Bahana tegur adik ipar
|
MELAKA – Niat murni seorang lelaki yang menegur adik iparnya yang didakwa kerap memukul isteri berakhir dengan mangsa mati ditikam oleh pemuda itu di sebuah rumah di Kampung Serkam Pantai di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam, mangsa, Rashid Ahmad, 46, meninggal dunia di Hospital Melaka pada pukul 1.40 pagi semalam selepas mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang kiri akibat ditikam adik iparnya yang berusia 41 tahun.
Amat menyedihkan apabila tragedi berdarah tersebut berlaku di rumah ibu Rashid pada hari raya keempat ketika suspek, mangsa bersama sanak saudara berkumpul di rumah tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan polis mendapati sebelum kejadian mangsa yang bekerja sebagai jurukimpal di Muar, Johor dikatakan menegur sikap adik iparnya itu ekoran suspek didakwa kerap memukul isterinya yang merupakan adik perempuan mangsa.
“Teguran mangsa menyebabkan suspek marah lalu berlaku pergaduhan dan pergelutan.
“Semasa pergelutan suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam mangsa,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Melaka di sini.
Menurut beliau, selepas ditikam mangsa yang masih bernyawa dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan tetapi dia disahkan meninggal dunia pada pukul 1.40 pagi.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kata beliau, polis belum menahan suspek kerana lelaki itu menghilangkan diri dengan memandu sebuah kereta Proton Iswara berwarna hitam selepas kejadian tersebut.
Sementara itu, isteri Rashid, Siti Hawa Ibrahim, 44, berkata, dia tidak sangka teguran suaminya terhadap adik iparnya boleh mencetuskan pergaduhan sehingga meragut nyawanya.
“Ketika kejadian saya dan sanak saudara berada di dalam rumah manakala suami dan adik ipar berada di luar rumah selepas suami selesai menunaikan solat Maghrib.
“Saya hanya mengetahui suami saya ditikam selepas terdengar jeritan kuat ‘sakit’, ‘sakit’,” ceritanya ketika ditemui di Kampung Serkam Pantai di sini.
Siti Hawa memberitahu, dia yang keluar melihat apa yang berlaku nampak adik iparnya memegang sebilah pisau manakala suaminya terbaring berlumuran darah.
Kata wanita itu lagi, suspek kemudian menghantar suaminya ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan sebelum menghilangkan diri sebaik menurunkan mangsa di Wad Kecemasan Hospital Melaka.
Jenazah Rashid yang merupakan bapa kepada tiga orang anak berusia antara sembilan hingga 14 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri Muar, Johor semalam.
Keluarga Pak Tam rayu bantuan
|
PONTIAN - Keluarga kepada Sheikh Faeizan Omar, 23, (gambar kecil) atau Pak Tam yang kini ditahan di penjara Taiwan kerana disyaki membawa dadah, merayu badan-badan bukan kerajaan membantu membebaskan anak mereka itu.
Ibunya, Hadiah Gondet, 53, berkata, dalam surat yang dikirimkan dua minggu sebelum Ramadan, Pak Tam memberitahu, rayuan yang dibuatnya di Mahkamah Taiwan sebanyak tiga kali telah ditolak.
"Dia juga mengulangi permintaan supaya membantu membebaskannya," katanya ketika ditemui di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas di sini semalam.
Kisah Pak Tam pernah menggemparkan negara apabila dia ditahan oleh pihak berkuasa Taiwan di Taipei pada 24 Mac 2008 selepas menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik operasi menghantar barangan kristal ke Taiwan.
Remaja itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana didapati membawa keluar heroin seberat 2.1 gram di dalam begnya.
Mengulas mengenai perkembangan Pak Tam sekarang, Hadiah memberitahu, pada Ramadan lalu, dia hanya berpeluang bercakap selama enam minit bersama anaknya melalui telefon.
"Dia asyik bertanya tentang kami berbanding cerita tentang keadaan dirinya di sana.
"Saya tidak tahu bagaimana keadaan dia tetapi yang pasti, percakapannya lebih kepada telo Cina," ujarnya sebak.
Awas geng langgar, samun kereta
KAJANG - Hati-hati jika kenderaan anda dilanggar dari belakang ketika memandu seorang diri melalui beberapa laluan utama di daerah ini ekoran sudah terdapat 10 kes kenderaan disamun pada tahun ini selepas perlanggaran itu.
Berdasarkan aduan, lokasi sasaran kenderaan banyak dilarikan penjenayah selepas dirempuh dari belakang ialah semua persimpangan menuju ke Lebuh Raya Silk, susur ke Lebuh Raya Utara-Selatan, jalan menuju ke Besraya dan semua susur masuk ke Lebuh Raya Grand Saga.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab (gambar kecil) berkata, kumpulan penyamun yang terdiri daripada dua hingga empat suspek tersebut dikesan aktif di daerah ini sejak setahun lalu dan memilih lokasi-lokasi tersebut sebagai lokasi menyamun kerana kawasan tersebut sunyi dan kenderaan yang disamun pula mudah dilarikan.
"Kumpulan penjenayah ini akan melakukan kegiatan tersebut mengikut peluang seperti jika ada kenderaan yang melalui kawasan tersebut memandu seorang diri tanpa mengira jantina, penjenayah terbabit akan bertindak," katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, semasa melakukan jenayah itu, suspek membawa parang untuk mengugut mangsa supaya menyerahkan barang berharga mereka dan keluar dari kenderaan selepas diarahkan.
"Modus operandi penjenayah ini senang iaitu suspek-suspek menaiki sebuah kereta dan melanggar kereta sasaran mereka dari arah belakang.
"Sebaik mangsa berhenti dan turun untuk melihat kes perlanggaran tersebut, kumpulan suspek terbabit terus menyamun mangsa dan melarikan kenderaan tersebut," kata beliau.
Kata beliau, terdapat beberapa kes mangsa dicederakan oleh suspek yang cuba melawan.
Polis telah menahan beberapa suspek yang disyaki terbabit dengan kegiatan itu tetapi saki-baki ahli kumpulan yang masih bebas meneruskan aktiviti jenayah berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemandu kereta yang memandu seorang diri supaya tidak memberhentikan kenderaan sekiranya kereta mereka dilanggar dari belakang.
"Mangsa sepatutnya memandu terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan mengenai kejadian itu," nasihat beliau.
Aishah derita mata ditusuk wau
JITRA - Biarpun sudah empat tahun berlalu, kejadian mata kanan tertusuk bilah wau masih menjadi igauan buruk buat Siti Aishah Shahimin, 11, apabila dia kini menghadapi masalah penglihatan sehingga menjejaskan pembelajarannya.
Siti Aishah yang mengikuti program pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin di sini masih tidak dapat membaca dengan lancar selain sukar mengingati apa yang diajar.
Lebih memburukkan lagi keadaan apabila kecederaan mata itu turut mengakibatkan gangguan pada sistem saraf dan menyebabkannya kerap diserang sawan pada tahun lalu. Bagaimanapun ia pulih selepas menerima rawatan hospital.
Bapa Siti Aishah, Mohd. Shahimin Mat Khir, 44, memberitahu, akibat diserang sawan, hampir setiap hari dalam tempoh sebulan pada tahun lalu, anaknya juga menghadapi masalah pertuturan.
"Tragedi pada 10 Mei 2008 itu menyebabkan masa depan anak saya kabur dan hanya satu harapan saya iaitu matanya dapat dipulihkan semula untuk dia teruskan pembelajaran," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Tanah Merah Dalam di sini semalam.
Kejadian empat tahun lalu itu berlaku ketika Siti Aishah yang baru berusia tujuh tahun bermain di hadapan rumahnya sebelum wau secara tiba-tiba jatuh di hadapan mukanya dengan bilah menusuk mata kanan.
Akibat kejadian, mata anak keempat daripada enam beradik tersebut berdarah kerana korneanya terkoyak.
Katanya, kornea anaknya digantikan dengan kornea baharu berbentuk gel, bagaimanapun penglihatan anaknya tidak kembali seperti asal.
2,000 keluarga beraya tanpa air
BALING - Lebih 2,000 keluarga di daerah Baling kini menghadapi gangguan bekalan air yang kritikal sejak dua bulan lalu.
Ketika menyambut Aidilfitri Ahad lalu, mereka langsung ketiadaan bekalan air yang sebelum itu dibekalkan Syarikat Air Darul Aman (Sada) untuk kegunaan mandi dan memasak.
Keadaan tersebut dialami sejak beberapa hari sebelum kedatangan 1 Syawal lagi, apabila paip air yang masuk ke rumah mereka langsung tidak menitis.
Antara kampung terbabit dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang yang teruk terjejas ialah Kampung Parit Panjang, sekitar pekan Kupang, kawasan perumahaan sekitar Pekan Tawar dan Pekan Malau.
Dalam kawasan DUN Kuala Ketil pula, kampung yang terbabit ialah di taman perumahan sekitar pekan Kuala Ketil.
Dalam kawasan DUN Bayu, lebih 10 kampung tiada bekalan air antaranya Kampung Tanjong Pari, Kampung Weng Luar dan Weng Dalam, Kampung Carok Putih, Kampung Becah Sawa, Kampung Lalang, Kampung Carok Bunting, Kampung Pokok Setol, Kampung Luar dan Kampung Siput.
Ada penduduk terpaksa menggunakan air kolam ternakan ikan untuk mandi di pagi raya, manakala di Kampung Carok Bunting, mukim Siong, seorang penduduk menggali telaga untuk mendapatkan air sejak sebulan yang lalu.
Penculik diberkas, mangsa selamat
MELAKA - Drama penculikan selama hampir lapan jam membabitkan seorang ahli perniagaan di Kampung Portugis, Bandar Hilir di sini kelmarin, berakhir selepas sepasukan anggota polis berjaya menahan lima lelaki di Ayer Keroh awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kelima-lima suspek berusia 36 hingga 51 tahun itu dipercayai telah melarikan mangsa dengan menaiki sebuah MPV jenis Toyota Alphard berwarna hitam ke Kuala Lumpur pada pukul 9 malam.
Sebelum diculik, mangsa dipercayai telah meletakkan kereta mewah jenis Porsche miliknya berharga kira-kira RM1 juta di tempat letak kereta berdekatan sebuah medan selera makanan laut di Kampung Portugis, Bandar Hilir untuk minum bersama rakannya.
"Bagaimanapun, belum sempat rakan mangsa datang, kesemua suspek terlebih dahulu datang ke tempat tersebut lalu terus menculik mangsa menaiki sebuah Toyota Alphard.
"Mangsa diculik sejurus selepas turun dari keretanya," kata beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini semalam.
Raja Shahrom memberitahu, sebelum kejadian kesemua suspek dipercayai telah mengekori mangsa dari awal sehingga mangsa meletakkan keretanya.
Beliau berkata, kejadian hanya diketahui selepas rakan mangsa yang tiba di lokasi berkenaan kira-kira 10 minit kemudian diberitahu oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian itu bahawa mangsa telah dibawa lari.
"Ekoran maklumat itu, rakan mangsa kemudian terus membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir," tambahnya.
Diculik, dibelasah angkara Botak
KUALA LUMPUR – Angkara seorang pelesit rempit bergelar Botak yang menjadi buruan sekumpulan samseng, seorang remaja diculik, dibelasah dan ditetak kumpulan tersebut dalam kejadian di Bandar Menjalara di Kepong dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, A. Kumanan, 17. yang dalam perjalanan pulang selepas selesai mencuci motosikal tiba-tiba dikejar sebuah kereta Proton Perdana yang dinaiki tiga lelaki sehingga sampai ke rumahnya.
Setibanya di rumahnya, ketiga-tiga lelaki bersenjatakan parang itu meluru masuk ke dalam rumah mangsa dan menyerangnya dengan disaksikan oleh ibu dan nenek mangsa.
Mangsa yang lemah akibat serangan itu, kemudian ditarik memasuki kereta oleh kumpulan lelaki berkenaan sebelum pelajar tersebut terus dipukul.
Lima jam kemudian, mangsa yang patah tangan kiri dan kaki kiri serta beberapa kesan kecederaan di badan ditemui ditinggalkan berhampiran Taman Tasik Titiwangsa di sini.
Mangsa yang ditemui oleh oleh orang awam pada pukul 7.30 malam kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sementara itu, Kumanan berkata, dia benar-benar tidak tahu kenapa dia menjadi mangsa culik dan dibelasah sehingga cedera oleh tiga lelaki terbabit sedangkan kumpulan tersebut sebenarnya mencari seorang pelesit rempit bernama Botak.
“Dalam kejadian tersebut saya sudah dijadi umpan bagi menjerat Botak tetapi Botak sebenarnya bukan kawan rapat saya,” dakwanya ketika ditemui di HKL semalam.
Selepas menjadi mangsa culik, cerita Kumanan lagi, kumpulan lelaki berkenaan menghubungi keluarganya dan mengugut akan mencederakannya jika rakan mangsa yang bernama Botak tidak datang berjumpa mereka.
Lelaki gigit ular tedung hingga mati
|
KATHMANDU - Seorang petani Nepal menggigit seekor ular tedung sehingga haiwan itu mati, kata polis semalam.
Petani itu, Mohamed Salmo Miya melakukan perbuatan itu bagi membalas dendam selepas haiwan tersebut mematuknya, lapor agensi berita AFP semalam.
Ketua polis tempatan, Uma Prasad Chatrubedi menyatakan Mohamed sedang bertani dekat kampungnya yang terletak 200 kilometer ke tenggara Kathmandu ketika dia dipatuk ular tersebut.
"Seorang petani di Kampung Bardanga telah membunuh seekor ular tedung putih dengan giginya kerana marah.
"Ular tersebut mematuknya semasa dia sedang bekerja di sawah padi miliknya pada Selasa lalu.
"Lelaki itu kemudian berlari dan membunuh ular tersebut," katanya.
Mohamed turut dirawat di sebuah klinik tempatan dan dia kini berehat di rumahnya.
"Saya berasa amat marah selepas ular itu mematuk saya. Kemudian saya mengekori haiwan itu, menangkap dan menggigitnya sehingga mati," dakwanya yang berusia 55 tahun kepada akhbar Annapurna Post.
"Saya mungkin membunuhnya dengan kayu tetapi saya menjadi 'gila' kerana marah dan mahu membalas dendam.
"Saya membunuhnya dengan gigi saya," tambahnya.
Nepal mempunyai pelbagai jenis ular berbisa dan tidak berbisa.
Salah satu ular berbisa itu dikenali sebagai ular batu India sepanjang 10 meter.
Menurut agensi berita Reuters, seorang pegawai polis, Niraj Shahi berkata, lelaki itu tidak akan didakwa membunuh ular tersebut.
Menurutnya lelaki itu tidak didakwa kerana haiwan tersebut tidak disenaraikan sebagai spesies terancam. - Agensi
Tentera Syria tawan semula kawasan Kristian
BEIRUT - Tentera Syria menawan semula kawasan penganut Kristian di bandar Aleppo selepas pertempuran sengit berlaku dengan para pemberontak, kata beberapa penduduk semalam.
"Kami mempunyai dua hari yang teruk dalam kehidupan kami," kata seorang isteri ahli perniagaan di bandar tersebut yang hanya dikenali sebagai Sonia.
"Jika rumah kami tidak dibina seperti kubu, kami semua telah mati," tambahnya.
Beliau tinggal di kawasan kediaman Telal yang berada semula di bawah penguasaan tentera Syria kelmarin.
Tentera Syria turut merampas kawalan daripada pemberontak di Jdeide.
Menurut beberapa penduduk, pertempuran sengit berlaku di tengah bandar Aleppo, utara Syria.
Kawasan Jdeide dan Telal kerap dikunjungi pelancong kerana ia terkenal dengan keenakan makanan di restoran dan kedai-kedai kraf tangan.
"Pertempuran pada hari Isnin dan Selasa amat sengit dan berlanjutan berjam-jam sebelum pihak tentera menghancurkan semula para pemberontak," kata seorang penduduk tempatan.
Pertempuran di Syria bermula pada Mac lalu apabila sebahagian penduduk memberontak menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad.
Lebih 18,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara pemberontak dengan tentera Syria.
Para pemberontak itu menuntut Bashar meletakkan jawatan kerana gagal melaksanakan pembaharuan politik dan hak asasi manusia. - Agensi
Media diminta jangan siar gambar bogel Harry
LONDON - Keluarga diraja Britain kelmarin meminta akhbar-akhbar tempatan negara ini agar tidak menyiarkan gambar bogel Putera Harry (gambar kecil) bersama rakannya di Las Vegas.
Harry merupakan cucu pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II.
Beberapa gambar yang disiarkan sebuah portal hiburan dari Amerika Syarikat, TMZ.com menunjukkan pewaris ketiga takhta Britain itu berada dalam keadaan bogel di sebuah bilik hotel dengan seorang rakan wanitanya.
Seorang jurucakap istana kemudian mengesahkan keluarga diraja Britain itu menghubungi Suruhanjaya Aduan Akhbar bagi meminta supaya akhbar-akhbar di sini tidak menyiarkan gambar itu kerana ia melanggar privasi.
Laman TMZ.com melaporkan, dua gambar bogel Harry itu dirakamkan di sebuah bilik persendirian di Wynn Resort, Las Vegas selepas satu permainan biliard pada hujung minggu lalu.
Rumah Clarence yang merupakan kediaman bapa Harry, Putera Charles kelmarin mengesahkan imej itu tulen.
Sementara itu, akhbar-akhbar di negara itu semalam mematuhi permintaan istana.
Satu sumber istana memberitahu, Harry melakukan perbuatan tidak senonoh itu sebelum dia memasuki fasa seterusnya dalam kerjaya ketenteraan.
Harry, 27, berada di Las Vegas selepas menganjurkan sebuah majlis amal di San Diego.
Dia pernah membangkitkan kemarahan pada tahun 2005 apabila beberapa gambarnya yang muncul di akhbar menunjukkan dia menghadiri parti dengan memakai lilitan lengan yang mempamerkan lambang Nazi, swastika. - Agensi
Tangkap ikan layar gergasi di Hawaii
|
HONOLULU - Seorang wanita berusia 28 tahun, Molly Palmer menangkap seekor ikan layar seberat lebih setengah tan di Kailua-Kona di Hawaii pada 18 Ogos lalu, lapor agensi berita AFP semalam.
Ikan seberat 463 kilogram (kg) dan sepanjang 3.65 meter itu ditangkap semasa Pertandingan Jemputan Ikan Layar Pulau Besar.
Penganjur pertandingan, Jody Bright berkata, tangkapan itu mengatasi rekod yang dibuat seorang wanita yang berjaya menangkap ikan sama dengan berat 430.91kg.
Bagaimanapun, Palmer tidak diisytiharkan pemenang dan memenangi hadiah wang tunai kerana dia menaikkan ikan tersebut dengan bantuan rakan-rakannya di atas kapal.
Berdasarkan undang-undang pertandingan menangkap ikan antarabangsa, pemenang perlu menangkap dan menarik ikan tersebut di atas kapal tanpa bantuan rakan-rakan.
Menurut kapten kapal, Neal Isaacs, ikan itu ditangkap selepas 40 minit Palmer mula memancing.
Beliau berkata, ikan tersebut mati di bawah kapal selepas pertarungan untuk menangkapnya berlaku.
Kapten kapal dan suami Palmer kemudian memutuskan untuk membawa naik ikan tersebut di atas kapal kerana berat wanita tersebut hanya 72.57kg kurang enam kali ganda berat ikan itu. - Agensi
Stor simpanan gading gajah di Zimbabwe
HARARE, Zimbabwe - Pihak berkuasa Zimbabwe menyimpan 50 tan gading gajah yang dirampas daripada pemburu haram.
Gading itu juga diperoleh daripada gajah yang ditemui mati.
Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Pengurusan Hidupan Liar dan Taman Negara Zimbabwe, Vitalis Chadenga mahu melelong gading tersebut.
Chadenga juga meminta Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dan Spesies terancam Fauna dan Flora membenarkan gading itu dilelong.
Menurutnya, hasil lelongan itu akan digunakan untuk membiayai projek pemuliharaan haiwan. - Agensi
Ikan paus muncul di tepi bot
SAN LUIS OBISPO, California - Seorang jurugambar amatur, Bill Bouton merakamkan gambar kepala seekor ikan paus humpback yang muncul di tepi sebuah bot dan kayak dekat pantai di sini pada 18 Ogos lalu.
Beberapa pelancong yang menaiki bot itu turut merakamkan gambar ikan tersebut.
Ikan itu kerap berenang dekat bot dan kayak semasa ia makan ikan sardin.
"Saya berasa amat bertuah," kata Bouton selepas dia berjaya menangkap gambar tersebut. - Agensi
No comments:
Post a Comment