Wednesday, August 22, 2012

BILA MELAKUKAN KEJAHATAN TIDAK RASA TAKUT PADA ALLAH SWT SERTA BALASANNYA

Ugutan dari Lombok

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

NUR AFIFAH...meninggal dunia di Lombok
NUR AFIFAH...meninggal dunia di Lombok
KAMUNTING: Keluarga arwah Nur Afifah Mohd Zuhari, 16, yang dilarikan lelaki warga Indonesia ke Lombok sebelum meninggal dunia pada 6 Mei lalu mendakwa diganggu penculik anaknya itu dengan menghantar pelbagai ugutan menerusi panggilan telefon dan SMS.
Ibu Allahyarham Nur Afifah, Hasliza Ismail, 45, mendakwa lelaki itu yang dikenali sebagai Mohamad Yani, 30-an, kerap menghantar SMS dan menelefonnya sejak sebulan lalu dengan menggugut untuk menculik seorang lagi anak perempuannya, Nur Amalina, 18.
“Dia mengugut saya dengan memberitahu, mahu menghantar empat rakannya bagi melarikan Nur Amalina ke Lombok untuk menggantikan arwah Nur Afifah. Saya tidak pasti apa motif mereka berbuat demikian.

“Mungkin mereka tidak puas hati kerana hajat mereka untuk memperdagangkan Nur Afifah dalam sindiket pelacuran tidak tercapai apabila anak saya itu meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Panglima, di sini, semalam.

Tak berbaloi nak cantik

Oleh Nur Lela Zulkipli
am@hmetyro.com.my

TAK BERKUALITI...kanta lekap yang menyebabkan penglihatan Nabila menjadi kabur.
TAK BERKUALITI...kanta lekap yang menyebabkan penglihatan Nabila menjadi kabur.
KLANG: Gara-gara memakai kanta lekap berwarna jenis murah dan tidak berkualiti, seorang gadis berusia 18 tahun dari Kapar, di sini, kini berdepan masalah penglihatan sehari selepas memakainya.
Nabila Rosli yang membeli kanta lekap itu dengan RM25 sepasang di Seremban, Khamis lalu, berkata sejurus bangun daripada tidur esoknya, dia tidak boleh melihat apabila kedua-dua mata sakit dan membengkak teruk.
Kejadian itu turut menyebabkan penglihatan mata pelajar kolej di Seremban itu menjadi kabur selama dua hari.

Malah, sambutan Aidilfitri yang sepatutnya ceria bertukar muram berikutan dia tidak boleh berjalan jauh disebabkan mata bengkak dan penglihatan kabur.

‘Hanya maut jadi pemisah’

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

TIADA UPAYA...Norlis bersama empat anak OKU di rumah mereka.
TIADA UPAYA...Norlis bersama empat anak OKU di rumah mereka.
SEPANG: “Hanya maut boleh memisahkan kami adik-beradik. Walau apa pun terjadi, mereka tetap bersama saya. Saya akan menjaga mereka sehingga akhir hayat,” kata Munir Yusu, 30, yang mempunyai empat adik-beradik kelainan upaya.
Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, dia berasa tanggungjawab menjaga keempat-empatnya walaupun berpendapatan rendah dan tidak mampu memenuhi semua keperluan mereka.

“Tetapi, selagi saya boleh buat, saya usahakan untuk menjaga mereka. Kalau mahu mengharapkan ibu, sudah tentu dia tidak mampu memandangkan usianya tua dan tidak bekerja.
“Gaji saya sebagai anggota Rela walaupun tidak tinggi masih mampu untuk menampung kami sekeluarga. Apa yang ada, kami guna dan kalau tak ada nak buat macam mana...,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jenderam Hulu, baru-baru ini.

Empat adik-beradiknya Siti Mariam, 29, Norida, 33, Mohd Zaril, 34, dan Norasmah Dermawan, 35, dikategorikan orang kelainan upaya (OKU) kerana mempunyai masalah lembam.

Hanya Munir dan abangnya, Harun, 31, dilahirkan normal dan mereka berdua memikul tanggungjawab menampung perbelanjaan seisi keluarga.

Menurutnya, dia sekeluarga turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, selain bantuan makanan keperluan dan pakaian daripada pihak lain serta jiran sekampung.
“Kami bersyukur kerana ada saja sumbangan diberikan bagi meringankan beban kami sekeluarga. Jasa mereka, terutama penduduk setempat tidak dapat kami balas,” katanya.

Munir berkata, ibunya Norlis Sanun, 61, berasal dari Indonesia, tetapi sudah lama menetap di Malaysia.

“Ibu sudah menjadi rakyat Malaysia, termasuk kami, cuma seorang kakak saya iaitu Norasmah belum mempunyai dokumen pengenalan diri dan statusnya tidak diketahui sehingga kini.

“Saya pun tidak tahu bagaimana menguruskan pengenalan diri Norasmah kerana saya tidak belajar tinggi. Selok-belok urusan itu saya langsung tidak tahu,” katanya.

Buaya ‘ngap’ paha budak

Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my

SAKIT...Ashley Austin dirawat di HUS  menunjukkan kesan luka di kaki dan betis, semalam.
SAKIT...Ashley Austin dirawat di HUS menunjukkan kesan luka di kaki dan betis, semalam.
KUCHING: “Mulanya, saya menyangka rakan bergurau dengan menarik paha, namun sebaik menoleh, saya melihat mereka berdiri agak jauh daripada saya.
“Saya kemudian mengesyaki ada yang tak kena lalu terus meraba lalu terkejut apabila merasai sesuatu benda berkulit keras menggigit kedua-dua paha saya,” kata Ashley Austin Chin, 14, yang terselamat biarpun dibaham buaya air masin di pantai Pasir Pandak, dekat sini, pagi semalam.

Berikutan itu, katanya, dia memberanikan diri dengan menumbuk mata serta badan buaya yang sepanjang lebih tiga meter itu untuk melepaskan gigitannya.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Maong itu mengalami luka di kedua-dua paha.

Sebelum kejadian, Austin berkata, dia bersama lima rakan pergi ke pantai berkenaan yang terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar raya ini untuk mandi sempena cuti sambutan Aidilfitri, kira-kira jam 7 pagi.

Selepas hampir setengah jam menghabiskan masa dengan mandi, dia tiba-tiba terasa sesuatu cuba menggigit pahanya.
“Ketika itu, saya langsung tidak terfikir digigit buaya kerana pantai berkenaan sering dikunjungi orang ramai, terutama setiap hujung minggu.

“Malah, ketika kedua-dua paha saya dibaham, saya masih mampu mengelak dan cuba menepis. Apabila gigitannya semakin kuat, barulah saya segera melawan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.
Austin berkata, dia menggunakan seluruh kudrat untuk menumbuk mata buaya itu.

“Hanya itu cara terakhir dan kudrat yang saya ada. Mungkin tumbukan tepat pada mata buaya berkenaan menyebabkan ia melepaskan gigitannya dan kesempatan itu juga saya gunakan untuk menendang badannya,” katanya.

Austin bersyukur kerana terselamat daripada maut, namun menyesal kerana sebelum kejadian, ibu memang tidak membenarkan dia mandi di situ kerana bimbangkan keselamatannya.

“Saya tidak mengendahkan larangan itu, sebaliknya menuruti ajakan rakan yang merancang untuk mandi-manda di pantai berkenaan,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

2 geng remaja bergaduh cemar kemeriahan Aidilfitri



PARIT BUNTAR: Kemeriahan sambutan Aidilfitri tercemar apabila dua kumpulan remaja samseng bergaduh sebelum merebak menjadi pertempuran ‘gila’ dengan menggunakan parang sebagai senjata mempertahankan diri, semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi itu, kumpulan remaja belasan tahun yang dipercayai ada kaitan dengan kegiatan geng kongsi gelap bergaduh di kawasan lapang di Taman Semarak, di sini.

Seorang penduduk berkata, pergaduhan itu melarat menjadi perbuatan khianat apabila beberapa cermin kereta milik penduduk di kawasan itu dipecahkan.
Dia yang mahu dikenali sebagai Wahid, 35, mengakui terkejut apabila beberapa jiran menjerit dan memaklumkan berhubung pergaduhan serius membabitkan remaja.

Menurutnya, kumpulan remaja tempatan itu dipercayai sudah lama berdendam sebelum merebak menjadi pergaduhan besar di kawasan penempatan itu.

“Saya dimaklumkan, kumpulan remaja samseng itu tidak puas hati antara satu sama lain sebelum bertempur. Mengikut laporan polis, dua daripada remaja yang bergaduh itu parah akibat dilibas dengan parang.
“Apa yang berlaku ini cukup menakutkan berikutan remaja terbabit sudah berani mencederakan dan cuba membunuh,” katanya.

Menurutnya, pergaduhan itu menyebabkan beberapa cermin kereta penduduk dipecahkan, malah tiga motosikal dipercayai milik kumpulan samseng remaja itu dibakar. Wahid berkata, huru-hara yang dicetuskan ini menakutkan dan meminta polis memberkas individu terbabit.
Kejadian ini pergaduhan kedua selepas dua beradik diserang sekumpulan lebih 10 remaja bersenjatakan parang berhampiran padang futsal di Tanjung Rambutan, di sini.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, seorang mangsa yang berusia 21 tahun putus dua jari tangan kiri akibat ditetak dengan parang oleh penyerangnya.

Malah, adik mangsa yang berusia 18 tahun parah akibat ditetak dengan parang sebelum dihantar mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, di sini.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Parit Buntar yang dihubungi mengesahkan menerima laporan penduduk berhubung kes terbabit dan masih memburu beberapa suspek yang dipercayai menjadi dalang pergaduhan itu.

Warga emas terlampau

KAJANG: Seorang warga emas berusia 61 tahun antara lima yang ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam lebih 10 kes samun dan pecah rumah sekitar kawasan ini, hasil dua tangkapan berasingan di Desa Serdang, di Serdang dan Bandar Mahkota Cheras, di sini, Ahad lalu.
Warga emas terbabit yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau dipercayai menjadi penggerak kumpulan berkenaan yang bergiat aktif sejak tahun lalu di Ampang, Kuala Lumpur, selain bandar ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, tangkapan dibuat hasil siasatan bersabit kes kehilangan sebuah kereta Honda Civic yang diletakkan di hadapan kediamannya di Bandar Damai Perdana, di Cheras, 8 Ogos lalu.
“Berdasarkan siasatan, polis menyerbu satu hotel bajet di Desa Serdang kira-kira jam 6 pagi sebelum menahan tiga lelaki berusia 28 hingga 61 tahun dan menemui pasport dan mykad milik orang lain, surat pajak gadai, tabung gas Oxy-Acytelene kecil, beg mengandungi anak kunci yang belum diasah serta pelbagai alatan pecah rumah. “Susulan tangkapan pertama itu, polis menyerbu sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras, di sini, kira-kira 5 jam kemudian dan menahan dua lelaki berusia 27 dan 36 tahun sebelum menemui barangan dipercayai hasil samun serta wang dalam 19 jenis mata wang asing,” katanya.

Ab Rashid berkata, jumlah keseluruhan hasil rampasan bernilai lebih RM300,000 termasuk kereta Honda Civic yang ditemui dalam satu daripada dua serbuan berkenaan.

Menurutnya, semua yang ditahan itu direman sejak 19 Ogos lalu sehingga hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 457/397A Kanun Keseksaan (KK).

Keluarga guru agama dikepung

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Hasrat lima sekeluarga menikmati makan malam di pusat bandar raya ini tidak kesampaian apabila kereta dinaiki mereka ditahan sebelum diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di Jalan Sultan Mahmud, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 malam, mangsa berusia 46 tahun dan bertugas sebagai guru di sebuah sekolah agama di Setiu bersama isterinya berusia 40-an dan tiga anak masing-masing berusia 16, 18 dan 20 tahun dalam perjalanan dari Chendering ke pusat bandar raya ini untuk keluar makan malam sebelum kereta mereka ditahan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian bermula apabila kereta Honda dinaiki lima sekeluarga itu dihimpit sebuah Perodua Myvi berwarna putih dinaiki lima lelaki dengan seorang daripada mereka dipercayai menunjukkan isyarat lucah kepada keluarga berkenaan ketika berada di lampu isyarat Pantai Batu Buruk. “Mangsa tidak mengendahkan perbuatan itu sebelum meneruskan perjalanan mereka. Bagaimanapun ketika mangsa tiba di sebuah bank di Jalan Sultan Mahmud, mereka dihampiri sebuah kenderaan Nissan Navara berwarna hitam yang menghalang perjalanan.
“Pada masa sama, kereta Perodua Myvi yang menghimpit mereka sebelum ini tiba di tempat kejadian dan sekali lagi menghimpit kenderaan mangsa menyebabkan mangsa memberhentikan keretanya.

“Ketika itu, lapan lelaki dipercayai lima orang menaiki kereta Perodua Myvi, manakala tiga lagi menaiki kenderaan Nissan Navara turun lalu menarik anak lelaki mangsa berusia 20 tahun sebelum memukulnya menyebabkan dia cedera di muka, kepala dan badan.

“Malah, guru terbabit turut cedera di muka dan badan, manakala isterinya jatuh akibat ditolak ketika cuba meleraikan pergaduhan itu.
“Selain itu, semua suspek yang dianggarkan berusia 28 tahun ke atas itu turut merosakkan kereta mangsa dengan menendang kenderaan berkenaan menyebabkan cermin depan dan sisi pecah selain badan kereta itu kemek sebelum melarikan diri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.

Manoharan berkata, siasatan mendapati mangsa dan anak lelakinya yang juga pelajar sebuah institut pengajian tinggi awam mendakwa tidak tahu motif mereka diserang kumpulan lelaki berkenaan.
Katanya, polis sudah mengenal pasti seorang daripada suspek yang juga pemilik Perodua Myvi terbabit dan menjangka tangkapan akan dibuat terhadapnya tidak lama lagi.

“Ketika ini, polis masih tidak pasti motif sebenar kejadian sama ada berpunca daripada perselisihan faham atau masalah jalan raya. Justeru kami meminta semua suspek terbabit supaya menyerah diri sebelum polis sendiri menahan mereka di rumah.

“Jika keluarga suspek tahu mengenai kejadian ini, saya harap mereka dapat menasihatkan anak atau anggota keluarga mereka yang terbabit supaya menyerah diri di Balai Polis Kuala Terengganu bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) kerana merusuh dan Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

‘Tak masuk syurga jika tidak bayar hutang’



KUALA LUMPUR: “Hutang walaupun hanya RM30 akan menyebabkan roh seseorang itu terawang-awang dan tidak boleh masuk syurga, jika dia masih berhutang,” kata pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah.
Beliau berkata, sudah menjadi trend kepada orang yang berhutang pada masa kini untuk tidak melunaskan hutang mereka, sedangkan soal ‘hutang-piutang’ menjadi kewajipan kepada setiap individu untuk membayar semula.

“Saya risau dengan trend zaman sekarang, orang yang berhutang macam tiada niat untuk membayar hutang mereka terutama membabitkan hutang kecil dan pada mereka hutang berkenaan seolah-olah tidak perlu dibayar balik kepada pemiutang.
“Sebenarnya dalam hukum sudah ada menjelaskan mengenainya (hutang)...Bila seseorang yang nak beri hutang, dia mesti mempunyai saksi. Sekurang-kurangnya saksi terbabit dapat mengingatkan penghutang mengenai hutang mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai kejadian menimpa seorang tukang rumah yang mati dibelasah dengan kayu oleh dua lelaki yang dikatakan tidak berpuas hati mangsa menuntut hutang RM30. Itulah nilai nyawa yang terpaksa digadai mangsa, Mohamad Khairul Anuar Osman, 28, dibelasah kedua-dua suspek di rumah sewanya di Taman Perindustrian Maju Jaya, Puchong Utama, di sini, jam 4.30 pagi 20 Ogos lalu.

Dia meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 4 pagi kelmarin.

‘Taiko’ Bangladesh hidup mewah peras ugut rakan senegara

KUALA LUMPUR: Masuk ke Malaysia sebagai buruh binaan, namun hidup mewah sebagai ketua kongsi gelap. Itu gaya hidup seorang lelaki warga Bangladesh hingga mampu meraih pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan sejak tiga tahun lalu.
Suspek dikatakan menjalankan kegiatan pemerasan ala kongsi gelap yang mensasarkan rakyat senegaranya yang bekerja di sini dan dia dipercayai antara individu paling ditakuti di kalangan warga Bangladesh di ibu negara.

Bagaimanapun, hasil siastan polis selepas menerima aduan daripada 18 mangsa, lelaki berusia 33 tahun itu dicekup di ibu negara pada 15 Ogos lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata lelaki warga Bangladesh itu mendalangi kegiatan pemerasan ala kongsi gelap sejak tiga tahun lalu selepas meninggalkan pekerjaannya sebagai buruh binaan.

Bakar kereta lupus bukti

SHAH ALAM: Suspek yang membunuh seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang selepas berhari raya di rumah rakannya di Taman Desa Coalfields, Sungai Buloh, Ahad lalu bertindak membakar kereta yang dinaiki mereka dipercayai bagi menghilangkan bukti.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun kelmarin disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Katanya, lelaki terbabit yang ditahan di Bestari Jaya itu disyaki mempunyai kaitan dengan empat lelaki yang menyerang mangsa pada hari kejadian. Harian Metro kelmarin melaporkan M Siva, 22, maut selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata tajam. Mangsa yang menaiki motosikal bersama rakannya parah sebelum meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh manakala rakannya patah tangan kiri dan melarikan diri.
Rosli berkata, suspek yang berasal dari Ijok dipercayai mempunyai maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan empat suspek utama terbabit. “Kita menjumpai kereta Honda Civic dipercayai milik suspek dibakar tidak jauh dari lokasi kejadian dipercayai cuba menghapuskan bukti.

“Siasatan juga mendapati kereta berkenaan adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Sungai Buloh pada 24 Ogos lalu,” katanya di sini, semalam.

Rosli berkata, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa yang menaiki motosikal bersama rakannya itu dilanggar dari belakang oleh kereta berkenaan yang dinaiki empat suspek itu.
“Mangsa yang terjatuh kemudian diserang empat lelaki terbabit yang menggunakan senjata tajam manakala rakannya yang patah tangan kiri melarikan diri.

“Mangsa yang parah dibawa orang ramai ke Hospital Sungai Buloh bagaimanapun meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan,” katanya.

“Suspek yang dikenali sebagai ‘taiko’ dan mempunyai konconya yang juga rakyat senegaranya mampu meraih pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan.

“Konco geng itu mengenal pasti rakan senegara mereka yang baru mendapat gaji sebelum memaksa mereka membayar wang perlindungan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan,” katanya, semalam.
Beliau berkata, sekiranya mangsa enggan menyerahkan wang perlindungan itu, suspek bersama ahli gengnya akan mengugut mencederakan mangsa dengan bersenjatakan pisau.

Ku berkata, 18 laporan yang diterima polis semua daripada mangsa warga Bangladesh dan Kedutaan Bangladesh di sini turut menerima aduan sama dengan kes terbaru dilaporkan pada Mac lalu.

No comments:

Post a Comment