saudara kepada Maisara.
"Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Maisara cuba memotong sebuah kenderaan lain tetapi gagal dan bertembung dengan lori ais dari arah Pasir Puteh ke Kota Bharu.
"Rashidah meninggal dunia ditempat kejadian manakala ibu dan adiknya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, mangsa yang cedera kini dirawat di HUSM dan keadaannya stabil. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kosmo! Ahad difahamkan Maisara dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Selising, Pasir Puteh selepas menghantar suaminya, Uda Samirin, 31, ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa kerana ada urusan di Johor Bahru.

Obama kecewa band punk dipenjara

SEORANG anggota polis menangkap penyokong band punk wanita di luar sebuah mahkamah di Moscow kelmarin.


WASHINGTON - Seorang jurucakap White House, Josh Earnest kelmarin menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama kecewa dengan keputusan seorang hakim Rusia menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap sebuah kumpulan punk wanita yang menyanyi lagu mengkritik pemimpin negara itu, Vladimir Putin di dalam sebuah gereja di sini.
Ketika kumpulan itu menyanyi pada 21 Februari lalu, Putin masih menjadi Perdana Menteri Rusia.
Tiga anggota wanita band punk tersebut menyanyi lagu supaya Rusia diselamatkan daripada pemerintahan Putin kerana keputusannya untuk bertanding sebagai Presiden Rusia.
Putin kini menjadi Presiden buat kali kedua selepas beliau memenangi pilihan raya pada Mac lalu.
Menurut Earnest, pentadbiran Obama berasa bimbang dengan cara wanita-wanita muda itu diadili sistem kehakiman Rusia.
Anggota-anggota kumpulan itu ditangkap pada Mac lalu.
Canselor Jerman, Angela Merkel turut mengutuk hukuman tersebut dengan menyatakan ia tidak konsisten dengan nilai-nilai demokrasi Eropah.
Hakim ketika membuat keputusan dalam kamar sebuah mahkamah di Moscow menyatakan ketiga-tiga anggota band Pussy Riot itu, Nadezhda Tolokonnikova, 22, Marina Alyokhina, 24, dan Yekaterina Samutsevich, 30, didapati bersalah melakukan tindakan buas dengan sengaja untuk menghasut kebencian agama.
Ekoran hukuman itu, enam orang turut ditangkap di New York kerana menunjuk perasaan membantah hukuman tersebut.
Perhimpunan bagi menentang hukuman ke atas band itu turut berlaku di London, Kiev, Sofia, Barcelona, Brussels dan Paris.
Di Kiev, Ukraine, seorang anggota hak asasi wanita, Inaa Shevchenko turut menunjuk perasaan dengan mendedahkan payu daranya.
Seramai 30 orang penyokong kumpulan itu ditangkap di luar bangunan mahkamah di Moscow termasuk seorang pemimpin pembangkang, Sergei Udaltsov. - Agensi

Tengkorak buruh ditembusi besi


GAMBAR menunjukkan pancang besi menembusi tengkorak Leite.


RIO DE JANEIRO - Beberapa doktor menyatakan seorang pekerja binaan berusia 24 tahun terselamat walaupun selepas sebuah pancang besi berukuran 1.8 meter menimpa dan menembusi kepalanya.
Seorang pegawai Hospital Miguel Couto di sini memberitahu rangkaian televisyen tempatan Globo, sepasukan doktor mengeluarkan besi itu daripada tengkorak mangsa, Eduardo Leite dalam satu pembedahan yang mengambil masa selama lima jam.
"Satu keajaiban telah berlaku kerana Leite selamat dalam insiden tersebut," katanya.
Batang besi itu, katanya, jatuh dari tingkat lima sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di sini.
Pancang tersebut menembusi belakang tengkorak. Kemalangan dan pembedahan itu dilakukan pada Rabu lalu. - Agensi

Bayi 9 bulan tidak boleh telan air liur


NOORZAINALIZA Hashim sentiasa di sisi bayinya, Siti Nur Alia Sofea yang menghadapi masalah tidak boleh menelan air liur sendiri di Tanjung Mergong Jaya, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Kelahiran Siti Nur Alia Sofea Noor Hashimuddin yang kini berusia sembilan bulan memang amat dinanti-nantikan sepasang suami isteri yang sudah sedekad mendirikan rumah tangga.
Namun takdir Tuhan tiada siapa yang tahu apabila pasangan berkenaan terus diduga apabila anak tunggal mereka itu disahkan mengalami masalah kesihatan serius.
Siti Nur Alia Sofea tidak dapat menelan air liurnya sendiri sekali gus menyebabkan ce memasuki paru-paru dan merosakkan organ penafasan bayi tersebut.
Bukan itu sahaja, bayi comel itu turut disahkan mengalami kecacatan otak.
Bapa bayi tersebut, Noor Hashimuddin Kamaruddin, 40, berkata, doktor memaklumkan keadaan itu berlaku disebabkan bayinya hampir lemas semasa dalam kandungan isterinya, Noorzainaliza Hashim, 36.
Beliau berkata, ketika masalah tersebut berlaku, bayinya berusia lapan bulan dan isterinya terpaksa dibedah bagi menyelamatkan bayi.
"Anak saya selamat dilahirkan tetapi dia koma selama sebulan sebelum sedarkan diri dan menunjukkan perkembangan kesihatan lebih baik," katanya ketika ditemui di rumah kakak iparnya di Taman Mergong Jaya di sini semalam.

Penduduk kampung terpencil di Kuala Krai menanti 60 tahun untuk dapat bekalan elektrik Seronok disinari cahaya Syawal


KELUARGA Shafie kini dapat menggunakan kemudahan peralatan seperti televisyen, kipas angin dan radio selepas rumah mereka mendapat bekalan elektrik.


KUALA KRAI – Suasana sambutan Aidilfitri pada tahun ini pasti paling menyeronokkan bagi penduduk Kampung Keluat di sini memandangkan inilah kali pertama mereka menyambutnya dengan rumah masing-masing diterangi lampu elektrik.
Ia sekali gus menamatkan penantian penduduk di situ yang sejak sebelum merdeka hidup diterangi lilin dan pelita minyak tanah sahaja.
Bagi Zaiton Abdul Razak, 46, keseronokan menyambut Aidilfitri amat dirasai oleh ahli keluarganya sejak adanya bekalan elektrik itu.
“Anak-anak tak sabar-sabar minta beli lampu kelip-kelip untuk dipasang di luar rumah. Semalam (kelmarin) saya beli dan terus pasang. Sukanya hati. Selama ini kami hanya tengok rumah orang di kampung lain pasang lampu kelip-kelip,” katanya.
Selama bertahun-tahun hari raya penduduk Kampung Keluat cuma ditemani cahaya pelita sehinggakan kadangkala muka mereka jadi hitam akibat terkena jelaga pelita.
Zaiton adalah antara penghuni 12 buah rumah di kampung tersebut yang baru menikmati bekalan tenaga elektrik bulan lepas.
Penyaluran bekalan elektrik itu dilaksanakan melalui program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM964,000.
Kampung Keluat tidak mendapat bekalan elektrik sejak 60 tahun lalu disebabkan halangan fizikal kerana ia dipisahkan oleh Sungai Kelantan daripada perkampungan lain.
Keadaan itu menyebabkan kos menyalurkan bekalan elektrik ke kampung tersebut terlalu tinggi.

No comments:

Post a Comment