Thursday, August 9, 2012

JIKA TAK PUASA SOLAT APA TAH LAGI...MEREKA NI TAK INGAT MATI...INGAT MEREKA MUDA LAMBAT LAGI MATI

Jual nasi seawal 10 pagi
SYAIRI SHAARI
10 Ogos 2012
Jual nasi seawal 10 pagi
Pelajar sekolah turut kelihatan membeli makanan seawal jam 10 pagi.
TAMAN KERAMAT - Tindakan segelintir peniaga di AU3, di sini yang menjual makanan seawal jam 10 pagi menimbulkan kecurigaan penduduk setempat apabila ramai pembeli beragama Islam datang membeli.
Melalui aduan orang ramai, tinjauan Sinar Harian mendapati tiga gerai nasi berlauk menjalankan perniagaan sekitar jam 10 pagi.
Bagaimanapun, aktiviti tersebut mengundang curiga dan ketidakpuasan hati penduduk setempat yang mahukan pihak berkuasa agama menyiasat.
Pengerusi Surau Al- Ehsaniah AU3, Aziz Jaafar berkata, isu peniaga ini sudah berlarutan beberapa tahun setiap kali Ramadan dan penduduk tidak mahu bersubahat sekiranya perniagaan tersebut akan menjurus kepada perbuatan yang dilarang ketika umat Islam melakukan ibadah puasa.
“Penduduk tidak pernah mempertikaikan atau melarang peniaga mencari punca rezeki tetapi waktu mereka berniaga pada bulan Ramadan ini boleh dipersoalkan kerana boleh mengundang pelbagai andaian dan persepsi negatif.
“Pihak berkuasa agama tempatan diharap dapat menyiasat perkara ini kerana selain waktu perniagaan yang terlalu awal, perniagaan ini berkemungkinan boleh mencemarkan kesucian Ramadan sekiranya perniagaan ini menjurus kepada menggalakkan umat Islam untuk tidak berpuasa,” katanya.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Suzieyana berkata, tindakan peniaga ini boleh mencemarkan kebaikan Ramadan sekiranya ada pembeli yang tidak berpuasa mengambil kesempatan.
“Adalah sesuatu yang tidak rasional dan menimbulkan kemusykilan apabila pembeli membeli makanan nasi berlauk seawal 11 pagi sedangkan waktu berbuka puasa masih lambat.
“Dalam pengetahuan saya, pada bulan Ramadan, peniaga hanya boleh berniaga selepas jam 3 petang dan difahamkan pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang berniaga awal.
“Bagaimanapun, peniaga ini seolah-olah kebal menjalankan perniagaan setelah bertahun-tahun menjalankan perniagaan tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa setiap kali Ramadan,” katanya.
Suami isteri maut motosikal dinaiki dirempuh kereta, lori
Wartawan Sinar Harian
10 Ogos 2012
Suami isteri maut motosikal dinaiki dirempuh kereta, lori
Anggota polis menjalankan siasatan awal ke atas mayat mangsa.
SABAK BERNAM - Sepasang suami isteri maut setelah motosikal yang dinaiki mereka dipercayai dirempuh kereta jenis Proton Waja di KM41 Jalan Teluk Intan-Klang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari Sungai Besar.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Musyar Mohammed berkata, mangsa dipercayai keluar dari arah Parit 6 sebelum dilanggar kereta terbabit yang datang dari arah Sabak Bernam.
“Akibat rempuhan tersebut, kereta dan motosikal berkenaan dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum keduanya dilanggar sebuah lori yang membawa muatan barangan konkrit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, Mohd Fyrus Khan Pas Abdul Rahman, 51, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Sarimah Mohd Salleh, 49, maut ketika menerima rawatan di Hospital  Tunku Ampuan Jemaah.
Musyar berkata, kedua mangsa tersebut mengalami luka dan pendarahan di bahagian kepala dan badan akibat rempuhan.
“Sementara itu, pemandu kereta turut cedera parah manakala penumpangnya pula patah tangan kiri dan kini sedang menjalani rawatan di HTAJ,” katanya.
Sementara itu, pemandu lori berkenaan, Muhd Rozaimie Che Lokman, 31, berkata, dia terkejut apabila kedua kenderaan tersebut memasuki laluan bertentangan namun tidak sempat untuk mengelak.
“Kejadian berlaku hanya dalam sekip mata dan saya cuba mengelak dari merempuh kereta dan motosikal terbabit namun tidak sempat,” katanya.
Menurutnya, sebelum kejadian tersebut, dia sedang dalam perjalanan dari Jalan Klang Lama ke Tanjung Malim bagi menghantar bekalan barangan konkrit,” katanya.
Rozaimi berkata, dia masih trauma dan tidak percaya terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Kejadian hari ini betul-betul membuatkan saya trauma berikutan ia hanya berlaku dalam sekelip mata,” katanya.
Anak terkejut terima berita

ANAK sulung kepada mangsa kemalangan tersebut, Muhammad Mushawwar Khan, 28, berkata, dia terkejut apabila penduduk setempat memaklumkan mengenai kejadian yang menimpa ibu dan ayahnya.
Mushawwar berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di kedai membaiki kasut milik ayahnya sebelum dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh penduduk setempat sekitar jam 2 petang.
“Saya terkejut apabila beberapa orang menghubungi dan memaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya.
Menurut abang sulung kepada empat beradik tersebut, dia kemudiannya bergegas ke tempat kejadian bagi melihat sendiri lokasi kejadian.
Katanya, ibu bapanya juga tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik sebelum kejadian.
Jelasnya, dia merasa amat sedih atas kehilangan kedua ibu bapanya lebih-lebih lagi bakal menyambut Syawal yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Menurutnya, beberapa persediaan perayaan telah disediakan oleh kedua ibu bapanya bagi menyambut perayaan beberapa minggu lagi.
“Saya sedih kerana mereka tidak bersama kami lagi adik beradik namun reda atas pemergian mereka,"

Bomba ambil masa 10 minit

SEMENTARA itu, pihak bomba mengambil masa selama kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan seorang daripada mangsa yang tersepit dalam kereta jenis Proton Waja tersebut.
Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba Sabak Bernam, Mariyo Ngadiman berkata, pemandu telah dikeluarkan terlebih dahulu oleh orang awam yang turut membantu.
"Mangsa tidak dapat keluar dan pihak bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang,” katanya.
Mariyo berkata, mangsa di bawa ke HTAJ untuk rawatan lanjut setelah berjaya dikeluarkan.
Tambahnya, pihaknya turut dibantu anggota daripada Balai Bomba Sekinchan di lokasi kejadian.
Pekerja syarikat pelancongan dibunuh
Wartawan Sinar Harian
10 Ogos 2012
SHAH ALAM – Seorang pekerja syarikat pelancongan warga Palestin ditemui mati dipercayai dibunuh di tepi jalan tanah merah berdekatan jeti nelayan Kampung Tanjung Rhu, Sungai Pelek, Sepang, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8 pagi.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mayat lelaki berusia 25 tahun itu masih lengkap berpakaian.
“Kita percaya dia dibunuh di tempat lain, sebelum mayatnya dibuang di situ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Selangor, semalam.
Mohd Adnan berkata, semakan awal mendapati mangsa bekerja di sebuah syarikat pelancongan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Lapan pengutip derma ditahan
RUWAIDA MD ZAIN
10 Ogos 2012
Hardi Mohamad Sadali
Zaaba (dua, kiri) bersama pegawai penguat kuasa Jais merampas barang digunakan untuk meminta derma pada operasi,
SHAH ALAM – Seorang individu dipercayai dijadikan pengutip derma oleh sebuah kumpulan ajaran sesat merupakan antara lapan yang ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam Ops Peminta Sedekah, semalam.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jais, Hardi Mohamad Sadali berkata, pihaknya mengesyaki kumpulan ajaran sesat tersebut mendalangi pengutip derma yang ditahan berdasarkan beberapa maklumat yang diperoleh selain tindak tanduk mencurigakan.
Menurutnya, bahan-bahan yang diperoleh daripada mereka yang ditahan juga tidak bersesuaian dengan nama pusat tahfiz atau institusi Islam malah boleh dianggap menghina agama Islam.
“Berdasarkan barang dirampas, ada yang kita syak diwartakan haram ajarannya. Kita syaki mungkin disalurkan kepada kumpulannya untuk tujuan operasi.
“Biasanya apabila diwartakan haram, kumpulan ajaran sesat ini akan tukar nama kumpulannya. Ini berdasarkan kepada gambar dan maklumat yang tertera pada produk yang dibawa pengutip derma,” katanya dalam sidang media selepas Ops Peminta Sedekah di sekitar pusat bandar Shah Alam dan Petaling Jaya, semalam.
Hardi berkata, lapan individu ditahan berusia di antara 16 hingga 50 tahun itu dikenal pasti berasal dari Thailand (1), Indonesia (2), Kedah (1), Pahang (1) dan selebihnya sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata, Jais menahan mereka untuk siasatan lanjut memandangkan hampir kesemua pusat dan persatuan yang digunakan tidak mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk mengutip derma.
Katanya, kebanyakan pengutip derma menggunakan nama institusi Islam seperti pusat tahfiz, madrasah, rumah anak yatim malah menggunakan kanak-kanak sebagai sumber operasi mereka.
“Kita tidak tahu bagaimana pelajaran mereka memandangkan mereka terpaksa mengutip derma dari pagi sehingga petang,” katanya.
Beliau berkata, sebarang kutipan khairat hendaklah mendapat kelulusan Mais.
“Mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor menyebut majlis boleh memungut atau dengan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh majlis, membenarkan mana-mana orang atau kumpulan orang, dengan apa-apa terma yang difikirkan patut oleh majlis, memungut wang atau sumbangan lain bagi apa-apa maksud khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut hukum syarak,” katanya.
Bagaimanapun menurutnya, salah seorang yang ditahan mendapat kebenaran Mais tetapi melanggar syarat ditetapkan yang mana kutipan derma tidak boleh dibuat di tempat awam seperti restoran, stesen minyak, kaki lima bank, Rehat dan Rawat (R & R).
“Bagi yang mendapat kelulusan Mais diharap mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan, jika tidak pihak Mais ada kuasa untuk menarik balik kebenaran,” katanya.
Beliau berkata, Jais akan terus memantau perkembangan berkaitan terutamanya sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya terutamanya bazar Ramadan, bank dan pasar.
Operasi dan rondaan diketuai Penolong Pengarah Unit Perundangan dan Kesalahan Jais, Zaaba Zakaria bersama 15 pegawai Bahagian Penguatkuasaan Jais.
Bank di Lembah Klang habis wang kertas baharu untuk Aidilfitri

9 Ogos 2012
KUALA LUMPUR - Dengan tidak sampai 10 hari lagi Aidilfitri menjelang tiba, ramai umat Islam di sini kini sukar mendapatkan wang kertas baharu untuk diisi di dalam sampul Hari Raya.

Setelah mula mengedar wang kertas baharu minggu lepas, kebanyakan bank nampaknya sudah kehabisannya minggu ini.
Tinjauan Bernama di ibu kota mendapati kebanyakan bank kehabisan wang kertas RM5 dan RM20 sejak semalam dan malah, ada bank yang langsung kehabisan semua wang kertas baharu.
Pengurus sebuah bank di Kampung Baru berkata cawangan beliau kehabisan semua wang kertas baharu sejak semalam dan mendakwa, tahun ini, cawangan bank itu mendapat kurang wang kertas baharu berbanding tahun lepas.
"Kami tak dapat banyak tahun ini, kami mula benarkan pelanggan menukar wang kertas baharu minggu lepas dan semalam, kami kehabisan semua stok," katanya.
Pengurus sebuah bank di Kelana Jaya pula berkata cawangan beliau mula menawarkan wang kertas baharu minggu lepas dan habis semuanya dua hari lepas.
"Kami mula minggu lepas dan yang paling popular ialah wang kertas baharu RM5, kami kehabisannya dua hari lepas. Sekarang hanya tinggal wang kertas RM1, RM10 dan RM100," katanya.
Sementara itu, pelanggan di dua bank di Kampung Baru mendakwa sebelum ini mereka tidak dibenar menukar wang kertas, tetapi apabila mereka ingin berbuat demikian hari ini, bank menyatakan wang kertas baharu sudah habis.
Ahmad Sani Abdullah, 47 berkata beliau datang dari Shah Alam untuk mendapatkan wang kertas RM5 dan RM20, tapi tidak berhasil.
"Saya memandu nun dari Shah Alam dan singgah di semua tempat yang saya tahu ada bank, saya rasa cawangan di Kampung Baru ni adalah bank ke-10 yang saya
singgah, tapi masih tidak mendapat wang RM5 atau RM20."
Selebriti Kartini Kamalul Ariffin adalah antara pelanggan yang belum berjaya mendapat wang kertas baharu untuk Hari Raya.
"Saya sibuk dengan beberapa hal dan terlanjur datang ke sini, saya rasa eloklah saya tukar wang sikit. Malangnya, wang kertas baharu sudah habis," katanya.
Pelanggan sebuah bank di Kelana Jaya memberitahu Bernama beliau terpaksa berpuas hati dengan hanya mendapat wang kertas RM1.
"Memberi sampul Hari Raya berisi wang kertas baharu sudah menjadi tradisi, tapi rasanya saya sudah terlalu lewat dan oleh kerana saya tak mampu memberi RM10 dalam setiap sampul, saya terpaksa isi RM1 sahaja dalam semua sampul," katanya. - Bernama
Polis cari empat lelaki bantu siasatan
ADILA SHARINNI WAHID
10 Ogos 2012
Polis cari empat lelaki bantu siasatan
Empat lelaki dicari bantu siasatan
KOTA BHARU – Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan beberapa kes jenayah termasuk samun dan curi kenderaan.
Empat lelaki yang dikenali sebagai Abang Chik, Hafis Cina, Avis dan Jihan Kunyit itu kali terakhir dilihat polis ketika menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna emas dengan nombor pendaftaran palsu DAL 3552  ke arah bulatan Kampung Surau, Pasir Puteh.
Kesemua mereka atau nama sebenarnya, Ahmad Fareez Ab Aziz, Mohd Raffiq Razwardy Ab Aziz, Mohd Azihan Jaafar dan Mohamad Aris Zamani berasal dari daerah itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, empat individu terbabit juga meloloskan diri dari Ops Rentap dan Samun Tepi Jalan di Alor Pasir, Pasir Puteh, kelmarin.
Katanya, dalam kejadian jam 4.35 pagi itu, kereta dinaiki empat individu terbabit merempuh kenderaan pasukan dan sebuah kenderaan awan jenis Produa Viva serta cuba melanggar anggota bertugas sebelum melarikan diri.
“Polis melihat mereka berada berhampiran di sebuah stesen minyak dan memperkenalkan diri, bagaimanapun, mereka enggan memberi kerjasama lalu bertindak demikian menyebabkan dua kenderaan rosak teruk.
“Kita minta mereka tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan. Selagi mereka tidak tampil, usaha mengesan akan terus dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Justeru itu, polis meminta bantuan dan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkait empat individu berkenaan.
“Mereka boleh menyalurkan maklumat kepada Bilik Gerakan IPK Kelantan di talian 09-7450999,” katanya.
Remaja lelaki maut tercampak sejauh 13m
Raiham Mohd Sanusi
10 Ogos 2012
Remaja lelaki maut tercampak sejauh 13m
Che Ayup bersama motosikal yang dinaikinya tercampak ke dalam longkang setelah bertembung dengan Perodua Viva dalam kemalangan di Jalan Banggol Indah-Kampung Paya Berenjut.
CHUKAI - Seorang remaja lelaki maut tercampak sejauh lapan meter apabila motosikal yang ditungganginya masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Perodua Viva di kawasan selekoh di Jalan Banggol Indah-Kampung Paya Berenjut, dekat sini, lewat petang kelmarin.
Dalam kemalangan kira-kira jam 7.15 petang itu, Che Ayup Aziz, 18, mengalami yang kecederaan parah dengan bahu kiri terbelah, patah paha kiri dan kaki kiri luka teruk meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, motosikal jenis Honda EX5 Dream yang ditunggangi si mati bertembung dengan kereta yang dipandu seorang pegawai teknologi maklumat wanita, berusia 27 tahun yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, yang dalam perjalanan ke Chendor untuk berbuka puasa.
Menurutnya, berikutan perlanggaran kuat berkenaan, Che Ayup yang bekerja sebagai juru selenggara dan beralamat di Kampung Paya Berenjut bersama motosikalnya, dipercayai terkena pengadang besi jalan sebelum tercampak ke dalam longkang.
Che Ayup kemudiannya tercampak sekali lagi sejauh lima meter dari motosikal yang dinaikinya sementara kereta tersebut pula tercabut tayar depan sebelah kiri.
“Pelanggaran kuat secara berdepan juga menyebabkan motosikal yang dinaiki si mati remuk teruk di bahagian depan. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kemaman dan hasil bedah siasat yang dilakukan pada jam 9 malam mendapati si mati meninggal akibat kecederaan dalaman,” katanya.
Mayat Allahyarham Che Ayup kemudian dituntut keluarga kira-kira jam 10 malam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geliga.
Pakai baju di rumah petanda ajal
Wartawan Sinar Harian
10 Ogos 2012
Mat Jusoh Mat Ali
Che Esah menunjukkan salah satu jubah kesayangan yang sering dipakai arwah suaminya kepada anak dan menantunya di rumahnya di Kampung Tok Randok, Hulu Terengganu.
KAMPUNG TOK RANDOK- "Kebiasaannya dia lebih selesa tidak berbaju bila berada di rumah tetapi berlainan pula kelakuannya dua hari lepas kerana dia memakai baju. Tak sangka rupanya perubahan itu sebenarnya petanda dia akan pergi selamanya," luah Che Esah Mahmud, 73.
Suaminya, Mat Jusoh Mat Ali, 72, maut dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi kelmarin di laluan Kampung Tok Randok ke Kampung Bukit Diman setelah motosikal ditungganginya bertembung sebuah lori kecil.
Menurut Che Esah, dia hanya mengetahui kejadian menimpa suaminya yang lebih mesra dengan panggilan 'Cik' oleh anak dan cucunya setelah dimaklumkan menantunya, Normila Mahmud, 45.
Katanya, pagi itu Normila datang ke rumahnya lalu memeluknya sambil menangis teresak-esak.
“Makcik hanya mampu duduk atas tilam di bahagian dapur ini kerana tidak sihat beberapa hari sebelum puasa baru-baru ini. Semalam (kelmarin), secara tiba-tiba, menantu datang memeluk makcik sambil menangis hingga membuatkan makcik terkejut melihat keadaannya.
“Makcik cuba tenangkannya dan minta dia ceritakan perkara sebenar. Hanya selepas beberapa ketika dia memberitahu Cik telah meninggal dan ketika itu makcik hanya mampu mengucap dan beristighfar supaya tenang menerima berita itu," katanya.
Che Esah berkata, dia melihat arwah suaminya itu agak berlainan namun tidak dapat jelaskan apa sebenarnya kelainan itu.
"Malah, ketika memerhatinya membasuh pinggan, tiba-tiba hati makcik terdetik bertanya sendiri adakah orang sakit atau orang sihat akan ‘pergi’ dahulu.
“Tidak sangka, rupanya dia dijemput Ilahi terlebih dahulu walaupun makcik yang selama ini sakit. Paling ketara perubahannya ialah dia memakai baju dua hari lepas ketika berada di rumah kerana dia tidak suka berbuat demikian sebelum ini,” katanya.
Che Esah memberitahu, suaminya itu keluar rumah untuk ke kebun sawit yang terletak di kampung berkenaan kira-kira jam 8 pagi hari kejadian, sebelum pulang kembali ke rumah sekitar jam 10.30 pagi.
“Biasanya selepas pulang dari kebun, dia pasti akan masuk rumah untuk mandi, berehat lalu kemudiannya bersiap sedia untuk ke masjid. Namun semalam (kelmarin), dia sekadar pulang menghantar galah mengait kelapa sawit.
“Dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak berbaju, dia kembali menunggang motosikal untuk memaklumkan kepada pemandu lori kecil di Kampung Bukit Diman, buah sawit masih ada di kebunnya. Biasanya, arwah hanya menelefon sahaja tetapi semalam dia memaklumkannya sendiri,” katanya.
Warga emas dijumpai mati bersama senapang
Wartawan Sinar Harian
9 Ogos 2012
Warga emas dijumpai mati bersama senapang
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam
AIR PUTIH – Misteri kehilangan seorang warga emas lelaki yang tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk menghalau babi hutan yang menceroboh kebun di belakang rumahnya terjawab, apabila isterinya menemui suaminya itu terbaring bersama senapang di tangan kira-kira jam 5.15 petang kelmarin, di Kampung Air Putih, dekat jambatan Jerangau-Jabor di sini.
Difahamkan, si mati yang berusia lingkungan 60-an keluar rumah bersama senapang kira-kira jam 4.30 pagi bagi memeriksa bunyi bising di kebun kecil di belakang rumahnya yang disyaki dilakukan babi hutan.
Bagaimanapun, selepas lebih 12 jam keluar rumah, si suami masih tidak pulang ke rumah menyebabkan isterinya yang berusia lingkungan 50-an mengambil keputusan untuk mencari di kebun ibu kayu dan tebu di belakang rumah mereka.
Sejurus dijumpai, si mati dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kemaman dan hasil pemeriksaan tiada kesan tembakan di badan di mati.
Hasil bedah siasat yang dilakukan kira-kira jam 10 malam mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung serta berlaku jangkitan kuman pada jantung dan paru-parunya sebelum mayat dituntut ahli keluarga dan segera dikebumikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang dihubungi mengesahkan kes berkenaan dan berkata kes diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut.

No comments:

Post a Comment