Tumpas bila mata dicucuk
|
KUCHING – Tindakan berani seorang remaja menendang kepala dan mencucuk mata seekor buaya dengan jari tangannya berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi korban reptilia ganas itu ketika dia mandi-manda bersama rakan di pantai Pasir Panjang dekat sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Ashley Austin Chin, 14, bersama lima rakan bermandi-manda selepas selesai memancing sebelum kaki kanannya tiba-tiba disambar buaya serta mengheretnya ke dalam air.
Panik diheret dan bergelut kira-kira tiga minit dengan reptilia sepanjang dua meter itu, Ashley terus menjerit dan meronta-ronta.
Dia akhirnya sempat menendang kepala Sang Bedal sebelum reptilia itu cuba pula menerkam kaki kirinya.
“Pada mulanya saya ingat kawan saya bermain dan menarik kaki saya, namun selepas saya berpusing ke belakang, saya ternampak seekor buaya.
“Saya sempat berpusing dua kali dalam air walaupun kaki masih dalam mulut buaya dan tendang kepala sambil mencucuk mata buaya itu dengan jari tangan hinggalah kaki saya dilepaskannya,” ceritanya kepada Kosmo! ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini semalam.
Nafi mencintai suami Rita
|
|
KUALA LUMPUR – Pelakon Zuliana Abd. Aziz, 29, atau Jue Aziz menafikan dakwaan dia memiliki hubungan istimewa dengan suami pelakon Rita Rudaini, Aidil Zafuan Abd. Radzak.
Jue turut menegaskan, dia tidak suka menjadi peruntuh rumah tangga orang, apatah lagi Aidil merupakan suami kepada rakan pelakonnya.
“Saya kenal Aidil sebagai kenalan biasa, namun menolak dakwaan mempunyai hubungan istimewa dengan dia.
“Bagaimana kami boleh bercinta kalau tidak pernah berjumpa? Dakwaan tentang hubungan kami sangat tidak berasas,” luah Jue sewaktu dihubungi Kosmo! semalam.
Pelakon yang popular dengan drama Manjalara tersebut juga kesal kerana menjadi mangsa keadaan.
Tambahnya: “Saya anggap diri sebagai mangsa keadaan dan tidak mustahil saya telah menjadi kambing hitam untuk pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dan mahu menjatuhkan Aidil.”
Geng Susu Kangkang kecundang
KAJANG – Jika sebelum ini banyak kumpulan penjenayah dilaporkan memilih untuk merompak barang-barang kemas atau kenderaan mewah namun lain pula sasaran penjenayah Geng Susu Kangkang apabila mereka hanya berminat untuk mencuri susu tepung berjenama.
Geng Susu Kangkang sebelum ini dikesan aktif melakukan jenayah tersebut di Perlis dan Kedah namun kegiatan tersebut ditumpaskan apabila beberapa ahlinya diberkas kerana mencuri susu tepung di beberapa pasar raya di kedua-dua negeri itu.
Tidak berakhir di situ, polis daerah ini kemudian mengesan Geng Susu Kangkang juga melebarkan jenayahnya di daerah ini dengan memilih kedai-kedai serbaneka sebagai sasarannya.
Modus operandi Geng Susu Kangkang ialah ahli geng tersebut memakai jubah atau baju kurung dan memasukkan kotak-kotak susu tepung yang dicuri ke celah kangkang masing-masing dan berjalan keluar dari premis yang dicuri.
Bagaimanapun, jenayah Geng Susu Kangkang yang bermula sejak tahun 2010 di daerah ini terbongkar pada 16 Ogos lalu apabila polis berjaya memberkas tujuh lelaki dan seorang wanita yang merupakan saki baki ahli Geng Susu Kangkang yang pernah melakukan jenayah itu di Perlis dan Kedah.
Geng samseng rancang bertempur
AMPANG JAYA – Seorang daripada 30 samseng yang disyaki sedang merancang untuk menyambung semula pergaduhan yang tercetus di sebuah flat di Pandan Perdana cedera parah ditembak polis di Tasik Permai di sini semalam.
Sebelum kejadian pukul 2 pagi, sekumpulan lima lelaki dikesan menaiki sebuah kereta jenis Hyundai berlegar-legar di sekitar Ampang Waterfront bersama 13 buah kenderaan lain dipercayai dalam perjalanan menuju ke Flat 700 di Pandan Perdana.
Jarak antara Waterfront dengan Flat 700 kira-kira lapan kilometer.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md. Nazri Zawawi berkata, polis yang menerima maklumat mengenai rancangan itu menghantar 16 anggota polis dengan menaiki empat buah kereta peronda menuju ke tempat kejadian.
Menurut beliau, polis yang terserempak dengan 14 buah kenderaan berkenaan cuba memeriksa setiap kenderaan tersebut, namun gagal kerana semua kereta itu dipecut laju meninggalkan lokasi tersebut.
Bagaimanapun, Md. Nazri memberitahu, kereta peronda polis berjaya memintas sebuah kereta Hyundai yang dinaiki lima lelaki tersebut.
“Sewaktu seorang anggota polis berjalan menuju ke kereta tersebut, kenderaan terbabit tiba-tiba mengundur dan melanggar kereta peronda polis.
“Selepas itu, empat lelaki daripada kenderaan suspek bersenjatakan parang keluar dan memecahkan cermin kereta peronda polis,” kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Kampung Pasir jadi ‘mini Jakarta’
KUALA LUMPUR – Suasana di Kampung Pasir, Hulu Klang dekat sini bukan sahaja boleh dilabelkan sebagai ‘mini Jakarta’ malah kawasan yang dijajah oleh warga Indonesia itu juga dipercayai menjadi transit buat pendatang asing tanpa izin (PATI) bermukim tanpa rasa takut.
Kampung tersebut kini padat dengan rumah-rumah papan beratap zink yang dijadikan tempat berlindung PATI dan warga Indonesia halal sehingga merimaskan penduduk tempatan yang semakin rasa terasing di bumi sendiri.
Tinjauan Kosmo! mendapati mereka bukan sahaja bebas melakukan pelbagai jenis aktiviti malah mengaut untung dengan membuka kedai runcit dan makanan sejak berpuluh tahun lalu yang hanya dikunjungi oleh puak-puak mereka sendiri.
Setiap langkah pasti akan bertembung dengan warga asing terutamanya di hujung minggu malah daripada loghat pertuturan, pemakaian dan suasana di kedai-kedai runcit serta di gerai makan berhampiran turut membuatkan penduduk di kawasan itu seolah-olah mereka berada di Indonesia.
Lebih mengejutkan apabila kawasan penempatan tersebut dikatakan menjadi tempat selamat bagi warga Indonesia yang memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Ramai suka main mercun
|
|
KUALA LUMPUR – Orang ramai perlu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membanteras penjualan mercun dan bunga api tanpa permit yang dijual secara meluas di pasaran pada setiap musim perayaan.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Muhammad Shaani Abdullah berkata, tahap kesedaran mengenai bahaya bermain mercun dalam kalangan orang ramai masih rendah.
Beliau berkata polis hanya membenarkan penjualan dua jenis mercun di pasaran iaitu bunga api jenis Pop Pop dan Happy Boom dan ia juga memerlukan permit polis.
“Apa yang berlaku sekarang ialah wujudnya permintaan daripada orang ramai maka sudah pasti peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk menyeludup mercun dari luar negara untuk mengaut keuntungan pada musim perayaan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Pinjam ah long cepat dapat duit
KUALA LUMPUR – Ramai golongan Melayu yang meminjam dengan ah long menyalahkan kerenah birokrasi pihak bank sebagai alasan utama mereka meminjam daripada ‘lintah darat’ itu walaupun menyedari risiko bakal menanggung beban faedah yang melampau.Menurut Ketua Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Mi- chael Chong (gambar kecil), rata-rata golongan yang meminjam itu terdiri daripada para peniaga yang terdesak memerlukan wang segera kononnya bagi melicinkan operasi perniagaan mereka.
Katanya, sebanyak 30 peratus daripada peminjam Melayu adalah terdiri daripada golongan peniaga dicatatkan dari tahun 2005 hingga 2011.
“Alasan yang biasa diberi oleh mereka adalah bank mengambil masa terlalu lama untuk meluluskan permohonan pinjaman dan ini menyebabkan mereka bosan menunggu.
“Selain itu, kegagalan mendapatkan pinjaman tersebut juga membuatkan mereka membuat keputusan untuk mendapatkan modal dengan cara berhutang dengan ah long,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru.
Bahang merdeka masih hambar
KUALA LUMPUR – Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-55 tinggal sembilan hari sahaja lagi namun bahangnya seakan-akan tidak terasa.Bukan sahaja kibar Jalur Gemilang pada kenderaan tetapi bendera yang dikibar di bangunan dan rumah juga boleh dikira dengan jari.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati rata-rata deretan bangunan perniagaan sekitar Bangsar, Cheras dan Setapak tidak mengibarkan bendera di premis mereka seperti tahun-tahun sebelumnya.
Seorang peniaga peralatan sukan di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, Tan Shoi Bah, 74, berkata sambutan kemerdekaan semakin lama semakin hambar kerana semangat cintakan negara yang semakin pudar dalam kalangan masyarakat.
“Sebagai rakyat Malaysia yang menyaksikan sendiri laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka, saya akui semangat patriotik masyarakat pada hari ini seakan-akan hilang.
“Mungkin rakyat negara ini terlupa yang kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan tidak lama lagi,” katanya yang mengakui telah mengibarkan Jalur Gemilang di premisnya sejak tiga bulan lalu.
Notis pusat parkir lepas tangan
KUALA LUMPUR – Tindakan pengusaha tempat letak kenderaan swasta yang mempamerkan notis tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan atau kehilangan kenderaan dianggap tidak munasabah sedangkan mereka mengenakan bayaran kepada pengunjung.
Hak pengguna yang membayar untuk perkhidmatan tersebut seakan-akan diketepikan berdasarkan syarat yang dianggap seperti lepas tangan oleh pihak pengurusan parkir berkenaan.
Tinjauan di beberapa buah kawasan parkir swasta sekitar ibu kota mendapati hampir kesemua pengusaha parkir itu mempamerkan notis yang sama.
Dengan bayaran sekitar RM5 sejam yang dikenakan kepada pengguna, ia dilihat tidak setimpal dengan perkhidmatan yang disediakan.
Warga asing dilarang jadi pengasuh
KUALA LUMPUR - Ramai ibu bapa di negara ini tidak menyedari bahawa anak-anak mereka dilindungi di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang melarang warga asing menjadi pengasuh kanak-kanak di rumah asuhan.Presiden Pengusaha Taska Berdaftar Malaysia, Shamsinah Che Shariff berkata, ibu bapa seharusnya prihatin terhadap perkembangan sosiologi anak-anak mereka yang boleh terjejas sekiranya diasuh oleh warga asing.
"Terdapat banyak Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang menggaji warga asing terutama dari Filipina dan Indonesia kerana upah mereka lebih rendah berbanding rakyat tempatan.
"Tindakan ini menyalahi undang-undang dan hendaklah dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya tindakan sewajarnya diambil," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Difahamkan, rata-rata warga asing dibayar sekitar RM300 ke RM400 sebulan dan jumlah tersebut dianggap punca orang tempatan tidak berminat bekerja sebagai pengasuh.
Tambahan lagi, bilangan kanak-kanak dan bayi yang perlu dijaga di taska lebih ramai dan tidak sepadan dengan bayaran tersebut.
Menurut Shamsinah, ibu bapa seharusnya mengetahui dengan mendalam latar belakang pengasuh sebelum menghantar anak-anak ke mana-mana pusat asuhan.
"Budaya dan perkembangan minda kanak-kanak boleh tercemar sekiranya mereka tidak diasuh mengikut acuan masyarakat tempatan," jelasnya.
Tambahnya, taska berkualiti sememangnya melibatkan perbelanjaan yang besar kerana perlu menepati beberapa syarat asas menubuhkan rumah asuhan kanak-kanak.
Antaranya, premis hendaklah didaftar dan menggunakan khidmat pengasuh terlatih yang telah menjalani kursus asas asuhan kanak-kanak selama 17 hari.
Mengikut nisbah yang digariskan, seorang pengasuh dibenarkan menjaga tidak lebih daripada tiga orang bayi manakala nisbah bagi lima orang kanak-kanak berusia di bawah dua tahun dijaga oleh seorang pengasuh.
Tentera Syria serang Damsyik
|
AMMAN - Tentera Syria menyerang selatan ibu kota Damsyik dengan menggunakan helikopter dan mesingan semalam dalam pertempuran dengan para pemberontak.
Serangan itu dilakukan bagi meningkatkan penguasaan Presiden Syria, Bashar Al-Assad di bandar raya tersebut selepas 17 bulan kebangkitan rakyat berlaku.
Tentera Syria turut menggunakan kereta-kereta kebal dalam serangan tersebut.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan 18,000 orang telah terbunuh sejak kebangkitan rakyat berlaku di negara tersebut pada Mac lalu.
Menurut para aktivis anti-Bashar, seramai 47 orang terbunuh di Damsyik.
Mereka menganggap ia merupakan serangan terbesar tentera Syria dalam bulan ini.
"Seluruh Damsyik bergegar dengan bunyi dentuman," kata seorang wanita di Kfar Souseh.
Menurut beberapa aktivis, seramai 22 orang terbunuh di Kfar Souseh dan 25 lagi di daerah berdekatan, Nahr Eisha.
Para pemberontak itu menuntut Bashar meletakkan jawatan ekoran kegagalan beliau melaksanakan pembaharuan politik dan hak-hak asasi manusia. - Reuters
Penduduk bimbang muzik reggaeton
BANDAR RAYA MEXICO - Penduduk di Mexico kini bimbang dengan perkembangan muzik reggaeton yang merupakan gabungan irama hip hop.
Muzik itu dianggap seksual dan ia dipersalahkan kerana beberapa siri kejadian kecurian dan penyeludupan dadah.
Pada bulan lalu, polis membatalkan konsert muzik tersebut yang diadakan di kawasan perumahan Zona Rosa di sini.
Para peminat muzik itu merosakkan kereta dan menduduki sebuah pasar raya tempatan selepas konsert tersebut dibatalkan.
"Jiran-jiran yang tinggal berdekatan dengan kejadian tersebut takut dengan para peminat muzik itu," menurut tajuk sebuah akhbar Reforma.
Muzik itu berasal dari Puerto Rico pada awal tahun 2000.
Para peminat muzik itu berambut mohawk dan bersumbang.
Bagaimanapun, seorang remaja berusia 16 tahun, Donovan Leal berkata: "Saya pergi menari, tidak mengambil dadah tetapi mereka menyatakan saya budak jahat."
Muzik itu diperdengarkan di kelab malam di bandar raya ini yang dianggap oleh para peminatnya sebagai irama yang hebat. - Agensi
Haiwan jilat ais untuk sejukkan badan
|
ROM, Itali - Haiwan-haiwan di Zoo Bioparco di sini diberikan ais pelbagai perisa untuk dijilat bagi menyejukkan badan semasa cuaca terlalu panas.
Beberapa ekor harimau dan singa diberikan ais pelbagai perisa itu manakala monyet mendapat buah-buahan dan tembikai sejuk.
Menurut seorang kakitangan zoo dalam satu kenyataan kelmarin, para pekerja berusaha untuk membantu 1,000 ekor haiwan untuk menghadapi cuaca panas kerana suhu meningkat hampir 40 darjah Celsius.
Harimau dan singa itu diberikan ketulan ais pelbagai perisa yang besar. - AFP
No comments:
Post a Comment