Sunday, August 5, 2012

ADA YANG PENDULI MARUAH DAN ADA YANG TAK PENDULI MARUAH...

Fara saman blog RM1 juta



FARA berharap ini adalah pengajaran buat blog yang menimbulkan fitnah.



NOORFARAASHIKIN tenang diapit dua orang peguamnya, Amir Hamzah dan Nizam Bashir pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Nama dan wajahnya dikenali ramai setelah bernikah dengan penyanyi, Datuk Hattan. Namun, jodoh mereka tidak panjang. Fara hanya bergelar isteri kepada penyanyi tersebut selama 62 hari.
Rentetan daripada perkahwinan itu, sebuah blog menyiarkan gambar peribadi Fara yang menurut Fara merupakan satu fitnah terhadap dirinya.
Jelas Fara, penyebaran gambar itu bermula sekitar tahun 2008 selepas akaun e-mel miliknya digodam. Penggodam berkenaan juga mencipta e-mel lain dan menyebarkan gambar-gambar tersebut dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan reputasinya.
Sekali lagi pada tahun 2011, akaun Facebook Fara digodam oleh pihak lain sebelum memuat naik beberapa artikel palsu yang bertujuan mengaibkan dirinya.
Tegas dan mahu perkara ini diambil serius, Fara memfailkan saman terhadap pengendali blog Oh! Bulan.
Kenapa Fara mahu saman pemilik blog tersebut?
FARA (F): Tindakan ini bagi memberi pengajaran kepada blog tersebut selain membersihkan nama saya daripada isu fitnah. Saya dan pihak peguam juga sedang mempertimbangkan untuk mengheret beberapa blog lain ke muka pengadilan berhubung kes yang sama.
Saya berasakan tindakan ini adalah wajar memandangkan reputasi dan bisnes saya terjejas dengan penyebaran cerita tersebut.
Adakah tuntutan ini setimpal dengan kesalahan blog tersebut?
F: Ini bukan soal duit. Saya lihat isu ini daripada sudut berbeza. Tak usah bercakap soal jumlah RM1 juta itu tetapi apa yang mereka telah lakukan pada saya lagi teruk. Orang mula curiga dengan saya malah ada yang percaya bulat-bulat berita yang disebarkan itu.
Terukkah kesan fitnah itu terhadap diri dan bisnes Fara?
F: Paling teruk ialah fitnah tersebut menjejaskan bisnes dan reputasi saya. Penyebaran fitnah seperti itu memang tidak boleh dimaafkan. Lebih malang, mereka langsung tidak memberi respons apabila peguam saya mengambil tindakan awal sebelum ini.
Adakah tindakan saman ini satu ancaman kepada blog hiburan tempatan yang lain?
F: Ini adalah pengajaran buat mereka. Saya bukan artis mahupun selebriti yang perlu mereka jadikan mangsa.
Harap-harap tindakan undang-undang ini mampu memberi pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dengan apa juga penyebaran berita selepas ini. Kita perlu ada etika dalam kerja masing-masing.
Mungkin Amir selaku peguam boleh terangkan perkembangan kes ini?
AMIR (A): Kira-kira dua minggu lalu kami memfailkan kes ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan masih menanti pernyataan pembelaan daripada blogger terbabit.
Bukan tidak ada cara lain yang boleh dilakukan tetapi mereka hanya berdiam diri. Kita pernah hantar satu surat tuntutan pada Mac lalu. Kalau boleh kami mahu menyelesaikan kes ini secara baik di luar mahkamah.
Mereka (pihak terlibat) menulis tanpa mengambil kira kesahihan berita itu. Tidak ada yang menghubungi anak guam kami untuk mendapatkan penjelasan atau bertanyakan tentang kebenaran bahan yang hendak disiarkan itu.
Sudahkah laporan polis atau aduan kepada pihak berkuasa lain dibuat?
A: Anak guam saya telah membuat banyak laporan polis berhubung dengan hal penggodaman iaitu sejak tahun 2008 lagi. Selain pihak polis, laporan juga dibuat kepada pihak Cyber999 dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Berikutan dengan insiden penggodaman dan pemalsuan artikel berkenaan, beberapa blog dan laman web media tempatan telah menggunakan artikel palsu tersebut sebagai bahan untuk pembaca mereka termasuklah blog yang disaman oleh Fara.
Bagaimana dengan tindakan lanjutan daripada pihak SKMM?
A: Setakat ini tiada tindakan lanjut daripada pihak SKMM. Boleh dikatakan mereka gagal mengambil langkah yang efektif untuk menangani jenayah siber seperti penggodaman dan penyebaran berita palsu

Jerit mahu pulang sebelum terjun


Sebuah pesawat AirAsia yang mendarat di Lapangan Terbang Miri, Sarawak.



MIRI - Beratus-ratus penumpang sebuah pesawat AirAsia Berhad (AirAsia) menghadapi saat cemas apabila seorang penumpang bertindak membuka pintu kecemasan lalu terjun ketika pesawat itu dalam kedudukan sedia untuk berlepas di Lapangan Terbang Miri di sini malam kelmarin.
Lebih mengejutkan, siasatan mendapati penumpang berkenaan yang dikenali sebagai Chong, 24, dipercayai staf syarikat penerbangan tambang murah itu sendiri.
Pada hari berkenaan, dia tidak bekerja tetapi menaiki pesawat AK587 itu bersama teman wanitanya untuk menuju ke Kuala Lumpur.
Kosmo! Ahad difahamkan, tindakan lelaki itu membuka pintu kecemasan yang terletak di bahagian tengah pesawat menyebabkan pesawat tersebut berhenti serta-merta.
Keadaan itu mencetuskan situasi panik dalam kalangan penumpang.
Sementara itu, seorang penumpang yang menaiki penerbangan sama berkata, sebaik pesawat tersebut hendak berlepas, lelaki itu menjerit 'saya mahu pulang' sebelum dia meninggalkan kerusinya dan membuka pintu kecemasan.


Chong diberi rawatan selepas terjun dari pesawat AirAsia.



"Ketika pesawat itu sedang bergerak perlahan untuk berlepas, tiba-tiba lelaki tersebut buka pintu kecemasan di sebelah kanan pesawat dan terjun sekali gus menyebabkan pesawat berhenti mengejut.
"Penumpang lain mula menjerit dan panik. Punca dia bertindak demikian masih kurang jelas," kata saksi itu.
Pengarah Operasi Penerbangan AirAsia, Kapten Datuk Fareh Ishraf Mazputra (gambar kecil) berkata, penumpang yang terjun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk menerima rawatan.
Kejadian tersebut menyebabkan penerbangan tersebut tergendala dan penerbangan hanya dapat diteruskan pada pukul 11 malam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, setakat ini polis masih mengumpul maklumat mengenai kejadian itu dan siasatan giat dijalankan berhubung kejadian tersebut.

Atlet pengsan dibelasah senior



NORAKMA (kiri) menunjukkan kesan lebam pada badan Mohd. Amirul yang didakwa dibelasah sekumpulan pelajar senior di Bandar Penawar, Kota Tinggi semalam.



KOTA TINGGI – Gara-gara menegur sekumpulan pelajar membuat bising, seorang pelajar lelaki tingkatan lima di sebuah sekolah asrama di Bandar Penawar di sini mendakwa pengsan akibat dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior pada Khamis lalu. Dalam kejadian itu, Mohd. Amirul Mukmin Mohd. Yusmiza, 17, yang merupakan atlet olahraga dan atlet pelapis kebangsaan mengalami lebam di belakang badan, paha, dada dan tangan.
Menceritakan semula kejadian malang itu, Mohd. Amirul memberitahu, dia yang sedang nyenyak tidur pada pukul 1 pagi telah dikejutkan oleh seorang pelajar yang tidak dikenali memaklumkan ada pelajar senior mahu berjumpa dengannya. “Pada pertemuan itu, salah seorang daripada mereka (senior) bertanya beberapa soalan sebelum saya dipukul bertubi-tubi sehingga pengsan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dakwa pelajar itu, selepas kejadian tersebut, dia yang tidak sedarkan diri tidak mengetahui apa yang berlaku ke atas dirinya dan hanya tersedar ketika rakan-rakan sebilik sedang bersiap hendak bersahur.
Mohd. Amirul mengaku sebelum dibelasah, dia ada menegur sekumpulan pelajar junior supaya tidak membuat bising kerana dikhuatiri mengganggu pelajar lain yang hendak tidur. “Saya tidak menyangka tindakan itu telah diadukan kepada pelajar senior sehingga saya dibelasah sebegini,” katanya yang membuat laporan sambil ditemani ibunya, Norakma Mohidin di Balai Polis Bandar Penawar kelmarin.
Sementara itu, ayah mangsa, Mohd. Yusmida Mohd. Yunus, 41, meluahkan rasa terkilan berhubung kejadian itu yang diketahui menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh anaknya sendiri. “Kejadian tersebut sepatutnya dimaklumkan oleh pihak sekolah, sebaliknya kami mendapat tahu daripada Mohd. Amirul sendiri. “Mujurlah dia mengirim SMS, jika tidak pasti hingga sekarang kami tidak akan tahu kejadian ini,” katanya yang berharap pihak sekolah lebih peka termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pelajar terlibat. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian itu. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

Kelar tangan elak ditahan



SEBAHAGIAN daripada gelandangan yang ditahan dalam Ops Gelandangan di sekitar Kuala Lumpur malam kelmarin.



KUALA LUMPUR - Seramai 54 orang gelandangan termasuk 11 daripadanya warga asing ditahan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Ops Gelandangan pada malam kelmarin.
Malah terdapat dalam kalangan mereka sanggup bertindak mencederakan diri sendiri dengan mengelar bahagian pergelangan tangan bagi mengelakkan ditahan dalam operasi tersebut.
Sebahagian besar daripada mereka ketika ditahan sedang asyik tidur di kaki lima bangunan pejabat dan kedai di beberapa jalan utama sekitar ibu kota.
Antara kawasan operasi ialah Pasar Seni, Dataran Merdeka, Jalan Masjid Negara, Menara Maybank, Jalan Masjid India dan Kompleks Beli-Belah Cahaya Suria.
Operasi selama enam jam bermula pukul 10 malam yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail itu merupakan kali keenam dilakukan secara besar-besaran bertujuan membendung kehadiran orang gelandangan di ibu negara pada tahun ini.
Operasi yang berakhir sekitar pukul 4 pagi semalam itu turut melibatkan anggota seramai 105 orang daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Osman memberitahu, operasi tersebut bertujuan membersihkan ibu negara daripada kehadiran golongan berkenaan yang terdiri daripada kutu rayau, penagih dadah dan pengemis terutamanya melibatkan gelandangan warga asing.
"Tujuh daripada mereka yang ditahan itu didapati positif dadah dan diserahkan kepada AADK manakala lima lagi lelaki diserahkan kepada JKM untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Ibu bapa dipenjara seumur hidup


GAMBAR pada 19 Jun lalu menunjukkan Iftikhar Ahmed dan isterinya, Farzana Ahmed.



LONDON - Sepasang suami isteri berbangsa Pakistan tergamak membunuh anak gadis mereka kerana dia terpengaruh dengan cara hidup Barat.
Jenayah tersebut terbongkar apabila adik mangsa memberitahu sebuah mahkamah Britain bahawa ibu bapa mereka melemaskan kakaknya yang berusia 17 tahun dengan menekup hidung dan mulut mangsa.
Kelmarin, Hakim Roderick Evans menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Iftikhar Ahmed, 52, dan isterinya Farzana Ahmed, 49, kerana membunuh anak mereka, Shafilea Ahmed (gambar kecil) pada tahun 2003.
Seorang sepupu pasangan suami isteri itu yang berasal dari perkampungan Uttam di Pakistan dipenjara 25 tahun kerana bersubahat dalam jenayah tersebut.
"Dia (mangsa) terhimpit antara dua budaya dan cara hidup iaitu budaya yang dia mahukan (Barat) dan cara hidup yang kamu paksa ke atas dirinya," kata Evans semasa menjatuhkan hukuman di Mahkamah Diraja Chester, di barat daya England kelmarin.
Di Britain, lebih 25 wanita dibunuh dalam kes yang dilabel 'pembunuhan demi maruah' sejak sedekad lalu.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu kebanyakannya dilakukan oleh keluarga Islam dari Asia ekoran malu kerana anak perempuan mereka mengikut cara hidup Barat atau enggan berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga.


Menurut pendakwa raya, Andrew Edis, Shafilea baru berusia 10 tahun apabila dia mula membantah peraturan ketat ibu bapanya.
Anak gadis itu akan menyembunyikan mekap dan pakaian Barat di sekolah dan memakai pakaian konservatif sebelum ibu bapanya tiba untuk mengambilnya pulang.
Namun, pada tahun lalu, kata adik Shafilea, ibu bapa mereka menolak kakaknya sehingga jatuh di atas sofa selepas berlaku satu pertengkaran.
Mereka kemudian memasukkan beg plastik ke dalam mulut mangsa dan menekup mulut serta hidungnya dengan menggunakan tangan sehingga dia meninggal dunia.
Ketika dia menyaksikan pembunuhan tersebut, Alesha berkata, dia berusia 12 tahun.
Menurut Alesha, selepas kakaknya dibunuh, adik-beradiknya yang lain naik ke tingkat atas rumah mereka dan melihat bapa mereka memasukkan mayat Shafilea yang dibalut dengan sehelai selimut, ke dalam keretanya.
Mangsa dilaporkan hilang tidak lama kemudian. Ibu bapanya turut berpura-pura menangis ketika merayu di media tempatan bagi mendapatkan maklumat yang dapat membantu mencari anak perempuan mereka.
Namun, polis yang mengesyaki pembabitan mereka, mencuri dengar perbualan di kediaman berkenaan sebelum bertindak menahan pasangan suami isteri itu.
Mayat Shafilea akhirnya di temui di Sungai Kent, Daerah Cumbria pada Februari 2004.
Namun, Alesha hanya memberi keterangan sebagai saksi dalam kes tersebut pada tahun 2010.
- AP

Ejen AS angkut pelacur ke hotel sebelum Obama tiba di Colombia

WASHINGTON - Seorang penyiasat tentera Amerika Syarikat (AS) menyatakan, sekitar 12 ejen Perkhidmatan Rahsia AS membawa wanita, dipercayai pelacur ke bilik hotel mereka di Colombia sejurus sebelum Presiden Barack Obama tiba untuk menghadiri satu sidang kemuncak di negara berkenaan pada April lalu.
Laporan siasatan berkenaan yang diperoleh agensi berita Associated Press (AP) kelmarin mendedahkan butiran baharu mengenai salah laku anggota keselamatan AS dalam skandal pelacuran yang melibatkan anggota tentera dan ejen Perkhidmatan Rahsia.
Setakat ini, sembilan anggota keselamatan daripada kedua-dua agensi berkenaan telah dihukum berhubung skandal memalukan itu.
Siasatan berkenaan menyatakan, pekerja Hotel Caribe di bandar Cartagena mengadu kepada beberapa pegawai AS bahawa anggota keselamatan mereka 'menyimpan' tetamu wanita di dalam bilik hotel selepas pukul 6 pagi.
Perbuatan tersebut melanggar polisi Hotel Caribe.
Mereka turut mengadu, pengendali anjing membenarkan anjing-anjing mereka menggigit dan merosakkan linen hotel.
Ejen Perkhidmatan Rahsia bertanggungjawab mengawal keselamatan Presiden dan pemimpin AS selain menyiasat pemalsuan matang wang dolar AS.
Pelacuran dibenarkan di Colombia tetapi melanggar kod etika tentera AS. - AP

Sepasang Kekasih Lemas Terhidu Asap Tilam Yang Dibakar
KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih ditemui mati dipercayai lemas akibat terhidu asap tilam yang dibakar mereka dalam sebuah bilik di Pangsapuri Bayu Puteri, Petaling Jaya petang Sabtu.
Kedua-dua mayat yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemui rakan mangsa yang pergi ke rumah pasangan itu selepas gagal mengesan mereka kira-kira pukul 3 petang.
Rakan pasangan itu terpaksa menendang pintu bilik yang mempunyai kesan terbakar dan kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan terdapat longgokan tilam yang dibakar berhampiran mereka.
Namun tiada kesan bakar ditemui di badan mereka.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau berkata mayat pasangan itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. -BERNAMA

Seorang Maut, 8 Cedera Dalam Nahas Di Bukit Putus
SEREMBAN: Seorang wanita maut manakala lapan lagi cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 14.3 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus, di sini, Ahad.
Jurucakap polis berkata mangsa, Rohani Saidin, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta jenis Proton Saga, Proton Waja serta Honda CRV dan mangsa yang maut adalah penumpang kereta Proton Waja yang dinaiki bersama empat anggota keluarganya yang lain.
"Selain itu, semua mangsa yang cedera iaitu pemandu kereta Honda CRV, empatpenumpang Proton Waja dan tiga sekeluarga yang menaiki Proton Saga dikejarkan keHospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan," katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri ASP Abd Halil Hamzah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata punca kemalangan masih disiasat.
Seorang saksi, Syed Azril Syed Zamri, 33, berkata ketika kejadian, beliau dan isteri serta seorang anaknya sedang melalui jalan itu dari arah Kuala Pilah menuju Seremban.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, secara tiba-tiba saya nampak sebuah kereta jenis Honda CRV dari arah bertentangan terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Waja di hadapan saya.
"Saya terkejut apabila mendengar bunyi letupan yang kuat sebelum kereta Proton Waja itu dirempuh kereta Proton Saga pula dari arah belakang," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Syed Azril berkata beliau bernasib baik kerana sempat memberhentikan kenderaan dan mengelak daripada bertembung dengan kenderaan di depannya.
"Apabila keluar dari kenderaan, saya melihat seorang lelaki yang tersepit di tempat pemandu kereta Proton Waja, merayu meminta tolong manakala penumpang yanglain sedang mengerang kesakitan.
"Saya juga melihat seorang wanita berlumuran darah berada di bawah tempatduduk belakang, dihimpit seorang lagi wanita, dan seorang kanak-kanak berusiasetahun yang sedang menangis," katanya yang kemudian menghubungi polis. – BERNAMA
 
REMUK... Anggota bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan pemandu kereta Proton Waja yang terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kereta di kilometer 14.3 Jalan Seremban-Kuala Pilah di Bukit Putus, Negeri Sembilan pada Ahad. Dalam kejadian itu seorang wanita warga emas maut manakala lapan lagi cedera. foto: BERNAMA

No comments:

Post a Comment