Saturday, August 25, 2012

RAMAI BOLEH ISI KOD...BIASALAH ORANG SUKA YANG CANTIK2...ALLAH JUGA SUKA YANG CANTIK2...CANTIK YANG BAIK SEKALI IALAH CANTIK SEGI AGAMA DAN AKHLAKNYA

Pengantin ke hospital untuk nikah


HARUN menikahkan pasangan pengantin Faris Marwan dengan Nurul Adina di Hospital Pakar Kuala Terengganu semalam.



KUALA TERENGGANU - Seorang jurunikah, Harun Nuh yang dimasukkan ke Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) di sini, kerana diserang asma tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai jurunikah apabila menikahkan sepasang pengantin ketika dia sedang dirawat di hospital tersebut petang semalam.
Harun, 85, yang berasal dari Bukit Tunggal di sini, dimasukkan ke KTS kira-kira pada pukul 12 tengah malam kelmarin dan dinasihatkan oleh doktor supaya berehat selama dua hari di hospital tersebut selepas dia diserang penyakit asma.
Menurut Harun, sebelum dimasukkan ke hospital, dia telah menyatakan persetujuan untuk menikahkan satu pasangan pada pukul 4 petang semalam di rumah pengantin perempuan di Kampung Tok Jembal di sini, namun malangnya dia yang diserang asma telah ditahan di wad.
"Justeru, saya telah memaklumkan kepada mereka untuk datang ke hospital untuk dinikahkan kerana masih belum mendapat pelepasan daripada pihak hospital," kata bapa kepada 12 orang anak itu ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, bakal pengantin tersebut, Faris Marwan Abdul Rahman, 22, dengan pasangannya, Nurul Adina Khaled, 25, bersetuju dengan cadangan itu dan telah datang ke hospital untuk melangsungkan upacara akad nikah.
Harun yang mempunyai pengalaman selama hampir 30 tahun sebagai jurunikah memberitahu, semalam merupakan pengalaman pertama dia menikahkan pasangan pengantin di hospital kerana sebelum ini majlis akad nikah di masjid, rumah atau surau.
"Ini merupakan satu pengalaman baharu yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat apabila terpaksa mengendalikan upacara akad nikah di hospital," katanya.


HOSPITAL Pakar Kuala Terengganu.



Ketika majlis akad nikah dilangsungkan, Harun kelihatan masih menggunakan tiub yang disambungkan pada hidungnya bagi mendapatkan bantuan oksigen namun lafaz akad yang disebutnya lancar.
Dia yang merupakan bekas imam dan mengajar al-Quran di kampungnya turut melahirkan kesyukuran kerana majlis akad nikah tersebut dapat dilangsungkan dengan lancar.
Dalam majlis yang cukup sederhana itu, hanya dengan sekali lafaz pengantin lelaki, Faris Marwan sah bergelar suami kepada Nurul Adina.

Digigit buaya waktu buang air



PAIE dirawat di Hospital Umum Sarawak kerana cedera di punggung akibat digigit buaya di Sungai Santubong, Kuching semalam.



KUCHING – Kejadian serangan buaya di Sarawak berterusan apabila seorang lagi mangsa hampir dibaham reptilia ganas tersebut di Sungai Santubong, Pending Industrial Estate di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, seorang buruh binaan warga Indonesia yang dikenali sebagai Paie, 32, terpaksa bergelut selama satu minit dengan seekor buaya dipercayai daripada speses jejulong sebelum berjaya melepaskan diri.
Lebih malang, lelaki yang berasal dari Kepulauan Jawa itu dikatakan sedang mencangkung di tebing sungai untuk membuang air besar, namun belum sempat melepaskan ’hajat’, punggungnya telah digigit buaya sepanjang kira-kira dua meter.
Paie yang ditemui di Hospital Umum Sarawak memberitahu, sebelum kejadian, dia berseorangan turun ke tebing sungai berhampiran rumah kongsi untuk membuang air besar.
“Saya baru mencangkung dan tiba-tiba terasa ada sesuatu menerkam punggung saya dari arah belakang dengan begitu kasar sekali.
“Selepas menyedari ia seekor buaya, saya berpaut pada sebatang besi dan cuba meronta-ronta bagi melepaskan diri,” katanya.
Akibat serangan reptilia berkenaan, Paie mengalami kecederaan dan luka di punggung kanan dan rusuk sebelah kiri.


BUAYA jenis jejulong yang menyerang Paie ketika sedang membuang air besar di Sungai Santubong, Kuching semalam. - Gambar hiasan



Paie memberitahu, dia bernasib baik dapat berpaut pada batang besi di sebelahnya dan bertahan ketika cuba ditarik buaya ke dalam sungai.
Katanya, mungkin disebabkan rontaan dan pautan pada besi menyebabkan buaya tersebut mengalah dan melepaskan gigitan sebelum dia melompat ke daratan bagi menyelamatkan diri.
“Meskipun saya dapat menyelamatkan diri, luka akibat gigitan buaya menyebabkan saya tidak berdaya ekoran kehilangan banyak darah sebelum rebah.

Lelaki bunuh abang ipar diburu

MELAKA - Polis masih mencari seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki menikam abang iparnya sehingga mangsa maut di sebuah rumah di Kampung Serkam Pantai pada Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, lelaki yang sudah dikenal pasti itu dipercayai masih berada di dalam negara dan polis berharap suspek tampil menyerah diri bagi membantu siasatan kejadian tersebut.
"Polis sudah melancarkan gerakan mencari lelaki berkenaan di lokasi yang dipercayai menjadi persembunyian suspek tetapi belum berhasil," kata beliau.
Selain itu, menurut beliau, polis juga meminta kerjasama isteri suspek itu supaya menasihati suaminya menyerah diri jika pasangan tersebut masih berhubungan.
Bagaimanapun, Raja Shahrom berkata, setakat ini belum ada perkembangan mengenai suspek.
Tambah beliau, suspek yang bekerja sebagai pemandu di sebuah kementerian kerajaan di Putrajaya menghilangkan diri dengan memandu kereta jenis Proton Iswara sejurus menghantar abang iparnya yang ditikam ke Hospital Melaka pada hari kejadian.
Kosmo! semalam melaporkan niat murni seorang jurukimpal yang menegur adik iparnya yang didakwa kerap memukul isteri berakhir dengan tragedi apabila mangsa ditikam oleh adik ipar itu.
Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, mangsa Rashid Ahmad (gambar), 46, meninggal dunia di Hospital Melaka selepas mengalami kecederaan parah di pinggang kirinya.
Sementara itu, adik mangsa, Mohd. Radzi Ahmad, 29, berkata, arwah abangnya yang tinggal di Muar, Johor merupakan seorang yang baik dan sentiasa menjaga tutur kata setiap kali bercakap dengan orang lain.
"Tidak sangka teguran terhadap adik ipar (suspek) membuatkan lelaki itu berang sehingga sanggup menikam arwah," katanya yang sedih dengan tragedi tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka melalui nombor telefon 06-285 4222.

Nyaris kudung angkara cemburu

KUALA LUMPUR - Hajat seorang lelaki menziarahi bekas kekasihnya pada hari pertama Aidilfitri berakhir dengan mangsa nyaris kehilangan tangan kirinya selepas diserang dengan pedang samurai oleh kekasih baharu gadis itu.
Kejadian pada pukul 7.30 malam di sebuah rumah Flat Sri Melaka di sini pada Ahad lalu berlaku ketika mangsa yang berusia 46 tahun baru sampai ke rumah keluarga bekas kekasihnya untuk beraya.
Kekasih baharu gadis itu pula secara kebetulan masih berada di rumah tersebut ketika mangsa tiba.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, pertembungan kedua-dua lelaki itu membangkitkan rasa cemburu kekasih baharu gadis itu sehingga mencetuskan pertengkaran antara mereka.
"Tanpa diduga perang mulut yang berlangsung beberapa minit berakhir dengan suspek mencapai pedang samurai yang dijadikan hiasan di rumah keluarga gadis tersebut lalu menetak tangan kiri mangsa.
"Tetakan tersebut menyebabkan tangan kiri mangsa dari pergelangan tangan hampir putus," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras (IPD) di sini.
Menurut beliau, selepas mangsa cedera, suspek bersama gadis itu melarikan diri manakala mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras untuk rawatan.
Mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan tangan yang hampir putus juga berjaya disambung semula.
Kata beliau, siasatan mendapati motif kejadian tersebut berpunca rasa cemburu suspek terhadap mangsa.
Mohan memberitahu, sejak kejadian tersebut, pasangan kekasih yang masing-masing berumur 30 dan 22 tahun itu menghilangkan diri.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Sehubungan itu, polis mencari seorang pekerja di sebuah syarikat swasta, Mohd. Ifendi Mohd. Nafiah, 30, dan Hazirah Abdul Aziz, 22, merupakan seorang pekerja am tampil membantu siasatan mengenai kejadian tersebut.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai Mohd. Ifendi dan Hazirah juga diminta menyalurkan maklumat bagi menyelesaikan kes tersebut dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Cheras di talian 03-91452222.

5 penjenayah pecah kondo ditahan



JAUTEH (dua dari kiri) menunjukkan peta panduan perjalanan dan barang rampasan geng pecah rumah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Sabah semalam.



KOTA KINABALU - Hanya berpandukan peta panduan perjalanan, lima penjenayah menggunakan kemudahan itu menyamar sebagai pelancong dan melakukan kegiatan pecah rumah membabitkan kondominium dan apartmen di bandar raya ini sejak sebulan lalu.
Antara lokasi jenayah membabitkan lima suspek termasuk dua wanita itu tertumpu di Kondominium Gress Garden, Kondominium Kristal, Kondominium Signal Hill dan dua apartmen iaitu Noble Court dan Millenium.
Dalam tempoh sebulan lalu, kumpulan tersebut dipercayai sudah terlibat dalam 14 kes pecah rumah membabitkan kerugian RM439,000.
Empat suspek berasal dari Semenanjung manakala seorang suspek wanita merupakan warga China dipercayai teman wanita kepada salah seorang anggota geng tersebut.
Modus operandi kumpulan tersebut mudah, iaitu mereka hanya mengetuk pintu rumah mangsa secara rambang sebelum menanyakan rumah rakan mereka yang kononnya tinggal di kawasan tersebut.
Setelah mangsanya menjawab pertanyaan tersebut, suspek yang biasanya bergerak antara dua dan tiga orang terus mengeluarkan pemutar skru dan mengugut mangsa menyerahkan barangan bernilai milik mereka.
Selain itu, kumpulan penjenayah tersebut turut menggunakan pemutar skru untuk mengumpil rumah lain yang tiada penghuni.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, kelima-lima suspek berusia 34 hingga 53 tahun diberkas di dua bilik sebuah hotel di sini pukul 4.50 pagi, 22 Ogos lalu.
"Hasil pemeriksaan di dalam dua buah bilik hotel didiami suspek menemui wang bernilai RM847, sebuah iPad, enam buah telefon bimbit termasuk jenis Nokia dan Sony Ericsson, 15 dompet dan beg tangan pelbagai jenama, beberapa barangan kemas seperti cincin dan rantai emas, buku panduan perjalanan dan sejumlah mata wang asing.
"Turut ditemui pemutar skru dan pemotong besi," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Menurut beliau, kesemua barang rampasan tersebut bernilai RM150,000.

Jualan rokok tiruan berleluasa di Kota Kinabalu



SALAH seorang penjual rokok haram dan tiruan melakukan kegiatan itu secara terbuka di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.



KOTA KINABALU - Kegiatan penjualan rokok haram dan tiruan di bandar raya ini semakin berleluasa sehingga mencetuskan rasa kurang senang orang ramai.
Dengan menjadikan kawasan perhentian bas, kaki lima dan jalan sebagai lokasi berniaga, peniaga rokok tiruan yang terdiri daripada kanak-kanak dan golongan wanita licik mencari pelanggan mereka malah tinjauan Kosmo! turut mendapati, kebanyakan daripada peniaga itu terdiri daripada warga asing dan mereka berniaga seawal pukul 6 pagi hingga larut malam.
Seorang penjual kanak-kanak berusia 12 tahun dikenali Azim mengaku menjual rokok haram dan tiruan sejak dua tahun lalu.
Katanya, hasil jualan sehari adalah antara RM50 hingga RM100 dan jumlah itu akan bertambah pada hujung minggu.
"Dalam sehari, boleh dapat untung RM30 dan ia sudah cukup besar memandangkan perniagaan ini banyak persaingan," katanya yang turut mengaku tidak pernah bersekolah.
Jelas Azim, rokok berjenama yang biasanya dijual pada harga RM10 sekotak boleh dibeli dengan harga RM2 hingga RM4 sahaja.
Selain itu, turut dijual pelbagai rokok keretek yang diseludup dari Indonesia.
Apa yang pasti, modus operandi kumpulan itu cukup licik iaitu menyembunyikan semua rokok tersebut di sebalik pintu, tangga, bawah kereta dan belukar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Paling penting, kumpulan itu juga mempunyai seorang 'mata-mata' yang bertindak mengesan kehadiran pihak berkuasa.

97 mayat tidak dituntut di HKL



SITI AISYAH MOHAMAD
PEMBANTU Perawatan Kesihatan HKL, Mazlan Mohd. Amin sedang menguruskan jenazah yang tidak dituntut oleh waris sebelum dikebumikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di HKL baru-baru ini.



KUALA LUMPUR – Sebanyak 97 mayat dengan 41 daripadanya beragama Islam terbiar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini selepas tidak dituntut oleh keluarga atau waris masing-masing sepanjang tahun lalu.
Angka tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2010 apabila terdapat sebanyak 72 mayat tidak dituntut di hospital itu.
Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL, Dr. Mohd. Shah Mahmood (gambar kecil) berkata, peningkatan jumlah mayat yang tidak dituntut itu bagaimanapun satu fenomena biasa berikutan pertambahan jumlah penduduk.
Katanya, bagi bulan Januari hingga Ogos tahun ini, kira-kira 50 hingga 60 mayat tidak dituntut selepas dua minggu kematian didaftarkan.
“Jika dalam tempoh ditetapkan tiada juga waris datang menuntut, mayat akan disempurnakan mengikut pegangan agama masing-masing,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HKL baru-baru ini.
Mohd. Shah memberitahu, kebanyakan mayat yang tidak dituntut merupakan kes kematian tanpa pengenalan diri, reput atau terbakar hingga sukar untuk membuat pengecaman.
“Pesakit yang meninggal di dalam wad tidak mempunyai masalah dituntut oleh keluarga. Bagaimanapun, kes tidak dituntut biasanya mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan polis seperti mayat yang dijumpai di dalam semak dan sebagainya,” jelasnya.

Hati Rita sudah kosong





PERTEMUAN Kosmo! dengan aktres jelita Rita Rudaini, 36, untuk merakam suasana raya dirinya bersama dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna yang masing-masing berusia tiga dan satu tahun, berlangsung dalam keadaan cukup tenteram di kediaman Rita di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Cuma sekali-sekala anak-anaknya meragam, mahu dipeluk dan didukung ibunya yang ketika itu sedang sibuk disolek oleh jurusolek Tiar Zainal.
Apabila semua sudah bersedia, tanpa disuruh ketiga-tiga mereka beraksi dengan penuh gaya terutama anak sulung Rita, Rayyan yang seperti tidak sabar menyambut raya tatkala disarungkan baju Melayu.
Qaqa pula tidak henti-henti berjalan di sekeliling rumah kerana baru sahaja pandai berjalan. Kata Rita: "Macam inilah anak-anak saya, tetapi saya seronok sebab dapat saksikan mereka membesar di depan mata saya sendiri.
"Setiap momen istimewa anak-anak seperti gigi pertama tumbuh, langkah pertama serta perkataan pertama yang disebut semuanya terpahat dalam ingatan saya."
Sememangnya anak-anak Rita membesar dengan baik, namun jauh di sudut hatinya, Rita tahu anak-anaknya kehilangan sesuatu yang sangat besar iaitu kasih sayang dan belaian seorang ayah.
"Sekarang ini, sayalah ibu dan ayah untuk anak-anak saya sejak Aidil meninggalkan rumah tujuh bulan yang lalu. Anak-anak pun jarang bertanya tentang ayah mereka kerana sejak kecil lagi ayah mereka jarang menghabiskan masa bersama.
"Sebagai ibu, saya akan melakukan yang terbaik supaya anak-anak saya tidak rasa kekurangan walau sedikitpun berbanding orang lain disebabkan masalah rumah tangga saya dan Aidil," luah Rita penuh serius.
Ketika di Malaysia sedang kecoh dengan isu rumah tangganya, sekitar Jun lalu Rita sempat menenangkan diri seketika ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah bersama anak sulungnya.
Akui Rita, pemergiannya ke Tanah Suci adalah untuk mengumpul kekuatan bagi menempuh hari-hari yang mendatang.
"Saya berdoa, jika perkara yang baik dekatkan dengan saya, jika perkara yang buruk harap dijauhkan selain berdoa yang terbaik untuk keluarga saya," ucap Rita sedikit perlahan.
Naik turun mahkamah
Cukup panjang sejarah Rita dan suaminya di mahkamah, umpama main tarik tali, pada Oktober 2010, Aidil atau nama penuhnya, Aidil Zafuan Abd. Radzak, 25, membuat tuntutan hak penjagaan kekal terhadap anak sulung mereka dan permohonan perintah isteri kembali taat (nusyuz) yang turut difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.
Kemudian pada 20 Januari lalu, Aidil telah keluar daripada kediaman mereka. Selepas itu, sekitar April lalu, Aidil menghantar permohonan cerai yang kemudiannya ditarik balik dan selepas itu membuat permohonan kembali taat.
KATA Rita, anak-anaknya sudah membiasakan diri menjalani rutin kehidupan seharian tanpa kehadiran insan bergelar bapa, sejak Aidil keluar dari rumah tujuh bulan lalu.


Kata Rita: "Saya sendiri pening apatah lagi orang lain yang membaca rentetan kisah rumah tangga kami. Hakim telah menasihat Aidil untuk menyelesaikan kes ini secara baik sempena bulan Ramadan.
"Apa yang saya tahu, pada 25 September ini saya akan naik mahkamah sekali lagi berhubung hak penjagaan anak-anak walaupun pada dasarnya kami belum lagi bercerai."
Ditebak soalan masih adakah kasih dan cinta buat suaminya itu, dia termenung seketika, mungkin untuk bertanya kepada hatinya sebelum akhirnya dia nekad menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Jujur, hati saya sudah kosong untuk dia. Air mata saya sudah kering untuk menangis, sudah tidak ada apa lagi," akuinya.
Ditanya adakah itu bermakna dia sudah bersedia untuk hidup sendirian sebagai ibu tunggal andai itulah takdir yang tertulis untuknya, Rita mengiakannya.
"Saya sudah sangat bersedia untuk segala kemungkinan, diceraikan atau tidak diceraikan. Saya tidak takut untuk menjadi ibu tunggal kerana selama ini pun saya menjalani hidup sendirian dengan anak-anak.
"Sebelum ini ya, saya takut. Saya menangis sekarang tidak lagi kerana saya sudah menerima nasib yang menimpa saya. Ketika pertama kali berlaku krisis rumah tangga, keluarga saya menasihatkan saya untuk berbaik semula dengan Aidil.
"Namun, apabila kejadian yang sama berulang untuk kali kedua, keluarga menyerahkan segala keputusan kepada saya. Mereka hanya mahu lihat saya bahagia," tutur sambil mendukung anak bongsunya itu.
Walaupun apa yang terjadi antara dirinya dengan suami, Rita akur Aidil tetap bapa kepada anak-anaknya dan dia tidak pernah menghalang suaminya itu untuk berjumpa dengan mereka.
"Saya tidak mahu dipersalahkan jika anak-anak tidak kenal ayah mereka sendiri, jadi saya tidak pernah halang mereka untuk berjumpa.
"Setakat hari ini, Aidil hanya bertanya khabar tentang anak-anak kami menerusi panggilan telefon sahaja. Jika dia ingin datang ke rumah jumpa anak-anak, silakan, saya tidak kisah," tegas Rita.
Azam baharu
Sudah terbiasa barangkali, ujar Rita, tahun ini merupakan kali kedua dia meraikan Aidilfitri tanpa insan bergelar suami di sisi. Tidak janggal mahupun sunyi, kata Rita, anak-anak serta keluarga sudah cukup untuk membuatkannya bahagia.
"Aidil sudah meninggalkan rumah selama tujuh bulan, jadi saya dan anak-anak sudah membiasakan diri tanpa kehadiran dirinya.
"Raya mahupun hari-hari lain tidak ada perbezaan buat saya. Apa yang penting, saya mahu beraya sakan tahun ini. Suami ada ataupun tiada, sama sahaja," katanya yang mempunyai empat pasang baju raya tahun ini.
Rita yang pulang ke kampungnya di Kangar, Perlis selama seminggu untuk beraya, memberitahu, selama empat tahun berkahwin dengan Aidil, dia lebih banyak menjaga kepentingan hati orang lain daripada diri sendiri.
Tidak mahu berterusan meratap kalah kepada dugaan yang diberi kepadanya, Rita mempunyai azam baharu demi masa depan dirinya dan anak-anak.
"Memang selama ini saya selalu pentingkan orang lain sehingga tidak menjaga hati dan perasaan sendiri. Tahun ini, saya berazam untuk gembirakan diri sendiri dan anak-anak terlebih dahulu berbanding orang lain," ujarnya yang pada tahun ini memakai busana berwarna ungu sedondon dengan warna baju anak-anaknya di pagi raya.
Penggemar laksa dan ketupat palas yang merupakan menu wajibnya di hari raya berkata, dia mempunyai pilihan dalam hidupnya dan kini memilih untuk hidup lebih bahagia walaupun masalahnya setinggi gunung.
"Tahun ini saya lebih bahagia dan lebih ceria, orang sekeliling pasti berasa kasihan pada saya tetapi tidak perlu kerana sekarang saya benar-benar bahagia dengan kehidupan saya.
"Allah maha adil, apa yang berlaku sekarang pasti ada hikmah pada kemudian hari, jadi apa yang boleh saya lakukan pasrah, berdoa dan hadapi hari-hari mendatang dengan tenang," luahnya.

10 orang ditembak di New York


SATU mayat ditutup dengan kain di luar bangunan Empire State di New York semalam.



NEW YORK - Dua maut dan lapan lagi cedera dalam kejadian tembakan di luar Bangunan Empire State di bandar raya ini semalam, kata polis.
Bangunan pencakar langit itu merupakan antara lokasi pelancongan popular di bandar raya ini.
Antara yang maut ialah lelaki yang melepaskan tembakan tersebut.
Menurut polis, lelaki itu dikenali sebagai Jeffrey Johnson, 53, bekas pekerja syarikat Hazan.
Seorang saksi pula berkata, lelaki bersenjata itu bertindak melepaskan tembakan rambang ke arah orang awam.
Serangan itu berlaku pada waktu pagi di luar bangunan mercu tanda tersebut ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja.
Stesen televisyen tempatan, NY1 melaporkan empat mangsa yang terkena tembakan tidak mengalami luka serius.
Punca kejadian masih belum diketahui.
Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg menjelaskan, beberapa mangsa mungkin terkena tembakan peluru polis. - Agensi

Temuduga untuk jadi calon isteri lelaki kaya



SEBAHAGIAN wanita berbual semasa mereka menunggu giliran untuk ditemu duga oleh dua kakitangan Kelab Usahawan Bujang China di Beijing pada Ahad lalu.



BEIJING - Sejumlah wanita muda di China yang bergaya dengan pelbagai fesyen dan kasut duduk di atas bangku dan memegang dokumen mengandungi maklumat tentang berat badan serta ketinggian mereka.
Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,000 wanita yang menghadiri proses tapisan kendalian para kakitangan Kelab Usahawan Bujang China di sini untuk menjadi 50 calon yang dibenarkan berkenalan dengan 32 lelaki kaya.
Lelaki kaya itu mungkin bakal menjadi suami mereka.
Seorang peserta wanita menyatakan, dia sanggup menangis di dalam sebuah kereta BMW daripada duduk di tempat duduk belakang basikal.
Terdapat juga seorang lagi peserta wanita yang mahu meminta wang sebanyak AS$31,000 (RM96,069) sebagai syarat untuk berjabat tangan dengan seorang lelaki.
Wanita-wanita itu perlu berumur 20 hingga 28 tahun, mempunyai ketinggian 165 sentimeter, cantik dan lemah lembut dan sekurang-kurangnya mempunyai pendidikan kolej.
Pada Ahad lalu, wanita-wanita itu dinilai oleh pihak pengendali temu duga seperti bagaimana mereka mengendalikan tekanan dan apakah yang mereka mahu daripada seorang lelaki.
Kelab itu mengenakan syarat kepada para lelaki kaya yang mahu menyertai proses pencarian jodoh itu perlu mengesahkan kekayaan mereka dan membayar yuran sebanyak AS$31,000. - AFP

Bas terbalik akibat taufan Tembin



SEBUAH bas terbalik di sebatang jalan raya di daerah Pingtung, selatan Taiwan semalam. - AFP



TAIPEI - Beberapa buah bas dan kenderaan terbalik ekoran angin kencang yang dibawa taufan Tembin di sebatang jalan raya di daerah Pingtung, selatan Taiwan semalam.
Taufan itu menyebabkan sejumlah pokok tumbang, bumbung rumah ditiup angin dan ribuan penduduk dipindahkan.
Setakat ini tiada angka kecederaan dan kematian didedahkan pihak berkuasa. -Agensi

Tiga maut jejambat runtuh di China



SEBUAH trak terbalik di jejambat yang runtuh.



BEIJING - Tiga orang terbunuh dan lima lagi cedera apabila jejambat sebanyak lapan lorong runtuh di timur laut China semalam, sembilan bulan selepas siap dibina, lapor agensi berita China News Service.
Jejambat itu merupakan sebahagian daripada laluan ke sebuah lapangan terbang di bandar Harbin.
Ia dibuka pada November tahun lalu selepas dua tahun siap dibina dengan kos AS$300 juta (RM930.39 juta).


BEBERAPA buah kenderaan terhumban dari sebuah jejambat yang runtuh di Harbin semalam.



Dua orang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mati kemudian.
Pihak berkuasa akan menyiasat reka bentuk dan ciri-ciri pembinaan semasa melakukan siasatan bagi mengetahui punca kejadian.
Ribuan orang memberi komen tentang runtuhan itu di laman Sina Weibo.
"Cuba bayangkan beberapa pegawai korup mengambil empat perlima daripada dana projek," kata seorang pengguna laman itu. - AFP

Ragam peserta pertandingan muka terhodoh



WAJAH hodoh yang dilakukan seorang peserta wanita.



BILBAO, Sepanyol - Sejumlah peserta menghadiri pertandingan muka terhodoh di sini kelmarin.
Pertandingan itu dikendalikan oleh kumpulan yang dikenali sebagai rakan-rakan konsert dan bar.
Ia diadakan sejak tahun 1978. - Reuters

Peraga kasut sejauh 2.819km



GAMBAR menunjukkan seorang wanita memperagakan kasut di Pelabuhan Darling, Sydney semalam.



SYDNEY - Syarikat dari Scandinavia, ECCO mencipta rekod dunia apabila model-modelnya berjalan sejauh 2.812 kilometer (km) untuk memperagakan kasut di sekitar Pelabuhan Darling di sini.
Model-model itu memperagakan pelbagai jenis kasut keluaran syarikat tersebut.
Mereka mencipta rekod untuk kategori peragaan jarak paling jauh di dunia.
Rekod itu mengatasi 2.69km yang dibuat di Turki pada tahun 2011. - AFP

21 orang terbunuh di Mayadin akibat serangan tentera Syria

BEIRUT - Seramai 21 maut, kebanyakannya wanita apabila bangunan kediaman dibom tentera Syria di bandar Mayadin, timur negara itu semasa pertempuran dengan kumpulan pemberontak, kata pertubuhan Pemantau Untuk Hak Asasi Syria.
Menurut seorang pengarah pertubuhan itu, Rami Abdel Rahman, sebuah bangunan runtuh akibat bedilan tentera tersebut.
Beliau berkata, 12 wanita terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan itu.
Mayadin yang didiami 55,000 penduduk terletak di wilayah Deir Ezzor.
Sementara itu, tentera Syria turut meneruskan serangan di bandar Aleppo semalam bagi mementang kumpulan pemberontak.
Beberapa aktivis melaporkan serangan itu berlaku di beberapa buah daerah.
Sejumlah rumah musnah dalam serangan itu, kata para aktivis pertubuhan tersebut.
Serangan bom turut berlaku di bandar Aazaz di utara Syria.
Sekurang-kurangnya 50 mayat yang tidak dikenal pasti ditemui mati ditembak dalam tempoh 24 jam di Aleppo dan Damsyik.
Dalam perkembangan yang sama, tiga orang terbunuh dalam pertempuran memasuki hari kelima antara penduduk Sunah dengan Syiah Alawi di bandar Tripoli, Beirut kesan daripada pergolakan di Syria.
Kebangkitan rakyat di Syria kebanyakannya dilakukan oleh penduduk Sunah yang menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad.
Bashar merupakan penganut Muslim mazhab Syiah.
Kira-kira 24,500 telah terbunuh sejak kebangkitan rakyat berlaku di Syria pada Mac tahun lalu.
Para pemberontak itu mahu Bashar meletakkan jawatan kerana gagal untuk melaksanakan pembaharuan dalam bidang politik dan hak asasi manusia. - Agensi

Mahkamah putuskan Samsung tidak tiru iPhone



GAMBAR menunjukkan iPhone 4S (kiri) dan telefon
bimbit Galaxy keluaran Samsung.



SEOUL - Mahkamah Daerah Tengah Seoul semalam memutuskan syarikat Samsung tidak meniru telefon bimbit syarikat Apple dari Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, hakim di mahkamah itu memutuskan Samsung menceroboh teknologi Apple berhubung dengan skrin sentuh pada telefon bimbit.
Mahkamah tersebut mengarahkan sebahagian penjualan produk Apple termasuk komputer teblet iPad dan telefon bimbit daripada kedua-dua syarikat itu dihentikan.
Namun, keputusan itu tidak menjejaskan generasi terbaharu telefon bimbit keluaran Apple.
Keputusan itu hanya melibatkan pasaran di Korea Selatan.
Mahkamah mengarahkan Apple tidak menjual telefon iPhone 3GS, iPhone 4, iPad 1 dan iPad 2 di negara ini.
Menurut mahkamah, produk itu melanggar dua daripada lima paten Samsung.
Mahkamah juga mengarahkan setiap syarikat saling membayar ganti rugi.
Samsung diarah membayar Apple sebanyak 25 juta won (RM68,324).
Apple pula perlu membayar kepada Samsung sebanyak 40 juta won (RM109,335). - AP

Pembunuh kejam dipenjara 21 tahun



BREIVIK



OSLO, Norway - Seorang pembunuh kejam, Anders Behring Breivik tersenyum angkuh apabila sebuah mahkamah di sini semalam mendapati dia waras semasa melakukan pembunuhan dan dihukum penjara selama 21 tahun.
Breivik membunuh 77 orang dalam kejadian tembakan dan serangan bom di Norway pada 22 Julai tahun lalu.
Ketika memasuki ruang mahkamah selama beberapa minit sebelum hukuman dijatuhkan, Breivik sempat menunjukkan tumbukannya menerusi tangan kanannya.
Breivik, 33, yang merupakan anak seorang diplomat didakwa melakukan kejadian itu kerana menentang imigrasi penduduk Muslim yang menyebabkan penduduk Eropah berpecah-belah. - Agensi

No comments:

Post a Comment